Home Novelet Thriller/Aksi ORGAN - ZOMBI TIT
ORGAN - ZOMBI TIT
Sufi Abqari
1/12/2016 00:39:27
9,462
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab BAB 5

BAB 5

SESEKALI kamera-kamera tertumpu pada Basyir, cahaya yang bersimpang-siur menerjah membuatkan remaja lelaki itu tertunduk malu. Ya, aku yakin dia sedang tertunduk malu walaupun mukanya telah dikaburkan.

Marahku membuak-buak bila lintasan wajah S.M Nazmi hadir dengan sengihan bangga. Aku dapat bayangkan betapa Basyir ketakutan dan tidak mustahil dia akan menangis. Dia memang mudah menangis.

Aku tersandar sebaik berita di kaca televisyen tamat. Keluhan geram bergulung-gulung keluar sekali gus merimaskan bibik. Aku jadi hairan tiba-tiba.

“Bik… ke mana Maya?. Tak nampak dari tadi. Dah empat jam dia hilang,” tanyaku.

“Kepalanya pusing. Langsung dia pulang,” jawab bibik.

“Tak beritahu saya pun,” luahku.

“Bik ngak tahu. Telefon aja,” jawab bibik lagi.

Aku cuba menggali kejadian hari ini, cuba mencari petanda bilakah Maya mula sakit. Tapi hampa, rasanya dia segar-bugar macam biasa. Mungkin dia sakit, tapi tak mahu tunjuk. Aku senyum bila memikirkan adikku seorang yang matang.

“Dah besar rupa-rupanya,” desisku di dalam hati.

Telefon bimbit dengan permukaan yang retak aku sambar. Baru hendak kutekan nombor Maya, telefon berbunyi. Tanda panggilan masuk, bermakna aku terpaksa tangguhkan niat untuk mendail nombor Maya. Aku letakkan telefon ke daun telinga dan sebaik suara garau kedengaran, aku sudah tahu siapa pemiliknya.

“Ada apa S.M call tengah malam ni?” tanyaku dengan agak terkejut.

“Ada pembunuhan baru berlaku. Saya cabar kamu ikut serta,” ucap S.M Nazmi.

“Boleh. Tapi saya perlukan lima minit untuk bersiap,” luahku sebaik memandang bajuku yang terpalit kotoran makanan.

“Ayat biasa kaum hawa. Bila wanita berkata dia perlukan lima minit, bermakna saya ada masa yang cukup untuk bersarapan di Malaysia, makan tengah hari di Indonisia dan makan malam di India sebelum pulang semula ke Malaysia untuk menjemput mereka.”

Aku tak berminat dengan celoteh S.M Nazmi. Malah panas hatiku surut sedikit demi sedikit sebaik membayangkan penyiasatan pertama yang akan aku sertai.

“Beritahu lokasi, saya akan ke sana sebelum sempat S.M balik semula ke Malaysia. Enjoy your’s meal,” ujarku dengan gurauan sinis.

“Tak perlu, saya dah sampai.”

Langkah kemas S.M Nazmi yang melulu masuk menyentakku seketika. Lelaki tersebut tidak menyarung seragam polis, tetapi santai dalam persalinan biasa dengan jaket kulit berwarna coklat.

“Wah! Tak sangka.” Sengaja aku berbasi-basi.

“Kita gerak sekarang,” arah S.M Nazmi.

Januari 09, 2002. 2.00 pagi, Belukar Batu 11, Kuantan.

“BOLEH tahan orang yang datang. Siapa yang jumpa mangsa,” ajuku.

Aku berlagak dengan gaya seperti Marsya Lee. S.M Nazmi merenungku seketika. Aku tahu dia kekok dengan perubahan sikapku.

“Lawan tauke nampak,” luah S.M Nazmi.

Always be professional. Should stay with that,”tuturku dengan serius.

“Okey . Mangsa dijumpai dua jam sebelum ni. Seorang tukang kutip sampah jumpa waktu tengah kutip sampah,” beritahu S.M Nazmi.

“Pelik! Kutip sampah dalam gelap gelita,” omelku sendirian.

S.M Nazmi tidak berminat. Dia meninggalkan aku sendiriaan dan mendekati seorang lelaki yang sedang menangkap gambar. Pasti itu salah seorang anggota CID. Rentangan pita menghalang orang ramai memasuki kawasan kejadian. Pada mulanya aku juga dihalang, sehinggalah S.M Nazmi melambai-lambai padaku dan aku dibenarkan melepasi rentangan pita yang melingkari kawasan kejadian.

“Tak salah ke saya masuk kawasan larangan?” bisikku.

“Salah! Tapi saya abaikan. Kita tengok awak tahan atau tak dengan kerja polis. Kelmarin bukan main cakap besar.” Sinis aku disindir.

“Kalau orang tahu saya menyibuk, boleh kena kutuk,” luahku.

“Itu pun kalau mulut celopar awak tak reti diam,” balas S.M Nazmi.

Sekali lagi aku ditinggalkan. Aku tak kisah, tetapi sebaik terpandang wajah pegawai-pegawai lain yang hadir aku jadi serba salah. Aku tahu mereka ralat melihatku, mungkin S.M Nazmi sudah ceritakan kisah kebiadapan aku kepada anggotanya.

Sejurus itu aku kembali senyum tenang dengan dada yang sengaja dibidangkan malah leher yang tegak lurus. Aku hidupkan kembali watak Marsya Lee yang hilang sesaat dua tadi.

“Sam, ke mari.” Suara S.M Nazmi meliar dalam gelap malam menerjah gegendang telingaku.

Dalam kegelapam malam, dibelakang sebuah busut, mata S.M Nazmi memandang hampa padaku, kemudian matanya kembali pada sekujur tubuh. Percayalah! Aku hampir-hampir menjerit bila melihat tempurung kepala yang terpisah dari kulit. Berhampirannya bertaburan rambut-rambut panjang mengurai, mungkin penjenayah telah menggunting rambut mangsa. Dua biji mata terletak di dalam mulut mayat dengan kulit wajah yang telah dilapah.

“Mari ke sini.”

Aku melangkah setapak.

“Dekat lagi.” Dalam suara S.M Nazmi.

Kali ini pun hanya selangkah.

“Kalau takut lebih baik balik.”

Kali ini langkahku menjadi dua, dan aku membengkokkan lutut lalu duduk bersebelahan S.M Nazmi.

“Perhatikan mayat ni. Esok pagi kita berjumpa di kafe. Saya nak dengar pendapat awak,” ujar S.M Nazmi yang bangun sejurus itu.

Baru beberapa langkah dia menghayun kaki, kepalanya berpusing.

“Jangan sentuh mangsa, sekadar lihat,” tegur S.M Nazmi.

Aku yakin S.M Nazmi sudah berlalu bila seseorang mendengus lega. Seorang lelaki sebayaku, masih muda dan gagah. Minyak wangi yang dipakai menyatakan dia seorang lelaki yang pentingkan penampilan.

“Bertuah awak, tak semua dapat tahan dengan sikap ego S.M Nazmi,” ucap lelaki itu, kemudian mencangkung di sebelahku.

“Aku Sam. Samsiah. Kau?” luahku tanpa memandang. Mataku masih ralit meratah mayat di hadapan. Tekakku mula mual. Mungkin beberapa minit lagi bakal muntah. Nampak gaya mahu atau tidak aku perlu biasakan diri dengan bau meloyakan ini.

“Panggil aku AG.”

“Mesti kerja orang gila,” rungutku.

“Apa nak hairan, tahun 1996 saja Malaysia dah catat hampir 11.1% penyakit mental. Kau rasa sekarang berapa angkanya?” tanya AG.

“Boleh tahan kau ni. Ulat buku agaknya. Tak sangka ulat buku boleh jadi polis,” nadaku mendatar.

“WHO jangkakan pada tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyebab kedua tertinggi hilang upaya di seluruh dunia,” ujar AG, bernada bangga. Sememangnya dia bangga dengan fakta yang berjaya dihafalnya.

“Kau rasa ni kerja orang sakit mental ke?” ajuku. Berharap AG akan berkata ya.

“Siapa lagi yang sanggup pecahkan kepala, curi otak dan siat-siat kulit mangsa.”

Beberapa minit berlalu sepi, aku lebih suka memerhati mangsa, manakala AG masih setia di sisi. Aku hairan kenapa dia tidak sesibuk anggota lain. Dalam payah aku palingkan kepala, saja nak tengok sama ada AG sudah tertidur atau tidak. Maklumlah dari tadi dia diam. Sebaik berpaling, tampak air muka AG penuh rasa muram. Aku jadi hairan. Namun, sempatku lemparkan senyuman kecil, sekadar senyum sapa.

“Wanita yang sudah berkahwin. Mungkin dah ada anak,” ucap AG.

“Mana kau tahu?” soalku.

Rasa tergugat dan kagum berpadu. Kagum dengan keyakinan AG merumus, dan tergugat kerana dia telah menyedari sesuatu berbandingku.

“Walau tak pakai cincin tapi kulit di bahagian jari membentuk lingkaran. Tengok perbezaan warna kulit. Kulit di bahagian lingkaran lebih cerah, bermakna mangsa pernah memakai cincin. Mungkin cincin dah dicuri,” luah AG.

“Mana kau tahu mangsa dah kahwin?” soalku lagi.

“Cuba tengok bahagian dada mangsa yang terdedah, ada kesan basah. Lagipun payudara dia bengkak. Aku berani jamin bukan bengkak sebab objek tumpul. Tapi sebab kelenjar susunya membengkak,” sambung AG.

“Baguslah kau ni.” Aku memuji. Aku akui yang aku terpengaruh dengan andaiannya.

“Memanglah sebab aku ada abang yang hebat,” jawab AG sambil tersengih.

“Siapa?” tanyaku.

“S.M Nazmi,” jawab AG.

Glup…! Aku telan air liur, tak sangka S.M Nazmi mempunyai adik semuda AG. Sungguhpun aku geram dengan sikap S.M Nazmi, namun aku gembira dengan kehadiran AG. Bukanlah kerana ketampanan dia, tetapi kepintarannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.