Malam itu Afiena tidak
dapat lelap. Sudah beberapa kali dia berkalih badan dengan harapan mindanya
akan lena sungguhpun begitu mindanya makin segar. Tatkala dia duduk memeluk kedua
lutut yang dirapatkan Kamarul masih berdengkur keras. Ternyata suaminya
keletihan. Wajah itu memancar lesu.
Dengusan kecil seakan
peneman setia dirinya dikala itu. Sudah acap kali dia mendengus. Dahinya
terguris kerut manakala bibirnya digigit kecil. Hatinya berombak dengan apa
yang telah berlaku ketika di hospital. Sukar dipercayai Rijal muncul malah
lebih sukar dipercayai adalah sikap bekas abang iparnya yang seolah-olah tidak
pernah mengenali mereka. Walhal dialah
lelaki durjana yang telah meremuk-rendamkan impian suci kakaknya.
“Apa
yang berlaku sebenarnya,”Afiena membetulkan selimut Kamarul
sambil berfikir, diperhatikan tahi lalat di bawah bibir suaminya. “Manis.”Afiena melarik senyum.
“Aku
tahu kak long berlagak tenang tadi. Tapi betul ke aku tersalah orang.
Mustahillah. Suara dan nama pun sama, Cuma muka dia sajalah yang berkumis
nipis. Tapi aku pasti itu orang yang sama.”
“Kesian
kak long, di saat aku gembira dia tabah menghadapi perit sendirian. Layakkah
aku dipanggil adik. Oh, kak long aku tidak mampu setabahmu. Sungguh aku cemburu
dengan kesabaran dan ketabahan yang engkau miliki. Aku berharap dapat
melindungi dan menemanimu seperti dulu.”
Afiena berkalih badan
merapati birai katil lalu menarik laci meja dan mengeluarkan sekeping gambar. Dia
ralit melihat wajah ceria dirinya dan Sufie ketika di bangku sekolah. Waktu
gambar itu diambil berlaku sedikit pergaduhan, dan tentunya kerana Sufie.
Terus-terang ada seorang dua yang tidak mahu bergambar bersama kerana merasakan
Sufie bakal mencacatkan gambar mereka. Dia masih ingat sewaktu kejadian Sufie
hanya senyum tenang, damai wajahnya ketika itu. Sukar untuk diluahkan dengan
patah kata. Namun kedegilan Afiena tidak mudah diremehkan. Maka mahu atau tidak
terpaksalah mereka membenarkan Sufie ikut bergambar.
Afiena membalik gambar,
matanya memaku pada coretan tangan Sufie yang tertulis kemas.
‘Lupakanlah
kesedihan dirimu dengan membahagiakan
orang lain. Adikku jangan engkau terluka jika dirimu tidak dihargai kerana
manusia sukar untuk difahami, berlembut dan bersabarlah kepada mereka,
moga-moga Allah merahmati dirimu dan jangan terlalu risaukan kak long. Allah
sentiasa ada menemani!’
Sedikit ketenangan
hadir sebaik ayat terakhir dibaca. “Ya
Allah lindunggilahlah kak long untukku. Temanilah dia sebagaimana Kau menemani
kekasihmu. Aku bertawakal padaMu ya Tuhanku, tiada daya upaya melaikan dengan
bantuanMu.”
Afiena
melangkah keluar dari bilik lalu menuruni tangga bersama gambar yang dipegang
kemas. Niatnya mahu ke dapur membasah tekak. Dia juga sudah memutuskan mahu ke Villa Datin Abda esok
hari. Kepastian harus dituntut.
***
Sesekali mata Sufie
merenung langit hitam dari balik tingkap kaca. Sinaran bintang yang
berkelip-kelip mendamaikan hati. Dia pasti yang si bintang sedang bertasbih menggagungkan
Allah sebagaimana yang sedang dilakukannya kini. Dia berteleku di atas sejadah
sejak usai insyak lagi, begitu khusuk dibaca surat-surat cinta daripada Allah
s.w.t. Terasa seolah ada tangan kedamaian yang sedang mengusap-usap tangkai
hatinya dia terbuai dalam ketenangan tersebut. Sesekali dia terkejut apabila
bunyi hon kenderaan menjerit marah di jalanraya. Malah sempat dia terfikir
betapa manusia berlumba-lumba mencari kebahagian di luar sedangkan kebahagiaan
itu sudah cukup dengan hanya membaca surat-surat cinta Maha Pencipta.
Lama-lama memerhati
langit Sufie kembali membaca surat-surat cinta dan matanya tertacap tepat pada
surah al-Mulk 67:2.
“Dijadikan
mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.”
Dibaca lagi dan lagi,
malah lebih dari lima kali. Walhal sudah beribu kali ayat itu dibaca
sebenarnya, namun bosan masih belum mampu menjentik minatnya terhadap surah
tersebut. Mungkin sudah sifatnya yang begitu mencintai surat-surat cinta
titipan Allah. Dia senyum kemudiannya lantas melantun kata.
“Ya
Allah. Aku mohon dengan sangat agar dipeliharalah cintaMu padaku. Sesungguhnya
tidak mampu aku mencintaiMu tanpa pertolonganMu. Tegurlah aku dengan kelembutan
dan kasih sayangMU.”
Perut yang bergendang
hebat menyedarkan Sufie yang dia masih
belum menjamah hidangan. Rasanya baru sebentar dia berteleku di sejadah. Sebaik
telekung dan sejadah dilipat dia keluar bilik menuju ke dapur.
Seperti biasa sudah
tersimpan lauk untuk dirinya. Terhidang sepotong ikan kering goreng dan
semangkuk kecil pucuk paku goreng kicap, dia senyum lagi.
“Alhamdullilah.
Terima kasih Ya, Allah.”
Ketika Sufie sedang
menyenduk nasi kedengaran sesuatu menapak dan sebaik dia memusingkan badan
hampir terlepas pinggan ditangan sebaik melihat wajah putih Salmi dengan
sengihan mautnya.
“Kak
Sufie ni lewat malam baru nak makan. Tak elok tahu, nanti cepat gemuk.”
“Mari
temankan Kak Sufie makan. Makan berteman baru seronok kena pulak dengan gadis
comel berbedak sejuk. Hampir pengsan Kak Sufie tadi. Ingatkan makluk apalah
tadi.”Sufie menarik kerusi dan duduk dengan cermat.
Salmi kaget seketika
bila dirasakan gerakan Sufie tidak selancar biasa.
“
Kak Sufie sihat?”
“Alhamdullilah
sayang.”
“Tapi…”
“Tapi
apanya?”terjungkit kening Sufie bila melihat tangan Salmi
yang sedang memintal-mintal hujung baju tidurnya.
“Tapi
Kak Sufie macam tak sihat. Hari tu kata nak pergi periksa mata.”
“Pasal
itu rupanya… Doktor dah periksa. Alhamdullilah dengan izin Allah mata Kak Sufie
ok sajalah. Cuma mungkin bila baca tulisan kecil sangat mata jadi senak.”
“Nanti
Sal hadiahkan Qurqn yang besar. Harga pun tak mahal. Harga mampu milik.”
“Kalau Kak Sufie tahu nak dapat
hadiah awal-awal lagi Kak Sufie jalan langgar dinding. Sayangnya baru tahu,”tawa
kecil Sufie berjangkit dan menular kepada Salmi malah tawanya lagi besar. Salmi
kemudian melangkah menghampiri dan memeluk leher Sufie. Dia sememangnya manja
dengan Sufie dan Tini.
***
Ketawa parau Rijal
sedkit sebanyak mencanggungkan Corrado. Dia boleh menggagak kenapa sahabatnya itu
datang ke Italia Pasticceria Café seawal pagi. Walaupun alasannya kerana tidak
tahan menanggung rindu terhadap bau garing dan lemak tat badam di kafe. Namun wajahnya yang
merona merah penuh seri adalah bukti jelas yang sahabatnya itu ada maksud
tertentu.
Sufie! Corrado begitu
yakin itulah sebab utama kenapa Rijal ke mari. Namun sesuatu yang amat-amat
luar biasa jika gadis albino itu menjadi pilihan sahabatnya. Rijal
melentok-lentok lembut kepala mengikuti alunan muzik Mozart. Sebentar kemudian
dia menegaskan apa yang dirasakannya adalah salah.
“Non possibile.Tak mungkin.”
Mata Rijal meliar merayapi segenap ruangan Italia Pasticceria Cafe.Kelihatan
susunan mejanya masih kemas dan teratur seperti kali pertama dia datang,
disegarkan pula dengan halwa telinga yang melayangkan pendengarnya ke Itali.
Tetapi yang lebih menarik bau segar pizza yang dibakar oven tradisi. Pendek
kata dia begitu kagum dengan ketelitian Chef Arturo.
“Che cosa cerchi.Sorriseda precedenti.Apa yang kau cari. Tersengih dari tadi.”
“Mana
budak muka bedak tu, aku tak nampak kelibat dia.”
“Maksud
kau Sufie. Hei! Kawan dia ada nama.”
“Marah?”
aju
Rijal dengan kepalanya yang mulai menoleh mencari kelibat Sufie.
“Dia
kerja sebelah petang. Pagi dia mengajar.”
“Ohhh...
Cikgu. Mengajar di mana?”
“Sufie
kekasih aku. Gadis yang ingin aku kahwini. Gadis yang ingin aku kongsi suka
duka bersama.”
Tawa Rijal pecah mendadak. Dia tidak percaya dengan apa
yang dikata Corrado. Baginya mereka ibarat langit dan bumi, mustahil untuk
bersatu.
“Gila!”
luah
Rijal sebaik mencapai sekeping tat badam.
“Maksud
kau kita berdua,”tangan Corrado pula mencapai tat badam, dihidu seketika,
ada puas dari raut wajahnya.
“Kita?”
“Kalau
tak gila, kau tidak datang ke kafe awal sebegini.”
“Sebab
tat badam yang rangup dengan aroma vanila yang menyengat. Hanya satu alasan
yang mudah.”
“Tapi
tak semudah mata kau yang meliar. Nampaknya mata kau tak dapat ditambat. Hati-hati
mata itu teropong hati.”
“Aku
dengan si bedak tu... Tolonglah.”
Belum sempat Corrado menjawab, satu teriakan dari dapur
kedengaran.
“Corrado!”
Corrado menjungkit naik bahunya dengan mulut terlopong.
Dan dia tahu siapakah pemilik suara itu, bergegas dia bangkit dari kerusi dan
meninggalkan Rijal keseorangan. Rijal tahu sebentar lagi pasti Corrado akan
dileteri oleh Chef Arturo. Namun dia faham yang setiap leteran itu tidak akan
dibalas kerana Corrado begitu menghormati ayahnya. Paling teruk hanya mulutnya
yang dimuncungkan.
Bau segar mawar, lembut
menusuk hidung. Ya, setiap meja dihiasi kuntuman mawar segar yang
terletak cantik di dalam pasu dengan pelbagai warna. Dari tempat dia duduk
dapat diperhati Boy yang merupakan chef pastri di situ sedang asyik menyanyi
kecil sambil menyusun roti di dalam rak pameran. Bertebaran baunya, malah warna
dan rupanya juga mampu membuat lidah berdansa.
Sebaik tanda ‘BUKA’ dipamerkan berderu pelanggan masuk
dan rata-ratanya adalah gadis. Bisik-bisik halus tenggelam-timbul namun masih
agak jelas bagi Rijal. Dia tidak terkejut jika nama Corrado meniti di bibir-bibir
mugil itu. Malah perkara itu menguatkan lagi kata hatinya yang Sufie bukanlah
kekasih Corrado dan apa yang diluahkan sebentar tadi adalah gurauan.
“Aku
rasa Corrado sukakan Rozita, dan Si Bedak tu kecewa, itu sebab dia duduk dekat
tangga hotel sampai basah bermandi hujan. Tapi kenapa Corrado beria-ia berlari
cari Si Bedak? Aku tahu, mesti dia rasa bersalah.”
Sudah acap kali Corrado memerhati jam tangannya. Semakin
jam itu menghampiri angka enam semakin gelisah dia. Semakin gelisah bilamana
senyuman di wajah Rijal melarik panjang. Dia pasti yang sahabatnya itu tidak
akan pulang selagi tidak bertemu Sufie. Pintu kaca yang dikuak menyentak Rijal,
namun dia kembali tenang apabila yang melangkah masuk adalah sebuah keluarga
terdiri dari sepasang suami isteri dan tiga orang anak mereka. Sungguhpun begitu
anak bongsu mereka kelihatan istimewa. Mungkin sindron down.
Mereka memilih meja berhampiran anjung selang dua meja
dari Rijal. Anak sulungnya tidak terus duduk, pemuda dalam lingkungan umur
belasan tahun itu terus ke rak roti, membelek-belek, sesekali menghidu kemudian
memilih beberapa buku roti. Terus selepas itu dia ke rak tat lalu memilih tat
buah dan coklat. Langkah tersusun dihayun menampakkan kematangan, pastilah anak
sulung yang boleh diharap.
Mereka menikmati hidangan dengan sepi, tidak ada tawa
ceria hanya anak bongsunya yang terjerit-jerit mahukan sesuatu. Anak kecil yang
terkebelakang akalnya itu makin galak menjerit sambil menghentak-hentak meja.
Sesekali ditarik alas meja berpetak tersebut. Ibunya berwajah getir, mungkin
kerana malu atau gusar kerana acap kali ditoleh raut wajah suaminya yang
dingin.
Minat Rijal mati sebaik pintu kafe terkuak dan Sufie
melangkah sopan. Corrado yang memerhati dari pintu pemisah lengkung
memincingkan mata tanda terancam. Rozita yang menyedari situasi terlompat
kecil. “Yesss... Akhirnya Corrado milik
aku.”
Sufie tidak menyedari sedang diperhatikan Rijal kerana matanya
terarah kepada drama keluarga yang sedang berlaku. Sufie senyum apabila melihat
wanita itu memujuk, andai dia berada di posisi itu perkara yang sama akan
dilakukan. Meskipun begitu kedua anaknya yang lain tunduk membisu. Ada
ketakutan pada riak badan mereka. Tanpa diduga, dan dia benar-benar tidak
menduga lelaki yang digelar khalifah keluarga itu bangun lalu menarik kasar
lengan anaknya. Kanak-kanak itu meronta minta dilepas, tidak kurang si ibu yang
berdiri merapati suami, memohon kesabaran suaminya.
“Bebal...
Hidup kau tak lain, menyusahkan aku. Apa dosa aku dapat anak macam kau.”
“Akit!
Akit! Lepas.”
“Istigfar
bang. Budak-budak bukan tahu apa.”
“Budak-budak
yang tak cukup akal saja yang tak tahu apa-apa. Semuanya salah awak. Kalau awak
pandai jaga diri, taklah keluar anak macam ini. Memalukan saya. Mana saya nak
letak muka.”
“Sabar
bang. Orang dengar.”
“Awak
malu. Biar semua orang tahu.”
“Nak
colet! Adik nak colet!”jerit kanak-kanak itu.
“Astaqfirullah,”
berkali-kali
mulut Sufie beristigfar. Tanpa disuruh, kakinya melangkah menuju ke rak tat
kemudian diambil beberapa tat cokelat, sejurus itu dihayun langkah kembali. Dia
merapati kanak-kanak tersebut, dan sebaik berhadapan dia duduk di atas kerusi
wanita itu. Lelaki itu berang manakala isterinya tercengan melihat tindakan
Sufie.
“Assalamualaikum
comel. Adik suka tat cokelat. Tengok apa yang Kak Sufie bawa.”
Mata kanak-kanak itu membulat sebaik melihat tat cokelat
yang tersusun rapi dalam pinggan.
“Yehhh.
Colet. Adik suka... Adik suka.”
Anak sulungnya masih menundukkan kepala, manakala anak
keduanya ketawa lucu melihat keletah adiknya yang rakus mencapai dan mengunyah
laju tat cokelat.
“Apa
yang kau ketawa Kimi? Kau gelakkan baba? Kau ingat baba tak mampu nak beli
makanan. Kita bukan pengemis sampai nak kena makan percuma. Aku boleh bayarlah.”
Tajam
kata-kata lelaki itu menyindir. Namun disambut dengan senyuman oleh Sufie.
Sekaligus melarik kagum Rijal terhadap ketenangan gadis tersebut.
“Encik
marahkan Allah?”soal Sufie sebaik berpaling.
“Astagfirullah!
Berani kau cakap macam tu. Kau tak takut dosa. Tahu hukum memfitnah? Kalau tak
tahu pergi belajar.” Tempik lelaki itu dengan tangan digenggam. Isterinya
yang ketakutan memaut lengan suaminya. Corrado berang melihat Sufie
diperlakukan begitu, tidak terkecuali Rozita, Rijal malah semua krew kafe.
Sufie senyum lembut dan bangun sebelum pandangan berkalih
pada wanita itu.
“Tiada
yang lebih didambakan seorang isteri selain melahirkan zuriat dengan selamat
dan bayi yang sihat. Impiannya kebahagiaan itu dapat dikongsi bersama suami
tercinta. Betul?”
Wanita itu pegun seketika sebelum angguk kecil. Matanya
berkaca menzahir derita hati.
Sufie kembali duduk. Sekeping tat disuap kepada kanak-kanak
itu. Dia senyum ramah dengan ketenangan
yang tidak mampu digugat.
Sambil mengusap-usap kepala kanak-kanak itu Sufie kembali
berkata.
“Saya
pasti jika adik ni mampu bercakap dengan lancar, pastilah dia akan menyatakan
betapa dia mahu membanggakan encik dan puan. Dia mahu menjadi anak yang
dikagumi dan mampu membalas jaga kedua orang tuanya.”
Sufie menarik nafas dalam-dalam, redup matanya
menyebarkan ketenangan kepada pasangan suami isteri itu. Kali ini matanya
memaku wajah lelaki tersebut, itupun hanya seketika. Dia kemudianya kembali
menyusun kata.
“Puan
mahukan anak yang sempurna, begitu juga adik ini yang mahu seperti
rakan-rakanya yang lain. Encik juga berharap yang sama. Sungguhpun begitu
ketentuan tetap milik Allah. Jadi adakah salah kata-kata saya sebelum ini?”
“Siapa
tidak menyayangi, jangan diharap untuk dikasihi. Cuba encik renung lama-lama.
Comel kan. Lupakan yang lepas-lepas, ambil tanggunjawab untuk galas ketentuan
Allah. Bukan semua orang terpilih, hanya yang benar-benar layak. Jangan tertipu
dengan usikan nafsu dan rayuan syaitan,”lunak suara Sufie.
Sufie bangkit sejurus itu, dia terkejut kecil bilamana
Arturo bercekak pinggang sambil memintal-mintal misai lentiknya, tanda dia
bakal dileteri, manakala Rijal dan Corrado terngangga, tidak disangka Sufie
bijak menjernihkan keadaan, atau lebih tepat menjernihkan hati. Buktinya lelaki
itu dilihat merangkul lantas meriba kemas anaknya sebaik Sufie melangkah pergi.
“Dup.Dup,” kencang jantung Rijal dan
Corrado menari, yang pasti keduanya
menarikan irama cinta.
Rozita meluru ke dapur menuruti langkah Sufie. Dia sudah
bersedia untuk membela jika Sufie dimarahi.