STESENKomuter Padang
Jawa ialah sebuah stesen kereta api KTM yang terletak di Padang Jawa, Selangor,
dalam laluan Sentul-Pelabuhan Klang. UiTM, tempat Siti Maisara belajar dahulu
hanya terletak kira-kira dua kilometer sahaja dari stesen ini.
Dari
stesen ini, Siti Maisara dan Ina menaiki Komuter yang menghala ke Kuala Lumpur.
“Wei,
aku nervouslah!” kata Siti Maisara.
Mereka
berdua duduk di koc wanita.
“Aku
pun sama, tapi jangan difikirkan sangatlah. Kalau ikutkan pengalaman bekerja,
kaulah lebih advance. Kau banyak
pengalaman bekerja. Macam aku, nilah first
time aku nak merasa pergi interview,”
kata Ina pula.
Ina
memiliki Diploma Pengurusan Pentadbiran, sama seperti Siti Maisara, tetapi dia berkelulusan
dari Politeknik Shah Alam. Mereka berdua memang berkawan baik semenjak kecil
lagi. Bermain bersama-sama, bersekolah rendah dan menengah di sekolah yang
sama. Cuma Siti Maisara agak bernasib baik kerana dapat melanjutkan pelajaran
di UiTM, manakala Ina pula di Politeknik.
Namun
begitu, mereka tetap meneruskan impian mereka bersama untuk mengambil bidang
Pengurusan Pentadbiran walaupun di tempat yang berlainan.
Politeknik
Shah Alam dan UiTM, tidaklah jauh mana, namun atas kesibukan masing-masing,
mereka berdua hanya berkesempatan berjumpa pada waktu cuti semester sahaja.
Kehidupan
Ina sekeluarga agak mewah jika mahu dibandingkan dengan keluarga Siti Maisara.
Ina merupakan anak tunggal di dalam keluarganya. Maka, pergerakan Ina agak
terbatas kerana dikawal sepenuhnya oleh Pak Cik Mansur dan Mak Cik Senah.
Ina
tidak bebas keluar ke sana ke mari sesuka hati. Jika dia mendapat keizinan
keluar pun adalah kerana ada Siti Maisara yang menemani. Ibu bapa Ina hanya
mengenali Siti Maisara sebagai kawan sekampung dan teman yang paling rapat
sekali dengan anak mereka.
“Hisy,
semua pengalaman kerja aku tu, bukannya boleh pakai sangat. Tu semua tak masuk listlah. Tak ada value pun!” sanggah Siti Maisara.
“Alah,
yang penting, kau pernah bekerja dan dibayar gaji. Ha, tu semua dikira
pengalaman bekerjalah. Macam aku ni, pengalaman bekerja, tanam anggur, mana
dapat gaji! Tanaman yang tak dapat-dapat hasilnya!” kata Ina.
Mereka
berdua ketawa mengekek. Namun, cepat-cepat menutup mulut apabila melihat
penumpang di sekeliling mereka memandang semacam ke arah mereka berdua.
Bagi
Siti Maisara, apalah sangat dengan pengalaman bekerjanya itu. Nak ditulis di
dalam borang ruangan pengalaman bekerja nanti pun terasa malu. Namun begitu,
Siti Maisara cuba mengingati apakah kerja-kerja yang pernah dilakukannya sejak
dari bangku sekolah lagi.
Bukan
Siti Maisara yang begitu beria-ia benar ingin bekerja di kala umurnya begitu
muda. Apatah lagi rakan-rakan sebayanya yang ketika itu masih lagi leka bermain
dan gembira dengan dunia mereka sendiri.
Semuanya
ini adalah kerana terpaksa! Siti Maisara masih ingat dia mula bekerja ketika
umurnya baru menginjak ke usia 13 tahun, masih dalam tingkatan satu. Pada waktu
itu adalah ketika cuti sekolah. Kerja pertamanya ialah sebagai pembantu kedai
runcit.
Masih
dia ingat lagi kata-kata ayahnya dahulu.
“Kalau
kau sibuk sangat nak pakai baju raya yang cantik-cantik, kau kerja dan cari
duit sendiri. Belajar macam mana susah orang nak cari duit. Jangan ingat
senang-senang kau boleh mintak itu ini daripada mak bapak kau!”
Walau
umurnya ketika itu masih muda, namun Siti Maisara amat terasa dengan kata-kata
tajam lagi berbisa ayahnya itu.
“Kalau
ya pun nak menasihat dan mengajar anak, takkanlah awak nak suruh budak tu cari
kerja. Budak tu baru 13 tahun. Mana dia tahu semua tu...” bela Mak Odah.
“Awak
diam! Apa yang awak tahu pasal cari duit ni? Yang awak tahu, menghabiskan duit
adalah! Jangan awak pandai-pandai nak bela dia. Nanti naik lemak pulak.
Esok-esok dah pandai, pijak kepala mak bapak!” bebel Pak Musa. Penuh dengan
prejudis terhadap anak sendiri.
Akhirnya,
Siti Maisara nekad untuk mencari kerja. Kalau setakat sepasang baju kurung yang
diidamkannya untuk dipakai di hari raya, dia harus menerima sindiran dan
tengkingan daripada ayahnya sendiri, Siti Maisara lebih rela meminta atau
mencari duit sendiri demi memenuhi apa yang diidamkannya.
Lebih
menyakitkan hatinya lagi apabila dia mendapat tahu, kedua-dua orang abangnya
dengan riang dan bangga telah menunjukkan baju-baju baru untuk dipakai di hari
raya yang mana baju-baju itu telah dibeli ayahnya sendiri. Ayah memang tak
adil! Jerit hati kecilnya.
Demi
anak-anak lelakinya, ayahnya tidak pernah berkira. Mintalah apa sahaja,
semuanya ayahnya akan tunaikan. Namun, jika Siti Maisara mahupun anak-anak
perempuan yang lain minta sesuatu, pasti ada sahaja soal jawab daripada
ayahnya.
Pernah
suatu ketika, hari hujan lebat pada waktu pagi. Siti Maisara meminta ayahnya
menghantarkannya ke sekolah. Kebiasaannya Siti Maisara akan menaiki bas ke
sekolah. Namun, hari itu dia terlepas bas kerana terlewat keluar dari rumah
akibat hujan.
Merayu
bagaimana sekalipun, ayahnya buat tidak peduli. Malah, dia menyuruh Mak Odah
meneman dan menghantarkan Siti Maisara hingga ke perhentian bas. Maka
berpayunglah kedua-dua beranak itu berjalan kaki ke perhentian bas.
Namun,
selang 10 minit ketika sedang menunggu bas di perhentian bas, Mak Odah dan Siti
Maisara masing-masing terkedu bila ternampak kelibat Pak Musa sedang memandu
kereta Proton Saga lamanya yang berwarna merah itu. Di dalam kereta kelihatan kedua-dua orang abangnya,
Abdul Muaz dan Abdul Muin.
Siti
Maisara tidak faham mengapa ayahnya bersikap pilih kasih sehingga sebegitu
rupa. Apa bezanya anak perempuan dan anak lelaki di mata Pak Musa? Rasa tidak
puas hati itulah yang dipendamkannya sekian lama sehingga kini ia menjadi barah
yang menjadikannya seorang pendendam kepada ayahnya sendiri.
Siti
Maisara tahu dan faham, emaknya tiada kuasa untuk bersuara mahupun memberikan
pandangan. Apatah lagi mahu menunaikan kehendaknya. Emaknya itu terlalu naif
dan terlalu jujur serta setia dengan suaminya. Paling tidak pun, kalau emaknya
melawan kata-kata ayahnya, alamatnya pipi emaknya pasti jadi sasaran pelempang ayahnya.
Paling teruk sekali, emaknya pernah disepak terajang ayahnya berkali-kali.
Itu
sebabnya emaknya jarang bersuara jika ayahnya sudah naik berang. Malas mahu
melayan sikap panas baran ayahnya itu. Tidak bersuara pun dia kena, bersuara
apatah lagi!
Siti
Maisara pula sudah terbiasa dengan fenomena pergaduhan antara ibu bapanya itu.
Malah, jiran sekeliling juga sedia maklum tentang sikap Pak Musa yang panas
baran terhadap Mak Odah. Mereka juga tidak pernah mahu masuk campur dalam hal
rumah tangga suami isteri itu.
Bukan
setakat gaduh-gaduh begitu sahaja, malah mereka berdua suami isteri sebenarnya
sudah dua kali bercerai dan kemudian dua kali rujuk semula. Cuma sekarang ini,
Pak Musa seperti sudah pandai mengawal sikap panas barannya. Mungkin sudah
sedikit insaf atau barangkali kerana had talak yang ada untuk Mak Odah hanya
tinggal satu sahaja. Wallahu’alam...
Apa
yang Siti Maisara risaukan ialah tentang adik-adiknya, Siti Musliha dan Siti
Mariam. Mak Odah dan Pak Musa jika sedang bergaduh, seperti lupa diri
masing-masing dan tidak peduli tentang keadaan sekeliling. Terjerit terpekik di
dalam rumah bagai mahu roboh rumah dibuatnya.
Penyudahnya,
Siti Maisara adik-beradik menjadi mangsa. Segala kata-kata makian dan ayat-ayat
yang tidak elok disebut, dihambur keluar ke atas mereka. Bagi Siti Maisara,
biarlah dia seorang sahaja yang menerima semua itu, namun tidak kepada
adik-beradiknya.
Siti
Maisara amat menyayangi kesemua adik-beradiknya walaupun kedua-dua abangnya
seakan-akan berlagak kerana mereka tahu yang ayah mereka amat menyayangi mereka
berdua melebihi adik-adik perempuan mereka. Namun begitu, walau apa jua yang
buruk pada kedua-dua abangnya, Siti Maisara rela berkorban apa sahaja untuk
mereka.
Disebabkan
itu Siti Maisara secara senyap-senyap cuba memujuk Pak Karim yang mempunyai
kedai runcit itu agar menerima dia bekerja di situ sepanjang cuti sekolah.
“Alah,
bolehlah Pak Karim. Saya tolong Pak Karim masa cuti sekolah ni aje. Upah, suka hatilah
Pak Karim nak bagi berapa,” rayu Siti Maisara apabila Pak Karim seperti berat
hati ingin mengambilnya bekerja.
“Bukan
aku tak nak, tapi nanti ayah kau marah! Dia tu kan pembengis. Tak pasal-pasal
dengan kedai aku sekali nanti roboh kalau dia dah mengamuk nanti!” balas Pak
Karim.
“Alah,
Pak Karim, ini pun dia yang suruh Sara cari kerja. Dia suruh Sara cari duit
sendiri kalau nak beli baju raya tahun ni,” jelas Siti Maisara dengan lurusnya.
“Ha?
Si Musa tu suruh kau cari kerja semata-mata sebab nak beli baju raya? Eh, bukan
ke tu tanggungjawab dia? Hisy, bapak apa macam ni? Pelik betul aku tengok
perangai Musa ni!” keluh Pak Karim.
Kasihan
pula dia melihat Siti Maisara yang begitu bersemangat ingin bekerja.
“Bolehlah,
Pak Karim,” rayu Siti Maisara lagi, tidak berputus asa tanpa menghiraukan
bebelan Pak Karim itu.
“Hmm...
yalah, kau datanglah esok. Start
kerja pukul 8.00 pagi sampai 5.00 petang. Boleh tak?” tanya Pak Karim
memastikan yang Siti Maisara sanggup bekerja atau tidak.
“Eh,
boleh, boleh, boleh,” jawab Siti Maisara riang.
Betapa
bangga dan gembiranya Siti Maisara ketika itu. Maklumlah, dia bakal bekerja dan
bakal menerima wang yang banyak nanti. Di kepalanya, pelbagai perancangan yang difikirkannya
jika dia sudah dibayar gaji nanti. Siti Maisara pulang dengan penuh kelegaan
dan tersenyum kepuasan.
“Sara!
Sara! Hoi, Sara!”
Siti
Maisara hampir melompat dek terkejut dengan sergahan Ina itu. Dia memandang Ina
di sebelah.
“Kau
kenapa? Berangan eh? Kau berangan dah dapat kerja eh?” tanya Ina sambil
tersengih.
“Eh,
dah sampai ke?” tanya Siti Maisara, tidak peduli dengan pertanyaan Ina itu.
“Lagi
satu stesen aje lagi nak sampai. Amboi, jauh betul mengelamun kau ni! Dah, get ready. Kita dah nak sampai dah ni,”
kata Ina sambil membetulkan baju kurungnya yang agak berkedut.
Siti
Maisara memandang ke luar tingkap Komuter itu. Dari situ, dia dapat melihat
bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit. Kenderaan yang bertali arus
dengan jalan raya yang bersimpang-siur.
Siti
Maisara terfikir, jika dia dapat kerja di Kuala Lumpur itu, bolehkah dia hidup
di tengah-tengah arus pembangunan kota metropolitan itu? Bolehkah dia menangkis
segala macam dugaan di kota besar itu? Adakah dia juga akan turut terjerumus
dengan segala macam godaan dan maksiat di Kuala Lumpur itu sepertimana
rakan-rakannya yang lain ketika berhijrah ke kota metropolitan itu?
Siti
Maisara mengeluh perlahan. Dia berserah kepada yang ESA. Tidak yakin mahupun
pasti adakah hatinya sekuat dan seteguh itu untuk menempis segala macam dugaan
yang mendatang.