Zailani
dan Saifudin masing-masing melabuhkan punggung di perdu pokok besar di tepi
sungai itu. Mereka berdua amat keletihan menyusuri hutan kecil Ulu Yam itu untuk
ke kawasan Sungai Mati di mana amat terkenal dengan kawasan memancing di
kalangan para pemancing tegar. Tangan dan muka mereka habis calar-balar akibat tercucuk
ranting-ranting kayu tajam semasa menuruni tangga besi sebelum sampai ke
kawasan sungai itu.
Ketika
mereka sampai di situ, matahari sudah mulai condong dan suasana menjadi kelam.
“Weii
Din! Dah nak senja dah ni.. Bila kita nak pasang khemah ni? Macam nak hujan
saja aku tengok ni. Nanti tak sempat pulak nanti,” kata Zailani sambil
memandang langit yang sudah kelihatan kelam.
“Ala..kejap
laa.. Aku masih terasa penat ni,” jawab Saifudin malas. Dia sudah terbaring di
atas tanah melepaskan lelahnya.
“Aikk..takkan
pancit kot! Selalunya kaulah jaguh masuk hutan. Ini dah awal-awal lembik. Ke..sebab
faktor usia dah kot!” perli Zailani.
Saifudin
menjeling Zailani sambil mendengus. Zailani hanya ketawa melihat perilaku
sahabat baiknya itu. Sahabat sekampung, sekelas, sekolej, sepejabat dan kini serumah!
Persahabatan yang terlalu erat, bagaikan adik-beradik. Sehinggakan mereka
berkongsi hobi yang sama iaitu memancing.
“Ehh..bangunlah!
Cepat..! Hari dah makin gelap dah ni.” gesa Zailani. Dia sudah berdiri di
sebelah Saifudin sambil mengeluarkan khemah pasang siap daripada begnya.
Saifudin
dengan malasnya bangun dari pembaringannya. Dia terus membantu Zailani
memdirikan khemah kecil yang hanya muat untuk dua orang sahaja.
Tiba-tiba,
Saifudin terhenti. Dia memandang akar pokok ara yang besar tempat mereka
mendirikan khemah itu. Diperhatikannya bermula dari akar sehingga ke atas
puncak pokak ara itu.
“Haa..
dah kenapa pulak kau ni? Apa yang ada kat atas pokok tu sampai kau perhatikan
macam ada something saja?” tanya Zailani.
Dia
semakin hairan dengan sikap Saifudin kali ini. Sudahlah hari semakin gelap,
Saifudin pula seperti melengah-lengahkan kerja yang sepatutnya sudah lama
selesai. Selalunya Saifudinlah orangnya yang akan memastikan segala keperluan
dan kelengkapan sempurna. Kali ini Saifudin seperti “blur”sahaja lagaknya.
“Zai..aku..aku..macam
pernah tengoklah pokok ni..,” kata Saifudin.
“Apahal
lah kau ni. Kan semua tempat, sama sahaja pokoknya. Kan kita selalu pergi
memancing kat sungai-sungai macam kawasan ni jugak,” sanggah Zailani.
“Isshh..bukan..Ini
lain.. Aku..aku pernah jumpa pokok ni..dalam mimpi aku!” balas Saifudin.
“Kau
ni..nak buat lawak agak-agaklah sikit Din! Apa special sangat pokok ni, sampai
kau termimpi-mimpi lak ni?” tanya Zailani sambil ketawa.
“Betul
ni Zai! Aku mimpi, ada suara kata jangan buat khemah dekat pokok ni. Haa..betullah..inilah
pokoknya. Sama dengan yang dalam mimpi aku tu!”
“Ahh..sudah
kawan aku ni! Dah mengarut pulak dia. Kau sihat ke tak ni Din? Dahlah..pergi
rehat kat situ. Khemah dah nak siap dah ni,” kata Zailani. Malas dia mahu
melayan sikap pelik sahabatnya itu.
Akhirnya,
tidak sampai beberapa minit, khemah pasang siap itu sudah tegak dipasang.
Segera Zailani membakar ranting-ranting yang dikutip berhampiran untuk membuat
unggun api.
Saifudin
pula sudah mengeluarkan joran-joran yang dibawa dan menyiapkan segala keperluan
untuk memancing. Beginilah kegiatan mereka berdua di hujung minggu. Lebih
banyak menghabiskan masa di sunga-sungai, di kolam-kolam memancing ikan dan
sekali sekala mengikut nelayan kapal besar memancing ikan di laut dalam.
Malam
itu, setelah mereka selesai makan ala kadar, mereka berdua terus ke tebing
sungai untuk memulakan aktiviti memancing. Baru sahaja Saifudin meletakkan
jorannya, terasa jorannya disentap dengan kuat. Begitu juga dengan joran Zailani.
Tanpa membuang masa kedua-duanya terus menarik ikan ke darat.
Seronok
bila pancingan mereka terkena ikan. Ikan Sebarau pula tu. Walaupun bersaiz
sederhana tetapi pancingan mereka terus mengena sehinggakan tidak cukup tangan
dibuatnya. Sedang mereka berdua leka dengan sambutan yang meriah itu, Saifudin terasa
seakan ada sesuatu memandang mereka berdua.
Saifudin
menoleh ke kanan dan ternampak sebiji batu yang tingginya lebih kurang empat
kaki berdekatan dengan tempat mereka memancing. Oleh kerana tiada apa yang
mencurigakan, Saifudin meneruskan pancingannya.
Namun,
entah mengapa perasaan Saifudin terdorong dengan kehadiran sepasang mata yang
berwarna kemerah-merahan yang berada betul-betul di atas batu tadi. Saifudin menyalakan
lampu di kepalanya dan menyuluh ke arah biji mata itu.
Alangkah
terperanjatnya Saifudin apabila terlihat sesusuk tubuh perempuan sedang duduk
di tempat batu tadi. Saifudin mula terasa bulu romanya tegak meremang. Namun
sesaat kemudian susuk tubuh perempuan tadi terus menghilang.
Dalam
Saifudin memerhatikan kawasan batu itu tadi, matanya terpandangkan sesuatu yang
berkocak di permukaan air berdekatan kawasan batu itu. Entah mengapa, matanya
masih ralit merenung kocakan air itu walau di dalam hatinya tertanya-tanya
mengapa perlu dia melihat itu semua.
Tiba-tiba
dari kocakan itu, timbul perlahan-lahan di permukaan air, kepala seorang
perempuan yang berambut panjang dengan kedua-dua matanya merah bercahaya. Mata merah menyala itu merenungnya.
Serta-merta Saifudin bagaikan terkena renjatan. Lidahnya kelu. Dia mahu memberitahu
Zailani tetapi suaranya tidak terkeluar. Namun, sesaat dia menoleh ke arah
pusaran air tadi, “perempuan” tadi telah
hilang daripada pandangan.
Dalam
masa yang sama terasa pelik juga kerana ikan tak henti-henti menyambar umpan mereka
berdua. Saifudin mula merasa curiga dengan keadaan itu, seperti ada yang tak
kena. Dia melihat sahabatnya Zailani yang kesukaan dan tertawa riang dengan pesta hasil
tangkapannya. Seolah-olah terpukau dengan serangan ikan yang pelbagai jenis menyerah
diri bertubi-tubi.
Tiba-tiba,
entah dari mana datangnya, muncul seorang gadis yang kelihatan lemah dengan
baju yang koyak rabak. Seluar yang dipakai juga koyak rabak. Gadis itu
menghampiri Zailani.
“Bang
tolong Bang.. Tolong saya! Tolong saya!” rayu sigadis dengan suara yang lemah.
Gadis itu sebolehnya cuba untuk menutup pakaiannya yang koyak rabak.
Zailani
yang dihampiri melompat kerana terkejut. Begitu juga Saifudin. Namun dalam
fikirannya yang waras masih lagi sempat berfikir, dari mana datangnya gadis itu
malam-malam begini seorang diri. Manusiakah atau hantu?
“Eh..
kenapa ni? Apa yang berlaku? Siapa cik ni? Macamana cik ni boleh ada kat sini?
Cik ni datang dengan siapa?” tanya Zailani dalam keadaan panik akibat terkejut
dengan kehadiran gadis itu secara tiba-tiba.
“Tolong
saya Bang! Saya dianiaya..Tolong saya Bang!” rayu gadis itu lagi. Dia sudah
mula menangis sambil memeluk tubuh yang kedinginan.
“Siapa
aniaya cik ni? Siapa?” tanya Saifudin pula.
“Ramai
Bang..Saya..saya takuttt!” tangis gadis itu sambil memeluk tubuh.
“Din,
kau ambil tuala, bagi Cik ni,” arah Zailani.
Saifudin
segera bangun dan terus ke khemah mereka mencarikan tuala untuk gadis itu.
Namun, ketika dia mahu masuk ke khemah, kaki Saifudin tersadung kerana terpijak
sesuatu hingga menyebabkan dia jatuh tersungkur.
“Allah!
Apa benda ni?” tanya Saifudin sendirian. Ketika dia bangun dari terjatuh tadi,
sempat dia menguis benda yang menyebabkan dia tersadung tadi. Alangkah
terkejutnya dia apabila terlihat rangka tangan manusia tertimbus di tanah
tempat dia berpijak itu.
“Zai..
Zai..sini cepat! Tengok apa yang aku jumpa!” panggil Saifudin.
Zailani
segera menghampiri Saifudin dan sama terkejut melihat rangka tangan manusia di
situ. Lebih memeranjatkan lagi, apabila Saifudin menguis tanah itu lagi, mereka
berdua terlihat baju dan seluar yang sudah agak reput turut tertanam di sebelah
rangka tangan manusia itu.
Terdapat
juga beg, jam tangan, rantai dan segala barang keperluan milik seorang gadis
juga turut tertanam di situ. Saifudin dan Zailani berpandangan dan sama-sama
bersetuju bahawa warna baju dan seluar yang tertanam itu sama dengan warna pakaian
yang dipakai oleh gadis tadi. Dengan perlahan-lahan mereka berdua menoleh ke
arah gadis tadi dan alangkah terkejutnya mereka apabila gadis yang kelihatan
lemah tadi telah bertukar kepada wajah yang menakutkan.
Bukan
itu sahaja, tubuh “gadis” itu segera
terbang ke arah mereka sambil berbisik ke telinga mereka, “Tolong saya
bang…!”
Tanpa
menunggu sesaatpun, mereka berdua terus bangun dan lari sekuat hati keluar dari
kawasan sungai itu. Bagai berjanji, sambil berlari, Saifudin dan Zailani terus
membaca surah 3 "Qul" dengan lantang, diikuti dengan laungan
"Allahu Akbar" berkali-kali tanpa menoleh ke belakang lagi.
*************************************************
Saifudin
naik ke atas katil dengan lemahnya. Sejak kejadian di sungai tiga hari lalu,
kesihatannya tidak berapa baik. Suhu badannya mendadak panas bila malam
menjelang. Bila siang segalanya kembali normal.
Sejak
malam kejadian itu, sudah tiga malam berturut-turut Saifudin bermimpikan gadis
yang ditemuinya bersama Zailani di sungai itu. Gadis itu tidak putus-putus
berkata “Tolong saya Bang..!” sambil menangis teresak-esak. Zailani juga turut
mengadu diganggu dengan kejadian pelik tetapi bukan melalui mimpi seperti yang
dialami oleh Saifudin.
“Ada
sekali tu, masa aku tengah meeting dengan client kat restoran, tiba-tiba
pompuan yang kita jumpa masa kat sungai tu, muncul dan renung aku semacam, kau
tau tak! Bila aku pandang sekali lagi, dia dah tak ada. Seram aku beb! Lepas
tu, kat mana-mana aku pergi, pompuan tu mesti muncul, renung aku pastu hilang!”
Teringat Zailani bercerita kepadanya semalam.
Sedang
dia memicit-micit kepalanya, tiba-tiba muncul Zailani di dalam biliknya. Hampir
saja Saifudin tergolek dari katilnya kerana terkejut dengan kehadiran Zailani
di situ.
“Weii
terkejut aku! Bila kau balik? Bukan ke kau kata kau nak balik rumah mak kau
sebab nak hantar mak kau pergi check-up kat hospital esok?” Tanya Saifudin
sambil mengurut dadanya.
Namun
Zailani hanya diam membisu sambil merenung wajah Saifudin dalam-dalam.
“Tak
kelakar kau buat muka macam tu beb! Aku tengah demam ni. Jangan nak buat
kelakar bodoh kat aku, boleh tak!” Kata Saifudin sambil baring di atas katil
semula.
Malas
mahu melayan gelagat Zailani itu. Saifudin membelakangkan tubuhnya dari
mengadap Zailani dan terus melelapkan
matanya. Sememangnya dia amat pelik dengan kelakuan Zailani malam itu. Bukankah
petang tadi dia nampak Zailani bersiap-siap untuk ke rumah ibunya? Nak temankan
ibunya membuat rutin pemeriksaan jantung di hospital, katanya. Ini entah apa
sebabnya, tiba-tiba dia muncul.
Sudahlah tu.. buat-buat muka “scary” kat aku!
Ingat aku nak percaya dengan wayang kau tu! Perangai gila-gila kau tu, semuanya
dalam kocek seluar aku lah Zai! Suka buat lawak bodoh kat aku!
Tiba-tiba
terasa katilnya bergoyang seperti diduduki seseorang. “Hmm.. si Zai laa ni!”
Gerutu hati kecil Saifudin. Selang beberapa saat kemudian, Saifudin terhidu bau
busuk yang amat sangat. Seperti bau bangkai! Kemudian terasa tilamnya basah.
“Wei
Zai!!Kau dari mana ni? Apasal busuk sangat kau ni?” Marah Saifudin sambil mengiring
mengadap Zailani.
“Allah!!!”
Jerit Saifudin. Demi dia terpandangkan wajah Zailani, Saifudin terus terkejut
sehingga tergolek jatuh dari katilnya.
Bukan
Zailani yang berada di hadapannya tetapi gadis yang dijumpainya di sungai
tempohari! Jika gadis itu muncul dengan wajahnya yang sebenar mungkin Saifudin
masih boleh lagi mampu bertenang.
Namun,
yang berada di hadapannya itu adalah satu makhluk yang amat mengerikan. Dengan
wajah yang berdarah-darah seperti ditoreh-toreh, rambut panjang yang kusut masai
mengerbang dan tanpa mempunyai kedua-dua
biji matanya. Masih lagi berpakaian baju dan seluar seperti yang dijumpainya di
sungai itu, namun koyak rabak di sana-sini dan terdapat tompokan darah di
serata baju dan seluar.
“Tolonglah!
Apa yang kau nak? Jangan ganggu aku! Aku tak buat apa-apa kat kau pun! Aku tak
kenal kau!!” Jerit Saifudin sambil menyelubung dirinya dengan selimut kerana
tidak sanggup berhadapan dengan wajah ngeri itu serta tidak tahan dengan bau
busuk bangkai itu.
“Tolong
saya bang! Tolong saya!” Kata “gadis” itu.
“Apa
yang boleh aku tolong kau?” Tanya Saifudin. Dia sudah membuka selimut dari
menyelubunginya namun masih tidak boleh memandang tepat ke arah wajah ngeri
itu. Sempat pula dia menekup hidungnya menahan loya bau busuk itu.
“Tolong
sempurnakan saya!” Sebaik habis ayat itu, “gadis” itu terus hilang daripada
pandangan beserta dengan bau busuknya sekali.
*********************************************************
“Betul
Zai. Aku tak tipu. Aku sendiri tengok gambar anak MakCik Senah tu kat ruang
tamu. Lepas balik daripada hospital, mak aku ajak singgah rumah MakCik Senah.
Rumah dia taklah jauh dari rumah aku tu. Kata Mak aku, anak dara MakCik Senah
tu dah dua minggu hilang dari kolejnya,” cerita Zailani sebaik sahaja dia
pulang dari rumah ibunya.
“MakCik
Senah tu tak report polis ke?” Tanya Saifudin. Dia sudah menceritakan kejadian
malam semalam kepada Zailani. Terkejut Zailani mendengarnya. Dan kini, Zailani
pula menceritakan apa yang dialaminya semalam di rumah ibunya.
“Sudah.
Dah jadi kes polis lah ni. Polis masih lagi siasat untuk mengenal pasti ini kes
bunuh ke.. culik ke..apa ke... Kesian MakCik Senah tu, dia ibu tunggal anak dua
orang. Dua-dua perempuan,” jawab Zailani.
“Bila
aku masuk ke dalam rumah MakCik Senah tu, tiba-tiba aku terpandangkan gambar
keluarga MakCik Senah tu kat dinding. Bila aku amati gambar tu, wajah anak dara
MakCik Senah yang hilang tu sebijk betul dengan wajah pompuan yang kita jumpa
kat sungai tu,” sambung Zailani.
Saifudin
terdiam. Dia seperti berfikir.
“Zai,
kau terfikir tak apa yang aku tengah fikir?” Tanya Saifudin.
“Manalah
aku tau apa yang kau fikirkan!” Balas Zailani.
“Aku
rasa, segala kejadian pelik yang kita alami ni, mungkin Allah nak tunjukkan kat
kita, yang kita perlu tolong perempuan tu. Aku dapat rasakan, pompuan tu mintak
kita tolong sempurnakan jasad dia seperti yang sepatutnya,” kata Saifudin.
“Hmm..
betul jugak tu. Semuanya macam kebetulan dan ada hubung kait. Start dari kau
mimpi pasal pokok kat sungai tu sebelum kita pergi memancing sampailah segala
kejadian pelik yang kita alami,” balas Zailani menyokong kata-kata
Saifudin.
********************************************************
Kawasan
hutan yang memasuki laluan ke sungai di Ulu Yam itu penuh sesak dengan
kereta-kereta polis dan beberapa orang ramai yang ingin melihat dengan lebih
dekat apa yang telah berlaku.
Kelihatan
beberapa orang daripada pasukan penyelamat JPAM sedang mengusung mayat yang
telah berbungkus plastik hitam masuk ke dalam perut ambulan. Setelah beberapa
lama, pintu ambulan ditutup dan ambulan itu segera beredar dari situ menuju ke
Hospital Besar Selayang.
Kelihatan
juga beberapa orang petugas JPAM sedang mengusung masuk sebanyak lima mayat lelaki
ke dalam tiga buah lagi ambulan untuk dibawa ke Hospital Selayang bagi tujuan
bedah siasat.
Turut
kelihatan juga di situ, dua orang pegawai polis sedang berbual dengan beberapa
orang ahli keluarga mangsa iaitu Allahyarhamah Alya.
“Diharap
pihak keluarga mangsa dapat datang ke Hospital Selayang untuk urusan membawa
balik jenazah yea,” kata Inspektor Azlan.
“Insya-ALLAH..,
kami akan ke sana. Terima kasih kerana pihak polis berjaya menemui semula mayat
arwah anak saya ini dan seterusnya dapat menyelesaikan misteri kehilangan anak
saya,” jawab Puan Raha, ibu kepada arwah Alya dengan nada sebak.
Ayu,
anak perempuan keduanya turut menemani Puan Raha. Suaminya Ismail sudah lama
meninggal dunia. Puan Rahalah yang mengendalikan rumahtangganya seorang diri
bersama dua orang anak perempuannya Alya dan Ayu.
Tidak
dapat digambarkan bagaimana perasaannya ketika itu sewaktu dihubungi oleh pihak
polis bahawa mereka telah menjumpai rangka mayat manusia dipercayai telah
dibunuh dan ditanam di bawah pokok Ara bersebelahan tebing Sungai Ulu Yam.
“Sama-sama.
Terima kasih juga kami ucapkan kepada Encik Saifudin dan Encik Zailani atas
info-info mereka yang membawa kepada penemuan semula mayat Alya,” jawab
Inspektor Azlan.
Berdasarkan
siasatan awal itu, rangka itu dipercayai mayat Alya berdasarkan baju dan
beberapa barang-barang pengenalan diri milik Alya telah dijumpai tertanam di
sebelah mayat Alya.
Lemah
lutut dan mengigil tubuh Puan Raha apabila barang-barang milik arwah Alya
seperti rantai, jam tangan dan beg
kuliahnya telah diserahkan kepadanya oleh pihak polis. Puan Raha amat mengenali
barang-barang milik anaknya itu.
“Alhamdulillah
selesai.. Kami akan membuat siasatan terperinci dan cuba merungkaikan motif
pembunuhan ini,” sambung Inspektor Azlan penuh makna.
“Okey,
kita jumpa semua di Hospital Selayang yea. Kami masih ada urusan yang belum
diselesaikan lagi. Kami pergi dulu,” kata Inspektor Azlan lagi sambil berlalu
pergi.
Puan
Raha mengangguk dan kemudiannya menghampiri Saifudin dan Zailani yang kelihatan
tenang memerhatikan petugas-petugas JPAM mengangkat kesemua kelima-lima mayat
pemuda itu ke dalam van.
“Terima
kasih kepada encik berdua kerana sudi menampilkan diri memberitahu kepada pihak
polis sehingga mayat anak MakCik dijumpai,” kata Puan Raha sebak.
“Sama-sama
MakCik. Kami sekadar menjalankan tanggung-jawab kami sesama saudara seIslam.
Harap MakCik dapat menerima Qada’ dan Qadar dari Allah ini. Ada hikmah di atas
segala yang berlaku,” kata Saifudin.
Puan
Raha sungguh sebak sehingga tidak dapat bersuara. Dia hanya
mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Kemudiannya, Puan Raha meminta
diri untuk ke Hospital Selayang pula.
“Alhamdulillah
Zai.. Segalanya dah selesai. Allah gerakkan hati aku dan kau untuk menolong
keluarga ini. Allah juga yang telah memberi petanda dalam mimpi aku sebelum
kita kemari untuk memancing.” Kata Shaifudin menarik nafas lega.
“Ye
laa Din. Ini semua kuasa Allah.. Hanya Dia sahaja yang tahu apa hikmah di
sebalik kejadian ini..,” balas Zailani.
Saifudin
dan Zailani akhirnya berlalu dari situ dengan pelbagai perasaan yang sukar
dimengertikan.
~
TAMAT ~