“SARA!”
Laungan
Mak Odah terdengar nyaring dan lebih kuat daripada biasa pada awal-awal pagi
begitu. Lontaran vokalnya yang
sememangnya semua orang tidak boleh lawan itu memecah keheningan pagi yang
dingin lagi damai itu.
“Apa
ajelah mak ni pagi-pagi buta!” rungut Siti Maisara dari dalam bilik.
Dia
masih lagi membelek wajah dan tubuhnya di cermin retak di almari buruknya itu.
Baju kurung cotton berbunga kecil
warna biru dan bertanahkan warna putih sangat sesuai buat Siti Maisara. Tudung
pula jenis kain bawal kosong warna biru gelap. Nampak cute dan comel!
“Weh,
kak! Kau nak kerja kat tadika ke, kau nak kerja kat bank ni?” tegur Siti Mariam
sambil tersengih.
Mereka lima beradik hanya berselang
jarak dua tiga tahun sahaja kecuali Abdul Muaz dan Abdul Muin berjarak hanya
selang setahun. Abdul Muaz berumur 25 tahun, Abdul Muin pula 24 tahun, Siti Maisara,
22 tahun, Siti Musliha, 20 tahun dan Siti Mariam, 17 tahun.
Mendengar
komen daripada adiknya itu, Siti Maisara segera membelek tubuhnya sekali lagi
di cermin. Dari atas ke bawah, kemudian berpusing perlahan-lahan melihat
arcanya di cermin. Apa yang tidak kena dengan pakaian aku? Tanya Siti Maisara.
“Apasal
pulak? Okey apa!” jawab Siti Maisara sambil menjeling adiknya itu.
“Yalah,
kak, dah macam cikgu-cikgu pulak dah. Tak sesuailah nak pakai macam tu kat ofis
korporat kat KL tu,” komen Siti Mariam.
Mariam
yang sudah siap berpakaian baju sekolah itu segera menghampiri kakaknya itu.
“Buang
ajelah beg patung Angry Bird kau tu, kak! Lemas dah aku tengoknya. Tak ada gaya
korporat langsung!” komen Siti Mariam.
“Ah, peduli apa aku! Janji aku pakai
baju! Aku nak bekerja, bukan nak jadi model tayang-tayang baju kat orang!”
rengus Siti Maisara.
“Tapi, kak, beg akak tu...”
“Beg
aku ni kau suruh aku buang? Oh, tidak! Nilah beg yang banyak berjasa kat aku
selama ni kau tahu tak!” beritahu Siti Maisara sambil merengus lagi.
Makin
dilayan adiknya itu, makin banyak pula komen dan kritikan daripada adiknya.
“Sara!
Ya ALLAH! Pekak ke kau ni?” jerit Mak Odah dari dapur.
Rasanya,
sudah berbelas kali dia memanggil nama anaknya itu. Namun, Siti Maisara masih
belum lagi keluar dari biliknya.
“Ya,
mak. Tak payahlah nak menjerit-jerit pagi-pagi buta ni! Tension tahu tak!” ujar Siti Maisara sebaik muncul di hadapan
emaknya.
Dia
segera menarik kerusi untuk duduk di meja makan. Begitu juga Siti Mariam. Malas
mahu memanjangkan bebelan emaknya pada pagi yang tenang itu.
“Apa
yang kau dok menelek lagi kat depan cermin tu? Kau ingat Kolumpo tu dekat-dekat
sini aje? Nanti kau ketinggalan kereta api nanti macam mana? Dahlah hari ni hari
pertama kau bekerja. Nanti tak pasal-pasal...” Mak Odah sudah mula memulakan
ceramah pagi. Namun, dipotong cepat-cepat oleh Siti Maisara.
“Mak,
sudah-sudahlah. Okey, orang nak pergi dah ni.”
Siti
Maisara sudah pun bangun dan terus menuju ke arah Mak Odah, lantas mencium
tangan emaknya.
Mak
Odah tidak terkata apa. Dia menghantar Siti Maisara ke pintu hadapan. Siti
Mariam sudah pun bangun dari meja makan dan bersiap sedia untuk ke sekolah.
Abdul Muaz dan Abdul Muin masih berlingkar di atas katil di dalam bilik. Mereka
berdua bekerja syif malam. Pulangnya pukul 2.00 pagi. Memang payahlah mahu
mengejut mereka berdua!
“Wei,
Mariam, cepatlah! Aku dah lambat ni!” jerit Siti Maisara.
Sudah
beberapa kali dia melihat jam tangannya. Dia menunggu Siti Mariam keluar dari
rumah. Risau benar dia kerana takut sampai lewat ke pejabat. Sudahlah hari ini
adalah hari pertama dia bekerja sedangkan dia sendiri tidak pasti berapa lama
dia perlu mengambil masa semasa perjalanan di dalam Komuter nanti.
“Okey,
okey, siap dah ni!” jawab Siti Mariam.
Di
tangannya sudah memegang kunci motor. Sempat dia mencium tangan emaknya sebelum
keluar tadi.
Siti
Mariam terus menghidupkan enjin motor Honda lama kepunyaan ayahnya itu. Dia
perlu menghantar kakaknya ke stesen Komuter dahulu sebelum terus ke sekolah.
Siti
Mariam menuntut di dalam tingkatan lima di sekolah menengah yang berhampiran
stesen Komuter itu. Siti Mariam akan menduduki peperiksaan SPMnya tahun ini.
“Mak,
orang pergi dulu eh!” laung Siti Maisara.
Mak
Odah yang masuk ke dalam rumah sebentar tadi kembali keluar.
“Okey, baik-baik kerja tu. Jangan kau cari
pasal pulak kat pejabat tu,” pesan Mak Odah sambil melambai-lambai kepada
anak-anaknya.
“Cepatlah
wei! Aku dah lambat ni.” Siti Maisara meninggikan suaranya, menggesa adiknya melajukan kelajuan motornya
itu.
“Apa
kau ingat motor ‘beram’ ayah ni motor
racing!” sanggah Siti Mariam.
Motor
‘beram’ adalah panggilan mereka
adik-beradik kepada motor ayah mereka itu kerana bunyi enjin motornya yang
menderam-deram bagaikan laju sahaja bunyinya, tetapi hakikatnya, ia hanya boleh
dibawa 50 km/j sahaja!
“Tak
pasal-pasal nanti tayar motor ni tercabut, baru kau tahu. Dahlah motor ni
selalu aje semput!” sambung Siti Mariam lagi.
Siti
Maisara terdiam. Lemas dia dengan kelajuan motor yang dibawa Siti Mariam.
Sempat ke tidak aku sampai ke stesen Komuter ni dengan kelajuan 50 km/j ni?
Siti Maisara tertanya-tanya sendiri.
Akhirnya,
selepas 20 minit, Siti Maisara dan Siti Mariam, tiba di Stesen Komuter Padang
Jawa. Sekali lagi Siti Maisara melihat jam tangannya. Dalam masa yang sama,
Siti Mariam juga melihat jam tangannya.
“Baru
pukul 6.45 pagi! Alamak, kecohlah kau ni kak. Sempatlah kau sampai KL sebelum
pukul 9.00 pagi nanti. Okeylah, orang pergi dulu. Good Luck!” kata Siti Mariam sambil merungut-rungut dalam bahasanya
sendiri. Kemudian, terus berlalu dari situ
Siti
Maisara tersengih mendengar rungutan adiknya itu. Dia perlu menaiki Komuter
dalam pukul 7.00 pagi. Siti Maisara berkira-kira, dari Stesen Padang Jawa ke
Stesen Kuala Lumpur, mengambil masa lebih kurang satu jam dua puluh lima minit.
Jika tiada halangan, dia akan tiba di Stesen Kuala Lumpur dalam pukul 8.30
pagi. Kemudian, dari situ, dia perlu berjalan kaki lebih kurang 10 minit untuk
sampai ke pejabatnya yang terletak di Lebuh Ampang. Kiranya sedang elok sajalah
dia akan tiba di pejabat.
Siti
Maisara mempercepatkan langkah kakinya, mencelah di sebalik kumpulan orang
ramai dan memasuki barisan yang agak panjang sedikit untuk membeli tiket di
kaunter. Bukan tidak boleh beli tiket dari mesin tiket, tetapi pagi itu
dilihatnya ketiga-tiga mesin tiket rosak.
Mahu
atau tidak, terpaksalah Siti Maisara beratur dalam barisan yang panjang itu
untuk membeli tiket di kaunter. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar dia
sempat dapat membeli tiket dan sempat juga menaiki Komuter yang dijadualkan
akan bertolak pada pukul 7.00 pagi itu.
Sedang
dia beratur di barisan panjang itu, tiba-tiba seorang lelaki yang agak berumur
dalam lingkungan 50-an masuk barisan dan terus memotong barisan betul-betul di
hadapannya. Menyirap darah Siti Maisara dengan gelagat lelaki itu. Orang sibuk
beratur, dia senang-senang nak potong que!
Rungut Siti Maisara geram.
“Assalamualaikum,
pak cik,” tegur Siti Maisara dengan lembut walau di hati suhu barannya semakin
meningkat.
Lelaki
itu tidak menjawab salamnya, cuma memandang Siti Maisara sekilas dan terus buat
tidak peduli.
“Err...
Pak cik, nak tanya sikitlah, masa pak cik sekolah dulu, pernah tak pak cik
belajar subjek sivik ke, subjek pengetahuan agama Islam ke...?” tanya Siti
Maisara dengan selambanya, namun masih dalam nada yang lembut dan perlahan.
Mendengar
soalan selamba daripada Siti Maisara, lelaki itu mula naik angin, tetapi bila
mengenangkan Siti Maisara bertanya dengan baik dan lembut, dia mula tenang.
“Apasal
pulak?” tanya lelaki itu dengan sombongnya.
“Tak
adalah, saya dok fikir, pak cik yang dah berumur, lagi banyak pengalaman ni, takkan
saya yang muda lagi jelita ni nak ajar pak cik etika beratur. Budak tadika pun
boleh beratur dengan sabar dan ikut peraturan. Semua orang nak pergi kerja, pak
cik. Bukan pak cik sorang aje yang nak cepat. Saya ni lagilah nak cepat!”
Siti
Maisara yang sudah mula nak memulakan kuliah paginya itu terhenti di situ bila
lelaki itu sambil merengus dengan kasar terus berlalu dari situ. Sempat pula
dia menjeling Siti Maisara dengan rasa tidak puas hati. Benganglah tuh!
Siti
Maisara yang masih selamba itu tersenyum, memandang lelaki itu pergi.
Beberapa
ketika menunggu, akhirnya giliran Siti Maisara pun tiba. Setelah membayar tiket
perjalanan, cepat-cepat dia berlari menuju ke platform laluan ke Kuala Lumpur.
Tidak dihiraukannya yang dia sedang memakai baju kurung. Lupa seketika
kesopanannya dalam berbaju kurung itu.
Siti
Maisara sempat menaiki Komuter melalui koc di belakang sekali. Ini bermakna koc
yang Siti Maisara naiki adalah koc umum, koc untuk lelaki dan perempuan.
“Ah,
tak kisahlah, janji dapat duduk!” kata Siti Maisara sendirian.
Siti
Maisara menarik nafas lega kerana masih ada banyak lagi kerusi kosong di dalam
koc itu. Siti Maisara memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Oleh kerana
suasana yang agak tenang, dingin dan keadaan di luar masih samar-samar, mudah
sahaja Siti Maisara terlelap di situ.
Siti
Maisara tersedar daripada tidurnya bila Komuter itu berhenti di Stesen Batu
Tiga, di mana penumpang sudah mula ramai menaiki Komuter. Keadaan di dalam koc
mula semakin sesak dengan penumpang.
Di
sebelah Siti Maisara duduk seorang lelaki muda, mungkin dalam lingkungan usia
30-an. Dari dia mula naik di Stesen Batu Tiga tadi, Siti Maisara mula rasa
tidak selesa duduk di sebelah lelaki itu. Lelaki itu duduk agak rapat dengan
Siti Maisara. Puas dia menjarakkan tubuhnya daripada lelaki itu. Sehingga dia
sendiri pun agak tersepit ke sebelah tingkap.
Namun,
lelaki itu buat muka poyo sahaja. Baru Siti Maisara ingin menegur lelaki itu
agar menjarakkan sedikit tubuhnya ke tepi, lelaki itu sudah pun terlelap. Siti
Maisara berkira-kira ingin mengejutkan lelaki itu, tetapi niatnya terhenti bila
lelaki itu tidur dalam dengkuran yang amat kuat!
“Mak
ai, dah macam tidur kat rumah dia pulak!” rungut Siti Maisara.
Ketenangan
Siti Maisara mula terganggu. Bukan setakat bunyi serombong kapal yang
memekakkan telinganya, tetapi yang lebih membuatkan Siti Maisara bengang bila
lelaki itu dengan selesanya melentokkan kepalanya di bahu Siti Maisara.
Ini
sudah lebih! Gerutu hati Siti Maisara.
“Encik!
Encik!” kejut Siti Maisara.
Dia
menggoyang-goyangkan tangan lelaki itu, tetapi tiada respons. Makin kuat
dengkurannya adalah! Barangkali, lelaki itu berasa selesa melentokkan kepalanya
di bahu Siti Maisara.
“Hisy,
kau ingat, bahu aku ni bantal!” Siti Maisara mula naik angin.
Siti
Maisara menunjal kepala lelaki itu ke sebelah. Namun, sesaat kemudian, kepala
lelaki itu terlentok lagi di bahunya.
“Encik!
Encik! Dah sampai!” Siti Maisara meninggikan suaranya sambil menggegar-gegarkan
tubuh lelaki itu kuat-kuat.
Lelaki
itu dalam refleksi yang terperanjat terus terjaga. Namun, tanpa sedar air liurnya
meleleh dan terkena bahu Siti Maisara. Siti Maisara yang sememangnya terkejut
dengan insiden itu terus menolak kepala lelaki itu dengan kasar sehingga lelaki
itu yang sememangnya sedang mamai terus jatuh tergolek dari kerusi.
“Wei,
agak-agaklah sikit kalau nak tidur pun! Kalau mengantuk sangat, balik rumahlah!
Janganlah nak menyusahkan orang lain pulak!” marah Siti Maisara dengan suara
yang kuat.
Bengang
betul dia dengan lelaki itu.
Siti
Maisara sudah berdiri. Dia mencari-cari tisu di dalam beg sandang Angry Birdnya.
Penumpang yang berada di koc itu semua terdiam dan terkedu melihat insiden yang
tidak disangka itu. Terkejut sebenarnya dengan kelantangan suara Siti Maisara
memarahi lelaki yang tergolek dari kerusi itu. Sekali dengar, jeritan Siti
Maisara tadi ada ala-ala Mak Odah sedang memarahi anak-anaknya. Yalah kan, kuah
nak tumpah ke mana lagi, ya tak!
Dalam
mamai itu, dengan rasa malu lelaki itu meminta maaf.
“Sorrylah, cik! Saya tak sedar. Maafkan
saya!” Itu sahaja yang mampu dikatakannya.
Hendak
kata apa lagi. Melihat kebengisan Siti Maisara itu, nak cakap lebih-lebih nanti,
silap-silap dia dihumban keluar dari Komuter itu. Lelaki itu tahu yang Siti
Maisara memang betul-betul marahkan dirinya.
Siti
Maisara pun tidak menunjukkan apa-apa respons bila dia bercakap. Siti Maisara
sibuk mengelap bahunya dengan tisu yang telah dibasahkannya dengan air suam
yang disimpannya di dalam botol yang diletakkan di dalam beg sandangnya itu. Penumpang
yang lain ada yang masih memandang lelaki itu dan ada yang mula buat hal
sendiri.
Lelaki
itu dengan payahnya cuba bangun. Komuter sedang berhenti di Stesen Angkasapuri.
Dia memandang sekilas Siti Maisara yang masih sibuk merungut-rungut sambil membersihkan
baju kurungnya yang telah basah di bahagian bahu dan lengannya.
“Kesian
cik ni. Tak pasal-pasal baju dia terkena air liur basi aku!” kata lelaki itu
perlahan.
“APALAH nasib aku hari pertama bekerja
ni,” keluh Siti Maisara.
Dia
sudah bersiap sedia untuk turun kerana hanya ada dua lagi stesen yang bakal dia
tempuh. Harap-harap, bajunya di bahagian bahu dan lengan yang basah itu cepat
kering dan tidak meninggalkan kesan dek kerana dia menyental terlalu kuat
dengan tisu basah tadi. Nasib baik kain baju kurung yang dipakainya itu adalah
dari jenis yang ringan dan tidak perlu digosok. Kalau tidak, sudah pasti akan
nampak kesan tompokan di bahunya itu.
Jika
diingat kembali insiden itu, pasti dia akan terasa loya dan geli-geleman.
Memang Siti Maisara tidak boleh terima langsung dengan apa yang telah berlaku
kepadanya sebentar tadi.
Tidak
mahu moodnya terganggu di hari
pertama dia bekerja, Siti Maisara menarik nafas panjang-panjang dan terus
melangkah keluar dari Komuter itu dengan senyuman yang paling manis.
Memang
begitulah sikap Siti Maisara, tidak suka merumitkan keadaan. Apa yang telah
berlaku walau ia satu tragedi mahupun sesuatu yang menyedihkan, dia malas mahu
mengingatinya semula.
“Buat
semak kepala otak aku aje!”
Begitulah
yang selalu dikatakan pada dirinya sendiri.
Dari
Stesen Kuala Lumpur, Siti Maisara perlu berjalan kaki untuk sampai ke Lebuh
Ampang. Dia perlu melalui laluan Pasar Seni sebelum tiba ke Lebuh Ampang.
Memang ramai yang melalui laluan itu pagi-pagi begini.
“Baru
pukul 8.30 pagi. Alhamdulillah, sempat lagi ni,” kata Siti Maisara.
Siti
Maisara menikmati suasana di sekelilingnya. Ramai peniaga-peniaga sementara
yang menjual kuih-muih dan pelbagai hidangan sarapan pagi di pekarangan dan di
tepi jalan berhadapan Pasar Seni itu.
“Nasib
baik aku dah bersarapan tadi!”
Orang
ramai masih lagi berpusu-pusu di tepi jalan dan masing-masing dalam langkah
yang laju menuju ke pejabat masing-masing. Melepasi sahaja pekarangan Pasar
Seni, Siti Maisara tersenyum sendiri.
“Tak
sangka, dulu masa nak pergi Pasar Seni, siap kena tunggu rombongan sekolah,
baru dapat pergi sini. Sekarang, aku akan lalu kawasan ini tiap-tiap hari!”
kata Siti Maisara sambil tertawa kecil.
Dari
jauh, Siti Maisara sudah nampak bangunan tinggi berwarna keemasan yang tersergam
gah di tengah-tengah kota metropolitan itu. Di situlah tempatnya mencari
rezeki. Kakinya semakin laju mengatur langkah.
Sewaktu
dia memasuki lif, jam sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi.
“Huh,
sempat jugak aku sampai office
sebelum pukul 8.45 pagi!” Siti Maisara tersenyum sendirian sambil menarik nafas
lega.
Sampai
di tingkat 20, Siti Maisara keluar dari lif. Tiba di ruang legar tingkat 20
itu, terkial-kial dia mencari papan tanda, unit yang ingin dituju. Mencari-cari
nama unit Corporate Audit Department.
Di dinding di sebelah pintu lif, terdapat tiga papan tanda kecil berserta
penunjuk arah ke mana hala unit yang berkenaan.
“Ha,
dah jumpa! Sebelah kanan rupanya!” Siti Maisara terjerit kecil dek kerana
teruja bila bertemu dengan unit yang ingin dituju.
Siti
Maisara membelok ke kanan. Pintu unit berkenaan tertutup. Puas dipulas tombol
pintu besar hitam itu, tetapi pintu itu tidak boleh dibuka. Diketuk-ketuknya
pintu itu.
“Helo!”
jerit Siti Maisara.
“Eh,
nak bagi salam ke? Apasal pintu ni payah nak buka ni?” Siti Maisara
terkial-kial di situ.
Mencari-cari
idea bagaimana ingin membuka pintu itu.
Dalam
dia sedang mengetuk-ngetuk pintu, tiba-tiba pintu terbuka sendiri, tetapi tiada
orang yang membukanya. Siti Maisara hairan. Dia menjenguk ke dalam. Suasana
sunyi sepi di situ. Tiada seorang manusia pun di situ.
“Eh,
ajaib ni. Siapa yang tolong bukakkan pintu pejabat ni ya? Dah macam pejabat
hantulah pulak!”