ZAIMmencampakkan beg
komputer ribanya ke atas sofa. Dia merebahkan dirinya di atas sofa panjang di
ruang tamu kondo sewaannya itu. Penat fizikal dan mental dek mengharungi
kesesakan lalu lintas semasa pulang ke rumahnya dari Leboh Ampang ke Bukit
Antarabangsa masih lagi terasa.
Jaraknya
tidaklah sejauh mana, namun dek kesesakan jalan raya, perjalanan pulang ke
rumah mengambil masa hampir dua jam. Gila! Patutlah orang-orang KL ni ramai
yang sakit jiwa. Hari-hari meredah jammed.
Hari-hari hidup menyumpah orang! Gerutu hati kecil Zaim.
Zaim
seakan-akan terbuai dan hampir melelapkan matanya dek selesa berada di ruang
tamunya yang sejuk berhawa dingin serta harum semerbak dengan bau-bauan lilin
wangi serta bunga-bunga kering yang juga berbau wangi.
Aroma
ruang tamu itu seakan-akan membawa Zaim berada di spa kecantikan. Apatah lagi
ruang yang nyaman itu diiringi dengan muzik tiupan saksofon Kenny G dari CD
yang dibuka Zaim sebaik dia memasuki kondonya itu. Sungguh mengasyikkan!
Zaim
memandang jam dindingnya. Cepatnya masa berlalu. Sudah pukul 9.00 malam. Masa
terbuang begitu sahaja di dalam kereta. Detik hati kecil Zaim.
Dia
memandang malas sekitar ruang tamu rumahnya itu. Susun atur dan hiasan di dalam
kondonya itu semuanya bercirikan moden. Warna tema kondonya itu hitam dan
putih.
Terasa
lemah ingin bangun dan seterusnya mandi untuk menyegarkan diri. Dalam rasa
malas dan lemah itu, digagahkan juga dirinya untuk bangun. Dia perlu bersiap.
Malam ini dia ada temu janji.
Teringatkan
nama seseorang di dalam fikirannya, Zaim terus bangun. Matanya segar kembali.
Dia terus menuju ke bilik mandi di dalam bilik utamanya.
Memasuki
ruang bilik mandinya, memang terasa seperti berada di dalam bilik air di
hotel-hotel lima bintang. Gaya dan susun atur bilik mandinya memang ada cita rasa
tersendiri. Di meja kecil bercermin yang terletak di sudut tepi bilik mandi
itu, tersusun pelbagai jenis barang-barang penjagaan diri untuk lelaki di situ.
Sememangnya
Zaim memang amat cerewet tentang hal-hal penjagaan dirinya. Dia amatmengambil berat soal rerambut pada
tubuhnya. Rambut perlu dipotong kemas. Dia mencukur, malah wax rerambut pada wajah mahupun di bahagian lainnya. Menyakitkan?
Apa dia kisah, yang penting hasilnya memuaskan.
Cuttingjuga merupakan antara kriteria utama yang dititikberatkan
Zaim kerana dia ingin sentiasa kelihatan segar, kemas dan stylo setiap masa.
Malah, dia juga sentiasa kelihatan bergaya ke tempat kerja.
Hidupnya juga dirasakan tidak lengkap tanpa
pemakaian minyak wangi yang berjenama dan berkualiti. Selalunya minyak wangi
yang dirasakan bersesuaian dengan personalitinya menjadi pilihan.
Pernah
Akmal memerlinya suatu hari.
“Zaim,
kalau kau sembunyi macam mana pun kat office
ni, kami semua boleh cari kau tahu tak?”
“Macam
mana tu?” tanya Zaim lurus.
“Yalah,
bau badan kau yang semerbak tu, kau dari dalam lif kat ground floor lagi, aku di tingkat 10 dah boleh tahu kau nak masuk office, kau tahu tak?” sambut Akmal
sambil ketawa besar.
Zaim
sedikit pun tidak ambil hati dengan gurauan Akmal. Dia sudah kenal perangai
Akmal yang selalu lepas cakap, namun Zaim tahu hati Akmal baik dan jujur.
Pernah suatu hari Akmal menegur cara dan gaya penampilannya.
“Kau
ni, nak kata lelaki maskulin, tak jugak. Nak kata lelaki K-Pop, iya jugak. Hmm...
apa ya nak aku kategorikan kau ni. Mat jambu kot. Bersiap dan bergaya
mengalahkan perempuan. Segala mak bapak produk kecantikan dan penjagaan diri
kau ada. Hadoi, naik lemas pulak aku menengoknya!” kata Akmal selamba.
“Apa
yang kau kisah? Ada aku mintak duit kau ke nak beli benda-benda tu semua?
Lagipun, inilah aku. Aku dah memang terbiasa dengan cara hidup begini. Sejak
kecik lagi aku dah didedahkan dengan benda-benda begini. Bagi aku, ia tak salah,”
jawab Zaim.
“Salah
tu tidaklah, tapi jangan berlebih-lebihan. Kalau kau sedar diri dan pandai
bergaul dengan kawan yang sesuai, insya-ALLAH, selamatlah kau. Cuma, aku tak
berkenan dengan pergaulan kau tu. Kawan-kawan kau!” tegur Akmal.
“Kenapa
dengan kawan-kawan aku?” tanya Zaim.
“Yalah,
kawan-kawan kau tu semuanya yang auw-auw. Jangan esok-esok kau ikut terjebak
dengan cara kehidupan mereka tu, sudahlah,” jawab Akmal, melahirkan
kebimbangannya.
“Insya-ALLAH,
Akmal. Thanks sebab mengingatkan aku.
Setakat ni, aku masih boleh membezakan yang mana dosa yang mana tidak. Dan aku
jugak bukan orangnya yang mudah terpengaruh dengan desakan kawan-kawan mahupun
keadaan sekeliling,” kata Zaim tegas.
Zaim
amat menghargai segala nasihat dan keprihatinan sahabatnya itu. Zaim
benar-benar terharu akan nasihat Akmal kepadanya.
Selama
ini, tidak ramai yang memberi nasihat mahupun menegurnya dengan baik. Mengejek
dan mempersendakannya, itu adalah fenomena biasa yang diterima Zaim. Zaim sudah
lali dengan semua ini. Oleh kerana itulah, Zaim lebih suka mengasingkan diri
dan melayan kepalanya sendiri.
Alunan
lagu Mariah Carey, We Belong Together, dari telefon bimbitnya membuatkan Zaim
terkejut, seterusnya menyedarkannya daripada renungan yang panjang. Dia
memandang jam digital kecil pada dinding bilik mandinya.
Sudah
hampir setengah jam dia mengelamun rupanya. Segera dia mengambil telefon
bimbitnya dan menjawab.
“Ya,
aku kat rumah lagi ni. Okey, setengah jam lagi aku sampai. Jumpa kat sana!”
kata Zaim seraya menutup talian telefon bimbitnya.
Zaim
mengambil pencuci muka lantas mencuci mukanya sebagaimana rutin hariannya
sebelum dan selepas pulang dari bekerja. Selesai mencuci dia mengambil toner muka lantas ditepuk-tepuk di pipi
dan seluruh mukanya. Dibelek wajahnya berulang kali. Dia tersenyum melihat
wajahnya sendiri.
Teringat
dia ketika bersekolah dahulu. Dia sentiasa mendapat pujian daripada guru-guru
dan rakan-rakan perempuannya tentang kemulusan dan kegebuan wajah yang
dimilikinya.
“Im,
macam mana kau jaga muka kau tu ya? Halus dan licin. Tak ada satu jerawat pun.
Kau tengok muka aku ni, penuh! Dah macam permukaan bulan!” Roshida, teman
baiknya sewaktu di tingkatan lima bertanya.
“Tak
adalah nak jaga mana pun. Memang kulit muka aku macam ni kot,” jawab Zaim
tersenyum.
“Iya
ke? Ke, kau ada amalkan apa-apa rahsia petua penjagaan diri. Takkan tak nak share dengan aku? Kongsilah sikit rahsia
kau tu!” giat Roshida.
Dia
seperti tidak percaya, wajah Zaim selicin dan segebu itu tanpa memakai apa-apa
produk penjagaan diri. Bertambah lagi kemusykilannya bila memikirkan, bagaimana
seorang lelaki dapat menjaga wajah sebagus itu jika dibandingkan dengan
dirinya, seorang perempuan.
Zaim
tersenyum memanjang sambil memikirkan jawapannya kepada Roshida tadi. Sedangkan
hakikatnya, setiap malam dia sentiasa memupuk dan memaskerwajahnya dengan tepung beras, madu dan tomato yang ditumbuk
untuk dijadikan masker. Malah, kakak
kesayangannya, Kak Saleha, sentiasa menjadikan dirinya sebagai model untuk
produk kecantikan yang dipakai dan dijual sendiri oleh kakaknya itu.
Zaim
tidak pernah merasa kesunyian mahupun terpinggir walaupun kedua-dua ibu bapanya,
Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie, hanya merupakan ibu bapa angkatnya sahaja. Malah,
kedua-dua kakaknya, Kak Zaiton dan Kak Saleha, juga merupakan anak angkat
kepada Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie.
Walaupun
mereka bertiga, masing-masing adalah anak angkat daripada keluarga yang
berlainan, namun kasih sayang yang mereka terima daripada kedua-dua orang tua
angkatnya itu tidak berbelah bahagi. Mereka berdua menganggap ketiga-tiga
mereka seperti anak sendiri.
Zaim
bukan tidak kenal dengan ibu bapa kandungnya. Malah, Zaim sebenarnya mempunyai
adik-beradik kandung yang ramai. Keluarga kandung Zaim memang kenal rapat
dengan Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie. Kedua-dua keluarga itu berasal dari Jawa
Barat, Indonesia.
Kedua-dua
pasangan suami isteri itu yang telah mendapat kerakyatan penuh warganegara
Malaysia telah lama menetap di Kampung Paya Rumput, Melaka. Haji Ahmad memang
terkenal di Kampung Paya Rumput itu. Selain menjadi imam di kampung itu, dia
juga merupakan pengamal perubatan tradisional secara islamik di situ.
Ketika
kedua-dua pasangan suami isteri itu ingin mengambil Zaim sebagai anak angkat
mereka, mereka juga telah mempunyai dua orang anak angkat perempuan yang
diambil daripada dua buah keluarga yang berlainan.
Jenuh
juga Hajah Sriwanie ingin menerangkan tentang asal usul Zaim dengan harapan
Zaim tidak berkecil hati. Yang paling ditakuti Hajah Sriwanie ialah Zaim akan
lari daripada keluarganya itu dan pergi kepada keluarga kandung Zaim. Namun,
reaksi pertama Zaim ketika mendapat tahu hal itu yang pada ketika itu dia
hanyalah berumur tujuh tahun adalah biasa-biasa sahaja.
Malah,
dalam hati Zaim sebenarnya lebih kepada bersyukur kerana dia dan kakak-kakaknya
itu mendapat sepenuh kasih sayang daripada mereka berdua. Zaim juga menganggap
keluarga yang dia ada sekarang ini adalah unik bila melihat kasih sayang yang
terjalin antara mereka begitu erat walaupun masing-masing memang tiada
pertalian darah langsung.
Walaupun
Haji Ahmad merupakan ayah yang garang lagi tegas, namun sedikit pun tidak
melunturkan hati Zaim daripada berpaling kasih kepada keluarga kandungnya.
Begitu juga dengan Hajah Sriwanie yang berperawakan lembut serta memahami.
Zaim
pula tidak pernah terlintas di hatinya ingin kembali semula kepada keluarga
kandungnya itu. Hanya pada hari raya sahaja, Zaim akan mengunjungi keluarga
kandungnya.
“Marilah
Im, tinggal bersama kami. Kesian kat adik-beradik Im yang nak kenal sangat
dengan Im. Tiap kali Im lama tak balik sini, semua adik-beradik tanya kenapa Im
tak balik. Im tak sayangkan kami semua ke?”
Terngiang-ngiang
pertanyaan ibu kandungnya dahulu.
Kalau
ditanya soalan itu dahulu, kini dan akan datang, Zaim tetap akan menjawab
dengan caranya.
“Mak,
dalam hidup Im, Im hanya kenal Ibu Sri, Ayah Haji Ahmad, Kak Zaiton dan Kak
Saleha. Im membesar depan mereka. Hidup mati Im hanya untuk mereka. Mak tetap
orang yang melahirkan Im, tak ada siapa yang boleh menafikannya. Tapi, Im minta
maaf, mak dan famili di sini adalah orang luar dalam kehidupan Im. Itu
hakikatnya!”
Itu
jawapan muktamad Zaim dan selepas itu tiada lagi pertanyaan-pertanyaan daripada
ibu kandungnya mahupun adik-beradik kandung Zaim yang lain. Sekali-sekala, Zaim
tetap mengunjungi mereka dan mereka masih melayan Zaim sebagai sebahagian
daripada mereka.
Zaim
sedar tentang keterbukaan mereka menerima dirinya. Namun, Zaim tidak tahu
mengapa dia merasakan dirinya sukar untuk bersikap terbuka seperti mereka. Zaim
lebih selesa tinggal bersama keluarga angkatnya.
Zaim
sedar, kemiskinan yang dilaluinya dengan keluarga angkatnya itu, namun tidak
pula Zaim mengeluh mahupun memberontak. Sebaliknya, dia pernah berjanji dengan
dirinya bahawa dia akan belajar sehingga berjaya dan akan mengubah nasib
keluarganya itu.
Malangnya,
ibu bapa angkat Zaim tidak sempat untuk menikmati kesenangan dan kemewahan yang
Zaim perolehi kini. Zaim agak terkilan kerana tidak sempat untuk membalas
segala jasa dan pengorbanan ibu bapa angkatnya itu dalam membesarkannya.
Kak
Zaitonnya pula, sejak berkahwin dengan Roslan yang berasal dari Sabah dan bekerja
sebagai askar dan kemudiannya mengikut suaminya menetap di Sabah, tidak pernah
lagi berhubung dengannya. Mungkin dia lebih selesa melalui fasa kehidupan baru
bersama suaminya di Sabah.
Kini,
Zaim menganggap hanya Kak Saleha sahaja keluarganya yang tinggal walau pada
hakikatnya keluarga kandungnya masih ada dan sentiasa mengalu-alukan kepulangannya
ke pangkuan mereka.
Bagi
Zaim, Kak Saleha merupakan saudaranya dunia dan akhirat. Kak Salehalah orangnya
yang bertanggungjawab membesarkannya setelah ibu bapa angkatnya meninggal
dunia. Kak Salehalah orangnya yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan Zaim
berjaya melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi.
Zaim
benar-benar terhutang budi dan nyawa pada Kak Saleha. Untuk itu, walau payah
sekalipun dugaan yang diterima, Zaim tetap kuatkan semangat. Di hatinya ingin
terus berjaya sehingga dapat memberi kesenangan hidup pada Kak Salehanya itu.
Bagi
Zaim, tanpa Kak Saleha, semangatnya untuk terus berjaya tidak sekuat mana pun.
Maka tidak hairanlah, jiwa Zaim sentiasa dekat dan lebih memahami tentang
perempuan. Hidupnya dikelilingi dengan kaum perempuan. Malah, dia lebih gemar
berkawan dengan perempuan daripada lelaki. Kawan-kawan lelakinya tidak ramai.
Mungkin
rezekinya di dalam akademik agak menyerlah. Selepas mendapat keputusan yang
cemerlang di dalam SPM, Zaim terus melanjutkan pelajarannya di dalam bidang
perakaunan di UiTM.
Tiba-tiba
Zaim tersentak. Dia teringatkan temu janjinya bersama rakan sekampungnya,
Dollah. Antara sedar dengan tidak, rupanya dia sudah dua jam di dalam bilik air,
melayan anganannya.
“Ya
ALLAH, jauhnya aku melayang!” kata Zaim pada dirinya sendiri.
Dia
menggeleng beberapa kali. Tanpa berlengah, dia segera bersiap. Tidak mahu
kawannya itu menunggu lama. Namun, rutin tetap rutin, sebelum dia menutup pintu
untuk keluar, sempat lagi dia melirik wajah dan tubuhnya di cermin besar yang
memenuhi sepertiga ruang tamunya itu.
Setelah
memastikan penampilannya memuaskan, dia akhirnya menutup pintu kondonya itu
lalu berlalu pergi.