SITI Maisara dan
Siti Musliha sedang menyusuri jalan kampung ke pekan kecil yang berdekatan
dengan Kampung Jawa itu. Sebenarnya, tidaklah jauh sangat lokasi Restoran Hup
Hin Chan itu. Ia betul-betul terletak di sebelah kiri simpang empat pekan kecil
di situ. Di situ hanya terdapat sederet rumah kedai dua tingkat yang mempunyai
10 unit kedai.
Oleh
kerana Restoran Hup Hin Chan itu terletak di unit paling tepi sekali, maka dari
simpang empat itu, mereka sudah nampak Restoran Hup Hin Chan yang terang-benderang.
Hanya kelihatan lima orang sedang minum di restoran itu. Di tingkat atas
restoran itu kelihatan bilik-bilik sewa yang kecil yang hanya diterangi lampu
kalimantang yang malap cahayanya.
Ketika
mereka menaiki tangga untuk menuju ke bilik-bilik sewa di tingkat atas restoran
itu, tiba-tiba Siti Musliha bertanya.
“Eh,
kak, kau tahu tak apa yang sedang aku fikirkan ni?”
“Kenapa?
Kau ingat kita nak serbu sarang pelacur? Betul tak?” tanya Siti Maisara.
“Hmm...
aku ada jugak terfikirkan begitu. Hisy, moga-moga Mariam tu belum ke tahap lupa
kan Tuhan ya kak,” balas Siti Musliha.
“Hisy,
doakanlah yang baik-baik untuk adik kita tu. Dah, jom. Kita naik perlahan-lahan
tangga ni. Jangan kasi dia orang sedar kedatangan kita,” arah Siti Maisara.
Setibanya
mereka di tingkat atas, mereka terpinga-pinga. Hanya ada empat bilik sahaja di
tingkat atas itu. Mereka sudah pening memikirkan bilik manakah Siti Mariam
tinggal. Dari sebuah bilik ke sebuah bilik mereka berdua perlahan-lahan
mengintai pada tingkap-tingkap bilik yang sedikit terbuka.
Tiba-tiba,
mereka terdengar gelak ketawa yang amat biasa didengari di pendengaran mereka
dari bilik yang paling hujung sekali. Itu gelak Siti Mariam! Dengan
berhati-hati dan perlahan-lahan, mereka berdua menghampiri pintu bilik itu. Perlahan
merapati telinga di pintu kayu yang sudah usang itu.
“Beb,
kau dah beritahu mak kau tak yang kau tak balik malam ni?” Terdengar satu suara
garau, tetapi masih boleh dikenali suara itu milik seorang perempuan. Pastinya
itu adalah Roy.
“Belumlah
beb! Aku pun tak tahu nak bagi alasan apa. Mesti mak aku dah kecoh giler kat rumah tu. Entah-entah, dah
sakit jantung kot!” jawab satu suara dan disusuli dengan deraian ketawanya yang
kuat, yang memang sangat-sangat Siti Maisara dan Siti Musliha kenali.
Hampeh
punya anak! Boleh dia doakan mak macam tu! Marah Siti Maisara dalam hati.
Tangannya
sudah dikepal-kepalkan beberapa kali. Dia memandang Siti Musliha di hadapannya.
Siti Musliha segera menyuruhnya bersabar dan berdiam untuk sementara waktu.
“Eh,
bukan ke kau ada dua orang abang. Ayah kau pun ada lagi, kan?” tanya Roy.
“Memanglah,
tapi dia orang tu semua hampeh! Ayah aku lagi tak guna. Suka membeza-bezakan
kasih sayang. Kita orang yang anak-anak perempuan ni, selalu kena pukul, kena
marah, kena maki. Akak aku yang nombor tiga tu, sampai kena kerja seawal umur
13 tahun kau tahu, semata-mata nak beli keperluan kita orang adik-beradik
perempuan. Baik tak payah ada bapak macam tu. Dah sama level dengan anak yatim dah kita orang ni,” luah Siti Mariam.
Terkedu
Siti Maisara. Selama ini, dia tidak pernah menanya mahupun mengambil tahu apa
perasaan sebenar adik-adiknya atas ketidakadilan ayah mereka. Memang dia
seorang kakak yang bertanggungjawab, sanggup lakukan apa sahaja demi
kegembiraan adik-adiknya, tetapi dia lupa untuk sama-sama menyelami seterusnya
memahami perasaan tergores adik-adiknya.
“Habis,
takkan mak kau tak buat apa-apa beb. Dia pun sama macam ayah kau ke?” tanya
Roy.
“Ayah
aku jadi makin tak ingat diri sebab mak aku tu memang tak reti nak melawan.
Mulut dia aje yang bising, tapi terlampau lemah! Tu pasal senang-senang ayah
aku buli dia. Jadi bahan sepak terajang ayah aku! Dia orang tu, laki bini dah
dua kali bercerai, dua kali rujuk balik. Silap-silap, ayah aku dah ceraikan mak
aku dah banyak kali. Ayah aku tu, bukannya betul sangat!” cerita Siti Mariam
lagi.
“Tu
pasal anak bongsu dia jadi perempuan simpanan aku kat sini!” giat Roy sambil
ketawa.
Terdengar
suara manja Siti Mariam ketawa dan terjerit kecil.
“Hisy,
gatallah tu. Bila bercakap, tangan tu duduk diam-diam boleh? Ikat nanti baru
tahu!” kata Siti Mariam dengan suara yang manja dan sedikit menggoda.
Terdengar
suara Roy ketawa.
“Alah,
nak manja-manja pun salah?” tanya Roy pula.
Meremang
bulu roma Siti Maisara mendengar perbualan mereka. Siti Musliha sudah
menunjukkan bahasa isyarat kepadanya bahawa dia terasa seperti ingin termuntah!
“Cepatlah,
kak, orang dah tak tahan dah ni. Dah nak termuntah dah,” bisik Siti Musliha
bernada keras.
“Apa
kau ingat, kau sorang aje yang nak termuntah. Aku lagi nak muntah darah kau
tahu!” getus Siti Maisara.
Siti
Maisara cuba mengumpul kekuatan. Sambil menarik nafas panjang, dengan sekali
tendang, pintu bilik itu terbuka luas. La, rupanya pintu tak berkunci dan tak
berselak. Hanya sekadar ditutup begitu sahaja. Tak adalah terror manapun Siti Maisara ni.
Demi
terbuka sahaja pintu bilik itu, Siti Maisara meluru masuk diikuti dengan Siti
Musliha. Apa lagi, Siti Mariam terkejut beruklah bila melihat kakak-kakaknya
meluru masuk dan terus mencekak kolar baju-T Roy.
Roy
yang sememangnya tidak menjangka Siti Maisara menendang pintu biliknya dan
seterusnya datang meluru ke arahnya sambil mencekak kolar baju-Tnya, terus
terpinga-pinga.
Dalam
keadaan panik, dia tidak bersedia menangkis mahupun melawan dengan serangan
Siti Maisara itu. Dalam keadaan begitu, tiba-tiba dia menerima satu tumbukan
padu tepat mengenai pipi dan tubir matanya.
“Ini
kiriman daripada mak aku beb!” kata Siti Maisara.
Tangan
kirinya masih lagi memegang kejap kolar baju-T Roy. Manakala tangan kanannya
menyentap keras rambut Roy yang pendek ala-ala askar itu.
“Aduh,
sakitlah bodoh!” Roy terjerit.
Roy
terdorong ke belakang. Terasa kebas dan pedih di pipi kirinya akibat tumbukan
Siti Maisara itu.
“Eh,
kau nak lagi ke?” gertak Siti Maisara.
Dia
cuba ingin menyentap semula rambut Roy, tetapi Roy sempat menunduk dan cuba
melepaskan diri dari kolar bajunya dicekak kuat oleh Siti Maisara. Siti Maisara
terasa panas tangan kanannya akibat menumbuk muka Roy itu! Tak sia-sia aku
belajar silat dengan Pak Abu. Inilah hasilnya.
“Kak
Sara! Apa Kak Sara buat ni?” jerit Siti Mariam.
Dia
terus mendapatkan Roy yang sedang memegang pipi kirinya.
Mendengar
jeritan gedik daripada Siti Mariam itu, apa lagi, bertambah geram dan sakit
hatilah Siti Maisara. Lebih bengang lagi, Siti Mariam dengan selambanya memeluk
Roy tanpa segan-silu dan cuba menenangkan Roy. Siti Maisara terus mendapatkan
adiknya itu. Tanpa menunggu walau sesaat, Siti Maisara terus menampar pipi Siti
Mariam sekuat hatinya.
“Kak!”
jerit Siti Mariam sambil menangis kesakitan.
Memang
berbisa sungguh tangan Siti Maisara ni. Terasa panas dan pedih pipinya ditampar
kakaknya itu. Sementara itu, Siti Musliha pula cuba memegang kuat kedua-dua
tangan Roy dan terus mengunci tangan Roy ke belakang. Memang kebetulan, dia
ternampak segulung tali rapia di atas katil bujang dalam bilik itu. Terus
sahaja dia mengikat tangan Roy itu kejap-kejap dengan tali rapia.
“Itu
jugak kiriman mak untuk kau. Apa nak jadi kau ni ha? Apa yang tak cukup kat
rumah tu? Apa yang kau dapat dengan ikut perempuan jahanam ni?” tengking Siti
Maisara.
Geram
dan marahnya pada Siti Mariam tidak boleh dibendung lagi.
“Mariam,
jawablah! Kau dah bagus sangat ke nak lari dari rumah? Kau pun sama nak ikut
perangai abang-abang kita? Kau ada otak ke tak ni, Mariam? Kau rasa tindakan
kau ni tindakan yang bijak ke?” marah Siti Maisara lagi.
Siti
Mariam tertunduk sambil menangis.
“Apa
lagi yang kau tak puas hati? Kalau setakat kau tak puas hati dengan ayah, eh,
aku ni yang patut rasa semua tu kau tahu tak? Aku yang terima segala makian
ayah, segala seksaan, aku yang terima. Bukan kau orang! Kalau aku nak buat
jahat, nak lari dari rumah, dah lama aku buat, kau faham tak? Cuma, aku
kesiankan mak dan kau orang berdua ni. Siapa nak jaga kau orang kalau aku tak
ada kat rumah tu?” Siti Maisara meluahkan segala rasa yang terpendam.
Siti
Musliha, Siti Mariam dan Roy terdiam. Masing-masing tidak berani mengangkat
muka. Siti Maisara benar-benar sedang marah!
“Dan
kau, kau tak malu ke kat Tuhan? Kau rasa, kau dah bagus sangatlah jadi pengkid
ni? Tinggi sangat ke status kau kat dunia ni sampai lupa diri, lupa nak
bersyukur yang ALLAH dah bagi kesempurnaan kat kau? Kau lupa, ALLAH boleh tarik
balik bila-bila masa aje apa yang ada kat diri kau tu. Aku bukanlah ustazah nak
bagi kau ceramah free macam ni, tapi
tolonglah, kalau kau nak terlingkup ke atau apa, itu kau punya pasal. Jangan
kau babitkan adik aku dalam permasalahan kau ni!” kata Siti Maisara sambil
menunjal-nunjal kepala Roy.
Dek
kerana kedua-dua tangan Roy terikat di belakang, maka Roy hanya mampu menerima
tanpa berbuat apa-apa. Ditambah lagi dengan pipinya yang sakit dan pedih, dia
benar-benar tidak mampu melawan.
“Aku
bila-bila masa aje boleh buat repot polis! Aku peduli apa kau ada mak bapak
atau tak? Ada aku kisah! Sekarang kau pilih, kau nak teruskan perhubungan bodoh
kau ni dengan adik aku atau kau lupakan Mariam dan blah dari sini! Sekali lagi
aku nampak kau kat kampung aku ni, aku tak teragak-agak untuk repot polis!”
ugut Siti Maisara.
Roy
hanya diam. Langsung tak terkata.
“Cepat!
Buat pilihan!” sergah Siti Maisara.
Tangan
kanannya sudah ditinggikan untuk menampar pula pipi Roy. Roy tertunduk.
“A...
aku blah. Aku janji aku takkan ganggu hidup Mariam lagi,” jawab Roy
terketar-ketar.
“Baik.
Segala percakapan kau aku dah record.
Ini semua sebagai bahan bukti,” kata Siti Maisara sambil menunjukkan telefon
bimbitnya.
Roy
terkejut dan akhirnya hanya mengangguk lemah.
“Kak
Sarah, maafkan Yam, kak. Yam... Yam berdosa kat mak, kat akak semua,” kata Siti
Mariam sambil terus meraung di situ.
“Dahlah,
Yam, akak faham. Bukan salah sesiapa pun, keadaan yang membuatkan kita jadi
macam ni. Dah, jom balik. Kesian mak. Dia memang risaukan kau. Akak takut, dia
sakit,” kata Siti Maisara.
Mendengar
kata-kata Siti Maisara, Siti Mariam bertambah-tambah lagi rasa sedih dan
bersalahnya pada emaknya itu. Mereka akhirnya pulang dengan dihantar Siti
Musliha secara bergilir-gilir.
Setibanya
di rumah, sekali lagi Siti Mariam meraung sambil mencium kaki Mak Odah, meminta
ampun dan maaf. Mak Odah dalam keadaan lesu dan lemah akibat kerisauan yang
melampau memikirkan hal anak-anaknya itu hanya mampu menangis kegembiraan
bersyukur dengan kepulangan Siti Mariam.
“Eh,
kak, betul ke kau rakam pengakuan Roy tadi tu?” soal Siti Musliha perlahan.
Tidak mahu didengari yang lain.
Siti
Maisara tergelak.
“Kau
ingat, handphone aku ni canggih
sangat? Cuba kau tengok handphone
canggih aku ni, siap ikat dengan getah rambut lagi! Manalah ada application tu semua. Bijak ke tidak
kakak kau ni!” jawab Siti Maisara dalam tawanya.
“La,
mati-mati orang ingat kau beli handphone
baru! Brilliantlah, kau kak! Bravo!” puji Siti Musliha sambil
tersenyum.
“Helo!”
Tiba-tiba suara Zaim menyergah, mematikan lamunan Siti Maisara menyebabkan Siti
Maisara terkejut.
Rupanya
dia tertidur sambil duduk di mejanya itu. Nasib baik dia tak tergolek ke lantai
dek terkejut dengan sergahan Zaim itu.
“Dah
sampai mana dah you? Ni yang mengantuk teruk sangat ni, kerja part time ke malam tadi?” tanya Zaim
dalam nada perli dan terus berlalu menuju ke mejanya semula.
Bengang
juga dia tadi, bila dia bercakap seorang-seorang tanpa respons daripada Siti
Maisara. Rupa-rupanya, Siti Maisara elok lena tertidur sambil duduk.
Siti
Maisara yang sudah tersedar itu memandang jam di tangan. Eh, dah pukul 5.45
petang dah ni.
Dia
terus bangun, mengemas apa yang patut di mejanya. Setelah memastikan semuanya
kemas dan teratur, dia terus mencapai beg tangannya.
“Okey,
Encik Zaim, saya balik dulu. Tak boleh lama-lama ni. Malam ni saya ada kerja part time!” kata Siti Maisara selamba
sambil terus berlalu pergi meninggalkan Zaim yang bengang dengan sindiran
sinisnya.