JAMmenunjukkan pukul 11.55 pagi, ketika mereka tiba di Adisucipto International Airport. Sebaik
sahaja mereka tiba di sana, mereka terpaksa beratur panjang di kaunter
imigresen. Disebabkan kawasan Adisucipto
International Airport ini kecil sahaja, maka keadaan di situ memang sangat
sesak dan merimaskan.
Selepas
urusan imigresen selesai, seperti yang dibincangkan Ali Imran dan Ibu Indah
sebelum ini, Pak Budi seorang pembantu merangkap tourist guideyang dilantik oleh Ibu Indah akan menemui Ali Imran
dan rakan-rakannya di situ.
Sedang
Ali Imran tercari-cari kelibat Pak Budi, tiba-tiba mereka didatangi seorang
lelaki separuh umur sambil memegang kad besar yang tertulis nama Ali Imran di
situ.
“Assalamualaikum..
Maaf, inikah bapak Ali Imran?” tanya lelaki itu dalam telo Jawa yang agak
pekat.
“Waalaikumussalam.
Ya, saya Ali Imran,” jawab Ali Imran sopan.
“Maaf
ya pak. Saya kelewatan. Saya Budi. Panggil saja Pak Budi. Ibu Indah mengutuskan
saya berjumpa dengan bapak di sini, terus untuk dibawa ke hotel,” kata Pak Budi
sambil bersalaman dengan mereka berempat.
“Oh,
tak mengapa. Perkenalkan ini sahabat saya, Sharul, Elmi dan Irwan,” ujar Ali
Imran memperkenalkan sahabat-sahabatnya kepada Pak Budi. Masing-masing sibuk
bersalaman dengan Pak Budi.
“Udah
selesaikah urusannya di kantor Imigresen, pak? Jika sudah, boleh kita terus ke
hotel? Barangkali bapak-bapak sekalian capek sekali. Di hotel, boleh saja
beristirahat,” tanya Pak Budi.
“Kami
sudah selesai urusannya Pak Budi. Bolehlah kita gerak sekarang,” celah Sharul
pula.
“Oh
ya? Yuk, kita ke mobilnya di sana. Err..bapak-bapak semua tidak banyak bawa
beg?” tanya Pak Budi semakin ramah.
“Kami
semua bujang, Pak Budi. Ngak perlu bawa banyak beg. Bisa beli saja di sini,
kan,” jawab Elmi pula sambil menunjukkan sebuah bagpack yang dibawa masing-masing.
Pak
Budi hanya ketawa. Sebaik sahaja mereka keluar dari pintu besar itu, kelihatan
sebuah kereta Honda CRV berwarna kelabu diparkir di situ. Cepat-cepat Pak Budi
membuka pintu kereta dan mempersilakan keempat-empat sahabat itu menaiki kereta
yang bakal dipandunya itu.
“Laa…
Pak Budi jugak jadi supirnya?” tanya
Sharul dalam nada gurau.
Ketawa
Pak Budi mendengarnya.
“Ya,
kok Ibu Indah bisa save kosnya!” jawab Pak Budi selamba.
Ali
Imran, Sharul, Irwan dan Elmi turut ketawa.
“Bagus
Pak Budi ni, multi-tasking orangnya!”
puji Elmi pula.
“Bapak-bapak
mahu terus ke hotel atau bagaimana?” tanya Pak Budi setelah kereta yang
dipandunya meninggalkan kawasan Adisucipto International Airport.
“Err…
terus aje ke hotel Pak Budi. Kami mahu istirehat
dulu. Nanti petang, kami keluar,” jawab Ali Imran.
“Baik!”
jawab Pak Budi sambil tersenyum.
“Yang
kau senyap ni kenapa Irwan? Come onlah
bro! Kan kita sedang bercuti ni.
Simpan aje segala tentang kerja kat ofis tu jauh-jauh. Tak payah nak stress sangatlah!” tegur Sharul apabila
dilihatnya Irwan lebih banyak berdiam diri dan termenung.
“Yalah
kau ni pun. Kau belum cerita kat kita orang lagi, apa yang kau mimpi kat dalam flight tadi, sampai mengigau panggil
nama si Imran ni!” celah Elmi pula.
“Haahlah
bro! Kau mimpi apa tadi? Saspens
pulak aku bila kau terjerit-jerit panggil nama aku. Malu aku! Semua orang
tercari-cari yang mana satu Imran. Famous
aku sekejap!” kata Ali Imran sambil ketawa.
“Tak
ada apalah. Aku letih sangat kot. Itu sebab aku meracau yang bukan-bukan!”
jawab Irwan ringkas.
Perjalanan
berkereta hanya mengambil masa selama sepuluh minit sahaja untuk sampai ke
Royal Ambarrukmo Yogyakarta Hotel, antara hotel yang terbaik di Jogjakarta itu.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan hotel itu, Pak Budi terus memberhentikan
keretanya betul-betul di hadapan pintu masuk.
“Okey
bapak-bapak semua. Jika mahu berlibur dan jalan-jalan, terus hubungi saya di telfon ya! Nanti saya bawa ke mana sahaja yang
diinginkan,” kata Pak Budi.
“Rasanya
petang ini, kami mahu bebas jalan-jalan di kawasan berdekatan hotel ini saja,
Pak Budi. Pagi esoknya, boleh Pak Budi kembali ke sini, ambil saya untuk
bertemu Ibu Indah,” kata Ali Imran.
“Oh,
bisa saja! Okey, saya permisi dulu ya. Selamat berlibur!” kata Pak Budi sebelum
dia meneruskan pemanduan dan berlalu dari situ.
Pak
Budi faham benar dengan jiwa anak muda berempat itu. Justeru itu, dia tidak
kisah sangat dengan perancangan anak-anak muda itu. Yang penting, dia telah
melaksanakan tugasan hari pertama tetamu majikannya itu.
Setelah
Pak Budi pergi, mereka berempat terus masuk ke lobi hotel untuk pendaftaran.
Ali Imran sudah dimaklumkan oleh Ibu Indah, mereka hanya perlu terus ke kaunter
pendaftaran dan menyebut nama Ibu Indah sahaja.
Seperti
yang telah dijangkakan, pihak hotel itu menyambut mereka dengan ramah dan
layanan yang sangat memuaskan. Mereka berempat diberi dua bilik di mana mereka
berkongsi dua orang dalam satu bilik.
Mendapat
bilik Deluxe Merapi View memang sangat mengujakan mereka. Apa tidaknya, dengan keadaan bilik yang luas
dan mewah, balkoninya benar-benar mengadap pemandangan gunung berapi yang
terkenal itu serta taman-taman yang cantik sekitarnya.
“Mak ai… macam duduk kat istana ni! Mewah dan
first class betul hotel ni!” puji
Sharul yang duduk sebilik dengan Ali Imran.
Dia
sudah berdiri di balkoni yang luas itu sambil menikmati pemandangan indah
berlatarbelakangkan Gunung Merapi.
“Eh,
kau tak tahu ke, hotel ini antara hotel yang terbaik tau kat Yogjakarta ni.
Nama hotel ni pun diambil sempena nama raja dulu yang sangat terkenal di
zamannya. Tak silap aku, mereka nak kekalkan ciri-ciri reka bentuk di istana
lama dan menggabungkan dengan reka bentuk terkini. Hotel ini pun sangat
strategik. Berdekatan dengan tempat-tempat bersejarah seperti Candi, Kraton dan
banyak lagilah!” cerita Ali Imran.
“Wah,
dah macam tourist guide pulak kau ni!
Kau mana tahu cerita-cerita macam ni?” tanya Sharul. Dia sudah terbaring di
katil empuk bilik itu.
“Ala…
Ibu Indahlah yang cerita kat aku. Siapa lagi,” jawan Ali Imran. Dia juga turut
terbaring keletihan di sebelah Sharul.
“Err…
kau dah pernah jumpa personallyke
Ibu Indah tu? Macam mana orangnya?” tanya Sharul.
Tiba-tiba,
Ali Imran ketawa mengekek. Sharul terasa pelik.
“Kau
apahal?” tanya Sharul.
“Tak
adalah, aku tak pernah jumpa dia pun. Selalu bincang dalam telefon saja. Inilah
kali pertama aku nak berjumpa dia, kau tau tak?” kata Ali Imran sambil
tersengih.
Geli
hati memikirkan bagaimana dia terasa seperti sudah lama mengenali Ibu Indah itu
walaupun mereka hanya berbual di dalam telefon sahaja.
“Wei,
malam ni kita nak makan apa beb? Kat mana?” tanya Sharul tiba-tiba.
“Hmm…
kalau kau orang letih, kita makan aje kat restoran hotel ni. Pastu, kita
keluarlah kejap berjalan kaki, ronda-ronda kawasan berdekatan. Amacam?” tanya Ali Imran.
“Hmm…
bagus jugak cadangan bapak itu. Aku okey saja.
Nanti ya, aku call kawan kita di
bilik sebelah. Pastinya mereka berdua capek
sekali terutamanya budak yang mengigau di siang hari tadi!” balas Sharul dalam
nada gurau.
Apa
lagi, bergema bilik mewah itu dengan ledakan ketawa mereka berdua kerana
teringat kembali peristiwa Irwan mengigau di dalam tidurnya semasa di dalam
kapal terbang tadi.
MALAM itu, mereka berempat makan malam di restoran di dalam
hotel itu sahaja. Tidak pasti di manakah tempat yang sesuai untuk makan.
“Itulah,
Pak Budi nak bawak kita ronda-ronda sambil makan-makan, kau tak mau! Nak
jalan-jalan sendirilah. Orang mudalah. Apalah… penyudahnya, makan kat hotel ni
jugak,” ujar Sharul tiba-tiba memulangkan paku buah keras kepada Ali Imran.
Ali
Imran tidak mempedulikan dengan kata-kata Sharul. Sebaliknya sibuk menikmati
masakan jawa daripada hidangan buffet di restoran itu.
“Kau
okey tak Irwan? Senyap saja. Kau sihat ke tak ni? Chilllah sikit bro!
Mana ada muka orang bercuti stress
semacam macam muka kau ni!” tegur Ali Imran.
Irwan
hanya tersenyum. Elmi pula sudah tersengih.
“Aku
okey Im, cuma penat saja. Aku…” jawab Irwan ringkas namun kata-katanya terhenti
apabila melihat wajah Ali Imran yang tercengang melihat sesuatu di hadapannya.
Ketiga-tiga
sahabat itu turut juga melihat apa sebenarnya yang difokuskan Ali Imran
sehingga dia berkeadaan begitu.
“Wei,
kau tengok siapa ni?” tanya Sharul sambil menyinggung siku Ali Imran yang duduk
di sebelahnya.
Ali
Imran tersedar sambil terkulat-kulat memandang muka Sharul.
“Err…
cuba kau orang tengok waitress yang
kat kaunter bayaran tu. Cun beb! Awek-awek kat Jogja ni memang mengancamlah!
Rambang mata dibuatnya,” kata Ali Imran sambil tersengih.
“Laa…
aku ingat kau tengok siapa tadi. Sempat kau ya! Jangan kau dah sangkut dengan
awek Jawa kat sini, sudah!” balas Elmi. Keempat-empat mereka ketawa geli hati.
“Sekadar
memuji ciptaan TUHAN. Tak salah, kan?” kata Ali Imran sambil tersenyum penuh
makna.
“Yang
ada ni pun dah berderet! Nak jugak usha awek Jawa tu! Lantak kaulah Labu!
Jangan kau rosakkan anak dara orang sudah!” kata Sharul pula.
“Ala…
relaxlah
geng! Takkanlah sampai macam tu sekali. Aku tahulah limit aku!” balas Ali Imran.
Sharul
hanya mengangkat bahu.
Akhirnya setelah selesai makan, mereka keluar berjalan
kaki, ronda-ronda di kota Jogja yang berdekatan dengan kawasan hotel tempat
penginapan mereka.
Mereka berempat singgah juga di gerai yang menjual Bakso
rusuk. Masing-masing tidak dapat menahan godaan nafsu makan apabila berkunjung
ke gerai itu. Walhal masing-masing sudah berjanji tidak mahu menikmati sebarang
makanan lagi.
“Hisy, sedap jugak Bakso rusuk ni ya. Original kan dari Solo?” kata Elmi.
“Hai, bukan ke aku dengar tadi ada orang tu janji tak nak
makan lagi. Makan angin pun dah cukup!” giat Sharul sambil tersengih.
“Hisy, kau ni! Rugilah makan angin saja. Dah terlanjur ada
kat sini, hentam sajalah cukup-cukup!” balas Elmi sambil dibalas dengan deraian
ketawa oleh sahabat-sahabatnya itu.
Malam itu, mereka menikmati NitelifeJogja dengan menaiki beca. Harganya hanyalah IDR5000 atau
lebih kurang RM2.
Apalagi, bergembira sakanlah keempat-empat anak muda itu
mengelilingi kota Jogja yang bersejarah itu!