SITI
Maisara segera masuk ke bilik air
untuk membersihkan diri. Selesai mandi, dia terus keluar untuk ke biliknya
semula. Namun, amat mengejutkan bila Abdul Muaz masih duduk di meja makan, di
ruang dapur tempat laluan Siti Maisara ke biliknya.
“Sara, duduk kejap. Abang nak
cakap!” ujar Abdul Muaz lembut.
Aik, buang tabiat ke abang aku ni!
Ke, ada udang di sebalik batu! Kata Siti Maisara dalam hati.
Siti Maisara duduk seperti yang
diarahkan. Dia duduk menghadap Abdul Muaz.
“Apa hal, bang?” tanya Siti Maisara.
“Err... macam mana kerja kat bank
tu? Okey tak?” tanya Abdul Muaz memulakan bicara.”
“Okeylah, sibuk, banyak kerja,”
jawab Siti Maisara. Semakin berasa pelik.
“Ooo... baguslah banyak kerja, mesti
banyak masyuk, kan? Bukan ke boleh claim overtime?”
kata Abdul Muaz sambil tersenyum penuh makna.
“Mana ada orang kerja overtime. Habis masa, baliklah. Yang
buat orang lambat balik sebab perjalanan balik tu yang lama dan jauh,” terang
Siti Maisara.
“Ah, tak kisahlah tu. Janji kerja
kau sekarang dah bagus. Bukan senang nak kerja bank kau tahu tak.” Abdul Muaz
masih lagi berbasa-basi.
“Apa motifnya ni, bang? Kau tak
pernah-pernah nak tanya orang pasal kerja orang. Hari ni, punyalah baik kau
tanya orang macam-macam pulak.” Siti Maisara terus kepada persoalannya.
Lemas dia dengan soal jawab abangnya
itu. Dia pasti, abangnya mempunyai agendanya tersendiri.
“Alah, aku cuma nak tanya
perkembangan adik aku aje ni, tak boleh ke?” tanya Abdul Muaz sedikit marah.
“Cakap ajelah, bang, kau nak apa?”
tanya Siti Maisara tegas.
“Err... err... macam ni. Boleh tak
aku buat pinjaman dengan kau? Kau kan kerja bank, senang buat pinjaman. Lepas
tu, kau bagilah aku pinjam. Nanti aku bayarlah kat kau bulan-bulan. Aku nak
pinjam terus kat bank, tak dapat. Gaji aku kecik. Tak layak pun buat pinjaman.”
Dah agak dah, keluh Siti Maisara.
“Kau nak pinjam duit buat apa, bang?
Eh, tak cukup ke hari-hari buat OT? Takkan tak masyuk lagi?” tanya Siti
Maisara.
“Alah, mana cukup. Adalah projek aku
nak buat. Cuma modal aje tak ada ni. Takkan kau tak nak tolong abang sendiri,”
jawab Abdul Muaz, mula panas hati bila ditanya begitu.
Hmm... anak dengan bapak, sama saja.
Semuanya ambil kesempatan! Keluh Siti Maisara dalam hati.
“Bukan tak nak tolong, bang.
Masalahnya, orang ni pun tak tahu boleh pinjam ke tak kat bank tu. Bukan
senang-senang nak buat pinjaman. Lagipun, orang pun ada komitmen nak bayar
macam-macam,” kata Siti Maisara.
“Alah, kau tak percayakan aku ke?
Aku bayarlah kat kau bulan-bulan. Aku cuma mintak kau jadi orang tengah tolong
pinjamkan. Nanti, installmentnya yang
patut kau bayar kat bank, aku bayarkanlah berapa-berapa pun.”
Mudahnya Abdul Muaz bercakap.
Mengalahkan dia pegawai bank pulak! Siti Maisara mengumpul rasa geramnya dalam
hati.
“Tengoklah macam mana. Okey, orang dah
nak tidur ni. Letihlah!”
Siti Maisara terus berlalu masuk ke
bilik meninggalkan Abdul Muaz tercengang-cengang di situ.
Dek rasa geramnya melihat respons
adiknya itu, Abdul Muaz menendang kerusi di meja makan itu sekuat hati sehingga
terpelanting ke dinding. Terus dia berlalu keluar rumah dan mencapai motornya.
Dipulas-pulas pendikit motornya itu dengan geram. Menderam-deram bunyi motornya
itu memecahkan kesunyian dan ketenangan malam di kawasan perumahan mereka itu
sebelum memecut pergi.
“Apa hal tu? Apa yang bising-bising
ni?” tanya Mak Odah.
Dia terus mengejar Abdul Muaz yang
sudah mula memecut pergi dengan motornya itu.
“Muaz! Kau dah kenapa ni? Muaz! Nak
pergi mana tu?” laung Mak Odah.
Namun, laungan Mak Odah tidak
dipedulikan Abdul Muaz. Mak Odah tersandar di pintu menahan rasa.
“Dahlah, mak. Pedulikanlah abang tu.
Marilah masuk, dah malam ni.” Siti Maisara yang baru keluar dari bilik memujuk
emaknya.
Dia yang memang mendengar bunyi
kerusi ditendang abangnya itu sengaja tidak mahu keluar bilik. Sengaja dia
membiarkan abangnya melepaskan geramnya seorang diri di situ.
Siti Maisara boleh mengagak, jika
dia berada di depan abangnya itu, pasti tubuhnya yang akan ditendang abangnya
itu. Siti Maisara bukan tidak faham perangai baran abangnya itu. Sama sahaja
dengan perangai ayahnya!
“Apa yang kau orang berdua gaduhkan
tu? Mak dengar bising sangat,” tanya Mak Odah, tidak puas hati.
“Tak ada apalah, mak. Biasalah abang
tu, kecoh aje lebih. Dahlah, jom masuk dalam. Orang pun dah mengantuk ni. Esok
nak kerja,” kata Siti Maisara.
Terus dia memimpin tangan emaknya
dan membawa emaknya masuk ke dalam bilik emaknya semula. Siti Maisara tahu
bahawa emaknya itu bukanlah sesihat mana pun, cuma emaknya selalu
menyembunyikan sakit peningnya itu di depan anak-anak. Memang begitulah sikap
Mak Odah. Rasa sakit, rasa marah, rasa benci dan segala macam rasa, semuanya
dipendamkan dalam hatinya.
Siti Maisara takut, semua yang
dipendamkan emaknya itu lambat-laun akan memudaratkan diri dan kesihatan
emaknya di kemudian hari. Namun, Siti Maisara berharap, dia akan berpeluang
mencungkil segala apa yang terpendam di hati emaknya suatu hari yang sesuai
nanti.
Elok sahaja Siti Maisara keluar dari
bilik emaknya, terdengar bunyi ketukan pintu yang keras dan bertalu-talu.
Lama-lama semakin kuat. Siti Maisara berkejar ingin membuka pintu. Namun,
sempat lagi dia mengintai dari tingkap untuk melihat siapakah yang ganas
mengetuk pintu rumahnya. Takut juga dia kalau-kalau perompak yang datang ingin
merompak. Eh, perompak kalau nak merompak kena ketuk pintu rumah orang dulu ke?
Dari celah tingkap yang diintainya
itu, dia dapat melihat siapakah orang yang mengetuk pintu rumahnya dan bila
dipastikan yang mengetuk itu adalah orang yang dikenalinya, terus sahaja Siti
Maisara membukanya.
Sebaik terbuka sahaja pintu, seorang
lelaki yang kurus dan cengkung fizikalnya, terus meluru masuk sambil merempuh
Siti Maisara yang berada di muka pintu tanpa menegur Siti Maisara. Siti Maisara
hampir terduduk dirempuh, namun sempat dia berpaut pada dinding di sebelahnya
itu.
“Wei, apa langgar-langgar ni? Kau ni
dah kenapa Abang Muin?” marah Siti Maisara.
Bengang betul dia dengan sikap
abangnya yang seorang ini. Sudahlah masuk rumah macam gangster, lepas tu buat derk aje!
Abdul Muin sudah meluru masuk ke
biliknya tanpa sepatah kata.
Tidak sampai lima minit, dia keluar
dari bilik kemudian memandang sekeliling seperti mencari-cari sesuatu sebelum
masuk pula ke bilik emaknya.
“Kau cari apa kat dalam almari aku
tu, Muin? Apa yang kau geledah tu?”
Mendengar suara emaknya memarahi
Abdul Muin, Siti Maisara segera meluru ke bilik emaknya.
“Apalah yang dia buat kat bilik mak
tu!” rungut Siti Maisara.
Siti Maisara mempercepatkan
langkahnya. Dia mahu segera sampai ke ruang bilik emaknya.
“Wei, bang! Kau cari apa tu? Apa
yang kau buat ni? Masya-ALLAH, habis bersepah bilik mak!” Nyaring suara Siti
Maisara bertanya.
Abdul Muin buat tidak peduli.
Tangannya lincah menyelak-nyelak lipatan baju emak dan ayahnya di dalam almari.
Habis baju-baju yang tersusun rapi itu berterabur di atas lantai. Terdengar
suaranya tertahan-tahan menahan kegigilan seperti orang di dalam kesejukan.
“Wei, kau pekak ke bang!”
Tanpa banyak soal, Siti Maisara
sudah meluru ke arah abangnya itu lantas ditolak tubuh kurus abangnya itu sekuat
hati ke tepi. Oleh kerana Abdul Muin tidak sedar yang Siti Maisara datang
meluru ke arahnya dari belakang, dia terpelanting ke tepi lalu jatuh terperosok
di tepi katil.
“Ya ALLAH... apa dah jadi ni! Apa
yang kau cari ni, Muin? Kau ni dah kenapa?”
“Mak, bagi aku duit, mak! Aku dah
tak tahan ni! Bagi aku duit!” jerit Abdul Muin tiba-tiba.
Dia masih lagi terduduk di celah
katil itu sambil memeluk tubuhnya sendiri. Badannya menggeletar kuat dan dia
seakan-akan menggigil kesejukan.
“Duit apanya, Muin? Mana pergi duit
kau? Duit gaji kau? Apa kau nak buat dengan duit yang kau nak ni?” tanya Mak
Odah.
Hairan Mak Odah, setahunya anaknya
Abdul Muin yang bekerja di kilang di Bandar Klang itu selalu balik lewat kerana
bekerja syif dan bekerja lebih masa. Duit apa lagi yang dicarinya? Tidak
cukupkah gaji yang diterimanya selama ini?
“Wei, abang! Kau ambil benda tu ke
ha? Cakap! Kau ambil dadah, kan?” Siti Maisara yang sememangnya geram dengan
tindakan abangnya yang kasar itu, terus menolak-nolak tubuh abangnya. Ditampar-tampar
pipi Abdul Muin.
Abdul Muin yang seperti orang
berkhayal itu tidak langsung melawan. Dia cuma menepis-nepis sahaja tangan Siti
Maisara yang bertubi-tubi ingin menamparnya.
“Apa Muin? Kau... kau ambil dadah?
Ya ALLAH... Betul ke ni Sarah? Abang kau penagih ke Sara?” Mak Odah sudah
meraung di situ.
Sayu hatinya melihat anaknya dalam
keadaan begitu. Hati ibu mana yang tidak sedih dan sayu bila melihat begitu
daifnya fizikal anak lelakinya itu kini. Anak lelakinya yang sebelum ini gagah
dan tegap orangnya. Rajin menolongnya walaupun dengan adik-beradiknya yang lain
dia tidak begitu mengambil tahu.
Walau bagaimana buruk dan teruk
sekali perangai anak-anaknya, perasaan keibuan Mak Odah masih lagi ingin
mengambil tahu apa yang telah terjadi kepada anaknya itu. Mengapa anaknya
bertukar sikap sedemikian rupa.
“Lebih baik kau keluar, bang.
Keluar! Sebelum orang sendiri telefon polis! Kau ingat orang takut nak telefon
polis!” gertak Siti Maisara.
Dikuatkan hatinya menghalau abangnya
sendiri keluar dari rumah itu sebelum keadaan menjadi semakin buruk.
Melihat keadaan abangnya itu, Siti
Maisara pasti, abangnya sedang dalam ketagihan. Dia pulang ke rumah untuk
mencari duit bagi membeli dadah. Targetnya
adalah di dalam almari emaknya. Mungkin dia menganggap yang emaknya menyimpan
duit atau barang-barang berharga di dalam almari bilik emaknya. Apa yang Siti
Maisara fikirkan pada waktu begini adalah keselamatan emaknya.
“Keluar, bang! Sebelum orang panggil
polis atau jiran-jiran kita yang panggilkan sebab kau buat kecoh kat rumah ni!”
jerit Siti Maisara lagi.
Abdul Muin memandang muka emaknya
sayu. Namun, bertukar marah bila memandang wajah adiknya itu. Dalam keadaan
terpaksa dan payah, Abdul Muin bangun lantas terus meluru keluar dari rumahnya
itu.
“Kau jaga!” kata Abdul Muin keras
berbaur ugutan.
Siti Maisara buat tidak peduli.
“Muin! Mana kau nak pergi nak!
Kenapalah kau jadi macam ni!” laung Mak Odah sayu.
Dia sudah terjelepok di birai katil,
menangisi atas apa yan berlaku kepada anak-anaknya.
Siti Musliha dan Siti Mariam sudah
berlari mendapatkan Mak Odah yang sedang meraung. Melihat adik-adiknya sedang
cuba memujuk emaknya itu, Siti Maisara keluar dari bilik. Dia keluar rumah bagi
memastikan kalau-kalau abangnya masih berada di situ. Ternyata abangnya sudah
pergi.
“Apa kena tu Sara? Apa yang
kecoh-kecoh kat rumah kau tu? Ke mana pulak perginya si Muin tu?” tanya Pak
Mail, jiran yang prihatin.
Rumahnya hanya selang dua buah rumah
sahaja dari rumah Siti Maisara.
Sejak Maghrib tadi, Pak Mail
terdengar bunyi kecoh dan bising dari rumah Mak Odah. Bukan dia mahu menyibuk
hal orang, tetapi sebagai jiran yang prihatin dan bertanggungjawab bagi
kebajikan masyarakat jiran sekelilingnya, dia perlu juga mengambil tahu serba
sedikit tentang kekecohan yang berlaku. Lagipun, Mak Odah sekeluarga bukannya
orang lain dengan dia. Mak Odah merupakan sepupunya.
“Eh, tak ada apa-apa, Pak Mail.
Abang Muaz dengan Abang Muin tu bergurau aje tadi. Biasalah, gurau kasar dia
orang tu,” jawab Siti Maisara, memberi alasan.
Dia malas mahu kecoh-kecoh tentang
keluarganya walaupun Pak Mail pangkat bapa saudara baginya. Siti Maisara sudah
pening!
“Ha, ingatkan apa yang bising-bising
tadi. Risau jugak terdengar suara mak kau terjerit,” kata Pak Mail.
“La, takkanlah Pak Mail tak kenal mak
tu. Kalau menjerit, suara dia aje dah boleh mengalahkan artis Ella tu
menyanyi,” kata Siti Maisara dalam nada gurau.
Pak Mail ketawa sambil
mengangguk-angguk.
“Habis, mana perginya Muin tu? Bukan
main pecut lagi dia bawa motor tadi,” tanya Pak Mail.
“Biasalah Pak Mail, orang bujang,
mana nak duduk terperap kat dalam rumah aje. Pergi merayaulah tu,” jawab Siti
Maisara.
“Yalah. Kalau gitu, Pak Mail masuk
tidur dululah ya. Assalamualaikum.”
Pak Mail sudah mula mengatur langkah
untuk masuk ke dalam rumahnya.
“Waalaikumussalam,” jawab Siti
Maisara sambil menarik nafas lega.
Cepat-cepat dia menutup pintu
rumahnya. Sempat pula dia memikirkan ayahnya yang masih tidak pulang-pulang ke
rumah. Hatinya membeku dan geram. Mengapa pada tidak ada? Bukankah elok jika ayahnya
sendiri menyaksikan kelakuan sebenar anak-anak kesayangan ayahnya itu.
“Hmm... apa nak jadi keluarga aku
ni? Lepas satu, satu perkara yang tak elok berlaku,” keluh Siti Maisara.
Kepalanya sudah berdenyut-denyut.
Memikirkan esok dia mahu berkerja, Siti Maisara lantas masuk ke dalam biliknya
untuk berehat. Masuk sahaja ke biliknya, Siti Musliha dan Siti Mariam sudah pun
berbaring di atas katil.
“Macam mana dengan mak? Dah tidur ke
dia?” tanya Siti Maisara.
“Dah, kak. Tapi, mak macam demam aje
tu. Badan dia panas,” jawab Siti Mariam.
“La, ya ke? Habis, kau tak bagi mak
Panadol ke atau ubat demam?” tanya Siti Maisara lagi.
“Sudah, tu yang mak terus tidur dan
berehat tu,” jawab Siti Mariam lagi.
“Eh, kak! Betul ke Abang Muin ambil
dadah?” tanya Siti Musliha, ingin tahu.
Ketika berlakunya kekecohan tadi di
bilik emaknya, matanya baru sahaja ingin terlelap. Bila terdengar emaknya
terjerit-jerit, cepat-cepat dia bangun dan terus meluru ke bilik emaknya itu.
“Hmm... kau tengok sendirilah
fizikal Abang Muin tu. Dah sah-sah kurus cengkung. Tadi pun, keadaan dia macam
tengah high dan menggigil menahan
ketagihan!” jawab Siti Maisara.
Tidak perlu lagi nak berahsia-rahsia
tentang salah laku abangnya itu.
“Hisy, tak sangka Abang Muin jadi
macam ni. Apa nak jadi famili kita ni kak,” keluh Siti Mariam.
“Hmm... entahlah. Okeylah, aku nak
tidur dah ni. Esok nak kerja!” kata Siti Maisara.
Dia sudah pun berbaring di sebelah
Siti Musliha. Badannya terasa amat letih dan tidak bermaya.
Dalam dia sedang terawang-awang
melayan mata mengantuknya itu, Siti Maisara tiba-tiba terdengar sesuatu dari
arah ruang tamu. Terdengar bunyi kunci rumah berlaga sesama sendiri. Bila
terdengar suara ayahnya terbatuk-batuk di ruang tamu itu, barulah Siti Maisara
berasa lega dan akhirnya matanya terlelap sendiri.