SITI Maisara segera mengeluarkan telefon
bimbitnya. Kebiasaannya dia akan menelefon emaknya atau adiknya, Siti Musliha,
untuk menjemputnya di Stesen Komuter Padang Jawa itu. Tidak sampai 10 minit
menunggu, adiknya tiba dengan menaiki motosikal.
“Kau kenapa kak? Teruk sangat ke
kerja kat ofis tu?” tanya Siti Musliha bila melihatkan wajah kakaknya yang
masam mencuka.
Macam teruk benar kerja akak aku ni!
Detik hati kecil Siti Musliha.
Timbul pula perasaan simpati kepada
kakaknya itu. Dahulu, sewaktu kakaknya bekerja di kampung ini, tidaklah seteruk
itu wajah kakaknya. Kakaknya sentiasa ceria sahaja walaupun dia tahu, gaji
kakaknya tidaklah seberapa sangat.
“Hmm... stres!” Ringkas sahaja
jawapan Siti Maisara. Dia benar-benar rasa letih.
“Kalau macam nilah gayanya kau
kerja, kak, baik kau resign aje.
Hari-hari stres, hari-hari sakit hati, buat apa? Cari aje kerja lain, yang
boleh buat kau happy!” nasihat Siti
Musliha.
“Amboi! Kau jangan nak jadi mak
pulak. Jom balik. Aku lapar dah ni!” marah Siti Maisara sambil terus naik
motor, membonceng belakang Siti Musliha.
Siti Musliha hanya tersengih sahaja.
Sebaik mereka tiba di halaman rumah,
kelihatan Pak Musa sedang duduk bersandar di sebatang pokok mangga bersebelahan
pangkin kecil. Kelihatan asap rokok berkepul-kepul keluar dari hidungnya. Tidak
dihiraukannya kepulangan Siti Maisara. Leka melayan perasaan sambil menghisap
rokok.
“Sara!” panggil Pak Musa saat Siti
Maisara mahu masuk ke dalam rumah.
Siti Maisara berpaling. Wajahnya
tidak berperasaan, namun dalam hatinya tertanya-tanya apa yang ayahnya inginkan
kerana ayahnya itu memang jarang sekali ingin bercakap-cakap dengan anak-anak
perempuannya.
“Ya, ayah!” jawab Siti Maisara malas
sambil berjalan perlahan mendekati ayahnya itu.
Pak Musa memandang sekilas anaknya
itu, kemudian leka semula dengan asap rokoknya. Barangkali ingin menyusun ayat,
Pak Musa mula berdeham.
“Kau dah tiga bulan kerja kat bank
tu, kan?” tanya Pak Musa.
Siti Maisara hanya mengangguk.
“Jadi, dah confirmlah ni?” tanya Pak Musa lagi.
Siti Maisara mengangguk juga.
“Dah bolehlah buat pinjaman, kan?”
Pak Musa bertanya lagi, namun pertanyaan itu mengundang rasa pelik di hati Siti
Maisara.
Dia dapat menghidu sesuatu yang
tidak enak yang bakal diutarakan oleh ayahnya itu.
“Kenapa?” tanya Siti Maisara pula.
“Bolehlah kau buat pinjaman. Aku
perlukan duit. Nak bayar hutang. Rantai mak kau yang dicagar kat kedai pajak
pun tak ambil lagi. Dah lama dah tak bayar bunganya. Entah-entah dah terjual.
Hutang-hutang yang lain lagi.” Pak Musa mula menyenaraikan hutang-hutangnya.
“Berapa yang ayah nak?” tanya Siti
Maisara.
Pak Musa terdiam. Dia
mencongak-congak sendiri.
“Err... dalam RM20,000!” jawab Pak
Musa.
Siti Maisara tercengang.
“Banyaknya! Hutang apa yang banyak
sangat ayah nak bayar tu? Orang sendiri pun tak tahu berapa yang orang layak
pinjam. Lagipun, orang baru tiga bulan kerja, takkan dah nak buat pinjaman
pulak! Pinjaman PTPTN pun orang baru mula buat pembayaran balik,” jawab Siti
Maisara dalam nada yang agak tinggi.
Siti Maisara bukan mahu berkurang
ajar dengan orang tua, tetapi memang begitulah didikan yang diterima daripada
kedua-dua ibu bapanya. Mereka adik-beradik tidak pernah dididik dengan cara
yang lemah lembut mahupun bersopan santun. Mereka membesar dan menerima didikan
dengan cara yang kasar dan keras.
Lebih-lebih lagi Pak Musa yang garang
dan tidak pernah menunjukkan sayangnya kepada anak-anak perempuan. Bercakap
dengan anak-anak amatlah jarang sekali. Kalau ada peluang untuk bercakap
pastinya diakhiri dengan tengkingan dan makian daripadanya.
Makanya, cara Siti Maisara bercakap
dengan Pak Musa tadi memang tidak boleh dipersalahkan. Ditambah dengan
keletihan seharian bekerja, tekanan dan bebanan kerja yang diterima dan
sekarang ini pula diminta sesuatu yang tidak masuk akal.
Sudahlah selama ini, ayahnya
langsung tidak pernah mahu mengambil tahu persekolahan dan perbelanjaan yang
ditanggungnya sendiri dan kini dengan mudahnya pula ayahnya meminta-minta dan
mengarahkan sesuatu yang sememangnya mendatangkan kemarahan di hati Siti
Maisara.
“Eh, sekarang kau dah nak
berlagaklah ya. Dah tak boleh nak tolong mak bapak sendiri pulak! Kalau kau
kerja kat tempat macam tu sampai dah tak boleh nak tolong mak bapak sendiri,
baik kau tak payah kerja! Kerja kat tadika tu lagi bagus!” tengking Pak Musa
dengan suara yang tinggi.
Pak Musa tiba-tiba naik angin.
Bengang rasa hatinya bila permintaannya ditolak mentah-mentah oleh anaknya itu.
Tidak pula menyangka Siti Maisara akan berkata begitu kerana sangkanya Siti
Maisara akan akur dengan segala arahannya seperti sebelum-sebelum ini.
“Eh, ayahnya! Apa yang bising-bising
maghrib-maghrib begini? Kalau ya pun nak berborak ke, berbincang ke, kat dalam
rumahlah! Awak tak malu ke kat jiran-jiran?” bebel Mak Odah yang tiba-tiba
muncul dari dalam rumah.
“Kau nasihatkan anak kau tu! Jangan
jadi Tanggang, lupa diri, lupa mak bapak. Bapak sendiri nak mintak tolong pun
berkira!” rungut Pak Musa.
Dia terus bangun sambil menyarungkan
seliparnya. Terus dia mengambil motor yang berada di sebelah pangkin kecil itu
lantas dihidupkan enjinnya. Tanpa menoleh, Pak Musa terus berlalu.
“Oi, ayahnya! Nak ke mana pulak tu?
Tak solat dulu ke?” laung Mak Odah.
Namun, Pak Musa pergi begitu sahaja
tanpa menoleh ke belakang.
Siti Maisara terus masuk ke
biliknya. Dia menghempaskan badannya ke katil. Bengang dengan sikap ayahnya
itu, sudahnya selera makannya juga turut mati. Banyak kali Mak Odah
memanggilnya makan, namun Siti Maisara hanya berdiam diri dan lebih suka
memerapkan diri di dalam bilik.
Bebelan Mak Odah yang berpanjangan
di luar bilik kerana Siti Maisara tidak makan lauk yang dimasaknya juga tidak
dihiraukan Siti Maisara. Hatinya sakit dengan sikap ayahnya tadi.
Bukan kali ini sahaja, malah sudah
lama dia memendam perasaan dengan sikap ayahnya itu. Ayahnya memang sengaja
ingin menyakiti hatinya. Sudahlah selama ini segala perbelanjaan Siti Maisara
untuk belajar adalah hasil daripada wang gaji yang diperolehinya daripada
bekerja sambilan. Nasib baik dia menerima pinjaman daripada PTPTN, dapatlah dia
meneruskan pembelajarannya di UiTM walaupun dia tahu habis sahaja pengajiannya nanti,
dia perlu membayar balik pinjaman itu kepada kerajaan.
Selama ini Pak Musa tidak pernah
langsung mengambil tahu hal Siti Maisara. Jika ada pun, sekadar bertanya ala
kadar kepada Mak Odah, bukan bertanya terus atau setidak-tidaknya mengambil
tahu perihal anak-anak perempuannya itu. Siti Maisara sentiasa merasakan yang
dia hanya ada emak sahaja walaupun hakikatnya seorang lelaki bergelar bapa
sentiasa ada di depan matanya.
Yang membuatkan Siti Maisara bengang
dan rasa marah ialah bila dengan mudahnya Pak Musa meminta dia membuat pinjaman
di bank hanya semata-mata untuk membayar hutang Pak Musa. Siti Maisara memang
tidak boleh menerima permintaan itu.
“Apa sajalah kau duduk memerap kat
dalam bilik ni!” Suara memetir Mak Odah yang tiba-tiba kedengaran itu membuatkan
Siti Maisara terkejut lantas terlompat terjun dari katil.
“Opocot, mak kau! Terjun katil!”
latah Siti Maisara.
“Hisy! Mak ni! Terperanjat orang
tau!” rungut Siti Maisara. Wajahnya masam mencuka.
Mak Odah yang bagaikan tidak
berperasaan itu selamba duduk di atas katil bersebelahan Siti Maisara.
“Apa yang kau rajukkan sangat kat
ayah kau tu? Memang kau dah tahu perangai dia macam tu kan. Pedulikan ajelah!
Yang kau nak tersentap bagai ni, apasal? Apa yang kau dapat?” tanya Mak Odah
dengan suara yang tinggi.
Siti Maisara yang masih tidak hilang
daripada rasa terkejutnya itu menjuihkan bibirnya.
“Sudah, mari makan! Siapa yang nak
makan lauk-lauk tu? Membazir ajelah,” pujuk Mak Odah dengan caranya tersendiri.
Walaupun caranya tegas dan kasar,
namun tetap terselit rasa keprihatinan seorang ibu.
“Alah, bukan ke ramai penghuni kat
dalam rumah ni. Tak ada maknanya orang boleh habiskan lauk-lauk tu!” kata Siti
Maisara dalam nada rajuknya itu.
“Amboi, lupa dirilah tu! Selama ni,
bukan ada orang lain dalam rumah ni yang tukang habiskan lauk-lauk yang mak
masak kalau bukan kau. Yang lain-lain dah kenyang, dah makan,” kata Mak Odah
selamba.
“Alah, orang tak ada moodlah nak makan, mak. Lauk-pauk tu,
bagi aje cik itik dan cik ayam makan. Kan bagus, dapat pahala,” jawab Siti
Maisara acuh tak acuh.
“Ha, dapat pahalalah sangat! Ha,
yang ni apa hal pulak ni? Dari tadi dok ke hulu ke hilir dengan handphone. Makannya pun tidak. Kerja
apatah lagi. Kau makanlah handphone
tu, senang, kenyang,” leter Mak Odah sekali gus memarahi Siti Musliha yang
tiba-tiba memasuki bilik itu sambil sibuk menaip mesej.
Siti Musliha yang sedang menaip mesej di
telefon bimbitnya itu segera menoleh ke arah emak dan kakaknya sambil
tersengih. Tidak dihiraukannya bebelan emaknya itu. Dia lantas duduk di sebelah
Siti Maisara.
“Alah, relakslah kak. Apa yang kau
nak sedih-sedih ni? Buat tak reti aje apa yang ayah cakap tadi,” pujuk Siti
Musliha.
“Kau apa tahu! Kau rasa apa yang aku
rasakan selama ni? Kau faham apa yang aku alami sejak kecik? Kau tak rasa semua
tu. Si Muaz dan Muin pun tak pernah nak ambil tahu semua ni. Aku yang rasa
sakitnya, kau tahu tak?” Siti Musliha meluahkan rasa sakit hatinya.
Merah padam mukanya menahan geram
dan marah.
Siti Musliha terdiam, memberi
peluang kepada kakaknya meluahkan apa yang terpendam. Bukan Siti Musliha tidak
tahu semua itu. Selama ini memang dia dan adik-beradik perempuannya amat tidak
berpuas hati dengan sikap ayah mereka.
Siti Musliha sendiri tidak tahu
mengapa ayah mereka suka membeza-bezakan kasih sayang anak-anak. Kalau ditanya
kepada emaknya, emaknya akan menjawab sambil lewa sahaja.
“Entahlah, dah memang begitu
perangai ayah kau!”
Pada Siti Musliha, dia tidak
menyalahkan emaknya kerana emaknya sendiri pun teruk dibelasah ayah mereka
setiap kali berlakunya pertengkaran antara mereka berdua. Atas sifat ketaatan
seorang isteri, Mak Odah hanya berdiam diri dan takut untuk melawan suaminya.
Bukan juga Siti Musliha tidak nampak
apa yang dilalui oleh kakaknya itu. Terpaksa bekerja untuk mencari duit bagi
memenuhi keperluan mereka adik-beradik. Hendak mengharapkan kedua-dua abangnya,
memang tidak boleh diharap langsung! Pernah Siti Musliha menyuarakan
keinginannya untuk turut sama bekerja sambilan bagi membantu bebanan kakaknya,
tetapi ditentang keras oleh Siti Maisara.
“Biar aku sorang aje yang bekerja.
Tahulah aku macam mana nak jaga diri dan sesuaikan masa aku belajar dan
bekerja. Kau dan Mariam, tumpukan terus pada pelajaran. Tak payah nak
susah-susah fikirkan hal ni,” kata Siti Maisara suatu waktu dahulu.
Namun, lain pula yang Siti Musliha
fikirkan. Selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam peperiksaan SPMnya,
dia seperti tidak ada hati lagi ingin melanjutkan pelajarannya sama ada belajar
di dalam tingkatan enam atau di kolej-kolej yang terpilih.
Siti Musliha lebih senang bekerja
sahaja. Perancangannya, jika ada rezeki, selepas dia mendapat kerja di
mana-mana, mungkin dia boleh sahaja belajar sambil bekerja. Namun, itu hanya
perancangannya sahaja kerana sehingga kini Siti Musliha hanya menghabiskan masanya
duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sehingga mendatangkan kemarahan pada
emaknya itu.
“Dahlah, Sara. Pedulikan ayah kau
tu. Dahlah, mak nak kemaskan meja makan tu. Kau tak nak makan tak apalah. Dah,
pergi rehat,” kata Mak Odah dalam nada suara yang lemah sambil terus bangun dan
berlalu dari situ.
Tiada siapa yang tahu, sebaik sahaja
Mak Odah melangkah keluar dari bilik anak-anak daranya itu, air mata Mak Odah
merembes keluar. Hatinya pilu dan hiba. Bukan dia tidak kasihan melihat
penderitaan yang dialami Siti Maisara. Bukan dia tidak membantah segala
ketidakadilan yang dilakukan suaminya. Namun, dia tidak mempunyai kudrat yang
luar biasa yang dapat menahan semua yang berlaku.
Setiap kali dia membantah dan
menegur suaminya itu, pasti tubuhnya menjadi korban sepak terajang daripada
suaminya. Tubuhnya bagaikan bola di mata Pak Musa. Pak Musa akan sesuka hati
menendang, menampar atau apa saja yang sempat dilakukan. Sungguhpun secara
luaran Mak Odah nampak garang dan berani dek suaranya yang suka memetir-metir
itu, tetapi hakikatnya, Mak Odah langsung tiada keberanian untuk melawan
suaminya sendiri.
Didikan yang diterima daripada
kedua-dua orang tuanya dahulu amat menebal dalam dirinya dan janjinya kepada
mereka supaya taat kepada suami sangat dipegangnya sehingga kini.
“Mak doakan kau orang adik-beradik
selamat dunia akhirat, nak,” luah Mak Odah dalam tangisan yang tertahan.
“MARIAMmana? Dah pukul berapa ni tak balik-balik lagi?” tanya Siti
Maisara kepada Siti Musliha.
Dalam keadaan sedih begitu, tanggungjawabnya
sebagai kakak yang prihatin tidak dilupakan.
Memang begitulah watak sebenar Siti
Maisara bila di rumah. Tiada siapa yang menyangka, di luar Siti Maisara seorang
yang aktif, periang, kelakar dan suka menceriakan semua orang. Walaupun kasar
dan berkelakuan seperti lelaki, tetapi dia seorang yang baik hati. Namun, bila
di rumah, Siti Maisara seorang yang serius, suka memendam perasaan dan pasif.
Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana dia mengimbangi perbezaan watak yang
dibawanya itu.
“Kejap lagi baliklah tu. Dia cakap
dia ke rumah Balqish, ada study group,”
jawab Siti Musliha.
Dia sudah membaringkan dirinya
sambil menyambung semula menaip mesej.
“Study
group apanya malam-malam macam ni? Aku dulu pun studi jugak. Kat U lagi!
Yang nak berstudy group bagai kat
rumah orang tu apa hal!” bebel Siti Maisara.
Hilang rasa sedih, timbul pula rasa
bimbang dan ragu dengan adik bongsunya itu.
“Yang kau ni, dah tak ada kerja
lain? Asyik dok bermesej 24 jam! Banyak duit kau berhantar-hantar mesej ni?”
“Eh, suka hatilah! Bukan orang yang
bayar. Dialah yang bayar!” jawab Siti Musliha.
“Dia? Siapa? Mamat mana pulak ni kau
bercinta? Kau jangan macam-macam, Liha. Asyik bertukar boyfriend aje. Esok-esok, sekolah entah ke mana, bercinta aje
lebih!” nasihat Siti Maisara.
Sebagai kakak, dia sudah lama ingin
menasihati adiknya yang seorang ini. Selama ini, dia hanya mendengar rungutan
dan aduan daripada emaknya sahaja. Bukan Siti Maisara tidak nampak semuanya,
cuma dia tidak ada kesempatan yang sesuai untuk menegur adiknya itu.
“Alah, akak ni, orang berkawan
ajelah. Orang tahulah jaga diri. Tak payahlah akak risau. Akak pun dah jadi
macam mak sekarang ni. Kuat membebel!” rungut Siti Musliha.
“Sebagai kakak, aku bagi nasihat.
Jangan esok-esok, kau dah terkantoi dengan lelaki mana entah, kau jangan nak
salahkan aku pulak tak bagi teguran dan nasihat awal-awal!” Siti Maisara
mengingatkan adiknya.
“Alah, orang tahulah!” jawab Siti
Musliha dengan nada bosan.
Dia terus mematikan talian telefon
bimbitnya, lantas terus tidur sambil mengiring, membelakangkan kakaknya. Sempat
pula dia menutup mukanya dengan bantal kecil.
Siti Maisara hanya menggeleng
melihat sikap adiknya itu. Tiba-tiba, masuk Siti Mariam ke dalam bilik sambil
tersengih-sengih. Nak kontrol ayulah tu, takut dimarahi oleh si kakak yang
sedang panas hati!
“Ha, baru nak balik! Kenapa tak
tidur aje kat rumah Balqish tu?” tegur Siti Maisara.
“Sorrylah,
kak! Lewat sikit. Mak Balqish tahan Mariam suruh makan malam kat rumah dia,”
jawab Siti Mariam.
Siti Maisara hanya diam sambil
mengeluh. Dia sendiri belum mandi sejak balik dari kerja tadi dek melayan rasa
marahnya pada ayahnya tadi. Baru kini dia terasa letih yang teramat. Dicapai
tualanya lalu terus menuju ke bilik mandi tanpa menghiraukan Siti Mariam yang
sedang memerhatikannya dengan rasa bersalah.
Ketika Siti Maisara menuju ke bilik
air, dia terserempak dengan abang sulungnya Abdul Muaz.
“Kau baru balik ke Sara?” tegur
Abdul Muaz.
“Haah,” jawab Siti Maisara pendek.
Sebenarnya, lebih kepada rasa terkejut kerana
inilah kali pertama sejak dia bekerja di bank itu, abangnya menegurnya. Selama
ini, abangnya itu buat endah tak endah sahaja akan dirinya dan juga kepada
adik-adiknya yang lain. Hubungan mereka adik-beradik pun tidak berapa erat
sangat. Baik Abdul Muin, mahupun Abdul Muaz, mereka banyak menghabiskan masa
bersama rakan-rakan di luar. Jika ada pun mereka di rumah, hanyalah untuk tidur
sahaja.