SITI Maisara
mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Telefon bimbit yang sudah
bertahun-tahun dibelinya. Rasanya sudah masuk tahun ketujuh agaknya. Rupa
bentuk telefon bimbitnya itu pun sudah lari dari bentuk asal. Atas bawah diikat
dengan getah rambut halusnya itu.
Bagi
Siti Maisara, itulah harta yang dibanggakannya sehingga kini. Walau warna
rangka telefon bimbitnya itu sudah terhakis, terkopek sana sini, janji dia
boleh membuat panggilan dan menerima panggilan. Itu lebih penting!
Lagipun,
itulah harta pertama yang dia beli hasil daripada titik peluhnya sendiri. Seingat
Siti Maisara, itu adalah hasil duit simpanan daripada wang gaji dan upahnya
ketika bekerja sambilan di kedai runcit Pak Karim dan ketika dia menolong mak
sunya berniaga ayam percik di pasar malam.
Walaupun
jenamanya mungkin sudah tiada lagi di pasaran dan kalau dilihat fizikalnya,
memang sudah boleh dicampakkan sahaja di Sungai Klang, namun itulah juga sentimental value buat Siti Maisara.
Siti
Maisara menghenyakkan tubuhnya ke atas katil. Bengang betul rasa hatinya bila
berpuluh kali panggilan dan berbelas pesanan ringkasnya tidak mendapat sebarang
respons daripada teman baiknya, Ina.
“Apa
kenalah dengan perempuan sorang ni? Tak pernah-pernah dia merajuk macam ni. Dia
marah kat aku ke? Apa yang aku dah buat?” Siti Maisara tertanya-tanya.
Siti
Maisara cuba mengingati semula apa yang menyebabkan kawan baiknya itu tersentap
dan terus tidak mahu bercakap dengannya.
Siti
Maisara sedang membelek ikan tenggiri di Kedai Pak Kasim apabila dia
terpandangkan Ina, sahabatnya itu sedang berlenggang-lenggok membawa beg duit
kecil menuju ke Kedai Pak Kasim.
“Wei,
Ina! Meh sini. Aku ada berita nak beritahu kau ni!” jerit Siti Maisara selamba
ke arah Ina.
Dua
tiga orang mak cik-mak cik yang sedang memilih sayur dan ikan-ikan pula
pura-pura sibuk membelek-belek ikan dan sayur, padahal dalam masa yang sama
sedang memasang telinga. Busy body
sungguh! Mengalahkan wartawan hiburan, mencari skop gosip sahaja mak cik-mak
cik ni. Ina pula mempercepatkan langkah kakinya menuju ke arah Siti Maisara.
“Hah,
apa dia yang beria-ia benar nak cerita kat aku ni?” tanya Ina sambil cuba
mengawal nafasnya yang agak tercungap-cungap sedikit.
Ina
baru terasa badannya agak berat sedikit semenjak kerja menanam anggur ni.
Siti
Maisara tersengih-sengih memandang Ina. Sengaja dia membuatkan Ina
tertanya-tanya.
“Yang
kau tersengih-sengih ni apasal pulak? Cakaplah! Kau nak kahwin eh?”
“Bertuahlah
siapa yang dapat kahwin dengan aku nanti kau tahu tak!” balas Siti Maisara
selamba.
“Eii...
perasannyaa minah ni! Cakaplah apa benda yang kau nak beritahu aku tu.” Ina
sudah mula meninggikan suara.
Sementara
itu, Siti Maisara terkekeh-kekeh ketawa geli hati.
“Alah,
kau ni, aku nak buat adegan suspens pun kau nak tangkap serius apasal? Relakslah...”
jawab Siti Maisara.
Ina
menjeling geram. Malas dia mahu melayan Siti Maisara itu. Ina terus masuk ke
dalam Kedai Pak Kasim, mencari barang-barang yang diminta ibunya tadi. Siti
Maisara mengekorinya dari belakang.
“Wei,
aku dapat call dari bank tempat kita interview hari tu.” Siti Maisarah
memberitahu.
Ina
menoleh ke arah Siti Maisara. Dia terperanjat dengan berita itu.
“Ha?
Kau dapat call? Eh, kau dapat ke?”
tanya Ina.
Siti
Maisara tersenyum sebelum dia mengangguk.
“Haah,
dia orang kata, interview aku berjaya
dan aku akan mula bekerja awal bulan Februari ini,” jawab Siti Maisara jujur.
Namun,
lain pula reaksi Ina. Mukanya berubah merah padam dan masam mencuka. Serentak
itu, Ina terus mencampakkan bungkusan garam halus yang dipegangnya itu ke atas
rak semula. Dia mula bergerak keluar dari Kedai Pak Kassim.
“Wei!
Kau nak pergi mana pulak tu?” jerit Siti Maisara kehairanan.
Apa
kena pulak perempuan ni? Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba nak blah macam
tu aje! Rungut hati kecil Siti Maisara.
“Aa...
aku sakit perut! Aku balik dulu eh!” jerit Ina pula.
Dia
sudah berlari keluar meninggalkan Siti Maisara yang terpinga-pinga kebingungan.
“Hmm...
tu nak datang senggugutlah agaknya tu,” keluh Siti Maisara sendirian.
“Hai,
belum mula kerja, dah berangan dah?” Tiba-tiba suara Mak Odah menerjah
gegendang telinga lantas mematikan menungan panjang Siti Maisara.
Siti
Maisara cuma tersengih memandang emaknya.
“Hmm...
jadi ke kau terima tawaran kerja kat KL tu? Kerja kau kat tadika tu macam mana?”
tanya Mak Odah sambil duduk di birai katil anak gadisnya itu.
“Hmm... rasanya jadi kot. Macam sayang pulak
kalau tak terima tawaran tu. Bukan senang tau, mak, nak dapat kerja tu. Lebih-lebih
lagi kat bank antarabangsa yang terkenal tu. Rugilah kalau Sara tolak!” jawab
Siti Maisara.
“Tapi,
kau kena kerja kat KL! Tu yang mak bimbangkan,” kata Mak Odah, melahirkan rasa
bimbang.
“Apasal
pulak mak? Apa kena-mengena orang kena kerja KL pulak?” tanya Siti Maisara,
hairan.
“Kau
nak berulang dari Klang ke KL ni tiap-tiap hari? Larat ke kau?” tanya Mak Odah
melahirkan bimbangnya.
“La,
apa pulak larat tak laratnya. Susah-susah, orang sewa aje rumah kat KL tu. Habis
cerita. Senang orang nak pergi kerja,” jawab Siti Maisara.
“Amboi,
banyak cantik muka! Kau nak duduk menyewa kat KL tu? Ha, jangan harap! Dengan
kos duduk menyewa kat KL tu yang tinggi, keselamatan kau tak menentu, tak
payah! Elok dan bagus lagi kau kerja kat tadika tu. Tempat kerja dekat, kau pun
depan mata mak dan ayah. Berapa banyak kau boleh jimat kalau kau bekerja kat
sini?” Mak Odah sudah memulakan leterannya.
Siti
Maisara menarik muncungnya. Baru berangan nak jadi orang KL. Macam yang selalu
disebut-sebutnya kepada Ina suatu waktu dahulu. Dia teringin juga merasa duduk
menyewa di Kuala Lumpur bersama teman-teman. Merasai susah payahnya hidup
sendiri dan jauh daripada keluarga. Merasai kehidupan hiruk-pikuk kota
metropolitan.
Tambahan
pula, Siti Maisara teringin benar untuk merasai bekerja dalam suasana pejabat
yang dingin, suasana yang formal dan pembahagian kerja yang teratur. Dia
teringin benar untuk pergi bekerja dengan pakaian yang kemas dan cantik serta
bergaya. Walaupun Siti Maisara sendiri tidak pasti perlukah dia terus mengubah
imejnya yang sekarang kepada seorang gadis yang manis dan bergaya.
Siti
Maisara kembali dalam dunia fantasinya. Tersengih-sengih seorang diri
membayangkan dirinya manis berkebaya dan berkasut tumit tinggi. Dia
membayangkan dirinya berjalan teratur memasuki ruang pejabatnya. Di
kiri-kanannya, kelihatan pemuda-pemuda yang segak terhenti melangkah bila dia
lalu di sebelah mereka. Siti Maisara hanya melemparkan senyuman sambil
melambai-lambai ala-ala Miss Universe
ke arah mereka.
“Astaghfirullahalazim...
Hoi, anak dara! Sudah-sudahlah tu berangan! Bila nak masak tengah hari ni?
Nanti balik ayah kau, bukan lambaian ratu yang kau dapat, tak pasal-pasal kau
dapat penampar Jawa daripada dia!” jerit Mak Odah dari muka pintu.
Siti
Maisara yang sedang asyik meneroka alam fantasinya terlompat kerana terkejut
apabila disergah begitu oleh emaknya. Baru dia perasan yang dia sedang berjalan
cat-walk sambil melambai-lambai ke
arah Mak Odah.
“Mak
ni! Potong stimlah!” rungut Siti Maisara.
Dia
berlalu ke dapur sambil menghentak-hentakkan kakinya. Proteslah tu! Nasib baik
lantai rumahnya simen, kalau papan, dah lama roboh.
Mak
Odah hanya memandang anak daranya sambil menggeleng.
Baiknya
Siti Maisara, dalam keadaan protes dan merajuk begitu, tangannya masih lincah
dan cekap memasak masakan tengah hari untuk keluarganya. Yang sebenarnya, dia
malas nak bersoal jawab dengan ayahnya. Dia tidak tahan untuk mendengar leteran
panjang dan ceramah percuma serta motivasi daripada ayahnya nanti.
Siti
Maisara faham benar sikap ayahnya itu bila marah. Siap dengan sejarah hidupnya
sejak lahir nanti ayahnya akan ungkit.
Siti
Maisarah melangkah keluar dari dapur. Sementara menunggu ayam karinya mendidih,
lebih baik dia mengangkat baju-baju yang sudah kering di jemuran. Siti Maisara
memandang ke langit. Keadaan panas terik, dia pasti baju-bajunya hanya mengambil
masa dua jam sahaja untuk kering.
“Baru
balik ke Bang Ramli?” tegur Siti Maisara ramah kepada Ramli, jirannya yang
tinggal selang dua buah rumah sahaja dari rumahnya.
Ramli
yang sedang berjalan kaki dan masih berpakaian uniform pengawal keselamatan itu
tersenyum sambil mengangguk-angguk. Tidak ada suara Ramli yang keluar.
Barangkali keletihan yang amat sangat.
Siti
Maisara tersenyum. Dia begitu faham dengan keadaan yang dialami Ramli bila
pulang daripada bekerja. Terasa letih, lemah, lesu, malah mengantuk juga. Kalau
bekerja ikut syif, lagi bertambah letih. Ditambah pula kalau terpaksa bekerja
lebih masa, silap-silap berjalan pulang pun dalam keadaan mata tertutup dan
mamai. Tahu-tahu sahaja, sudah sampai rumah.
Eh,
poyo aje Siti Maisara ni! Semuanya dia tahu. Macamlah dia pernah bekerja
sebagai pengawal keselamatan.
Eh,
siapa kata aku tak pernah kerja sebagai security
guard? Siti Maisarah bermonolog sendiri.
Ah,
sudah! Pernah bekerja sebagai security
guardlah pulak! Cer cerita. Cer cerita.
Siti
Maisara masih ingat, dia diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika
dia sedang menunggu keputusan SPMnya. Sudah menjadi kebiasaan, Siti Maisara
memang tidak pernah duduk diam walau seminit sekalipun.
Dia
lemas duduk lama-lama goyang kaki di rumah. Daripada dia mendengar ceramah
percuma Pak Musa dan Mak Odah, lebih baik dia keluar bekerja.
Tidak
ada istilah malu dalam dirinya. Apa yang nak dimalukan? Berdosa ke kalau
bekerja sebagai pengawal keselamatan? Hinakah kerjaya itu? Itu yang selalu Siti
Maisara jawab setiap kali orang kampung bertanya Siti Maisara bekerja sebagai
apa dan di mana. Mak Odah memang tidak banyak soal. Sejauh mana sekalipun Siti
Maisara bekerja, janji anak daranya itu tinggal bersamanya dan keluarga.
Janji,
bulan-bulan dia dapat juga merasa ganjarannya bila anak daranya itu menerima
gaji. Walaupun sedikit, ia lebih baik daripada tiada langsung.
Mak
Odah sebenarnya banyak bergantung harap kepada Siti Maisara. Jika tiada Siti
Maisara, sukarlah dirinya menguruskan rumah tangga seorang diri. Hendak
mengharapkan suaminya, jangan haraplah!
Begitu
juga kepada dua orang anak lelakinya itu. Walaupun Abdul Muaz dan Abdul Muin
sudah bekerja kilang, tetapi sehingga kini, satu sen pun Mak Odah tidak pernah
menerima apa-apa daripada mereka berdua.
Bukan
mahu mengungkit mahupun mengharapkan pemberian anak-anak, tetapi Mak Odah juga
teringin kalau-kalau anak-anak lelakinya itu dapat membantu sedikit bagi
meringankan beban perbelanjaan untuk keluarga mereka. Maka, hanya pada Siti
Maisara Mak Odah harapkan.
Siti
Maisara memang suka dan enjoy bekerja
sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik berhampiran kampungnya
itu. Bukannya apa, baginya, kerjanya sangatlah mudah. Masuk kerja pukul 7.00
pagi. Setiap satu jam, Siti Maisara akan membuat rondaan di persekitaran
kawasan kilang, sama ada di luar mahupun di dalam kawasan kilang.
Biasanya,
Siti Maisara akan bekerja berdua dengan teman sejawat yang lain. Dan dia akan
bergilir-gilir dengan teman sejawatnya membuat rondaan.
Namun,
kebiasaannya Siti Maisara paling suka membuat rondaan pada pukul 11.00 pagi
kerana satu jam berikutnya, dia akan terus berhenti rehat untuk makan tengah
hari. Di waktu beginilah Siti Maisara sekali-sekala akan skip daripada membuat rondaan, sebaliknya akan melencong ke bilik
stor untuk tidur. Bukan sekali-sekala, tetapi selalu!
Bukan
sekali dua Siti Maisara kantoi dengan teman sejawatnya, malah berkali-kali.
Siti Maisara siap berpesan dengan teman sejawatnya itu agar tolong cover line untuk dia. Bagi Siti Maisara,
tugas rutinnya meronda sambil mengawal, amat membosankan.
Namun,
dia tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan kerjaya pilihannya itu
sementara menunggu keputusan SPMnya yang dijangka akan diumumkan dalam satu
bulan lagi.
Siti
Maisara sudah berkira-kira, jika keputusannya bagus, dia nekad untuk
melanjutkan pelajarannya ke universiti. Jika ayahnya menghalang dan tidak mahu
mengambil tahu tentang impian dan hasratnya itu, dia tidak peduli. Tentangan
dan sikap tidak mahu mengambil tahu ayahnya tentang apa jua urusan anak-anak
perempuannya itu sudah Siti Maisara jangkakan.
Siti
Maisara sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Siti Maisara yakin yang
wang tabungan yang disimpannya hasil bekerja dan mendapat upah itu sudah cukup
untuk menampung pembiayaannya semasa di universiti nanti.
“Hai,
sedang beristirahat nampak! Tengah cari ilham ke kat bawah meja tu?” tegur satu
suara.
“Saya boringlah Encik Hasbullah. Asyik-asyik
buat kerja yang sama aje tiap-tiap hari. Lagipun, saya baru aje buat rondaan.
Dah tak ada apa lagi nak buat, saya berehatlah,” jawab Siti Maisara dengan
selamba.
“Amboi...
baru jadi security guard dah demand ya. Esok-esok kalau pegang
jawatan tinggi entah macam mana perangai awak ni. Okey, awak nak berehat sangat,
kan? Ha, pergi tukar uniform, pack
barang, lepas tu jumpa saya kat ofis,” arah Encik Hasbullah, penyelia di kilang
itu dengan tegas.
“Ha?
Encik Hasbullah nak bagi saya kerja tambahan ke?” tanya Siti Maisara dengan
gembiranya.
Dalam
hati berasa bersyukur kerana selepas ini tidaklah dia merasa bosan dengan rutin
kerja yang sama.
“Bukan
kerja tambahan, tapi saya akan bagi masa tambahan untuk awak. Mulai hari ini,
awak dipecat! Ambiklah sebanyak mana masa tambahan yang awak suka untuk berehat
kat rumah awak tu!” jawab Encik Hasbullah dengan nada selamba sambil berpaling
menuju ke pejabatnya.
Siti
Maisara terkedu tidak bersuara.
“Sara!
Sara!” jerit Mak Odah dari dalam rumah.
Siti
Maisara tersedar daripada lamunannya sambil terlompat dek terkejut mendengar
jeritan lantang lagi nyaring suara Mak Odah memanggil namanya. Terdengar suara
bebelan Mak Odah dari dalam rumah.
Segera
Siti Maisara berlari mendapatkan emaknya. Masuk sahaja ke ruang dapur rumahnya
itu, dia terbau sesuatu yang hangit dari periuk di atas dapur.
“Masya-ALLAH,
kari ayam aku!” jerit Siti Maisarah pula sambil berlari menuju ke arah dapur.
Namun,
segalanya sudah terlambat. Kari ayamnya sudah kering-kontang di dalam periuk.
Sudahnya, dia terpaksa mendengar ceramah khas daripada Mak Odah hampir dua jam.
Kari ayam tidak menjadi, akhirnya hidangan tengah hari bertukar menu kepada
sambal sardin!