SITI Maisara
meletakkan gagang telefon ke tempat asal setelah memastikan si pemanggil sana
sudah mematikan talian. Wajah Siti Maisara masih terkejut dan keliru.
Memikirkan perbualannya tadi dengan si pemanggil yang baru pertama kali
bercakap dengannya, namun si pemanggil itu benar-benar tahu latar belakang diri
Siti Maisara. Seolah-olah si pemanggil itu sudah kenal lama dengannya.
Suasana
di pejabat sunyi. Hanya Siti Maisara sahaja yang berada di pejabat. Zaim dan
kumpulannya bekerja di luar daerah. Kali ini di Kota Kinabalu. Akmal dan
kumpulannya pula berada di Kuching. Big
boss mereka, Mr. Sean Lionel, menghadiri seminar di Langkawi.
“Huh!
Best jugak kerja yang selalu out station ni. Dapat melihat banyak
tempat orang dan taklah stres sangat terperuk kat ofis! Tapi, lagi best kalau kerja aku macam ni. Buat
kerja tak ada orang yang ganggu. Tak ada pressure.
Aman aje kat sini. Kalau ada pun, timedia
orang masuk ofis. Itupun bukan selalu! Tapi, janganlah kalau si mamat gebu tu
masuk ofis. memang tak amanlah kerja aku dibuatnya! Ada sahaja perkara yang dia
nak komplen. Ada sahaja kerja yang tak kena di matanya.” Siti Maisara membebel
sendirian di situ.
“Hmm...
tak sangka ya, lembut-lembut, gebu-gebu mamat tu, rupanya ada kes ek! Skandal
bagai! Eii... geli-geleman aku dibuatnya. Tapi, betul ke apa yang Datin tu
cakap? Entah-entah dia tipu aku. Entah perempuan mana yang menyamar jadi Datin,
tiba-tiba call aku suruh aku jadi spy dia. Hisy, tak pasal-pasal aku kena
tukar profesion pulak!” kata Siti Maisara.
“Eh,
tapi betul ke Datin Kay tu wife Dato’
Zack?” tanya Siti Maisara pada dirinya sendiri.
Serentak
itu dia teringatkan Nora, setiausaha di Unit Legal. Dia mengenali Nora sewaktu
mereka berdua bersama-sama mengikuti kursus induksi di bank itu. Selepas kursus
itu, mereka berdua semakin rapat dan selalu juga makan tengah hari bersama.
Terus sahaja dia mendail nombor sambungan Nora. Tidak sampai tiga kali
deringan, Nora sudah menjawab panggilan Siti Maisara.
“Wei,
Nora. Aku ni, Sara!” Siti Maisara memulakan perbualan.
“Ha,
kau Sara! Apa hal ni? Tak ada kerjalah tu. Sorry
eh, aku banyak kerja nak buat ni, tak larat nak join mesyuarat tingkap dengan kau!” jawab Nora.
Di
akhir ayat, Nora ketawa mengekek dengan kata-kata usikannya tadi.
“Wei,
aku bukan nak ajak kau bukak mesyuarat tingkap. Aku nak tanya beberapa soalan
dengan kau ni!” ujar Siti Maisara serius.
“Wah,
lain macam aje soalan kau ni. Ha, apakah beberapa soalan kau tu?” tanya Nora.
“Err...
siapa nama wife Dato’ Zack ya?” tanya
Siti Maisara.
“Ha?
Siapa Dato’ Zack tu?” tanya Nora kembali.
“Eh,
buat-buat tanyalah pulak! Big boss
kaulah! Takkan dah tak kenal? Takkan big
boss aku pulak!”
Terdengar
ketawa Nora kuat di hujung talian.
“Helo,
kau ingat aku buat lawak ke? Aku serius ni! Nama wife Dato’ Zack apa?” tanya Siti Maisara kembali.
Bengang
pulak hatinya bila Nora mempermainkan pertanyaannya itu.
“Alah,
kau ni... orang bergurau aje, kau dah nak sentap. Hmm... Datin Kay! Kenapa kau
tanya?” jawab Nora sekali gus bertanya Siti Maisara pula.
“Oh,
jadi wife dia Datin Kaylah ya. Okey,
okey... Thank you, Nora!” kata Siti
Maisara sambil ingin meletakkan semula telefon.
Namun,
terdengar suara Nora menjerit di hujung talian. Siti Maisara yang tidak jadi
berbuat begitu, kembali melekapkan gagang telefon ke telinganya.
“Wei,
perempuan! Ini yang aku tak suka ni! Dah tanya macam pegawai CSI bagai, lepas
tu blah gitu aje! Apa sebenarnya kau nak tau ni?” marah Nora dalam masa yang
sama ingin tahu mengapa Siti Maisara begitu beria-ia bertanyakan siapa nama
isteri big bossnya.
“Yalah,
nanti aku cerita kat kau masa lunch
nanti. Sekarang aku nak sambung kerja. Kau pun tengah sibuk jugak, kan? Ha,
jumpa nanti masa lunch ya. Bye!”
Siti
Maisara terus meletakkan gagang telefon. Tersenyum Siti Maisara kerana berjaya
menyakat Nora sehingga naik angin begitu.
Siti
Maisara menyambung kerjanya semula. Namun, perbualan antara dia dan Datin Kay
pagi tadi benar-benar mengganggu konsentrasinya bekerja.
“You
ni Siti Maisara, kan?” tanya Datin Kay bernada serius.
“Ya,
saya. Siapa ni ya? Boleh saya bantu puan?” tanya Siti Maisara lembut.
“Well, call me Datin Kay. Hmm... I pun
memang nak sangat mintak tolong kat you ni,” jawab Datin Kay dalam dialek Melayu
terlebih mat salih itu.
“Apa
dia Datin?” tanya Siti Maisara lembut, namun dalam masa yang sama tekaknya
terasa loya bila mendengar Datin Kay bercakap bahasa Melayu slang Inggeris itu.
Terdengar
suara keluhan Datin Kay di hujung talian.
“I
nak you tolong perhatikan Dato’ Zack!”
“Ha?
Dato’ Zack, Ketua Senior Legal and
Compliance tu?” Siti Maisara bertanya untuk kepastian.
“Yes! He is my husband!” jawab Datin Kay
lembut.
Terdengar
lagi keluhan di hujung talian.
“Dato’
Zack dengar khabarnya ada skandal dengan staf kat department you. So,. I just nak mintak you perhatikan tingkah
laku mereka. I mean, staf yang bekerja kat department
you tu. Dan kalau ada apa-apa yang mencurigakan, tolong call I!” Tegas Datin Kay memberi arahan.
Siti
Maisara sudah terlopong mendengar arahan Datin Kay. Belum sempat dia bersuara,
Datin Kay sudah mencelah.
“You
jangan bimbang. I bukan mintak apa-apa information
pasal bank atau maklumat pelanggan bank. Memang tak ada kena-mengena pun dengan
urusan kerja. I pun faham bank staf terikat dengan akta bank. I cuma nak you
tolong update kat I apa-apa aktiviti
antara staf department you tu dengan
Dato’ Zack. Itu saja. You jangan bimbang, nanti I bagi nombor telefon I. You
cuma setuju aje. Tentang upahnya pun akan I arrangekan.”
Begitu panjang lebar Datin Kay menerangkan maksudnya.
“Bu...
bukan begitu, Datin! Saya musykil ni. Kat department
saya ni, staf perempuan cuma saya sorang aje. Takkan saya pulak yang ada
skandal dengan Dato’ Zack!” ujar Siti Maisara, menyampaikan rasa musykilnya.
Pelik,
macam mana aku boleh tak tahu ni. Fikir Siti Maisara. Dalam masa yang sama,
Siti Maisara terasa berdebar-debar jantungnya itu. Takut dia dituduh ada
skandal pula dengan Dato’ Zack!
“Yes,
I know! Kalau skandal dengan you, tak payahlah I suruh you siasat. I sendiri
akan settlekan dengan you directly! Ini skandal sesama jenislah!”
jawab Datin Kay separuh berbisik.
Sekali
lagi Siti Maisara terlopong. Skandal sesama jenis? Siapa pulak jantan kat dalam
department aku ni yang
berskandal-skandal ni?”
“Siapa
dia Datin?” Siti Maisara tidak sabar ingin tahu.
“Zaim!”
Ringkas sahaja Datin Kay menjawab, namun lain pula respons daripada Siti
Maisara.
“Encik
Zaim mamat gebu tu?” tanya Siti Maisara, separuh menjerit.
Namun,
cepat-cepat dia menutup mulutnya dan memandang sekeliling. Walaupun hanya dia
seorang sahaja yang berada di dalam pejabat itu, Siti Maisara masih tetap
berhati-hati. Manalah tahu, tiba-tiba ‘hantu raya’ Zaim muncul di hadapannya.
Kes naya aje!
“Kenapa?
You tak percaya? Well,I tak suruh
you percaya cakap I pun. I cuma nak mintak tolong you perhatikan gerak-geri
mereka dan laporkan kepada I. Itu sahaja. Lagipun, I bukan buat tuduhan melulu.
I ada bukti. Cuma, I perlukan beberapa bukti lagi sebelum I buat perhitungan
dengan husband I tu,” kata Datin Kay.
Kali
ini suaranya bernada perlahan dan sayu.
Kasihan
pula Siti Maisara mendengarnya. Sebagai manusia biasa, Siti Maisara faham
bagaimana perasaan seorang isteri bila mendapat tahu tentang perbuatan curang
suaminya. Siti Maisara mula berasa meluat kepada Dato’ Zack. Hilang sudah rasa
hormatnya kepada Dato’ Zack. Selama ini, dia amat berbangga melihat kejayaan
besar yang ditempa seorang lelaki berbangsa Melayu seperti Dato’ Zack di dalam
dunia perniagaan yang majoritinya dimonopoli oleh bangsa atau kaum lain.
Apatah
lagi bila melihat kebahagiaan keluarga Dato’ Zack yang selalu dipaparkan di
media-media. Malah, secara peribadi, Siti Maisara melihat Dato’ Zack seorang
lelaki yang baik hati, pemurah dan seorang bapa serta suami yang penyayang.
Rupa-rupanya, semua itu sekadar lakonan semata-mata.
Tiba-tiba,
Siti Maisara teringatkan emaknya di rumah. Dia cukup trauma bila berhadapan
atau mendengar kes-kes isteri teraniaya, ditipu suami mahupun didera suami.
Contoh terdekat sudah ada di depan mata. Selama bertahun-tahun dia menjadi
saksi utama penganiayaan ayahnya terhadap emaknya, membuatkan dia tidak mahu
berfikir panjang bahawa dia rela menjadi penyelamat kepada emaknya atau kepada
sesiapa sahaja yang mengalami nasib yang sama seperti emaknya itu.
Dek
kerana kasihan dan bersimpati, Siti Maisara akhirnya bersetuju dengan
permintaan Datin Kay itu. Niatnya sekadar untuk menolong seorang isteri
mempertahankan haknya.
Namun,
kasihan... Siti Maisara masih hijau dalam dunia sandiwara manusia-manusia
seperti Dato’ Zack dan Datin Kay dan juga Zaim. Hati Siti Maisara terlalu lurus
dan luhur tanpa sedikit pun rasa prasangka kepada orang lain. Dalam ketulusan
hatinya, dia tidak sedar bahawa dia sebenarnya dipergunakan demi kepentingan
diri masing-masing.
DATIN Kay menyimpan
semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangan yang terletak di atas katil. Dia
tersenyum sendiri.
“Taklah susah mana pun nak memujuk budak
kampung yang lurus bendul macam budak Siti Maisara tu!” kata Datin Kay
sendirian sambil tersengih.
Mulanya
risau juga Datin Kay bila memikirkan jika Siti Maisara tidak mahu bekerjasama
dengannya. Dia perlu tahu segala aktiviti suaminya yang membabitkan Zaim. Datin
Kay perlu mengumpul bukti secukupnya sebelum dia membuat perhintungan dengan
suaminya itu.
Sebelum
Datin Kay menghubungi Siti Maisara, dia pastikan agar suaminya tidak berada di
pejabat. Kebetulan, Dato’ Zack ada urusan perniagaan di Indonesia. Lega hati
Datin Kay kerana ketiadaan Dato’ Zack akan menyenangkan segala perancangan yang
telah diatur berjalan lancar.
Selama
ini, Datin Kay tidak mengesyaki apa-apa terhadap suaminya itu. Bagi Datin Kay,
tiada yang berubah pada Dato’ Zack. Perkahwinan yang dibina selama 20 tahun
walaupun atas pilihan keluarga, ia tetap bahagia dengan kehadiran sepasang
cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka.
Dato’
Zack masih seorang suami yang bertanggungjawab dan bapa yang penyayang kepada
anak-anaknya. Sama seperti Dato’ Zack 20 tahun yang lalu. Sehinggalah suatu
hari, Datin Kay terdengar perbualan Dato Zack dengan seseorang.
Ketika
itu, mereka sekeluarga sedang bercuti di Kota Kinabalu. Datin Kay berada di
dalam bilik air. Manakala anak-anak masih berada di kolam renang di tingkat
bawah hotel di situ. Mungkin Dato’ Zack tidak menyedari yang Datin Kay masih
berada di dalam bilik air atau mungkin juga ALLAH hendak tunjukkan sesuatu
kepada Datin Kay, Dato Zack dengan selambanya melayan perbualan melalui telefon
itu dengan begitu mesra sekali.
“I
tahu you kat KK sekarang. I pun kat KK jugak ni.”
Terdengar
suara Dato’ Zack bernada romantik kepada seseorang di hujung talian. Sementara
itu Datin Kay merapatkan telinganya lebih dekat lagi dengan pintu bilik air
untuk mendengar lebih jelas perbualan suaminya itu.
“Hmm...
siapa kata tak rindu. Rindulah!”
“Okey,
nanti I fikirkan jalannya macam mana kita boleh jumpa ya, baby. Okay, baby, miss you
too. Love you.”
Datin
Kay yang mendengar dari bilik air perbualan suaminya itu mula rasa tidak sedap
hati. Nalurinya sebagai isteri begitu kuat mengatakan bahawa suaminya ada
perhubungan sulit dengan seseorang di luar sana. Dalam rasa menggigil menahan
marah, Datin Kay cuba bertenang dan bertahan.
“Relaks,
relaks... Aku perlu tahu siapa perempuan tu.”
Datin
Kay cuba menenangkan dirinya. Bagaikan ALLAH memberi restu dan memperkenankan
doa Datin Kay, Dato’ Zack kemudiannya keluar dari bilik hotel tanpa membawa
telefon bimbitnya. Apa lagi, tanpa menunggu sesaat pun, cepat-cepat Datin Kay
menyemak telefon bimbit suaminya.
Datin
Kay cuba mencari di paparan skrin telefon bimbit suaminya siapakah orang yang
terakhir yang dihubungi suaminya. Ternyata nama yang tertulis adalah ‘Zaim’.
Datin Kay berasa pelik dan cuba memikirkan siapakah Zaim itu. Cuba mengingatkan
sama ada Zaim itu adalah pekerja atau kenalan perniagaan suaminya. Namun, Datin
Kay tidak dapat mengingati sesiapa pun yang bernama Zaim.
“Aku
dengar tadi macam bercakap dengan kekasih. Siap miss youlah. Love youlah. Takkan dengan jantan pulak!” Datin Kay
tertanya-tanya sendiri.
“Huh,
ini saja nak cover line ni. Entah-entah nama Zaim tu yang
sebenarnya Zakiah. Tak pun Ziana. Atau, Miza. Orang tua ni, bukannya boleh
percaya sangat! Banyak helahnya.” Datin Kay membuat andaian sendiri.
“Hmm...
tak apa. Aku akan siasat siapa perempuan ni!” kata Datin Kay lagi sambil
jarinya lincah menyalin nombor telefon Zaim.
Namun,
sewaktu Datin Kay cuba mendail nombor yang disalinnya itu untuk beberapa kali,
talian yang dihubunginya tidak dapat dihubungi.
“Pelik
jugak ni! Macam tahu-tahu aje panggilan ini bukan daripada suami aku. Hisy,
nampak gayanya aku kena mintak bantuanlah ni!” rungut Datin Kay sendirian.
Mempunyai
rangkaian butik pakaian di beberapa buah bandar besar di seluruh Malaysia,
memberi peluang kepada Datin Kay menambah kenalan yang rata-ratanya terdiri
daripada Datin-datin, Puan Sri-puan sri dan ada juga mereka di kalangan kerabat
diraja.
Atas
nasihat dan bantuan Puan Sri Salwa, Datin Kay telah mengupah perisik
persendirian untuk mengetahui identiti sebenar wanita yang mempunyai skandal
dengan suaminya itu. Dan apabila perisik itu melaporkan bahawa suaminya
ternyata mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita korporat, Datin Kay
menjadi tidak tentu arah. Lebih membuatkan Datin Kay seperti mahu pitam apabila
dia dikhabarkan oleh perisik itu bahawa suaminya itu mempunyai hubungan sulit
dengan isteri orang.
Tempat
pertemuan mereka biasanya adalah di kelab-kelab eksklusif yang kebanyakannya
terdiri daripada golongan mak nyah dan gay
bagi mengaburi mata umum akan skandal rahsia mereka.
Lemah
lutut dan seluruh anggota badannya bila mendapat tahu perkhabaran tentang
suaminya itu. Hatinya berbelah bahagi sama ada ingin mempercayai keseluruhan
cerita yang disampaikan atau tidak. Namun, bila Datin Kay ditunjukkan bukti
tentang gambar-gambar suaminya selalu mengunjungi kelab eksklusif itu bersama
wanita yang dimaksudkan, barulah dia mula mempercayainya.
Perisik
upahan itu menambah, terdapat kemusykilan berkenaan Dato’ Zack. Disebabkan
Dato’ Zack sering berkunjung ke kelab seperti itu, tidak mustahil Dato’ Zack
juga adalah salah seorang ahli kelab itu. Semua itu boleh disiasat secara
terpeinci lagi.
Perisik
upahan itu mendapat maklumat bahawa nama Zaim adalah merupakan salah seorang
staf bank di tempat Dato’ Zack bekerja dan merupakan pengunjung yang sering
singgah di kelab itu.
Datin
Kay masih belum dapat mengumpul bukti secukupnya tentang apa kaitan suaminya
meletakkan nama Zaim sebagai menggantikan nama skandal suaminya itu. Setakat
ini, Datin Kay hanya mengetahui Zaim bekerja di Audit Department sebagai juruaudit. Untuk itu, setelah disiasat,
Datin Kay percaya hanya Siti Maisara sahaja yang dapat menolongnya. Di dalam
fikirannya sudah terencana beberapa perancangan untuk memerangkap suaminya itu.
“Sayang!
Cepatlah!”
Terdengar
satu suara garau dari bilik air hotel yang didiami Datin Kay memanggilnya
dengan nada lembut.
Datin
Kay tersentak. Kembali sedar bahawa dia sedang berada di dalam bilik hotel.
“Yes, darling. I’m coming,” jawab Datin
Kay.
Serentak
itu Datin Kay terus bangun daripada perbaringannya. Datin Kay segera menuju ke
arah bilik air.
Tak
berapa lama kemudian, terdengar suara Datin Kay ketawa dan terjerit-jerit
dengan diselangi ketawa seorang lelaki. Tapi, siapa lelaki itu? Bukan Dato’
Zack masih di Indonesia?