SITIMaisara
membuntangkan matanya beberapa kali. Memainkan bebola matanya dari kiri ke
kanan. Kemudian dari atas ke bawah. Terasa pedih. Diulang-ulang beberapa kali
untuk menahan matanya daripada tertutup.
Sebelum
ini, sudah beberapa kali dia berjalan ke hulu ke hilir menerokai ruang
pejabatnya itu. Tidak hanya berjalan-jalan, sudah dua muk kopi pekat dia teguk,
hasilnya masih sama. Siti Maisara merasa sangat mengantuk kali ini.
Kerja-kerja
dokumentasi masih lagi berlambak ingin disiapkan. Laporan-laporan daripada
kesemua juruaudit perlu dicetak dan dibinding.
Kesemuanya sudah ada deadline yang
perlu dicapai.
Siti
Maisara mengeluh. Teringat dia akan perbualannya dengan bis bossnya, Mr. Sean Lionel, setengah jam yang lalu. Ketika itu
Zaim tiada di pejabat kerana menghadiri mesyuarat antara unit-unit lain.
Manakala Akmal dan kumpulan juruaudit yang lain bertugas di luar daerah di
Kedah.
Mr.
Sean Lionel yang masih berada di luar daerah atas urusan audit di Sarawak telah
menghubunginya bertanyakan sama ada laporan audit di cawangan Sabah telah
disiapkan atau belum. Entah bagaimana, dek terlalu mengantuk, Siti Maisara
sempat lagi tertidur sambil memegang ganggang telefon. Bukan setakat tertidur,
dia boleh lagi berdengkur.
Apa
lagi, Mr. Sean Lionel yang masih di talian sempat juga mendengar dengkuran Siti
Maisara itu.
“Helo,
Sara! Are you there? Helo! Sara, what
happen to you? Are you sleeping?” tanya Mr. Sean Lionel di talian sana.
Mungkin
kerana suara Mr. Sean Lionel agak kuat, Siti Maisara terjaga. Apa lagi, menggelabahlah
jadinya.
“Ops, so...
so... sorry boss! Yes. I understand. I understand.” Terkial-kial Siti
Maisarah ingin menjawab.
Terdengar
suara Mr. Sean Lionel ketawa di hujung talian.
“You must be exhausted! Poor you dear. Did
Zaim gives you more works? Did he gives you stress?” soal Mr. Sean Lionel
yang prihatin lagi memahami itu.
Hai,
bertuah badan dapat bos mat salih yang gentleman
ni.
“Err...
no... no boss! I’m okay. Just feel sleepy,”
jawab Siti Maisara perlahan.
“Orait. Take care. Can you ask Zaim to return
my call, please!”
“Okay boss. I’ll let him know,” jawab
Siti Maisara.
Terasa
lega di hatinya bila big boss sendiri
menunjukkan keprihatinannya kepada pekerja sepertinya. Siti Maisara rasa
terharu. Namun, itu tidak cukup membantunya daripada berasa segar semula.
Sebaliknya rasa mengantuknya itu semakin menjadi-jadi.
Nampaknya,
segala usahanya tidak berjaya. Matanya degil tidak mahu terbuka. Semakin layu
dan mengecil dan akhirnya terus tertutup. Siti Maisara terlelap dalam posisi
dirinya yang masih duduk sambil tangan kirinya masih memegang tetikus dan
tangan kanannya berada di papan kekunci.
“Sara!
You dah siapkan ke laporan yang I nak tadi?”
Tiba-tiba
Zaim muncul dan terus bertanya Siti Maisara. Zaim yang masih tidak perasan Siti
Maisara tertidur itu meletakkan sebuah fail yang dibawanya tadi di atas
mejanya.
“Eh,
apa hal senyap aje minah ni? Pekak ke apa?” Zaim tertanya-tanya sendiri.
Dari
mejanya dia memandang Siti Maisara yang dilihatnya sedang khusyuk menaip
sesuatu di komputer.
“Cik
Sara oi... You dengar tak ni? Repot dah siap ke?” tanya Zaim lagi.
Kali
ini sengaja ditinggikan suaranya. Masih tidak ada respons!
“Amboi,
melampaulah ni. Baru lapan bulan kerja dah tunjuk lagak. Aku tanya buat tak
reti pulak dia ni,” rungut Zaim.
Tidak
puas hati dengan respons Siti Maisara, Zaim bangun dan terus menuju ke meja
Siti Maisara. Zaim memerhatikan Siti Maisara yang masih duduk tegak bak patung
cendana di situ. Zaim melihat papan skrin di komputer. Sudah! Hanya huruf A
sahaja penuh tertera di skrin komputer itu.
“La,
tidur rupanya. Memang tak boleh harap langsung!” rungut Zaim.
Tiba-tiba, timbul idea nakal di kepalanya.
Zaim lantas terus mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya, lalu terus
mengambil gambar Siti Maisara yang sedang tidur itu dari pelbagai sudut.
Setelah berpuas hati, disimpannya semula telefon bimbitnya ke dalam kocek
seluar.
Kesian
Siti Maisara! Dah sah-sah minah ni keletihan dan mengantuk yang amat sangat
sehinggakan Zaim mengambil gambarnya pun dia tidak sedar.
“Helo,
Cik Sara oii! Bangunlah, matahari dah nak tinggi kat kepala tu. Anak dara apa
ni tidur siang-siang buta. Kau nak buat tahi mata, pergi balik rumah!” ujar
Zaim sedikit berbisik di telinga Siti Maisara. Eh, bukan berbisik, tetapi
menjerit di telinga Siti Maisara.
Demi
terdengar suara jeritan yang kedengaran dekat di telinganya, Siti Maisara
terpisat-pisat bangun. Namun, memang salah oranglah kan, dah minah latah, apa
lagi, Siti Maisara yang dalam keadaan mamai itu terlompat bangun lantas
menyuakan tetikus yang dipegangnya itu terus masuk ke dalam mulut Zaim.
“Ha,
mak! Orang dah bangun dah ni. Ha, meh makan. Eh, meh sarapan. Ha, makan,
makan,” latah Siti Maisara sambil tangannya terus-terusan menyumbat masuk
tetikus itu ke dalam mulut Zaim.
“Uhuk!
Uhuk! Uhuk! Oii! Oii!”
Dalam
keadaan mulut yang tersumbat, Zaim menjerit dan meronta. Namun, dalam masa yang
sama, dia sempat menolak Siti Maisara sekuat hatinya sehingga Siti Maisara
terduduk di kerusinya. Siti Maisara tersedar.
“Ya
ALLAH! Sorry, Encik Zaim. Saya
ingatkan suara memetir tadi tu, mak saya. Sorry
sangat-sangat. Saya tertidur tadi!”
Dalam
keadaan terkejut dan gabra, Siti Maisara memohon maaf. Dilihat muka Zaim merah
padam menahan marah.
“You
ingat pejabat ni, pejabat mak bapak you eh? Main suka hati nak tidur. Ha,
esok-esok bawa tilam dengan bantal sekali!” marah Zaim.
Merah
padam wajah gebu Zaim bila marah. Siti Maisara tunduk membisu memandang lantai.
Dia sendiri tidak tahu mahu memberi alasan apa. Mengapa dia mengantuk sangat
hari itu. Sememangnya Siti Maisara ada hal peribadi yang menyebabkan dia
mengantuk sangat, tetapi takkan pula dia ingin memberi alasan itu kepada Zaim.
Ini soal peribadi dan hal ehwal keluarganya. Siti Maisara berpendapat, Zaim
tidak perlu tahu hal peribadinya.
Ini
semua pasal Mariam! Hmm... Keluh Siti Maisara dalam hati.
Siti
Maisara terimbau semula kejadian malam tadi.
“Sara,
adik kau dah lari. Adik kau dah lari!”
Kepulangan
Siti Maisara dari kerja disambut oleh laporan mengejut daripada Mak Odah. Dalam
rasa terkejut, sempat lagi Siti Maisara berfikir adiknya yang mana satu yang
lari dari rumah? Siti Musliha atau Siti Mariam?
“Mak,
sabar, sabar... adik yang mana? Musliha ke Mariam?” Siti Maisara cuba
menenangkan emaknya.
Siti
Maisara juga turut duduk di pangkin di sebelah emaknya. Mak Odah kelihatan
bingung dan wajahnya teramat risau.
“Kau
ni pun satu, macamlah adik kau tu ramai sangat! Yang selalu balik lambat, buat
hal, siapa? Mariamlah!” marah Mak Odah.
“Hisy,
macam mana mak boleh terfikir yang Mariam lari dari rumah pulak? Mak ni suka
fikir yang bukan-bukan. Mariam tu kan rajin buat study group dengan kawan-kawan dia. Ha, mak dah tanya Balqish,
kawan Mariam tu? Bukan ke Mariam selalu lepak kat rumah Balqish.” Siti Maisara
bertanya semula emaknya.
“Mariam
tak balik dari tengah hari tadi. Biasa dia call
dulu kalau dia balik lewat. Liha dah pergi ke rumah Balqish tadi. Balqish cakap
selama ni dia tak pernah buat study group
pun dengan kawan-kawan dia. Dia study
sendiri aje. Mariam pun jarang datang rumah dia. Balqish kata, Mariam tak
berapa rapat dengan dia pun,” cerita Mak Odah.
Hatinya
teramat risau.
Mendengar
cerita Mak Odah, hati Siti Maisara mula risau. Tiba-tiba dia menyesal sendiri
kerana terlalu percayakan segala alasan yang diberikan Siti Mariam setiap kali
dia pulang lewat ke rumah. Sebagai seorang kakak dan satu-satunya harapan
emaknya, Siti Maisara sepatutnya menyelidik atau menyiasat sendiri aktiviti
Siti Mariam selama ini. Lebih bengang lagi, dia sendiri pun tidak berapa kenal
sangat siapakah Balqish itu.
Daripada
apa yang diceritakan Mak Odah tadi, dia percaya, Balqish tentu menyembunyikan
perkara sebenar tentang Siti Mariam daripada pengetahuan Siti Musliha yang
datang bertanyakan di mana Siti Mariam petang tadi.
“Eh,
Liha mana mak?” tanya Siti Maisara apabila dilihatnya hanya emaknya sahaja
berada di situ.
Jangan
ditanyalah di mana ayahnya. Kalau tak sampai waktu Isyak hingga menjengah waktu
Solat Tahjud, jangan haraplah ayahnya ada di rumah. Ke mana dan apa yang
ayahnya lakukan, Siti Maisara sendiri tidak tahu. Malah, sudah lama dia tidak
ingin ambil tahu.
Begitu
juga dengan abang-abangnya. Abdul Muaz sudah tentu balik lewat. Abang keduanya
pula, Abdul Muin, sejak kejadian malam itu, memang benar-benar menghilangkan
diri dan keluar dari rumah itu. Mengamuk sakan Pak Musa kerana salah seorang
anak kesayangannya sudah pergi meninggalkannya. Habis Mak Odah dan anak-anak
perempuannya dituduh penyebab mengapa Abdul Muin meninggalkan rumah.
Maka,
Siti Maisara amat faham mengapa emaknya berharap sangat dia dapat mencari
adiknya, Siti Mariam kerana kalau diberitakan pada Pak Musa, memang sah-sahlah
dapat perli percuma daripada Pak Musa. Silap-silap, semuanya yang berlaku ini
adalah salah Mak Odah juga.
“Liha
kat dapur. Memasak. Mak tak larat nak masak hari ini. Seharian dok fikirkan
pasal Mariam. Kalau tak masak nanti mengamuk pulak orang tua Musa tu,” jawab
Mak Odah separuh mengadu.
Terasa
sayu di hati Siti Maisara.
“Tak
apalah, mak. Mari masuk dalam. Tak usah risau-risau. Nanti tak pasal-pasal, mak
pulak yang sakit. Lepas Isyak kejap lagi, orang ajak Liha ke rumah Balqish
semula. Biar orang tanya Balqish sendiri,” pujuk Siti Maisara.
Mak
Odah terdiam dan akhirnya termakan pujuk juga hatinya menerima kata-kata
anaknya itu. Mak Odah bangun sambil dipapah masuk oleh Siti Maisara ke dalam
rumah.
Malam
itu, usai Solat Maghrib, Siti Maisara meminta Siti Musliha membawanya ke rumah
Balqish. Mereka berdua hanya menunggang motosikal sahaja ke rumah Balqish.
Rupanya untuk sampai ke rumah Balqish, hanya mengambil masa 10 minit perjalanan
sahaja dengan menunggang motosikal.
“Eh,
Balqish ni bukan asal dari kampung sini, kan? Dia baru pindah ke sini ke?
Kenapa akak tak kenal dia ek?” tanya Siti Maisara.
“Baru
awal tahun ni. Bapak dia pencen askar. Buat rumah kat sini. Masa dia pindah
sini, kau belajar kat UiTM. Mana kau nak kenal dia, kak,” jawab Siti Musliha.
“Oh,
patutlah.” Siti Maisara menggeleng-geleng.
Setibanya
mereka di rumah Balqish, Siti Musliha memberi salam. Tidak sampai beberapa
saat, Balqish muncul. Orangnya rendah sahaja, berkulit hitam manis. Terkejut
juga dia bila menerima kunjungan Siti Maisara dan Siti Musliha, lebih-lebih
lagi bila melihat Siti Musliha buat kali kedua datang ke rumahnya. Mujurlah,
kedua-dua ibu bapa Balqish keluar kerana menghadiri majlis kenduri saudaranya.
Balqish hanya ditemani adik lelakinya, Badrul, yang berusia 13 tahun.
“Err...
ini kakak Kak Liha dan Mariam. Kenalkan, Kak Sara.” Siti Musliha memperkenalkan
kakaknya kepada Balqish.
“Err...
Balqish, minta maaflah kami ganggu Balqish malam-malam gini. Kami nak mintak
tolong daripada Balqish. Mintak tolong sangat-sangat,” rayu Siti Maisara.
“Tolong
apa kak?” tanya Balqish.
Dia
pula yang berasa cemas melihat cara Siti Maisara merayu meminta pertolongan
agak semacam.
“Akak
tahu Balqish tahu pasal Mariam, kan? Balqish satu kelas dengan Mariam, kan?
Mesti Balqish tahu apa yang terjadi. Tolonglah kami, Balqish. Tolong beritahu
ke mana Mariam tu. Akak bukan apa, akak kesian tengok mak akak sedih macam tu.
Dia tu bukannya sihat sangat. Tolonglah Balqish,” rayu Siti Maisara lagi.
Balqish
terdiam. Dia seperti berfikir. Perlukah dia memberitahu perkara sebenar?
Bagaimana dengan ikrar dan janji-janjinya itu? Balqish serba salah.
“Balqish,
kalau Mariam tu ada buat niaya kat Balqish, akak akan pastikan dia mendapat
hukuman setimpal daripada segala perbuatannya. Akak cuma nak tahu perkara yang
sebenar dan di mana Mariam sekarang ni. Itu aje,” pujuk Siti Maisara lembut.
Balqish
mengeluh. Dia memandang Siti Maisara dan Siti Musliha silih berganti.
“Sebenarnya...
Mariam...” Balqish masih takut-takut ingin berterus terang.
Siti
Maisara, kalau bab-bab begini memang tak boleh sabar.
“Cerita
ajelah Balqish. Tak perlu nak sembunyikan.” Pantas sahaja Siti Maisara menyuruh
Balqish meneruskan kata-katanya itu.
Siti
Musliha sempat menjeling kakaknya. Faham benar dia dengan sikap gelojoh
kakaknya itu.
“Emm...
kat mana saya nak mulakan dulu ya. Okey, dulu saya dengan Mariam memang kawan
rapat. Tapi, sejak tiga bulan lepas, kami kerap sangat berselisih faham. Ini
semua sejak Mariam kenal Roy.” Balqish memulakan ceritanya.
“Ha?
Roy mana pulak ni? Budak lelaki kelas kau orang ke?” tanya Siti Maisara.
Balqish
menggeleng.
“Habis
tu? Dari kelas lain atau sekolah lain?” tanya Siti Musliha pula.
Walaupun
Siti Musliha bersekolah di dalam tingkatan enam atas, tetapi dia tidak
bersekolah di sekolah yang sama dengan adiknya, Siti Mariam.
“Tak.
Dia dari sekolah yang sama, cuma kelas aje yang berbeza. Masalahnya, Roy tu...”
“Masalahnya
apa?” tanya Siti Musliha, tidak sabar.
“Roy
tu pengkid kak! Nama sebenar dia, Rohaya. Dia orang berdua tu memang pasangan lesbian kak! Mariam benar-benar berubah
perwatakannya sejak mengenali Roy. Kalau cakap dengan saya pun, selalu
marah-marah!” kata Balqish sedikit sayu bila mengenangkan kawan rapatnya
bersikap begitu sejak mengenali Roy si pengkid itu.
“Apa?
Betul ke apa yang kau cakap kan ni, Balqish? Mana kau tahu? Kau ada bukti?”
tanya Siti Maisara pula.
“Kak,
saya sendiri kena warning dengan Roy
tu. Siap ugut-ugut saya lagi. Dia bagi amaran jangan rapat lagi dengan Mariam.
Dia siap beritahu pasal saya rapat dengan Mariamlah, dia susah nak usyar Mariam
tu!” jawab Balqish.
“Habis,
takkan kau senyap gitu aje? Dah ada bukti, takkan tak repot kat cikgu ke,
pengetua ke,” kata Siti Maisara.
Dalam
masa yang sama terasa geli-geleman mendengar cerita Balqish. Mariam, Mariam...
apa nak jadi dengan kau ni dik!
“Kak,
Roy tu ada geng dia sendiri. Kalau saya macam-macam, kat luar sekolah pun dia
boleh settlekan saya, kak. Saya tak
nak mak bapak saya tahu yang saya terlibat dengan perkara-perkara begini.
Lagipun, SPM dah tak lama lagi ni. Saya nak lulus exam, kak. Bukan nak cari pasal!” balas Balqish.
“So,kau tahu tak kat mana Mariam
sekarang?” tanya Siti Musliha pula.
Dia
pun sudah terasa semacam bila mendengar cerita Balqish.
Mendengar
soalan daripada Siti Musliha itu, Balqish terdiam. Dia memandang kedua-dua
wajah kakak Siti Mariam itu. Kasihan pula melihat mereka. Balqish nekad akan
mendedahkan segala-galanya malam ini.
“Kak,
sebenarnya si Roy tu dah lama berhenti sekolah. Tak tahu pulak apa dia buat
lepas berhenti sekolah tu. Tapi, lepas habis sekolah, mesti dia ada terpacak
kat gate sekolah tunggu Mariam.
Biasanya, Mariam akan ikut dia balik sama dan lepak-lepak kat bilik sewa Roy
tu. Dengar khabarnya, dia sewa bilik kat tingkat atas rumah kedai kat pekan
kita tu,” cerita Balqish dengan panjang lebar.
Siti
Maisara dan Siti Musliha, masing-masing tayang muka berfikir.
“Alah,
kak, atas Restoran Hup Hin Chanlah, kak. Kat mana lagi yang ada bilik sewa kat
pekan ni.”
“Oh,
kat situ?” tanya Siti Maisara, sedikit kuat suaranya.
Balqish
hanya mengangguk.
Siti
Maisara memandang Siti Musliha.
“Macam
mana? Jom kita ke sana!” ajak Siti Maisara.
“Hmm...
ada berani ke?” tanya Siti Musliha pula.
“Helo,
sekarang bukan masanya nak tanya ada berani ke atau apa-apa. Meh kita kasi Roy
tu berambus daripada hidup adik kita! Aku tak kira, apa nak jadi, jadilah!”
sanggah Siti Maisara.
Marah
betul dia dengan perangai adiknya Siti Mariam itu.
“Balqish,
terima kasih ya kerana sudi menerangkan semuanya kepada kami. Terima kasih
banyak-banyak. Err... nampaknya, kami pergi dululah. Terima kasih sekali lagi.”
Siti Maisara bangun dan terus bersalaman dengan Balqish. Begitu juga Siti
Musliha.
“Sama-sama
kak. Hati-hati ya.. Si Roy tu ada ramai geng,” pesan Balqish.
Mereka
berdua hanya menggangguk. Kedua-duanya berlalu pergi dengan menungang motor.