SITI Maisara masih
lagi berdiri tegak di hadapan cermin almari bajunya. Sekejap dia mendekatkan
wajahnya betul-betul seinci dari cermin itu. Sekejap dia menjauhkan dirinya 50 cm
dari cermin. Memastikan dari sudut manakah wajahnya kelihatan cantik.
Walaupun
dia sendiri tahu cermin usang yang berkabus dengan tanda-tanda retak di sana
sini itu tidak mungkin memberikan keputusan yang menakjubkan, tetapi dia tidak
peduli. Sudah berpuluh tahun cermin usang itu setia memberikan khidmatnya.
Semenjak dia bersekolah darjah satu lagi sehinggalah sekarang.
Malah,
almari baju yang menempatkan cermin itu pun sudah uzur benar bentuk fizikalnya.
Seburuk-buruk almari baju itu, almari itulah yang banyak memberi khidmat dan
jasanya kepada dia dan adik-adiknya. Almari buruk itulah yang menempatkan
baju-bajunya dan adik-adik perempuannya.
Bagi
Siti Maisara, selagi almari baju itu tidak roboh dan selagi ia dapat menyimpan
baju-baju dia dan adik-beradiknya, itu sudah memadai.
Janji,
bilik dia dan adik-beradik perempuannya yang hanya berkeluasan 10 x 10 itu
kemas dan teratur. Bilik tidur yang menempatkan Siti Maisara dan dua orang lagi
adik perempuannya, Siti Musliha dan Siti Mariam.
“Sara!
Berapa lama lagi kau nak bersiap tu? Tak cantik mananya kau tu kalau dok
membelek berjam-jam kat depan cermin tu!” jerit Mak Odah dari dapur.
Siti
Maisara tidak menghiraukan jeritan lantang Mak Odah itu. Sudah biasa benar dia
mendengar jeritan itu. Malah, jiran sekeliling di Kampung Jawa itu juga sudah
sedia maklum. Setiap pagi, pasti Mak Odah akan memulakan tugas rasminya itu.
Kalau tidak marahkan Siti Maisara, jeritannya itu pasti memarahi anak-anaknya
yang lain.
Bagi
jiran-jiran Mak Odah, sehari tidak mendengar jeritan Mak Odah, pasti tidak sah
hari-hari yang mereka lalui. Jika hari itu senyap tanpa jeritan Mak Odah, pasti
ada sesuatu yang buruk berlaku pada Mak Odah. Jika tidak demam, mungkin Mak
Odah mengalami sakit tekak.
“Sara!”
Terdengar
lagi laungan Mak Odah dari dapur. Kali ini suaranya luar biasa nyaringnya.
Rasanya,
kalau Mak Odah masuk pertandingan menyanyi untuk yang bersuara soprano, pasti
Mak Odahlah juaranya.
“Ya.
Kejaplah mak. Orang dah siap ni,” jawab Siti Maisara sedikit nyaring.
Siti
Maisara segera menutup pintu almari baju antiknya itu. Namun, tiba-tiba dia
membuka kembali pintu almarinya itu sambil merenung kembali wajahnya di cermin.
“Mirror, mirror of the wall... tolong beritahu
aku, siapakah gadis yang paling cantik kat Kampung Jawa ni?” tanya Siti Maisara
kepada arca imejnya di cermin.
“Oh, thank
you! Thank you! Aku tahu, akulah gadis tu, kan?” tanya Siti Maisara sambil
tersengih.
Siti
Maisara melentok-lentokkan wajahnya sambil tersenyum. Puas benar hatinya
apabila cerminnya itu memberi respons yang positif.
“Hah!
Memanglah kau gadis tu. Dah kau sorang aje yang ada kat depan cermin tu. Takkan
cermin tu nak tunjuk muka orang lain pulak! Kot-kot pulak, keluar muka aku. Ha,
baru kau tahu!” sergah Mak Odah dari
pintu bilik.
Mendengar
sergahan Mak Odah yang lantang lagi memetir itu, Siti Maisara terlompat sambil
terjerit.
“Oh,
mak kau! Mak ni! Terkejut orang tau! Suka sangat buat sergah-sergah macam tu.
Ingat ni macam Nas Ahmad yang buat rancangan Terjah kat Melodi tu ke? Nasib
baik tak kena sakit jantung,” komen Siti Maisara sambil mengurut-ngurut
dadanya.
“Tok
sah kau dok berangan yang kau tu cantik sangat. Sedar diri tu tak secantik mana
pun. Makin lama kau tenung cermin tu, tak pasal-pasal pecah cermin tu!” sindir
Mak Odah tajam.
Siti
Maisara menjeling tajam ke arah emaknya. Memang begitulah sikap emaknya. Tidak
pernah berprasangka baik mahupun berfikiran positif terhadap anak-anaknya. Yang
emaknya tahu ialah suka mengkritik dan membebel.
Siti
Maisara sedar emaknya begitu kerana taraf pendidikan emaknya hanyalah setakat
darjah enam sahaja. Kurang pergaulan dan sukar menerima perubahan. Malah,
kurang juga dalam hal-hal keagamaan dan kesosialan.
Mujurlah
dirinya berpendidikan tinggi. Baru sahaja selesai menghadiri upacara graduasi
untuk Diploma Pengurusan Pentadbiran dari UiTM, Shah Alam. Menyedari tahap
keintelektualannya melebihi penghuni rumahnya ini, Siti Maisara malas
memanjangkan pertelingkahan dengan emaknya itu. Apa yang pasti, sebanyak mana pun
nasihat yang Siti Maisara beri bagi menyedarkan emaknya, ia tidak merubah
apa-apa pun kerana emaknya tetap dengan pendiriannya.
“Hah!
Apa lagi yang tercegat kat situ? Kata nak pegi temu duga. Macamlah kau confirmdapat yang kau nak berlengah-lengah
lagi kat sini!” sergah Mak Odah lagi.
“Hisy,
orang dah sudahlah ni. Mak ni, doakanlah yang baik-baik untuk orang. Kan orang
nak pergi interview kerja ni. Kalau
dapat kerja, siapa yang senang? Mak jugak, kan?” balas Siti Maisara.
Dia
sudah menyilangkan beg sandang yang bergambar Angry Bird di bahunya. Dalam masa
yang sama, sempat lagi dia membelek arca dirinya yang memakai baju kurung biru
di cermin.
“Dah
elok kau kerja kat tadika tu, kau berhenti. Ni sibuk nak cari kerja kat KL tu buat
apa?” rungut Mak Odah.
Bagi
Mak Odah, dia lebih senang Siti Maisara bekerja sebagai guru sementara di
Tadika Mesra di kampungnya itu. Anaknya ada di depan mata dan kerjanya juga
tidaklah sesusah mana.
“Mak
ni, orang ada diplomalah! Kalau setakat kerja cikgu sementara kat tadika tu,
orang yang tak pas SPM pun boleh kerja!” jawab Siti Maisara.
Dia
sudah keluar dari biliknya lalu terus menuju ke dapur. Siti Maisara menghampiri
meja makan. Dibuka tudung saji yang menutup makanan di atas meja itu. Siti
Maisara tersenyum.
Satu
kelebihan emaknya yang Siti Maisara puji ialah masakan emaknya. Biar dia
berdiet macam mana pun, jika diberi pilihan antara masakan emaknya dan menu
diet yang ditawarkan, sudah pasti dia akan memilih masakan emaknya.
Siti
Maisara mengambil pinggan, lalu disenduknya nasi goreng kampung yang dimasak
Mak Odah. Apalagi dengan air Nescafe panas, makin bertambah selera Siti
Maisara.
“Hah,
mana tak bulat badan tu! Kalau makan sampai tak ingat! Ni, kalau badan bulat
macam ni, nak ke orang tu terima kau bekerja, Sara?”
Pertanyaan
Mak Odah yang pedas lagi berbisa itu tidak dihiraukan Siti Maisara.
Siti
Maisara memandang jam tangan yang dibelinya sendiri lima tahun yang lalu. Jam
tangan itu dibeli sempena hari gajinya yang pertama sewaktu dia bekerja sebagai
pengawal keselamatan ketika dia menunggu keputusan SPMnya dahulu. Menyedari
dirinya sudah terlambat, Siti Maisara cepat-cepat menghabiskan nasi goreng di
pinggannya itu.
Tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta diangkat. Dia mengeluarkan telefon
bimbitnya itu.
“Helo!
Ha, kau Ina. Kat kat mana ni? Okey, aku dah siap dah ni. Kau amik akulah
sekarang,” kata Siti Maisara melayan si pemanggil di talian.
“Ya,
aku tahu. Aku mana ada kredit. Aku tunggu kau calllah,” jawab Siti Maisara sedikit perlahan, namun masih
didengari Mak Odah.
Selesai
menutup telefon bimbitnya, Siti Maisara bersalaman dengan emaknya.
“Orang
dah nak pergi ni mak. Doakan orang dapat kerja tu tau!” kata Siti Maisara dalam
pengharapan yang penuh agar emaknya mendoakannya.
“Hmm...
yalah. Ni, kau nak naik apa pergi temu duga kat Kolompo tu?” tanya Mak Odah.
“Orang
tunggu Ina. Kejap lagi dia sampailah. Orang naik motor dengan dia. Parking motor kat stesen. Nanti, orang
naiklah Komuter ke KL,” jawab Siti Maisara.
Dalam
masa yang sama, terdengar bunyi motor di halaman rumah mereka.
“Ha,
tu Ina dah sampai tu. Orang pergi dulu eh,” kata Siti Maisara.
“Ha,
yalah. Baik-baik jalan kat Kolompo tu. Jawab soalan temu duga tu baik-baik,”
pesan Mak Odah ikhlas.
“Macam
pesan nak jawab SPM aje!”
Sempat
lagi Siti Maisara mengejek emaknya, namun dalam masa yang sama dia hanya
mengangguk sahaja di depan emaknya.
Dia
terus melangkah laju ke ruang tamu. Dicapainya kasut getah coklat jenama Crocs
yang tiada bertumit itu. Disarungnya segera.
“Wei,
kau pakai macam ni aje?” tanya Ina sambil memandang Siti Maisara dari atas ke
bawah.
Siti
Maisara memandang dirinya. Apa pula yang tidak kena dengan penampilan aku?
Fikirnya. Baju kurung biru berbunga besar, berkasut getah warna coklat, tudung
yang dipinjam daripada adiknya, Siti Musliha yang berwarna putih dan beg
sandang AngryBird yang sengaja
diselimpangkan ke bahu. Okey apa! Oh, ya, cermin mata berbingkai besar
pelengkap penampilan dirinya. Tanpa cermin mata itu, Siti Maisara pasti
merasakan dunianya benar-benar kelam. Gitu!
“Kenapa?
Salah ke?” tanya Siti Maisara lurus.
“Hmm...
taklah salah, tapi macam... err... macam tak kena aje!” komen Ina.
Dia
sendiri berbaju kurung hijau dengan tudung kepala berwarna krim susu. Beg
tangan hitamnya diselimpangkan ke bahu. Sementara kasut pula, dia memakai kasut
berwarna krim, sesuai dipadankan dengan tudungnya. Begitu sederhana penampilannya.
“Alah,
lantaklah. Janji, aku selesa! Eh, jomlah. Kita dah lambat ni,” balas Siti
Maisara sambil membetulkan letak cermin matanya ke posisi yang betul.
Ketika
dia mahu menaiki motor untuk membonceng Ina, tiba-tiba ayahnya, Pak Musa,
muncul.
“Ayah,
orang pergi dulu!”
Hanya
itu sahaja yang Siti Maisara ucapkan sebelum motor yang diboncengnya itu
berlalu. Sekadar memberitahu walaupun dia tahu apa respons ayahnya itu.
Sebagai
seorang anak, dia sudah menjalankan tugasnya melayan ibu bapanya seadanya
walaupun dia sedar ayahnya sendiri seperti tidak suka kepadanya.
Pak
Musa hanya memandang anaknya itu sekilas. Dia terus masuk ke dalam rumah,
mencari isterinya di dapur.
“Ke
mana Sara nak pergi pagi-pagi buta macam ni?” tanya Pak Musa dalam telo
Jawanya, sedikit tegas.
Mak
Odah yang sedang membasuh pinggan di singki terhenti.
“Alah,
katanya ada temu duga kat Kolompo. Dia dengan Inalah tu. Temu duga tempat yang
sama,” jawab Mak Odah.
Dia
kembali meneruskan kerja-kerja membasuhnya itu. Ada banyak lagi kerja-kerja
rumah yang mahu diselesaikannya sebelum dia beralih untuk memasak makanan tengah
hari mereka sekeluarga.
Pak
Musa yang tidak banyak cakap serta berperwatakan serius itu memandang isterinya
sambil memikirkan sesuatu.
“Habis,
kerja dia yang kat tadika tu macam mana? Dia dah berhenti ke?” tanya Pak Musa
lagi.
“Dah
berhenti dah. Dia nak cari kerja yang sesuai dengan diploma dia tu,” jawab Mak
Odah.
Tangannya
lincah menyudahkan bilasan pinggan mangkuknya itu.
“Huh!
Sama aje. Gaji lebih pun, kalau kerja kat KL, kau ingat boleh dapat bulat-bulat
gaji penuh kau tu? Dengan nak bayar tambang kereta apilagi, duit makan minum dia, beli macam-macam lagi. Cukup ke?”
rungut Pak Musa pula.
“Alah,
biarkanlah. Tahulah dia nak hidup macam mana. Dia dah besar dah. Tak payah awak
susah-susah nak fikirkan masalah tu. Lagipun, bukan budak tu mintak duit awak
pun!” balas Mak Odah sambil menyindir pedas.
Mendengar
Mak Odah sudah mula membuka mukadimah menyerangnya secara senyap, Pak Musa
berlalu dari situ sambil merengus marah. Malas dia mahu mengambil kisah akan
hal anak perempuannya itu.
Malah,
sikap tidak pedulinya itu bukan kepada Siti Maisara seorang, dua orang lagi
anak perempuannya juga menerima nasib yang sama.
Anak-anak
juga sudah sedia maklum tentang sikap ayah mereka yang memilih kasih terhadap
kesemua anak-anaknya itu. Pak Musa lebih menunjukkan sayang kepada dua orang
anak lelakinya, Abdul Muaz dan Abdul Muin.
Tidak
pula kepada Mak Odah. Walaupun dia bermulut bising, namun kasihnya tetap sama
kepada semua anak-anaknya. Malah, kesemua anak-anaknya lebih senang berurusan
dengan Mak Odah daripada ayah mereka sendiri.