DATO’ Zack menutup
talian telefon bimbitnya.
“Hmm...
merajuklah tu!” keluhnya perlahan.
Tidak
sempat dia menjelaskan secara terpeinci akan alasannya, Ziezie telah pun
mematikan talian. Dia menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket kemejanya
semula.
Masih
lagi menunggu si isteri yang sedang bersiap. Sudah berpuluh kali Dato’ Zack
melihat jam di tangannya. Dalam masa yang sama, masih berasa bersalah kepada
Ziezie kerana tidak dapat berjumpa Ziezie seperti yang dijanjikan pada saat
akhir dan terpaksa juga memberi alasan yang agak lari sedikit daripada cerita
asalnya.
“Dato’,
kita nak gerak pukul berapa ni? Bukan apa, saya takut nanti nak meredah jammed. Kita yang lewat sampai nanti.”
Tiba-tiba Wan Safwan yang lebih mesra dipanggil Awe, pemandu peribadi Dato’
Zack, muncul.
Awe
yang berasal dari Kelantan, sudah pun berkahwin dan mempunyai lima orang anak.
Isterinya, Sapiah, juga bekerja sebagai pembantu rumah untuk keluarga Dato’
Zack. Mereka sekeluarga tinggal di rumah teres pekerja yang telah disediakan
Dato’ Zack yang terletak di belakang banglo Dato’ Zack sekeluarga.
“Hmm...
tunggu ajelah. Datin kamu tu dok bersiap dari tadi tak sudah-sudah. Tak usahlah
kamu risau. Datin kata tadi semuanya dia dah uruskan. Kita cuma datang aje,”
jawab Dato’ Zack dalam nada malas dan bosan.
Awe
tersengih-sengih melihat reaksi bosnya itu.
“Okeylah
kalau macam tu, saya tunggu di luar ajelah. Dah sedia nanti, Dato’ panggil saya
ya,” kata Awe.
“Hmm...
yalah, nanti saya panggil,” jawab Dato’ Zack.
Awe
kemudiannya terus berlalu dari situ. Dato’ Zack kembali mengeluh. Memang pada
permulaannya Dato’ Zack sudah pun berkemas-kemas menyimpan pakaiannya ke dalam
beg. Hatinya berbunga riang kerana setelah berbulan-bulan lamanya dia tidak
berjumpa Ziezie, inilah harinya dia akan menghabiskan masa bersama dengan
Ziezie.
“Eh,
yang, you nak pergi mana pulak bersiap-siap ni? Kenapa I tak tahu pulak ni?”
Tiba-tiba
Datin Kay menyergah.
“Ha,
you! I ada meeting tergemparlah kat
Langkawi. Sorry for the late notice,”
jawab Dato’ Zack sambil tergesa-gesa mengemaskan pakaiannya.
Lagi
cepat dia bersiap, lagi bagus. Malas dia mahu bersoal jawab dengan isterinya
itu.
Tiba-tiba
Datin Kay merampas baju yang dipegang Dato’ Zack dengan kasar. Pakaian yang
sudah dikemas masuk ke dalam beg habis dipunggah keluar oleh Datin Kay.
“Eh,
apa yang you buat ni, Kay!” tegur Dato’ Zack.
“You
tahu tak hari ini hari apa?” tanya Datin Kay sambil merenung tajam suaminya.
Dato’
Zack terdiam. Di dalam kepala memikir, hari apa pulak hari ini? Hari Sabtulah,
kan!
“You
dah lupa ke, hari ini our wedding
anniversary kita! Yang ke-20!” sambung Datin Kay keras.
Dato’
Zack terdiam. Alamak! Habis! Macam mana aku boleh lupa pulak ni! Gerutu hati
kecil Dato Zack.
“I
tak kira, I dah plan surprise party for
our anniversary malam ni at Vistana Hotel. I dah jemput semua kawan-kawan
kita kat parti kita tu. Kalau you tak ada malam ni... get ready for my turn. Lepas ni, kalau ada any formal function or any events, you jangan marah I pulak kalau I
tiba-tiba tak join you!” gertak Datin
Kay, walau lembut tutur katanya, namun amat berbisa pada pendengaran Dato’ Zaim.
Datin
Kay terus berlalu dari situ sambil tersenyum sinis meninggalkan Dato’ Zack
terkulat-kulat di situ.
“Ah,
parah! Kalau dia buat perangai, aku jugak yang teruk nanti! Tahun ni, aku baru
nak bertanding. Pihak lawan memang tunggu aje peluang ni. Hisy, rosak program
aku!” keluh Dato’ Zack sambil mengemas semula pakaian yang berterabur di atas
katil, masuk semula ke dalam almari.
Di
dalam kepala sempat lagi memikirkan alasan apa untuk diberitahu kepada Ziezie.
“Hisy,
leceh betul!” rungutnya dalam hati.
“Ni
nak makan malam ke, nak masuk pertandingan ratu ni?” keluhnya lagi.
Sekali-sekala
dia melirik matanya ke arah tangga yang menghubungkan ruang tamu tingkat bawah
dengan bilik di tingkat atas. Masih tiada lagi tanda-tanda isterinya sudah
bersiap dan turun ke bawah.
“Hmm...”
Terdengar lagi keluhan Dato’ Zack.
Kali
ini dengusan yang agak kuat dan panjang bernada bosan. Memang Dato’ Zack bukan
orangnya yang gemar menunggu. Di dalam dunia pekerjaan dan juga perniagaannya,
menunggu adalah merupakan satu kepantangan bagi dirinya. Semua pekerjanya faham
dengan semua prinsipnya itu. Cuma isterinya sahaja yang tidak reti-reti ingin
memahaminya dan juga mungkin boleh dikategorikan sebagai tidak menghormati
prinsipnya.
“Kalau
dengan Ziezie, dia tak pernah menghampakan aku walau dalam apa jua keadaan
sekalipun,” keluh Dato’ Zack sendirian.
Umum
mengetahui bahawa Dato’ Zack memang terkenal sebagai seorang ahli perniagaan
yang berjaya, juga terkenal sebagai family
manyang digilai oleh gadis-gadis di luar sana sehingga ada yang sanggup
mahupun rela dijadikan isteri nombor dua, tiga mahupun empat kepada Dato’ Zack.
Hakikatnya,
di sebalik sifat lelakinya yang boleh dikategorikan sebagai lelaki maco idaman
Malaya dan contoh suami mithali idaman para isteri, tersembunyi satu rahsia
skandal buat dirinya yang bergelar suami kepada Datin Kay itu.
Dato’
Zack akui bahawa dia sukar membuang perasaannya itu yang lebih tertarik kepada
isteri orang. Dia berkahwin dengan Datin Kay pun atas dasar ingin membalas jasa
baik keluarga Datin Kay yang merupakan orang yang banyak membantunya sehingga
dia menjadi orang yang disegani kini. Keluarga Datin Kay merupakan orang kaya
dan antara yang sangat berpengaruh di Malaysia ini.
Sebelum
mengenali Ziezie, Dato’ Zack pernah mempunyai hubungan sulit dengan isteri
seorang doktor. Selama dua tahun mereka menjalinkan hubungan sulit itu tanpa
pengetahuan pasangan masing-masing. Bagi Dato’ Zack, tujuannya hanya sekadar
suka-suka dan melayan nafsu haramnya, tetapi tidak pernah terfikir untuk
menjalin hubungan yang halal atas alasan masih sayangkan keluarganya.
Dato’
Zack mengenali Ziezie setahun yang lepas semasa mereka dipertemukan dalam
majlis makan malam korporat yang dianjurkan oleh pihak bank di tempat Dato’
Zack bekerja. Setakat ini Dato’ Zack melayan Ziezie seadanya lantaran faham
Ziezie sebenarnya juga hidup kesunyian kerana suaminya terlalu sibuk dengan
urusan perniagaan.
Dalam
masa yang sama, dia masih berperanan sebagai seorang suami dan bapa kepada
Adriana dan Andy sebaiknya. Menggunakan tiket kesibukannya sebagai usahawan
berjaya yang sentiasa sibuk menguruskan dan memperluaskan empayar
perniagaannya, peluang begitulah yang Dato’ Zack gunakan untuk bertemu dan
menghabiskan masa bersama Ziezie.
Walaupun
masa yang ada amat terhad dan eksklusif, namun Dato’ Zack amat bijak mengatur
perancangan agar hubungannya dengan Ziezie tidak diketahui keluarganya mahupun
pihak musuh perniagaannya.
Atas
alasan bahawa dia hanyalah seorang manusia biasa, sejauh mana dia mengawal
perasaan dan nafsu, dia tetap akan melakukannya dan dalam masa yang sama akan
cuba menyimpan rahsianya itu sebaik mungkin daripada diketahui oleh isteri dan
anak-anaknya.
“Ah,
kalau aku dah jemu dengan dia, aku blahlah! Pandai buat, pandai simpanlah!”
Dato’ Zack berkata-kata sendirian di situ.
Langsung
tidak menyedari bahawa isterinya, Datin Kay sudah ada di depan mata!
“Eh,
apa you ni? Siang-siang hari pun sempat nak mengigau!” tegur Datin Kay.
Bukan
main terkejut Dato’ Zack bila dilihatnya Datin Kay tiba-tiba sahaja berada di
depan matanya.
Alamak!
Apa yang aku cakapkan tadi ha? Dato’ Zack mula menggelabah. Hatinya mula risau.
Takut kantoi sebenarnya Dato’ ni!
“Eh,
bila you turun? Dah lama?” tanya Dato’ Zack, mengawal rasa terkejut dan gugup
bila melihat isterinya itu tiba-tiba sahaja sudah terpacak di depannya walaupun
kedengarannya seperti soalan bodoh yang ditanyakan.
“Hisy,
you mengigaulah tuh. Takkan you tak sedar I dah lama turun tadi,” jawab Datin
Kay sambil tangannya lincah memupuk bedak ke atas mukanya. Tak sudah lagi bermekap!
Haih,
selamat! Nasib baik tak kantoi! Kang tak pasal-pasal aku masuk wad ICU sebab
sakit jantung pulak nanti! Ujar Dato’ Zack dalam hati sambil mengurut dadanya
perlahan-lahan.
“Eh,
jomlah! Kita dah lambat ni. Nanti tetamu kita tertanya-tanya pulak,” kata Datin
Kay seraya terus menyimpan mekapnya ke dalam beg tangannya.
“Eh,
I dah lama ready dah ni. Cuma tunggu
you yang lama sangat bersiap!” jawab Dato’ Zack sambil terus bangun daripada
duduknya.
“Sorry! Anyway, you jangan risaulah. I
dah suruh PA you, Maira, uruskan semuanya,” balas Datin Kay sambil tersenyum.
“Oh,
you dah kowtim dengan PA I ya. Hmm...
dahlah, jom kita gerak sekarang,” kata Dato’ Zack.
Dalam
masa yang sama, Dato’ Zack mengucapkan syukur kerana isterinya tidak bertanya
lanjut tentang alasan meeting
tergempar di Langkawi itu. Takut juga dia jika isterinya akan bertanyakan PAnya
nanti. Sedangkan Maira memang tidak tahu mengenai meeting ini mahupun tentang hubungannya dengan Ziezie.
MEREKA tiba di Hotel
Vistana tepat pada jam 8.00 malam. Ramai juga tetamu yang terdiri daripada
rakan-rakan rapat Dato’ Zack dan juga Datin Kay, rakan-rakan perniagaan Dato’
Zack yang menghadiri majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka berdua.
Dato’
Zack menarik nafas panjang. Rupanya isterinya telah merancang sebegini rapi
untuk majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Hatinya menjadi lebih
teruja apabila melihat para tetamu yang datang semuanya terdiri daripada
kenalan yang banyak menyokong penglibatan terbarunya ke dalam dunia politik.
Untuk semua ini, Dato’ Zack amat berasa
bersyukur atas idea bijak isterinya dan segala pengurusan yang rapi yang diatur
oleh PAnya. Dengan pertemuan begini, semuanya ini secara tidak langsung akan
membantu mempromosikan nama Dato’ Zack di mata umum.
Dalam
pada itu, sempat juga Dato’ Zack memandang sekeliling mencari kelibat PAnya,
Maira. Baru dia perasan, Maira sedang berbincang sesuatu dengan pengacara
majlis di sudut dewan makan hotel itu. Dato’ Zack pasti isterinya telah
mengaturkan sesuatu untuk majlis mereka ini.
Bertemakan elegant, tidak dinafikan walaupun majlis ulang tahun perkahwinan
pasangan ini dijalankan di dalam suasana yang sederhana, tetapi ia tetap
meriah. Lebih-lebih lagi, rata-rata tetamu hadir mengikut tema yang
ditetapkan.
Sebaik pasangan yang diraikan tiba
di pentas utama di hadapan para tetamu, tiba-tiba lampu ditutup. Lampu sportlight menyala dan terus menghala ke
arah Dato’ Zack dan Datin Kay. Semua mata tertumpu ke arah pasangan yang
diraikan yang berada di atas pentas utama.
Datin Kay sememangnya seorang yang
anggun dan bijak berfesyen, sesuai dengan usianya yang sudah memasuki usia
pertengahan 40-an. Datin Kay begitu bergaya dengan gaun malam yang labuh
mengikut bentuk badan berwarna hitam yang mempunyai ropol-ropol di bahagian
dadanya. Gaun hitam yang mempunyai sedikit corak abstrak berwarna silver dan sedikit bling-bling bertaburan di atas corak abstrak itu memang
menyerlahkan lagi keanggunan Datin Kay.
Begitu juga dengan Dato’ Zack yang
tidak kurang hebat juga. Bertuksedo hitam dengan baju kemeja bahagian dalam
berwarna silver. Ditambah dengan gaya
ala-ala Romeo, di mana butang baju kemeja silvernya
itu dibiarkan terbuka hingga menampakkan sedikit bulu dadanya.
Walaupun umur Dato’ Zack sudah
memasuki usia 50-an, namun dia masih lagi kelihatan segak bergaya dan hebat,
membuatkan ramai wanita di luar sana menahan perasaan bila mendapat tahu Dato’
Zack sentiasa mewar-warkan kepada media bahawa dia adalah seorang yang sangat
setia kepada seorang isteri. Hmm... Setialah sangat!
Tiba-tiba,
terdengar alunan muzik dan kemudiannya muncul penyanyi Anuar Zain dan terus
berdiri di tengah-tengah antara Dato’ Zack dan Datin Kay. Kemunculan Anuar Zain
yang dianggap surprise itu mendapat
tepukan yang gemuruh daripada para hadirin. Anuar Zain menyanyikan lagu
popularnya iaitu Keabadian Cinta. Mendengar alunan suara yang dibawa oleh
penyanyi terkenal itu memang benar-benar membuaikan perasaan sesiapa sahaja.
“Diucapkan
selamat ulang tahun perkahwinan buat pasangan bahagia ini iaitu Dato’ Zack dan
Datin Kay. Harapan kami semua agar perkahwinan Dato’ dan Datin kekal hingga ke
akhir hayat. Semoga berbahagia selalu,” ujar Anuar Zain sebaik selesai
mengalunkan lagunya.
Serentak
itu semua hadirin bertepuk tangan dan dalam masa yang sama seorang pekerja
hotel datang membawa sebuah troli yang mana di atasnya tersergam indah sebiji
kek yang agak besar berbentuk dua hati yang melekat di antara satu sama lain.
Kek hati yang berwarna pink dan
mempunyai hiasan bunga-bunga ros merah segar, sangat cantik dan mendapat
tumpuan para hadirin.
Pengacara
majlis meminta Dato’ Zack dan Datin Kay memotong kek. Mereka berdua kelihatan
sangat gembira. Selesai upacara memotong kek, sekali lagi pengacara majlis
meminta para hadirin diam seketika kerana dia akan mengumumkan suatu perkara
yang penting. Mendengar kata-kata daripada pengacara majlis itu, semua hadirin
senyap seketika dan menumpukan perhatian kepada pengacara majlis.
Dalam
masa yang sama, Dato’ Zack juga berdebar-debar, apakah pengumuman yang bakal
diberitahu nanti? Ah, jangan yang macam-macam sudah! Getus hati kecilnya, masih
berprasangka buruk kepada isterinya.
Cepat-cepat
dia kembali sedar daripada prasangkanya kerana memikirkan dirinya sendiri yang
patut malu kerana tidak mahu mengambil tahu langsung tentang tarikh perkahwinan
mereka. Sehingga membiarkan isterinya yang menguruskan sendiri majlis mereka
ini.
“Hadirin
sekalian, sempena sambutan majlis ulang tahun perkahwinan Dato’ Zack dan Datin
Kay ini, our sweet couple ini telah
bermurah hati mendermakan wang tunai sebanyak RM30,000.00 kepada Masjid Al-Azim
di Kampung Setia Kasih bagi tujuan penambahbaikkan masjid itu. Untuk makluman,
Kampung Setia Kasih adalah salah satu kawasan dalam mukim atau kawasan yang
bakal Dato’ Zack naungi sekiranya beliau menang dalam pertandingan pilihan raya
DUN pada penghujung tahun ini. Kita beri tepukan kepada pasangan ini. Moga-moga
di atas kemurahan hati pasangan ini akan dibalas dengan rezeki yang melimpah
ruah.” Pengacara majlis mengumumkan.
Serentak
itu, tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan makan Hotel Vistana itu. Dato’ Zack
memandang Datin Kay dengan perasaan terharu. Tidak menyangka isterinya sebijak
itu mengatur strategi dengan menggunakan majlis malam ini sebagai tiket dia
melobi untuk dia bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Sepantas
itu juga, Dato’ Zack mencium pipi isterinya sambil berbisik di telinga, “You are brilliant! Thank you so much! I owe
you one!”
Datin
Kay juga membalas ciuman suaminya sambil turut berbisik di telinga suaminya, “You welcome. Thanks for attending this event.”
Mereka
berdua saling berbalas senyuman dalam pengertian masing-masing.
Mereka
berdua kemudiannya turun dari pentas utama dan sama-sama menyertai para
jemputan sambil berbual mesra melayani mereka.
“Wah,
Dato’! Tahniah! It’s a brilliant strategy
Dato’! Congrats!” ucap Dato’ Amir sambil berjabat tangan dengan Dato’ Zack.
Dato’
Zack hanya ketawa senang.
“You are welcome! Well, semua ni adalah
harapan dan niat my wife. Tak
salahkan kalau kita bersedekah kepada mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Zack
sambil tersenyum.
Pandangannya
tertumpu kepada Datin Kay yang sedang sibuk berbual dengan teman-temannya di
meja sebelah.
“Lepas
ni, our Dato’ Zack confirm menang
peringkat bahagian. And then,boleh
bertanding peringkat parlimen pulak. Wah, kalau ada rezeki, esok-esok boleh
jadi MB!” giat Dato’ Steven Chia.
Semua
Dato’- Dato’ yang berada di dalam kumpulan itu ketawa besar.
Dato’
Zack hanya ketawa. Hatinya amat puas dan gembira. Namum, dalam masa yang sama
dia juga perlu berhati-hati kerana di dalam dunia politik, konsepnya adalah
sama juga seperti di dalam dunia perniagaan kerana di mana-mana pun situasi,
pasti ada juga terselit gunting dalam lipatan. Ada sahaja musuh yang ingin
melihat dia jatuh.
Dalam
ketawa riang dan ucapan tahniah, Dato’ Zack percaya tidak semua mereka adalah
ikhlas menyokongnya. Pasti ada antara mereka mempunyai agenda tersendiri.
Begitulah lumrah kehidupan!
Dalam
waktu yang sama, Dato’ Zack mula memikirkan tentang hubungannya dengan Ziezie.
Dia tidak mahu reputasinya yang semakin naik ini terjejas dengan skandal
hubungannya dengan Ziezie. Dato’ Zack mempunyai harapan yang tinggi dalam
politik yang baru diceburinya itu. Dia mempunyai impian yang besar untuk
empayar perniagaannya.
Namun,
dalam masa yang sama, dia tidak mahu Zaim pengurus auditnya, satu-satunya orang
yang telah mengetahui tentang dirinya memanjangkan cerita mengenainya. Dia
perlu bertindak sebelum Zaim bertindak lebih bijak daripadanya.
Zaim
merupakan satu ancaman untuk dirinya yang tidak boleh dipandang ringan. Dato’
Zack sedar Zaim mempunyai ramai kawan-kawan yang berpengaruh. Jika Zaim
membocorkan skandalnya itu, maka akan terbongkarlah segala-galanya. Zaim perlu
dihapuskan!
It’s time now to
end-up all this! I don’t want to lose this opportunity just because of him. No
way!
Keras suara hati Dato’ Zack memuktamadkan keputusannya.
Kalau
dah banyak duit, segala-galanya boleh diatur. Membuat dan mengubah keputusan
umpama memilih tempat makan yang digemari. Kalau tak suka, boleh cari kedai
makan lain. Namun, bila nakkan sesuatu walau payah sekalipun, sanggup lakukan
apa saja cara, asalkan apa yang dihajati terlaksana.
Besar
sungguh kuasa duit ni. Dan manusia, sanggup menggadaikan maruah dan menjadi
hamba duit demi mengejar nikmat dunia yang tidak pasti bahagianya. Masya-ALLAH.