ZAIMduduk bersantai
di ruang tamu kondo kediamannya. Inilah tempat yang paling digemarinya apabila
duduk berehat dan bersantai jika hari cuti atau tiada aktiviti yang
dilakukannya. Apatah lagi dengan ditemani alunan muzik jazz mahupun irama sentimental. Ditambah dengan air kopi panas satu
muk besar sebagai peneman setia. Memang layan suasana begini!
Tidak
perlu menonton televisyen yang baginya akan mengganggu ketenangannya apatah
lagi jika terdengar dan terlihat berita-berita kemalangan, pembunuhan, rompakan
mahupun nasihat-nasihat agama daripada ustaz-ustaz dan pakar-pakar motivasi
yang terkenal.
Bukan
tidak mahu mendengar atau menerima nasihat, tetapi baginya pengakhiran sebuah
teguran atau nasihat, sudah pasti dirinya dipersalahkan. Dirinya yang tidak
betul. Dirinya itu, dirinya ini! Zaim bosan.
Mengapa
setiap apa yang telah berlaku pada dirinya, dia juga yang dipersalahkan?
Mengapa tidak ada seorang manusia pun yang mahu memahami dirinya? Mengapa tidak
ada seorang pun yang mahu mengambil tahu mengapa dia jadi begini? Jika ada pun
yang mahu cuba menasihatinya, semuanya menasihatkan dia agar berubah. Namun,
tidak ada seorang pun yang memberi jalan mahupun panduan bagaimana dia ingin
berubah!
Huh!
Zaim mengeluh lagi. Sekadar nasihat dan menegur, semua orang boleh berkata apa
sahaja. Cuba dia orang di tempat aku, apa yang dia orang akan buat? Gerutu hati
Zaim.
Zaim
sendiri pun tidak minta dilahirkan begini, malah dia sendiri tidak tahu mengapa
dia dikurniakan perasaan sebegini dan sejak bila ia bermula. Memilikinaluri yang lebih bersifat feminin
walaupun dari segi penampilan dan pemakaiannya, Zaim tetap nampak seperti
lelaki yang tulen.
Zaim sudah terbiasa menerima gelaran
lelaki lembut daripada kawan-kawannya sama ada semasa zaman kanak-kanak,
persekolahan hinggalah zaman pekerjaannya. Memang Zaim akui, dahulu semasa
zaman persekolahan, perwatakannya yang sopan itu kadang-kadang mengalahkan
budak perempuan.
Namun, percakapannya yang lembut
sentiasa pula disenangi oleh budak-budak perempuan berbanding budak-budak
lelaki. Justeru itu, kawan-kawannya semuanya terdiri daripada budak-budak
perempuan. Biasanya, budak-budak lelaki lebih gemar mengejeknya sotong.
Semuanya itu tidak diendahkannya.
Bila usianya meningkat seiring
kematangan pemikirannya, Zaim mula menukar imejnya. Apatah lagi dengan
kerjayanya yang mantap, dia bisa bergaya mengikut kehendak hatinya. Apa yang
Zaim tahu, dia bukannya pondan dan bukannya gay.
Dia tetap lelaki yang sejati, cuma lebih sopan berbanding lelaki yang normal.
Untuk itu, Zaim cuba-cuba mengubah
dirinya menjadi lelaki metroseksual seperti lebih terarah kepada obses dengan kecantikan
dirinya seperti menjaga kulit wajah, bentuk badan, menyukai wangi-wangian dan
bedak dan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan
kecantikan dirinya. Itulah mulanya dia digelar Mat Jambu atau Pretty Boy di
kalangan rakan-rakannya.
Namun, dalam masa yang sama, Zaim
tetap akan lebih terasa hati jika ada di kalangan rakan-rakan memanggilnya
dengan panggilan yang kasar. Bagi Zaim, dia juga adalah lelaki normal,
diciptakan untuk menjadi lelaki dan Zaim bersyukur dengan kurniaan yang telah
diberi. Cuma, kelembutan yang ada pada dirinya tidak dapat disembunyikan walau
dia cuba juga berlagak menjadi lelaki maco.
Pengalaman cintanya ditolak
mentah-mentah oleh seorang gadis yang diminatinya itu telah mematikan langsung
hatinya kepada semua yang bergelar perempuan. Bukan sahaja cintanya ditolak,
malah dia dimaki dan disindir habis-habisan, seolah-olah dirinya tidak layak
langsung untuk mendapatkan cinta daripada seorang perempuan.
Hati Zaim memang tersentap dan
terhiris, namun selepas peristiwa yang menyakitkan hatinya itu, keadaan telah
bertukar. Dirinya bagai sentiasa mendapat perhatian daripada ramai lelaki.
Ramai lelaki cuba meraih perhatiannya walau semua orang tahu keadaan dirinya
yang lembut. Zaim terasa dirinya disayangi dan ada orang yang sudi mengambil
tahu tentang dirinya.
Semenjak itu, hati Zaim memang kaldu
kepada mereka yang berlainan jenis daripadanya. Buat apa aku nak merendahkan
maruahku hanya sekadar menagih cinta daripada seorang perempuan yang ego dan
tak berperasaan, sedangkan aku boleh senang-senang mendapat perhatian dan terasa
disayangi daripada lelaki-lelaki yang memahami jiwaku!
Malah, aku yang begini boleh
membuatkan lelaki-lelaki idaman wanita berpaling dan memberi kasih dan
perhatian mereka kepadaku. Jadi, mengapa mesti aku kisah dengan ejekan manusia
kepadaku? Itu kata hati Zaim.
Berdendamkah dia kepada semua
golongan wanita? Entah! Zaim sendiri tidak tahu. Malas dia mahu memikirkan.
Mungkin dia masih belum berjumpa dengan gadis yang benar-benar membuka hati
lelakinya. Apa yang mahu difikirkan dan apa yang mahu dikenang adalah
momen-momen indah dirinya bersama lelaki-lelaki yang menyayanginya.
Amir, lelaki pertama yang telah
melorongkan hatinya menyayangi seorang lelaki. Ketika itu Zaim masih di tingkatan
dua, bersekolah asrama penuh. Pada Zaim,
Amir yang sebaya dengannya ketika itu merupakan seorang lelaki yang sempurna
dan selalu nampak cool.
“Hai, baca magazine apa tu? Khusyuk benar saya tengok.”
Itulah ayat pertama daripada Zaim
ketika memulakan perbualan dengan Amir di perpustakaan sekolah dahulu sehingga
melanjutkan perkenalannya dengan Amir. Amir hanya tersenyum dengan teguran itu.
“Selalu juga saya nampak awak
sorang-sorang kat library ni.
Petang-petang pulak, awak selalu main tenis dengan kawan-kawan yang lain, kan?” pancing Zaim.
Saja tunjuk yang dia memang prihatin
tentang segala yang Amir buat. Memang pun!
Mendengar kata-kata Zaim, Amir
terkejut.
“Wah! Nampaknya, selalu jugaklah
awak perhatikan saya ya!” gurau Amir.
Akhirnya mereka berdua tertawa.
Begitulah seterusnya, persahabatan mereka dari sehari ke sehari menjadi rapat.
Ke mana sahaja, mereka pasti berdua.
Menjadi lelaki lembut terutama bila
tinggal di asrama sangat mencabar bagi diri Zaim. Sayang Zaim pada Amir semakin
bertambah apabila Amir bertindak sebagai pelindung dirinya daripada dibuli dan
diejek rakan-rakan. Kawan-kawan asrama pula seakan-akan merestui persahabatan
rapat mereka. Sehingga ada yang menggelarkan Zaim sebagai Jambu Amir. Di pihak Zaim pula, dia mula terasa dihargai,
dimanjai, diberi perhatian dan rasa disayangi.
Zaim mula dibuai rasa angau bila
setiap kali tidak dapat bersua muka dengan Amir. Jiwanya jadi kacau bila ada
kalanya Amir tidak memberi perhatian kepadanya. Perasaan yang dialaminya tidak
ubah seperti remaja normal yang sedang mula belajar bercinta.
Sememangnya baik Zaim mahupun Amir,
mereka tidak pernah membicarakan tentang perasaan masing-masing. Namun, naluri
Zaim berat mengatakan Amir juga berperasaan yang sama dengannya.
Namun, saat mereka sama-sama di tingkatan
tiga, mereka terpaksa komited dengan peperiksaan besar pada tahun itu. Amir
mula menjauhkan diri dan kurang memberi perhatian kepada Zaim lagi. Sekali dua Zaim
masih boleh bertahan, namun bila terang-terang Amir memang sengaja menjauhkan
diri daripadanya, Zaim terpaksa mengalah. Sedar tentang siapa dirinya dan tidak
mahu menganggap dirinya murahan di mata Amir, Zaim juga menyepikan diri walau dalam
hatinya masih tetap menyayangi diri Amir.
Begitulah seterusnya sehinggalah
mereka berdua di dalam tingkatan lima. Persahabatan yang akrab semakin
renggang. Jika mereka terserempak di mana-mana pun, Zaim mahupun Amir menjadi
seperti orang asing. Malah, segan mahu bertegur sapa. Pada hari akhir
peperiksaan SPM, Amir datang bertemu dengan Zaim.
“Aku... aku nak mintak maaf atas apa
yang berlaku dan sepanjang aku mengenali kau!” kata Amir perlahan.
Kepalanya tertunduk memandang ke
bawah, tidak berani bertentang mata dengan Zaim.
“Kau tak ada salah apa-apa pun kat
aku, Amir. Well,aku faham apa yang
kau rasa. Aku jugak patut mintak maaf kat kau,” sambut Zaim pula.
“Aku harap, kau lupakan apa yang
telah berlaku antara kita. Anggap saja apa yang kita alami dan lalui itu sebagai
satu perasaan normal bagi seorang remaja walau kita sendiri tak tahu mengapa
rasa itu singgah pada hati yang salah. Aku suka berkawan dengan kau dan selepas
ni, kita hanya berhubung atas nama kawan sahaja dan tak lebih daripada tu.”
Amir menuturkan kata-kata itu dengan berhati-hati, bimbang Zaim akan berkecil
hati atau tersinggung dengan kata-katanya itu.
Zaim memandang Amir. Dia tersenyum
sinis.
“Terima kasih atas persahabatan ni,
Amir. Ya, semua orang ada hati dan perasaan masing-masing. Biarlah aku dengan
caraku sendiri. Aku doakan kau berjaya selepas ini dan beroleh kebahagiaan yang
kau cari,” kata Zaim.
Biarlah dia sahaja yang tahu apa
yang ada dalam hatinya pada saat itu.
“Untuk pengetahuan kau, semua
kad-kad birthday wish yang kau bagi
pada aku tiap-tiap tahun, masih elok dalam simpanan aku. Kau memang kawan yang
paling istimewa dalam hidup aku. Aku akan terus simpan kad-kad tu,” ujar Amir
sebelum melangkah pergi.
Tuhan sahaja yang tahu bagaimana
remuknya hati Zaim ketika itu.
“Hmm...” Terdengar Zaim mengeluh.
Dia memandang sekeliling. Tersedar
yang dia masih berada di ruang tamu rumahnya. Tiba-tiba terdengar dentuman
guruh berbunyi dari luar. Zaim segera bangun dan menuju ke tingkap yang menghadap
balkoni apartmennya itu. Diselak langsir yang menutupi pintu itu.
“La, hujan lebat rupanya. Tak sedar
aku hari dah hujan,” kata Zaim.
Dia memandang langit hitam yang
menutupi awan. Hujan lebat beserta guruh dan angin kuat itu memaksa Zaim
menutup langsir tingkapnya. Zaim kembali semula ke sofa Cleopatranya itu. Sofa
kegemarannya di kala badannya mahu berehat melepaskan penat lelah bekerja
seharian di pejabat.
Hujan-hujan begini, mengingatkan
Zaim tentang seseorang. Razak! Teman rapatnya sewaktu belajar di UiTM dahulu.
Fikirannya menerawang menerjah ke nostalgia lama. Nostalgia 15 tahun dahulu.
“Nak tumpang?” tegur seorang lelaki
berbadan tegap menghampiri Zaim dengan memakai payung besar.
Zaim yang sudah separuh badan basah
terkena hujan walaupun berlindung di bawah gazebo itu terkejut dengan kehadiran
lelaki itu. Dia memandang lelaki tegap itu atas bawah.
Aik, abang maco gini pun bawa
payung? Aku yang lembut-lembut gini pun
tak suka bawa payung ke mana-mana! Zaim tertanya-tanya dalam hati.
“Helo, nak tumpang payung pun nak
kena fikir dulu ke? Nak ke tak nak? Saya nak ke dewan kuliah ni. Kalau nak
tumpang, jomlah sekali,” pelawa lelaki itu lagi.
Zaim tersengih. Eh, mamat ni, macam
kenal aku dah lama pulak! Aku sendiri pun tak kenal dia. Zaim masih
berkira-kira sama ada mahu menumpang payung bersama atau tidak.
“Okeylah, saya pelawa aje ni. Kalau
tak nak, tak apa,” kata lelaki itu sambil mahu beredar dari situ.
“Eh, nanti. Saya tumpanglah!” jerit
Zaim sambil terus merapatkan dirinya berhampiran lelaki itu.
“Saya Razak. Panggil aje, Ajak!” Lelaki
itu memperkenalkan dirinya sambil mereka berjalan perlahan di bawah payung yang
sama.
Hujan yang lebat tadi semakin
berkurangan lebatnya.
“Saya Zaim. Awak dari course apa ya? Saya tak perasan awak
sebelum ni,” ujar Zaim.
Dia cuba mempercepatkan langkahnya
agar dirinya seiring berjalan dengan Razak.
“Betul awak tak perasan saya? Saya
dah lama perasan awak. Selalu perhatikan awak. Awak dari course accounting, kan?
Tahun ni, tahun akhir, kan?”
Zaim terkejut.
“Eh, macam mana awak tahu banyak
perkara pasal saya ni?” tanya Zaim ingin tahu.
Razak ketawa.
“Adalahh...” jawab Razak sambil
tersenyum penuh makna.
Zaim tertanya-tanya sendiri. Hendak
bertanya lebih-lebih, takut dikata perasan pula. Sudahnya, Zaim mendiamkan
diri. Sementara Razak pula tersengih-sengih menambah provokasi kepada Zaim.
“Tak payahlah buat muka cute macam tu. Okeylah, for your information, saya selalu
perhatikan awak dan selalu jugak ikuti perkembangan awak melalui kawan awak,
Zaza the vogue tu. Dialah informer saya selama ni,” terang Razak
sambil memandang Zaim.
Terus sahaja Zaim tersipu malu. Kalau
Zaza the vouge itu, Zaim kenallah! Zaza atau nama sebenarnya
Zaharul memang terkenal di kalangan mereka di UiTM itu. Zaza yang ala-ala adik-adik
itu memang suka memakai baju pink,
seluar putih, kasut putih dan rajin juga membawa payung berwarna pink!
Kadang-kadang, suka melaram dengan
memakai cermin mata berbingkai pink.
Pelajar seni hiasan dalaman itu memang tidak kisah menerima ejekan daripada
rakan-rakan seasrama mahupun rakan-rakan kuliah. Mungkin dia sudah biasa
menerima semua ini semenjak dari zaman persekolahan dahulu.
Zaim memandang Razak yang berjalan
seiring dengannya. Entah mengapa sejak dari awal disapa oleh Razak tadi, hati
Zaim seakan-akan sudah melekat kepada Razak. Gayanya yang bersahaja dan maco,
dengan bentuk fizikalnya yang Zaim rasa pasti menjadi idaman para gadis serta
pembawaan diri Razak yang berkarakter itu membuatkan hati Zaim semakin cair.
Itulah detik perkenalan Zaim dengan
Razak yang membawa keakraban yang semakin erat selepas itu. Bersama Razak, Zaim
berasa dilindungi dan dihargai. Razak, pelajar Kejuruteraan Kimia tahun kedua
itu memang sentiasa bersama Zaim walau di mana sahaja.
Zaim benar-benar menyayangi Razak.
Masakan Zaim ingin melepaskan Razak begitu sahaja sedangkan Razak yang
sememangnya seorang pelajar lelaki yang menjadi rebutan para pelajar perempuan
di UiTM itu datang sendiri menyerah diri kepadanya. Razak yang memang seorang straight guy boleh sudi rapat dengan
orang sepertinya.
Bagi Zaim, Razak bukan melakukan
perkara bodoh, tetapi Zaim menganggap ia satu anugerah kepada orang sepertinya.
Untuk itu, Zaim memang bertekad akan cuba menjaga perhubungan mereka itu
sebaik-baiknya.
Sehinggalah Zaim menghabiskan
pengajian akhirnya di UiTM itu dan Zaim terpaksa meninggalkan Razak yang masih
di tahun kedua pengajian. Kemuncak perhubungan mereka menjadi semakin tawar
bila Zaim sudah mula bekerja di sebuah bank dan masanya amat terhad bila
bersama dengan Razak. Setiap kali berjumpa di hujung minggu, mereka sering
bertengkar sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati masing-masing.
Pengakhirannya, Razak telah meminta perhubungan mereka itu dihentikan setakat
itu sahaja.
“Kenapa Ajak? Awak dah ada somebody ke?” tanya Zaim.
“Bukan begitu awak. Tapi, saya rasa
apa yang kita buat selama ini adalah salah. Perhubungan kita ni tak ke mana
pun,” kata Razak dengan nada tegas.
“Kenapa sekarang baru awak nak fikir
salah ke tak? Masa mula-mula awak nak kawan dengan saya, ada awak fikir pasal
ni semua?” tanya Zaim sedikit meninggi.
Razak mengeluh. Dia meramas-ramas
rambutnya. Memandang Zaim lama sambil menggeleng. Razak cuba mencari kekuatan
untuk meluahkan segalanya kepada Zaim.
“Awak, saya akui, saya memang silap
memulakan perhubungan ini. Saya datang kepada awak ketika hati saya benar-benar
hancur dilukai oleh ex-girlfriend
saya. Saya memang frustgila dengan ex saya masa tu...” Razak terhenti
seketika.
Zaim membisu seribu bahasa. Memberi
peluang Razak meluahkan perasaannya.
“Tapi dengan awak, awak memang
mempunyai tarikan tersendiri. Saya tak tahu nak describe macam mana. Dengan awak, saya rasa dihargai dan disayangi.
Saya memang senang bersama awak, suatu perasaan yang saya tak dapat bila saya
bersama dengan ex-girlfriend saya. Tapi,
awak, sayangnya kita tak boleh bersama. Hubungan ini takkan ke mana
pengakhirannya. Kita ada agama, awak.”
Entah mengapa kata-kata terakhir
daripada Razak itu membuatkan Zaim merasa jengkel. Hipokrit sungguh lelaki ini.
Detik hati Zaim. Ayat yang sememangnya Zaim dapat jangkakan akan keluar dari
mulut Razak. Menggunakan agama adalah ayat selamat dalam menyelamatkan keadaan.
“Dan, seterusnya ayat yang akan awak
cakap, anggaplah hubungan atau persahabatan kita ini adalah satu kesilapan.
Betul tak, awak?” tanya Zaim sambil merenung tajam kepada Razak.
Razak tidak berani memandang tepat
ke mata Zaim. Dia mengeluh sendiri dan jauh di sudut hatinya mengakui akan
kata-kata Zaim sebentar tadi.
Zaim sudah bangun daripada duduknya.
Hatinya benar-benar sakit, namun cuba bertahan agar dia tidak menunjukkan amarahnya
kepada Razak. Untuk apa? Tidak ada gunanya lagi Zaim memanjangkan cerita. Zaim
sudah mahu melangkah pergi meninggalkan Razak, namun sempat ditahan Razak.
“Awak, awak marahkan saya ke? Awak,
saya mintak maaf. Saya...”
“Sudahlah, Razak! Tak payah nak mintak
maaf bagai. Klise sangat dah di pendengaran saya ni. Saya doakan awak bahagia
selepas ni dan berjaya dalam setiap apa yang awak impikan. Saya pergi dulu,”
kata Zaim tegas.
Habis sahaja ayat itu, Zaim terus
melangkah pergi meninggalkan Razak tanpa menoleh ke arah Razak lagi. Zaim
sebenarnya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan perhubungan mereka itu.
Apa yang hendak dipertahankan lagi? Kalau masuk mana-mana pertandingan merebut
pasangan pun, seratus peratus Zaim yang akan menerima kekalahan.
Ini bukan negara barat di mana kalau
Zaim masuk pertandingan itu, ada kemungkinan Zaim berpeluang memperolehi
kemenangan. Zaim memang sedar tentang hakikat itu dan dia sendiri pun tidak
pernah mahu mempertikaikannya. Biarlah, terima sahaja takdir yang telah ditentukan!
Pujuk hati Zaim sendiri.
Dooommmm!
Terdengar bunyi guruh bertentum di
luar, sekali gus mematikan terus lamunan Zaim yang panjang.
Zaim mengeluh lagi. Pasti hujan
lebat ini akan berpanjangan. Fikir Zaim. Bagaimana ketidaktentuan cuaca di luar
sana, begitu jugalah kecelaruan jiwa dan perasaan Zaim ketika ini.
Zaim sendiri tidak tahu apakah
penamat kisah hidupnya itu. Apa yang pasti, Zaim harus meredah sahaja kehidupan
yang mencabar ini biarpun masyarakat menyalahanggap tentang status dirinya.
Yang penting, dia tidak menyusahkan kehidupan orang lain. Zaim tidak mahu
memikirkan apa yang bakal berlaku kepada dirinya dan takdirnya.