MAKOdah baru sahaja
selesai memberi salam kirinya usai Solat Zohor apabila terdengar pintu rumah diketuk
bertalu-talu. Terkial-kial Mak Odah bangun dan agak panik kerana pintu diketuk
agak kuat. Mak Odah tidak pasti mahu membuka kain telekungnya dahulu atau terus
membuka pintu.
“Eh,
sekejap, sekejap. ALLAH, lutut aku! Nanti!” jerit Mak Odah dari biliknya.
Dalam
usianya yang begini, pergerakannya sudah agak terbatas. Hendak bangun pun
mengambil masa yang agak lama kerana Mak Odah sudah lama mengalami sakit lutut.
“Hisy,
yang orang ni, tak reti ke nak bagi salam dulu! Nak roboh pintu rumah aku
dibuatnya!” rungut Mak Odah sambil berjalan perlahan menuju ke pintu.
Sudahnya,
Mak Odah tidak jadi menanggalkan kain telekungnya itu. Dia terus menuju ke
pintu dan membuka selak pintu dari dalam.
Sebaik
Mak Odah membuka pintu rumah, Abdul Muin terus merempuh masuk, melanggar Mak
Odah yang berada di tengah pintu tanpa memberi salam. Mak Odah jatuh terduduk
dek rempuhan Abdul Muin itu.
“Ya
ALLAH! Apa hal kau ni, Muin? Sampai mak pun kau langgar ni?” jerit Mak Odah
sambil terkial-kial bangun dari jatuhnya itu.
Abdul
Muin yang selamba dan tanpa mempedulikan emaknya itu terus ke dapur.
“Mak
lambat sangat bukak pintu! Aku laparlah!” balas Abdul Muin kasar dari arah
dapur.
Terdengar
bunyi pinggan dan cawan berlaga dan dihentak kuat. Sudah pasti Abdul Muin
mengambil sendiri lauk dan nasi untuk dirinya.
“Yang
kau ni masuk rumah macam perompak, dah kenapa? Ni dah berapa bulan kau tak
menjenguk mak kat sini, tiba-tiba kau muncul ni apa hal? Dah tak ada duitlah tu,
kan?” sergah Mak Odah.
Dia
duduk di kerusi menghadap Abdul Muin yang sedang makan.
“Ha,
pandai pun mak. Macam tahu-tahu aje aku ni balik sebab apa,” balas Abdul Muin
dengan selamba.
Dia
tersengih sambil menjilat-jilat jarinya. Nasi dan lauk sudah licin di pinggan.
Mak
Odah memandang atas bawah anak bujangnya itu. Walau geram dan sakit hati dengan
kelakuan biadab anaknya itu, namun nurani keibuannya sayu melihat fizikal
anaknya itu. Tubuh Abdul Muin sangat kurus dan berpipi cengkung. Matanya
cengkung ke dalam dan tanda lingkar matanya besar kehitaman. Rambutnya panjang
ke bahu, kusut-masai. Giginya kuning. Dek kerana badannya yang kurus,
tulang-tulang kelihatan menonjol di bahagian dada.
Masya-ALLAH,
dulu kaulah satu-satunya anak mak yang comel dan montel. Badan kau
berketak-ketak berisi dan bulat. Semua orang geram kat pipi kau yang tembam tu.
Kenapa kau jadi begini sekarang? Keluh Mak Odah dalam hati. Hiba Mak Odah
melihat fizikal anaknya sekarang.
Mak
Odah tahu, Abdul Muin adalah penagih tegar. Sewaktu Abdul Muin masih tinggal di
rumah ini, Mak Odah pernah ternampak Abdul Muin sedang menghisap najis itu di
dalam biliknya. Terjerit-jerit Mak Odah menyuruh Abdul Muin membuang benda itu,
namun apakan daya, sewaktu itu Abdul Muin memang sedang di bawah pengaruh dadah
dan sedang khayal terawang-awangan.
Bila
Abdul Muin keluar bekerja, Mak Odah mengambil kesempatan menggeledah almari
Abdul Muin, tetapi tidak berjumpa apa-apa. Tidak sangka pula, selepas kejadian
Abdul Muin cuba memeras ugut Mak Odah meminta wang, Abdul Muin terus keluar
dari rumah itu. Dan kini, setelah beberapa bulan, Abdul Muin muncul semula. Mak
Odah yakin, Abdul Muin pasti ingin meminta wang daripadanya.
“Mak!
Mak! Berangan ke apa orang tua ni!” sergah Abdul Muin.
Dia
mengibas-ngibas tangannya di hadapan muka Mak Odah.
Mak
Odah terkejut sambil beristighfar. Fikirannya melayang sebentar tadi.
“Kau
nak apa ni, Muin?” tanya Mak Odah.
“Hek
eleh orang tua ni! Dah tahu, tanya lagi aku kenapa? Ha, apa lagi, bagilah!”
ujar Abdul Muin kasar dengan suara yang nyaring.
“Aku
mana ada duit, Muin! Bapak kau dah lama tak balik. Duit belanja rumah dan
semuanya ditanggung Sara! Mana aku ada duit,” jawab Mak Odah sayu.
“Eh,
Sara tu kan kerja bank. Duit dia banyak mak oii! Setakat belanja dapur dan
makan kau orang, berapalah sangat. Tak luak gaji dia tu! Mak yang tak reti
mintak lebih kat Sara tu,” kata Abdul Muin.
“Kesianlah
adik kau tu, Muin. Macam-macam dia nak bayar dan nak tanggung. Keperluan diri
dia sendiri pun dia sanggup ketepikan. Yang kau dah bekerja lama kat kilang tu,
takkan tak cukup-cukup nak beli benda haram tu sampai nak mintak kat orang lain
pulak!” Mak Odah sudah naik angin.
Abdul
Muin terdiam. Sudah lama dia tidak bekerja gara-gara dia tertangkap oleh
penyelia kilangnya ketika dia sedang khayal melayan benda haram itu di stor
kilangnya. Dia juga tidak lagi duduk menyewa kerana dihalau oleh rakan
serumahnya akibat tidak membayar duit sewa rumah.
Jadilah
dia penganggur terhormat yang melepak di kaki-kaki lima perhentian bas, pasar
raya dan kedai-kedai. Untuk mengisi perut, terpaksa dia mencuri dan meragut.
Hasilnya bukan untuk dibeli nasi, tetapi benda haram itu yang sudah lama sebati
dalam dirinya.
Dia
pulang ke rumahnya ini pun kerana tiba-tiba terfikir emaknya pasti ada
menyimpan sedikit simpanan. Dia tahu selama ini adiknya, Siti Maisara, yang
menanggung segala perbelanjaan rumah. Dia juga tahu ayahnya sudah lama tidak
pulang-pulang ke rumah.
Abdul
Muin tidak pasti ke mana menghilangnya ayahnya itu. Kali terakhir dia berjumpa
ayahnya adalah sewaktu dia meminta wang daripada ayahnya. Selama ini, segala
kehendak dan permintaan dirinya dan juga abangnya, Abdul Muaz, pasti akan
ditunaikan ayahnya.
Abdul
Muin bersyukur kerana mempunyai ayah yang amat menyayangi dirinya dan juga
abangnya.
“Kau
orang berdua anak lelaki ayah yang paling istimewa dan bertuah. Untuk anak-anak
ayah yang ayah sayang, ayah akan tunaikan apa saja permintaan kau orang. Janji,
kau orang berdua sayang ayah, ya!”
“Jadi,
ayah tak sayanglah Sara, Liha dan Mariam. Betul ke ayah?” tanya Abdul Muaz.
Pertanyaan
Abdul Muaz itu membuatkan Pak Musa terdiam. Dia seperti tercari-cari ayat yang
sesuai untuk menjawab soalan Abdul Muaz.
“Hisy,
kau ni, Muaz! Tak payahlah kau tanya hal lain. Ayah dah bagi pengakuan yang dia
sayangkan kita berdua pun dah cukup baik. Banyak soallah kau ni, Muaz!” kata
Abdul Muin.
Kata-kata
Abdul Muin itu membuatkan Pak Musa ketawa dan Abdul Muaz hanya tergaru-garu
kepalanya mencari jawapan sebenar.
“Err...
kalau ayah dah kata ayah sayang kami berdua dan sanggup tunaikan permintaan
kami, nampaknya memang tepatlah masanya kami datang berjumpa ayah ni!” kata
Abdul Muaz sambil tersenyum penuh makna kepada adiknya, Abdul Muin.
Abdul
Muin hanya tersengih.
“Kau
orang nak apa sebenarnya ni?” tanya Pak Musa.
“Err...
sebenarnya kami nak mintak ayah tolong sikit. Kami nak pinjam duit sikit
daripada ayah.” Abdul Muin pula bersuara.
“Nak
pinjam duit? Berapa? Untuk apa?” tanya Pak Musa, sedikit hairan.
“Err...
kalau boleh, Muaz nak 10 ribu ringgit. Nak repair
sikit dan ganti spare part motor Muaz
yang rosak tu. Kalau ada lebih, Muaz nak bayar sikit hutang-hutang Muaz,” jawab Abdul Muaz.
“Ha,
Muin pun nak 10 ribu ringgit jugak. Muin nak gunakan untuk berniaga.” Abdul
Muin pula mencelah.
“Mana
ayah ada duit sebanyak tu. Muin nak 10 ribu ringgit, Muaz pun nak 10 ribu
ringgit. Mana ayah nak cari! Ayah kau ni kerja tukang rumah aje. Nak menyiapkan
rumah orang, bukan dapat duit sekali gus. Dia orang bayar
berperingkat-peringkat. Kalau kau orang berdua nak sangat, kena tunggulah!”
kata Pak Musa ketika Abdul Muin sibuk memaksa ayahnya memberinya duit.
“Alah,
ayah, takkan tak ada jalan lain. Muin memang nak pakai duit buat modal
berniaga. Sepuluh ribu ringgit bukan banyak ayah. Muin nak bukak gerai burger.
Ada untung nanti Muin bayarlah balik kat ayah,” desak Abdul Muin.
“Yalah,
yalah... nanti ayah usahakan.” Itu jawapan yang selamat daripada Pak Musa untuk
menghentikan desakan si anak.
Sehinggalah
malam kejadian yang membuatkan Abdul Muin keluar dari rumah. Dia dapat berjumpa
dengan ayahnya setelah beberapa hari kemudian. Seperti yang dijanjikan, ayahnya
memberinya sepuluh ribu ringgit.
Alangkah
gembiranya hatinya bila ayahnya menunaikan permintaannya itu.
“Jangan
kau enjoy sangat guna duit tu. Lepas
ni ayah dah tak boleh nak tolong kau lagi dah. Muaz pun ayah tak janji nak
tolong lagi.”
Itu
kata-kata terakhir daripada Pak Musa. Selepas itu, Abdul Muin tidak mendapat
apa-apa khabar berita tentang ayahnya itu. Malah, duit sepuluh ribu yang diberi
ayahnya itu pun sudah habis dijolinya sana sini.
Tiba-tiba
Abdul Muin terasa seram sejuk. Badannya berpeluh-peluh, tetapi ia
mengigil-gigil seperti kesejukan. Abdul Muin tahu, giannya sudah datang. Sudah
lama dia tak dapat benda haram itu. Dia memandang sekelilingnya. Mak Odah sudah
masuk ke bilik. Barangkali sedang mencari kalau-kalau ada sedikit wang untuk
diberikan kepadanya, fikir Abdul Muin.
Namun,
hatinya hampa apabila dilihatnya emaknya kembali ke dapur tanpa memakai
telekung lagi. Mak Odah sedang menenggek air di dapur. Kepala Abdul Muin terasa
berpusing semacam. Terasa bengang dengan sikap emaknya yang buat tidak peduli
akan dirinya.
“Mak!
Kau ada ke tak duit ni? Berapa puluh kali aku nak tanya ni!” jerit Abdul Muin
yang tiba-tiba baran.
Mak
Odah yang sedang mengupas kulit pisang untuk digoreng buat santapan anaknya itu
terkejut dengan jeritan Abdul Muin.
“La,
kan mak cakap, mak tak ada duit tu, Muin. Tak ada!” jawab Mak Odah sambil
memandang anaknya yang sedang merenungnya dengan mata yang merah menyala.
Abdul
Muin cuba bertenang, tetapi getar dan gigil badannya tidak dapat dikawal. Abdul
Muin tahu, giannya ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Dipandang emaknya.
Terasa emaknya seperti mentertawakannya kerana permintaannya kali ini tidak
dapat ditunaikan seperti sebelum ini. Terasa dirinya tidak disayangi lagi.
Tiba-tiba,
Abdul Muin terpandangkan sesuatu yang berkilat di leher emaknya. Ketika itu,
emaknya sedang sibuk mengupas kulit pisang dan sedang membelakanginya.
Perlahan-lahan,
Abdul Muin menghampiri emaknya. Semakin dekat menghampiri, dia tersenyum,
emaknya sedang memakai rantai leher. Walaupun kelihatan halus, tapi itu sudah
cukup untuk membeli stoknya untuk beberapa hari kalau dijual rantai itu.
Ketika
Abdul Muin cuba menarik rantai leher emaknya itu dari belakang, tiba-tiba Mak
Odah berpaling ke belakang.
“Eh,
apa ni Muin? Kau buat apa kat mak ni?” jerit Mak Odah dalam nada terperanjat.
Abdul
Muin yang sudah nekad untuk mendapatkan rantai leher emaknya itu naik angin
bila Mak Odah menengkingnya. Apa lagi, segera dia memeluk Mak Odah kejap-kejap
dari belakang agar Mak Odah tidak dapat melepaskan dirinya. Targetnya hanya satu, inginkan rantai
leher yang dipakai Mak Odah itu.
Mak
Odah meronta-ronta dalam pelukan Abdul Muin.
“Ya
ALLAH, lepaskan mak, Muin! Lepaskan mak! Kau nak apakan aku ni, Muin!” jerit
Mak Odah dalam rontaannya.
“Diamlah,
mak! Kalau kau tak jerit-jerit macam ni, taklah susah aku nak bukakan rantai
kau ni!” kata Abdul Muin sambil mengetatkan lagi pelukannya.
Dia
masih terkial-kial ingin menarik rantai emaknya itu, tetapi disebabkan emaknya
meronta-ronta sambil menjerit-jerit, fokusnya tersasar.
“Jangan,
Muin. Itulah rantai yang adik kau, Sara bagi kat mak. Hadiah daripada dia,
Muin. Jangan, Muin!” jerit Mak Odah sambil menangis.
Dia
sangat sayang dengan pemberian Siti Maisara itu kerana itulah satu-satunya
barang kemas yang dia ada. Suaminya pun tidak pernah memberinya seutas rantai
mahupun sebentuk cincin emas untuknya.
“Diamlah
orang tua!” jerit Abdul Muin lantas terus merentap rantai leher Mak Odah.
Akhirnya,
rantai leher Mak Odah terputus juga. Abdul Muin ketawa puas hati. Tanpa
memandang Mak Odah, Abdul Muin melangkah kaki keluar dari rumahnya itu dengan
tergesa-gesa. Sebelum dia tiba di pintu hadapan, terdengar Mak Odah terjerit.
“ALLAH!
Muin, to... tolong mak, nak!” jerit Mak Odah.
Abdul
Muin tidak jadi melangkah keluar. Dia berpaling ke belakang dan terus menuju ke
dapur semula. Mak Odah sudah terduduk sambil memegang dadanya. Abdul Muin
menjadi gelabah melihat keadaan emaknya itu.
Mak
Odah kelihatan amat sukar untuk bernafas. Mak Odah memandang Abdul Muin sambil
memegang dadanya. Suaranya tidak terkeluar, seolah-olah tersekat sesuatu di
kerongkong. Daripada pandangan matanya, Abdul Muin tahu emaknya memintanya
berbuat sesuatu.
Abdul
Muin menjadi tidak tentu arah. Dalam masa yang sama cuba menahan rasa gigil dan
seram sejuknya akibat ketagihan. Melihatkan keadaan Mak Odah lemah longlai dan
hampir jatuh terjelepok di lantai, Abdul Muin segera mendapatkan emaknya dan
membaringkan emaknya di pangkuannya.
“Mak!
Mak!” panggil Abdul Muin kuat, mula panik.
Dia
sudah menangis.
Mak
Odah semakin lemah dan mulutnya seakan-akan mengherot ke kiri. Dalam kepayahan
menahan sakit itu, terdengar suaranya menyebut perkataan ALLAH berulang kali
walau tidak berapa jelas. Mak Odah memandang Abdul Muin yang sedang menangis
teresak-esak dengan pandangan yang lemah. Air mata Mak Odah mengalir deras,
namun tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya.
“Mak!
Ampunkan aku, mak!” ujar Abdul Muin.
Dia
memeluk tubuh emaknya yang semakin lemah. Badannya menggigil ketakutan. Mak
Odah di dakapannya menarik nafas panjang. Dalam lafaz kalimah ALLAHnya itu dia
menghembuskan perlahan-lahan nafasnya sehingga ke penghujungnya. Tangan Mak
Odah jatuh longlai dari pelukan kejap Abdul Muin.
Abdul
Muin menggocang-goncang tubuh Mak Odah yang kaku sambil menjerit-jerit
memanggil emaknya. Namun, hampa. Jasad Mak Odah tanpa roh sudah kaku bisu di
situ.
“Ya
ALLAH. Abang! Apa dah jadi kat mak ni, bang? Ya ALLAH. Mak! Mak!”
Tiba-tiba
Siti Mariam datang menerpa ke arah jasad Mak Odah yang kaku. Dia baru sahaja
pulang dari sekolah. Ketika melangkah masuk ke ruang tamu sebentar tadi, dia
terdengar suara abangnya menangis. Segera dia menuju ke arah dapur dan terlihat
abangnya sedang menangis sambil memeluk tubuh emaknya yang sedang terbaring.
“Ya
ALLAH! Apa yang kau dah buat kat mak ni, bang? Kenapa mak, bang? Masya-ALLAH...
Mak! Mak!” jerit Siti Mariam berulang kali sambil menangis teresak-esak.
Abdul
Muin masih terkaku tanpa suara sambil menggigil ketakutan di situ. Dia
memandang emaknya sambil menggeleng-geleng.
“Tak!
Tak! Aku tak bunuh mak! Aku tak bunuh mak!” jerit Abdul Muin.
Mendengar
jeritan dan tangisan mereka adik-beradik, mungkin telah mengundang rasa curiga
pada jiran-jiran yang berdekatan dengan rumah mereka. Pak Akob dan isterinya
yang mula-mula memasuki rumah itu terperanjat melihat mereka berdua sedang
menangis di dapur.
“Apa
ken...”
Pertanyaan
Pak Akob tadi terhenti di situ apabila dia terpandangkan tubuh kaku Mak Odah
yang sedang terbaring di pangkuan Abdul Muin.
“Ya
ALLAH! Odah!” jerit Mak Piah, isteri Pak Akob.
Dia
sudah mendahului Pak Akob dan terus meluru ke arah kedua-dua adik-beradik itu.
Pak
Akob pula melakukan tidakan pantas dengan memeriksa nadi Mak Odah.
“Innalillahiwainnailaihirajiun,”
sebut Pak Akob perlahan sambil menggeleng-geleng.
Pak
Akob memandang isterinya. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, menyuruh
isterinya menelefon polis, tiba-tiba datang beberapa orang jiran dengan reaksi
yang sama seperti Pak Akob dan isterinya. Akhirnya, dengan bantuan Mail dan
beberapa orang jiran Mak Odah, pihak polis dan ambulans telah berjaya
dihubungi. Tidak sampai setengah jam, pihak polis dan ambulans pun tiba.
Urusan
pihak polis menjadi lebih mudah apabila Abdul Muin tidak sedikit pun beralih
daripada kedudukannya. Dia masih memangku jasad emaknya sambil menangis
teresak-esak meratapi jasad emaknya itu.
Hendak
menyesal pun tidak berguna. Nyawa emaknya tidak boleh dikembalikan lagi.
Akhirnya, pihak polis telah membawa Abdul Muin ke balai polis untuk tujuan
siasatan. Sementara itu, jasad Mak Odah juga turut dibawa ke hospital bagi
tujuan bedah siasat.
“Mariam,
telefon kakak kau sekarang. Sudahlah tu nak. Bawa mengucap banyak-banyak.
Jangan nangis lagi. Kesian arwah mak kau. Tak baik meratap hiba begini kat
mayat mak,” pujuk Mak Piah sambil mengusap-ngusap belakang Siti Mariam.
Dia
juga turut kesal dengan apa yang telah berlaku. Mak Piah tahu, pasti ada
berlaku pergaduhan antara Mak Odah dengan anaknya sebelum ini kerana rumah Mak
Piah yang berkedudukan hanya selang tiga buah rumah dari rumah Mak Odah,
membolehkan dia mendengar suara Mak Odah sayup-sayup terjerit memarahi anaknya
itu. Tetapi, dia tidak mensyaki apa-apa kerana faham dengan kebiasaan Mak Odah
yang selalu menjerit bila memanggil atau memarahi anak-anaknya.
Untuk
ketika itu, masing-masing tertanya-tanya apa yang telah berlaku hingga Mak Odah
jadi begitu? Masing-masing membuat andaian sendiri. Tidak sabar menunggu
keputusan bedah siasat nanti.
“Tak
sangka begini pengakhiran hidup kau, Odah!” keluh Mak Piah perlahan sambil
menahan tangis dan hiba.
Siti
Mariam mengangkat telefon rumahnya. Dia mendail nombor telefon bimbit kakaknya.
“Kak!”
Hanya itu sahaja yang keluar dari mulutnya sebaik sahaja terdengar suara Siti
Maisara menjawab panggilannya itu.