SITIMusliha berjalan
mundar-mandir di dalam biliknya. Hatinya menjadi tidak keruan sejak mendapat
pesanan ringkas pagi tadi. Fikirannya menjadi buntu apakah yang patut dia buat.
Sejak menerima pesanan ringkas itu tadi, Siti Musliha masih berkira-kira,
patutkah dia pergi atau tidak.
Sudah
berpuluh kali dia membaca pesanan ringkas di telefon bimbitnya itu. Walau dia
sendiri sudah hafal bait-bait ayat di dalam pesanan ringkas itu, namun
dibacanya berulang kali.
I will arrive at
KLIA. At 10.30am! Hope to see you there! Can’t wait to see your beautiful face
closelyJ.
Ayat-ayat
itulah yang diulang bacanya sejak dari tadi tanpa jemu. Siti Musliha melihat
jam loceng kecil yang terletak di atas almari usang di dalam biliknya itu.
“Sudah
pukul 9.30 pagi! Nak jumpa macam mana kalau waktu begini? KLIA tu bukannya
dekat!” rungut Siti Musliha seorang diri.
“Liha!
Liha! Apa kau buat berkurung kat dalam bilik tu? Keluarlah. Tolong mak masak ni
ha!”
Terdengar
jeritan Mak Odah dari dapur.
“Dahlah
tak bekerja, nak menolong aku kat dapur ni jangan haraplah! Kau nak jadi anak
dara apa ni, Liha oii!” Mak Odah sudah memulakan mukadimmah ceramah paginya.
Mendengarkan
emaknya sudah ada tanda-tanda mahu memanjangkan lagi ceramahnya itu,
cepat-cepat Siti Musliha membuka pintu bilik lantas keluar menuju ke dapur.
Jika dibiarkan, harus satu kampung tahu bahawa dialah anak dara kampung itu
yang malas bekerja, malas menolong emaknya di dapur dan segala macam skil malas
yang dia ada berbanding anak dara-anak dara lain di kampung itu.
Di
dalam bab ini, Siti Musliha faham benar sikap emaknya itu yang tidak kisah apa
orang lain kata tentang keluarga mereka. Bukan Siti Musliha tidak tahu, semua
orang di kampung itu mengata tentang keluarganya. Tentang panas baran ayahnya
terhadap isteri dan anak-anaknya. Tentang Abdul Muaz yang pembengis dan kaki
gaduh. Tentang Abdul Muin yang terlibat dengan dadah dan tentang Siti Mariam
yang sibuk diperkatakan orang dahulu, seorang lesbian.
Walaupun
kini Siti Mariam sudah berubah, tetapi saki-baki cerita tentang adiknya itu
masih diperkatakan orang lagi. Siti Musliha pasti, kini mungkin ada antara
jiran-jirannya sibuk menjaja cerita tentang dirinya seorang anak dara yang
pemalas dan tidak bekerja.
Hanya
kakaknya, Siti Maisara, yang selalu mendapat pujian daripada jiran-jirannya.
Siti Maisara sentiasa disenangi oleh semua penduduk di kampungnya itu. Siti
Musliha juga tidak peduli apa orang lain kata tentang keluarganya. Memang dia
sendiri akui semua cakap-cakap orang kampung tentang keluarganya itu adalah
benar. Hendak menafikan apa lagi. Kebenaran sudah di depan mata. Terimalah
seadanya!
“Ha,
tu tak sudah lagi termenung tu! Apa nak jadi kau ni, Liha! Ya ALLAH!” Sergah
Mak Odah dari pintu dapur.
Dia
baru sahaja selesai menyidai kain di jemuran. Mak Odah memegang dadanya. Sakit
rasa dadanya bila melihat anak daranya yang seorang ini masih tercegat tanpa
berbuat apa-apa di singki dapur. Dalam hatinya terfikir, kalaulah ada Siti
Maisara, dia tidak akan susah-susah begini di dapur. Segala urusan dapur akan
dibereskan segera oleh Siti Maisara. Mak Odah hanya duduk berehat atau paling
tidak pun hanya menyapu di halaman rumah.
Mengenangkan
itu Mak Odah mengeluh panjang. Cepat-cepat dia sedar, setiap anak ada berbeza
perwatakan dan pembawaannya masing-masing walaupun dilahirkan daripada rahim
yang sama. Sekali lagi Mak Odah mengeluh. Akur dan reda atas ketentuan-NYA.
“Apa
lagi yang kau tercegat kat situ? Pergilah masak nasi. Goreng sayur tu. Ikan tu
buat sambal. Mana tahu, kot tiba-tiba ayah kau balik, nak makan. Bukan kau tak
faham perangai baran ayah kau bila dia dah lapar. Silap-silap, dengan kau
sekali dibahamnya!”
Pedas
leteran Mak Odah kali ini. Sakit mata dan ngilu dadanya melihat sikap malas
anak daranya itu.
“Alah,
tak ada maknanya ayah nak balik mak! Dah tiga bulan dia tak balik! Entah-entah
dah kahwin lain!” balas Siti Musliha geram.
“Apa?
Kau jangan nak cakap yang bukan-bukan pasal ayah kau tu. Walau teruk mana
sekalipun dia, dia tu tetap ayah kau. Wali kau masa kau nak kahwin nanti!”
marah Mak Odah.
“Yalah,
yalah... Liha tahulah nak buat apa mak. Mak tu, janganlah asyik dok membebel
aje. Sakit telingalah, bising!” rungut Siti Musliha, malas mahu memanjangkan
pertelingkahan dengan emaknya.
Dia
sudah mencapai periuk nasi. Di dalamnya sudah diisi beras dua pot. Lincah tangannya
membuka paip air di singki untuk membasuh beras. Namun, jelas terlihat tindakan
memberontaknya bila setiap apa yang dilakukannya dibalas dengan hentakan periuk
nasi di singki.
Mak
Odah menggeleng sambil beristighfar dengan kelakuan anaknya itu.
“Ooo...
sakit telinga kau aje yang kau tahu eh! Habis, aku ni? Tak sakit hati tengok
perangai kau tu?” marah Mak Odah.
Siti
Musliha diam, namun terdengar decitan dan rengusan kasar dari mulutnya itu.
Tidak sanggup melihat sikap biadab anak daranya itu, Mak Odah segera
menghilangkan diri masuk ke biliknya. Dari segi luarannya, Mak Odah memang
kelihatan garang apatah lagi bila mendengar lontaran suaranya memarahi
anak-anaknya. Namun, itu sahaja yang paling tinggi yang boleh Mak Odah lakukan.
Untuk memukul mahpun merotan, bukan cara Mak Odah.
Mak
Odah menjadi tidak sampai hati untuk memukul anak-anaknya. Dia tahu bagaimana
rasa sakitnya bila dipukul kerana melalui pengalamannya sendiri dipukul orang
tuanya semasa kecil dan sehingga kini dipukul pula oleh suaminya yang panas
baran.
Sementara
itu, Siti Musliha yang sedang membasuh beras itu terkejut bila tiba-tiba
telefon bimbitnya yang berada di dalam poket seluarnya berbunyi sambil bergetar
meminta diangkat. Diseluknya poket seluar lantas dikeluarkan telefon bimbitnya
itu. Cepat-cepat dijawab panggilan itu, takut emaknya bising bila mendengar
bunyi nada dering telefon bimbitnya itu.
“Hello. Eh, hi
Henry! Welcome to Malaysia,” ucap Siti Musliha dalam nada yang
tertahan, takut didengari Mak Odah.
Namun
begitu, nada suaranya benar-benar gembira bila dapat bercakap dengan pemanggil
di sana.
“Sorry? Oh,
okay, okay, pass it to me, please!” Terdengar suara
Siti Musliha sedikit mengendur dan wajahnya sedikit bingung.
Siti
Musliha terus bersabar dan kelihatan agak khusyuk mendengar sesuatu penerangan
yang disampaikan oleh pemanggil di sana. Sekejap-sekejap dia terangguk-angguk,
seolah-olah faham apa yang diterangkan walaupun si pemanggil itu tidak nampak
pun apa yang dilakukannya itu. Sekejap dia mengeluh.
“Di
mana saya nak dapatkan jumlah wang sebanyak itu dalam masa terdekat ni? Saya
bukan orang kaya pun. Kerja pun belum!” kata Siti Musliha.
“Memang
saya kenal dia, tapi cuma di Facebook aje. Inilah pertama kali dia datang
Malaysia nak jumpa saya,” jawab Siti Musliha.
“Iya,
saya belum bekerja lagi! Awak faham tak? Apa? Sampai esok? Tak boleh bagi masa
lama sikit ke? Nanti saya ikhtiarkan. Okey, esok saya telefon!”
Serius
benar nampaknya perbualan Siti Musliha tadi. Siti Musliha segera menyimpan
telefon bimbitnya lantas menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi.
“Astaghfirullah
al-azim. Belum sudah-sudah lagi kerja kau ni, Liha? Membasuh beras sampai
berjam-jam!” sergah Mak Odah yang tiba-tiba muncul ke ruang dapur itu.
Nasib
baik bukan Siti Maisara. Kalau dia, harus air basuhan beras bakal disimbah ke
muka Mak Odah dek terkejutnya mendengar sergahan daripada Mak Odah itu.
Siti
Musliha tidak menjawab walau sepatah pun kata-kata Mak Odah itu. Laju sahaja
dia mengelap periuk yang berisi beras yang sudah dibasuh itu dengan kain buruk
yang kering lantas diletakkan periuk itu semula ke tempat asalnya, lalu terus
menekan butang cook di periuk nasi
elektrik itu.
Sepantas
itu juga, Siti Musliha mengambil kacang panjang yang berada di atas meja lalu
dikerat-keratnya sederhana pendek. Selesai bab kacang panjang, laju pula
tangannya mengupas bawang-bawang. Mak Odah hanya memerhatikan sahaja perilaku
anak gadisnya itu tanpa suara.
Melihat
anak gadisnya begitu tekun menyiapkan bahan-bahan untuk memasak, Mak Odah terus
meninggalkannya keseorangan di dapur. Lebih baik dia menyapu daun-daun kering
yang bersepah di halaman rumah. Naik rimas pula memandangnya.
Namun,
lain pula sebenarnya yang berlaku kepada Siti Musliha. Hakikatnya, Siti Musliha
sedang ligat memikirkan jalan penyelesaian yang perlu diambil untuk masalah
yang sedang dialaminya sekarang. Fikirannya buntu. Kepada siapa perlu dia
adukan untuk menyelesaikan masalahnya ini.
“Takkanlah
aku nak beritahu mak! Huh, jangan cari pasal. Silap-silap aku dikerat 14 nanti
dek mak!” Siti Musliha berkata sendirian.
“Hmm...
nak beritahu Kak Sara ke tidak eh? Agak-agak Kak Sara marah tak aku?” soal Siti
Musliha kepada dirinya.
Dalam
dia leka memikirkan jalan penyelesaiannya sendiri, tanpa disedari Siti Musliha
terhiris jarinya dengan pisau yang sedang digunakan itu.
“Aduh!
Argh!” jerit Siti Musliha tanpa menyangka bahawa jeritannya itu sebenarnya
telah menarik perhatian Mak Odah.
Memang sahlah jeritannya kuat sehingga Mak
Odah berlari masuk ke ruang dapur untuk mendapatkan anaknya itu.
“Ha,
apa kena ni? Apa kena ni? Apasal jari kau berdarah tu? Kau potong apa? Ya
ALLAH, macam mana kau potong bawang ni? Pergi singki! Jirus jari yang luka tu
dengan air cepat!” Kecoh mulut Mak Odah melihat keadaan Siti Musliha.
Bising
mulutnya mengarah Siti Musliha itu ini.
Ha,
ambil kau! Tak pasal-pasal, jari kau dah luka. Nasib baik tak terpotong jari
tu. Tulah bahananya buat pelan tanpa restu. Itu baru pelan aje tu! Belum lagi
nak melaksanakannya! Hati Siti Musliha berkata-kata seolah-olah mengejek
dirinya sendiri.
“Yalah,
yalah... Nanti aku beritahu Kak Saralah, mintak advice dia!” Siti Musliha bermonolog di situ.
Yes!Bagus!
Itulah yang sebaik-baiknya. Jangan kau tambah pening kepala emak tu lagi.
Cukuplah sudah emak nak melayan kerenah ayah dan abang-abang kau tu! Sekali
lagi hati Siti Musliha berkata-kata.
Siti
Musliha memandang Mak Odah yang sedang memasak sayur di dapur.
“Eh,
bila masa pulak aku hand over kerja
memasak kat mak ni?” tanya Siti Musliha.
Dia
masih lagi terkial-kial membalut luka di jarinya dengan plaster.
Dalam
masa setengah jam, Mak Odah telah selesai membereskan segala urusan memasak.
Nasi siap ditanak dan tiga jenis lauk untuk hidangan tengah hari mereka
sekeluarga, siap dimasak. Mak Odah memang cekap memasak dan menyiapkan
segalanya dalam masa yang singkat. Terasa serba tidak kena pula bila melihat
emaknya sungguh pantas dan cekap membuat kerja sedangkan dia sendiri masih
terkial-kial membersihkan lukanya.
“Mak,”
panggil Siti Musliha perlahan dan teragak-agak.
Mak
Odah baru sahaja selesai membasuh pinggan mangkuk di singki. Mak Odah menoleh
ke belakang. Siti Musliha memandang emaknya dengan takut-takut.
“Kenapa?”
tanya Mak Odah, ringkas.
“Err...
Liha nak keluar kejap lepas makan nanti boleh tak, mak?” tanya Siti Musliha.
“Kau
nak ke mana?”
“Tadi
kawan Liha call. Dia kata, kat tempat
dia bekerja tu perlukan seorang kerani. Ni, Liha nak jumpa dialah ni. Nak
bincang sikit. Kalau nasib baik, lepas bincang nanti, kalau boss dia setuju dengan kelayakan yang
Liha ada, bolehlah dapat kerja tu nanti. Boleh tak, mak?” terang Siti Musliha
sekali gus meminta kebenaran daripada Mak Odah.
Terdengar
suara Mak Odah mengeluh. Hatinya berbelah bahagi mahu membenarkan Siti Musliha
pergi.
“Kat
mana tempat kerja kawan kau tu?” tanya Mak Odah.
“Err...
kat KL mak!” jawab Siti Musliha.
“Jauhnya!
Dekat-dekat Klang ni tak ada ke? Kenapa nak jugak bekerja kat KL tu? Cukuplah
setakat Kak Sara kau aje yang kerja kat KL tu. Itupun kau tengok sendiri betapa
letihnya dia berulang-alik pergi kerja hari-hari. Lepas ni, kalau kau dapat
kerja kat KL tu, tinggallah anak perempuan mak sorang aje si Mariam tu. Nak
harapkan anak-anak lelaki, memang payahlah,” leter Mak Odah.
“Alah,
mak ni. Orang bukan pergi mana pun. Pergi kerjalah mak. Lagipun, semua anak
perempuan mak nanti, bila dah berkahwin, dah tentu akan ikut suami
masing-masing. Sampai bila orang nak duduk rumah? Mak jugak yang bising bila
orang tak cari kerja. Ha, kan peluang ni, mak,” pujuk Siti Musliha.
Mak
Odah terdiam. Dalam diam dia juga turut mengakui kata-kata Siti Musliha itu.
Dia sepatutnya tidak menghalang anaknya itu pergi mencari pekerjaan.
Hmm...
aku ni bila dia ada kat rumah ni, aku bising! Bila dia nak cari kerja, pun aku
bising! Kesian pulak aku tengok Liha ni. Mak Odah berfikir dalam hati.
“Suka
hati kaulah Liha. Pergilah cari kerja tu.” Akhirnya Mak Odah menyatakan
persetujuannya walau dengan separuh hati.
Mendengarkan
persetujuan telah diberi oleh Mak Odah, Siti Musliha terlompat kegembiraan,
namun cepat-cepat dia cuba mengawal keterujaannya itu di depan Mak Odah. Dalam
masa yang sama, terasa bersalah kerana membohongi emaknya. Ternyata Siti
Musliha sedang merancang satu misi tanpa pengetahuan sesiapa pun.