Raudhah terjaga dari
tidurnya apabila terdengar bunyi esakan tangis anak kecil yang semakin kuat.
Dalam keadaan separuh sedar, dia duduk di birai katilnya sambil tertanya-tanya
sendiri; “Siapa punya anak yang menangis tu?”. Raudhah mengaru-garu kepalanya
yang tidak gatal. Sedikit keliru namun dia sudah bangun membuka pintu biliknya.
Suara bayi menangis terdengar semakin kuat dan semakin
dekat. Raudhah menghampiri ruang tamu rumahnya yang hanya bercahayakan lampu
“down light” yang samar-samar cahayanya. Di dalam hati masih tertanya-tanya, di
manakah datangnya suara bayi menangis itu dan anak siapakah pula yang menangis
di dalam rumahnya?
Raudhah memetik suis lampu ruang tamu rumahnya dan sesaat
kemudian ruang tamu besarnya itu terang benderang. “Ehh.. tak ada pulak
siapa-siapa kat sini!” kata Raudhah pelik. Dia memandang jam di dinding. Jam
sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Seingat Raudhah, suaminya Hariz
“out-station” ke Pulau Pinang selama tiga hari. Esok, baru suaminya itu pulang.
Raudhah tercari-cari dari mana datangnya suara tangisan itu dan di mana
sebenarnya bayi itu berada.
Tiba-tiba dia terdengar sesuatu dari arah luar rumahnya.
Terdengar bunyi pintu pagar rumahnya ditutup. Raudhah segera membuka pintu
rumahnya. Memang Raudhah sengaja membiarkan lampu di hadapan rumahnya terpasang
sepanjang malam untuk tujuan keselamatan. Demi terbuka pintu rumahnya itu,
Raudhah terkejut kerana terlihat kelibat perempuan bertudung hitam sedang
berlari keluar dari pagar rumahnya. Raudhah hendak memanggil perempuan itu
tetapi hasratnya terhalang setelah mendengar suara tangisan bayi yang semakin
kuat dari arah sebuah kotak sederhana besar yang terletak di penjuru kiri pintu
rumahnya itu.
Segera Raudhah menghampiri kotak tersebut. “MasyaAllah..baby..!!”Raudhah
amat terkejut melihat seorang bayi yang lengkap berpakaian berada di dalam
kotak itu sedang menangis. Segera Raudhah mengambil dan mendukung bayi
tersebut. Sempat pula dia mengambil botol kecil yang berisi susu yang berada di
sebelah bayi tersebut lantas disusukan bayi itu. Bayi itu terus terdiam dan
dengan lahapnya menyonyot puting botol itu kerana kehausan.
“MasyaAllah, kesiannya baby ni..Haus ya..? Ya Allah…
comelnya baby ni..! Siapa perempuan tadi tu ya? Mak baby ni ke? Nape dia letakkan baby ni kat rumah aku
pulak?” Raudhah tertanya-tanya sendiri. Dalam dia tertanya-tanya seorang diri
di situ, tiba-tiba kereta suaminya muncul, memasuki ruang letak kereta di
hadapan rumahnya. Raudhah semakin pelik kerana sebelum dia tidur tadi, suaminya
ada menelefon yang dia akan pulang ke rumah esok pagi. Apa pula halnya yang
menyebabkan suaminya pulang ke rumah awal-awal pagi begini?
“Abang.. kenapa ni? Kan Abang bagitau nak balik esok?”
tanya Raudhah menghampiri suaminya yang sedang membuka pintu kereta. “Awak
pegang baby siapa pulak ni? Yang awak tengah malam begini duduk luar rumah
kenapa? Siapa yang datang semasa saya tak ada di rumah ni?” tanpa menjawab
soalan Raudhah, Hariz melontarkan soalan-soalan yang menyebabkan Raudhah kelu
untuk menjawab. Sememangnya Raudhah sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjawab
soalan daripada suaminya itu. Dari nada suara suaminya itu, Raudhah pasti yang
suaminya sedang marah.
“Ehh.. saya Tanya ni..Baby siapa ni? Siapa yang datang
rumah tadi?”Hariz bertanya dalam nada yang agak menengking. Raudhah
terperanjat. Bayi di dalam dukungannya juga turut menangis kerana terkejut.
Tanpa Raudhah menduga, Hariz terus mengambil bayi yang
berada di dalam dukungannya itu lalu terus berlari keluar melolosi pagar rumah.
Raudhah terjerit sambil mengejar suaminya. “Abang! Nak bawak ke mana baby tu?
Tunggu! Nanti saya ceritakan!” jerit Raudhah namun suaminya itu terus berlari
tanpa mempedulikan Raudhah. Raudhah terus mengejar suaminya sehingga suaminya
berhenti di satu kawasan bukit yang mencuram. “Abang!! Abang nak buat apa kat
baby tu?? Nanti..Jangan apa-apakan baby tu!!!” dalam termengah-mengah, Raudhah
terjerit-jerit sambil mengejar suaminya. Cemas di hatinya tidak terkira bila
melihat suaminya itu sudah mahu bersiap-sedia ingin menghumbankan bayi yang
dipegangnya ke dalam gaung yang curam itu!
“Abanggggg!!!!” Raudhah menjerit nyaring bila melihat
suaminya tanpa perasaan terus menghumban bayi itu ke dalam gaung. Raudhah tanpa
sedar terus berlari sekuat hati dengan niat ingin menyambut bayi itu dari
terjatuh sehingga tidak sedar dirinya juga terhumban sama jatuh ke dalam gaung.
Terasa dirinya melayang laju jatuh ke bawah dan dalam
masa yang sama nafasnya tersekat di ruang yang sempit dan terasa sukar benafas.
Raudhah terasa dirinya melambung dan terhenyak terus ke landasan yang berbatu
tajam.
“Sayang!
Sayang! Hei…. nape ni?” terdengar suara Hariz memanggil. Bahu Raudhah terasa
ditepuk-tepuk kuat oleh Hariz. Raudhah membuka matanya. Dia tercungap-cungap di
situ. Muka dan tubuhnya basah dek peluh. “Abang! Mana baby Bang?? Kenapa Abang
campakkan baby tu kat dalam gaung? Nape Bang??” tanya Raudhah sambil menangis.
Hariz memeluk isterinya. “Hei..nape ni? Baby mana pulak
ni? Sayang mengingau ni! Cuba istigfar banyak-banyak,” kata Hariz cuba
menyedarkan Raudhah yang separuh sedar itu. Raudhah terdiam. Dia memandang
sekeliling. “Bila Abang balik dari outstation ni?” tanya Raudhah. “Laa.. bila
pulak Abang outstation? Dah lama dah Abang tak outstation. Projek kat ofis tu
belum siap lagi!”jawab Hariz sambil tersengih. Raudhah memandang suaminya.
“Habis, baby tu..?” tanya Raudhah lagi dengan wajah yang keliru. “Baby mana
pulak ni Yang oiii..! Kita belum ada anak lagi. Iya.. memang Sayang pernah
mengandung dan kita hampir ada baby tapi..Allah masih tak bagi kita rezeki
lagi. Anak kita meninggal dalam perut. Sayang keguguran sebanyak 3 kali!”
terang Hariz perlahan cuba memahamkan isterinya.
Raudhah terdiam dan termenung. Perlahan-lahan dia
menggelengkan kepalanya sambil beristigfar beberapa kali. “Ya Allah… saya
bermimpi rupanya!” akhirnya Raudhah menyedari apa yang terjadi. “Sayang banyak
kali mengingau macam ni. Mimpi baby lah..mimpi jatuh tempat tinggilah.. Lepas
tu terjerit-jerit sebab sesak nafas,” tegur Hariz. Risau pula dia melihat
keadaan isterinya itu. Dia risau Raudhah masih tidak dapat menerima hakikat
kehilangan bayinya itu.
“Entahlah Bang.. saya pun tak tahu kenapa. Selalu macam
tu..,” jawab Raudhah perlahan. “Tak apalah.. nanti Abang cuba tanyakan Ustaz
Hadzim. Mungkin dia boleh bagi pandangan,” kata Hariz. Di dalam hatinya
bertekad ingin berjumpa Ustaz Hadzim yang tinggal tidak jauh dari rumahnya itu.
*****************************************
Raudhah tersandar lesu di sofa di ruang tamu rumahnya.
Badannya terasa sakit-sakit. Terasa malas pula ingin bangun dan mandi. Jam
sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Sudah tiga hari dia pulang lewat malam
kerana terlibat dalam urusan penyediaan maklumat dan laporan di pejabatnya.
Hariz, suaminya pula menerima arahan mengetuai audit di Pahang selama seminggu.
Walaupun bekerja di Bank yang sama namun kerana berlainan unit, mereka jarang
berjumpa sebenarnya. Waima bukan sebagai teman sekerja malah sebagai suami
isteri juga. Masa yang diperuntukkan untuk mereka berdua sangat terhad. Situasi
begini sudah biasa bagi mereka berdua. Bagi Raudhah, lebih baik begitu daripada
seorang tinggal di negeri lain manakala seorang lagi di negeri lain.
Dalam Raudhah leka melayan kemalasannya di sofa empuk di
situ, tiba-tiba Raudhah terdengar bunyi duit syiling jatuh dari arah bilik
utamanya di tingkat atas. Sudah tiga malam dia mendengar bunyi itu. Kali
pertama dia naik ke tingkat atas untuk melihat benda apakah yang jatuh itu, dia
tidak berjumpa apa-apa.
Namun dalam dia tercari-cari begitu, Raudhah seolah-olah
merasakan ada seperti kelibat orang yang lalu-lalang berhampiran dengannya.
Malah, Raudhah dapat merasakan seperti ‘ada kehidupan lain’ yang tinggal
bersama di rumahnya itu. Manakan tidak, di tengah-tengah malam Raudhah dapat
mendengar bunyi tapak kaki manusia berjalan ke sana ke mari. Seolah-olah ada
“keluarga lain” pula yang duduk menumpang di rumahnya itu.
Dengan langkah yang longlai, Raudhah mendaki tangga
menuju ke biliknya di tingkat atas. Raudhah berkira-kira mahu mandi dahulu
sebelum tidur namun dek kerana keletihan yang teramat sangat Raudhah tertidur
pula di atas katilnya tanpa sempat menukar baju untuk mandi.
Tidak sampai setengah jam Raudhah terlelap, tiba-tiba dia
merasakan bagaikan ada sesuatu bergerak-gerak di sebelah kirinya. “Benda” itu
seperti merayap-rayap di lengan kirinya dan kemudian naik ke atas bahagian
kepalanya. Entah mengapa, Raudhah tidak dapat membuka kelopak matanya dan
matanya terpejam bagaikan ada gam yang melekap terus kelopak matanya dari
terbuka.
Dalam keadaan matanya yang tertutup itu, Raudhah seakan
melihat “benda” yang sedang berada di atas kepalanya itu merupakan seorang
budak kecil dalam lingkungan umur 5 atau 6 tahun! “Budak” itu merangkak
perlahan-lahan di atas kepalanya lalu mengusap lembut rambutnya. Raudhah cuba
untuk bangun tetapi dirinya bagai “dipaku” terus di atas katilnya menyebabkan
dia tidak dapat bergerak ke kiri mahupun ke kanan. Begitu juga dengan suaranya.
Rasanya dia sudah menjerit-jerit meminta tolong namun suaranya juga bagaikan
tersekat. Sudahnya dia hanya terkaku di situ dengan lelehan air mata yang
meluncur laju.
Raudhah semakin cemas bilamana wajah budak itu tiba-tiba
bertukar menjadi seorang nenek tua. Fizikalnya masih sama kecil seperti budak
tadi, hanya wajahnya sahaja yang berubah. Dengan rambut putih yang kusut masai
serta wajah tuanya yang hodoh dan menakutkan, nenek itu merenung wajah Raudhah
dalam-dalam. Raudhah ketakutan apabila nenek itu semakin rapat menindih tubuh
Raudhah.
Raudhah menangis ketakutan tanpa suara, meminta simpati
kepada nenek itu. Namun nenek itu langsung tidak menghiraukan Raudhah malah
terus menindih tubuh Raudhah yang berkeadaan terlentang. Dada Raudhah semakin
sesak dan dia semakin sukar untuk bernafas.
Entah dari mana datangnya kekuatan itu, Raudhah cuba
menjerit sekuat-kuatnya dengan laungan “Allahhu Akbar!” berulang-ulang kali.
Suasana menjadi kembali seperti biasa. Raudhah tersentak dan memandang
sekeliling. Keadaan biliknya sunyi dan tiada apa-apa perubahan yang berlaku
dalam biliknya itu.
Raudhah memegang tubuhnya. Baju yang dipakai habis basah
lencun dek peluhnya itu. Raudhah memandang jam loceng di atas meja sisi
katilnya. Sudah pukul 3.00 pagi rupanya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
Segera Raudhah mencapainya lantas menjawab panggilan.
“Sayang..!” suara Hariz memanggil.
“I..iyaa.. Bang!” jawab Raudhah dalam keadaan menggigil.
“Eh, nape ni? Sayang okay ke?” tanya Hariz dalam nada
risau.
“Tak..tak.. okay..,” jawab Raudhah lantas terus menangis
teresak-esak di situ.
“Ya Allah.. janganlah macam ni. Sayang kenapa ni? Ada apa
yang berlaku kat rumah tu?” tanya Hariz agak kalut bila terdengar Raudhah
menangis di hujung talian.
“Bang..tolong Bang..! Saya dah tak tahan kena ganggu
selalu macam ni.. Tolong saya Bang!” tangis Raudhah dalam suara yang tenggelam
timbul.
“Okay..okay.. Abang nak balik dah pun. Sayang bertahan
dulu yea. Nanti Abang ikhtiarkan. Bacalah apa-apa surah yang Sayang ingat
sementara tunggu waktu siang. Tak pun, Sayang pasanglah bacaan Al-Quran di handphone. Pasang loud speaker. InshaAllah tak ada apa-apa,” pesan Hariz.
Raudhah hanya terdiam mendengar pesanan suaminya itu. Dia
cuba melelapkan matanya dan cuba melupakan apa yang dialaminya tadi. Namun,
sampai ke waktu Subuh, Raudhah masih terkebil-kebil di atas katilnya tanpa
berbuat apa-apa.
****************************************
“Izinkan
saya memulakan rawatan pada isteri Encik Hariz?” tanya Ustaz Hadzim meminta
kebenaran.
“Ehh..
silakan. Saya izinkan,” jawab Hariz
memberi kebenaran seraya terus berundur sedikit ke belakang memberi
ruang kepada Ustaz Hadzim.
Ustaz Hadzim pun memulakan rawatannya. Ustaz Hadzim
memulakan “scan”nya dengan menekan kuat ibu jari kaki Raudhah. Ustaz Hadzim
mula bertafakur untuk memantapkan zikrullah keseluruhan tubuh badan dan pabila
terasa gema zikir mula menguasai, Ustaz Hadzim merenung tepat ke wajah Raudhah
bagi menyelami masalah yang dihadapinya. Dalam keadaan ibu jarinya ditekan kuat
oleh Ustaz Hadzim, Raudhah tiba-tiba menjerit-jerit sambil menangis
teresak-esak.
“Sakitlah! Apa kau buat ni?? Aku sakitlah!!” jerit
Raudhah sambil menangis.
Hariz memandang Ustaz Hadzim dengan pandangan kehairanan.
Setahunya, suara dan jeritan yang keluar dari mulut isterinya itu bukan suara
milik isterinya. Namun didiamkan sahaja kerana awal-awal sudah diberitahu oleh
Ustaz Hadzim bahawa jangan masuk campur sepanjang proses rawatan berlangsung.
Bagi Hariz pula, sudah dibenarkan melihat isterinya dan diminta membantu Ustaz
Hadzim jika berlaku sebarang kemungkinan pun sudah memadai bagi dirinya.
Sementara itu, Ustaz Hadzim sudah meletakkan tapak tangannya
ke ubun-ubun Raudhah sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Raudhah
berhenti daripada menjerit sambil merenung tepat ke wajah Ustaz Hadzim. Dalam
waktu yang sama, Ustaz Hadzim segera menggenggam tangan kanannya dan membaca
“Bismillahirrahmanirrahim..Bismillahi Masya Allah..!!” Lantas ditiupnya
genggaman tangan kanannya tadi lalu ditepuknya terus di antara tulang belikat
Raudhah.
Serta-merta Raudah terkedu di situ namun terus menjerit
kesakitan. “Sakitlah aku! Kau nak apa??” jerkah Raudhah namun dalam versi suara
seorang ‘nenek’ sambil merenung marah kepada Ustaz Hadzim. “Nenek..Nenek dah
ganggu hidup cucu Nenek ni! Tak baik macam tu.. Tinggalkan dia Nek! Kesian cucu
Nenek tu!” suara Ustaz Hadzim lembut memujuk.
Raudhah yang dalam keadaan separuh sedar
menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak mahu. “Tak nak..! Tak nak!..Aku suka
dia..Dia cucu aku! Dia hak aku!!” jerit Raudhah marah. “Nek, suami dia tak
benarkan Nek! Nenek baliklah ke tempat asal! Tinggalkan dia.!” Pujuk Ustaz
Hadzim lagi namun kali ini bernada tegas. “Tak nak!! Aku kata tak nak! Tak nak
lahh!” jawab Raudhah keras.
“Baik nenek pergi dari sini sebelum saya halau Nenek
secara kasar!” Ustaz Hadzim memberi amaran keras. Kali ini Raudhah terdiam. Dia
merenung tepat wajah Hariz. Hariz terkaku di situ, terkeliru samada yang
merenungnya itu adalah isterinya ataupun “nenek” yang dipanggil oleh Ustaz
Hadzim tadi. Di kesempatan itu, Ustaz Hadzim dengan pantasnya terus menekan
kuat ibu jari kaki Raudhah dengan beberapa biji lada hitam.
Apalagi, Raudhah melaung sekuat-kuat hatinya.
“Aduhhhh..sakitnya! Sakitnya!!..,” Raudhah menangis mendayu-dayu bagai anak
kecil memohon simpati. “Nak lagi tak? Nak lagi tak?” tanya Ustaz Hadzim tanpa
belas terus menekan kuat ibu jari kaki Raudhah. Raudhah menjerit sambil
menendang-nendang kakinya ke arah Ustaz Hadzim. Dalam masa yang sama, Raudhah
terjerit-jerit kesakitan. “Hariz, tolong saya..pegang isteri awak kuat-kuat!”
Ustaz Hadzim memberi arahan. Sepantas itu juga, Hariz terus memeluk Raudhah
dari belakang dengan kuat. Raudhah meronta-ronta minta dilepaskan. “Sakitlah
aku! Tolong! Tolong lepaskan akulah!!” jerit Raudhah ke telinga Hariz. Hariz
buat tidak peduli walaupun bulu romanya meremang membalas renungan mata Raudhah
yang merah bagai biji saga itu!
“Tolonglah..lepaskan aku! Aku sakit ni!! Tolonglah..!”
rayu Raudhah dalam esak tangisnya. Kali ini memang benar-benar nampak jelas
Raudhah dalam kesakitan. “Betul sakit ni?” tanya Ustaz Hadzim cuba memancing
helah Raudhah. “Betul..! Aku sakit! Tolong lepaskan aku!” rayu Raudhah perlahan
dalam nada kesakitan.
“Nenek, ikut apa yang saya cakap Nek..!” kata Ustaz
Hadzim perlahan dalam nada memujuk. Raudhah terdiam. Dia memandang Ustaz Hadzim
dan akhirnya mengangguk. “Sahaja aku berjanji tidak akan mengganggu hidup
Raudhah lagi. Tidak akan hidup dalam badan Raudhah lagi.,” habis sahaja Ustaz
Hadzim berikrar begitu, dengan spontannya Raudhah juga mengikut ikrar yang
disampaikan Ustaz Hadzim tadi. “Sekiranya aku engkar, aku bersedia menerima
hukuman dan akibatnya,” sambung Ustaz Hadzim. Ayat itu juga diikuti Raudhah
sehingga habis.
Selesai berikrar, Ustaz Hadzim terus membacakan sesuatu
sambil tangannya menepuk sekali lagi antara belikat Raudhah. Entah apa
kuasanya, Raudhah merendahkan dirinya sambil terus membongkok dan berjalan
keluar dalam keadaan dirinya membongkok bagaikan seorang nenek tua yang uzur.
Ustaz Hadzim memberi isyarat mata agar Hariz terus memegang tangan Raudhah dan
memimpinnya ke arah pintu keluar.
Raudhah berjalan terbongkok-bongkok hingga ke muka pintu.
Di situ Ustaz Hadzim mengarahkan Raudhah berhenti dan dalam masa yang sama
mengarahkan agar Hariz memegang Raudhah kuat-kuat. Ustaz Hadzim membaca sesuatu
dan tanpa diduga, tiba-tiba Raudhah menangis mendayu-dayu bagaikan memohon
simpati sambil meronta-ronta minta dilepaskan. “Nenek, lepaskan dia Nek! Tempat
Nenek bukan di sini. Jangan ganggu hidup dia lagi Nek! Biarkan dia bahagia
dengan suaminya!” kata Ustaz Hadzim tegas dan dalam masa yang terus menekan
kuat ibu jari kaki Raudhah dengan lada hitam.
Raudhah menjerit kesakitan. Dia terduduk akibat ditekan
kuat pada ibu jari kakinya itu. Ustaz Hadzim menghentak perlahan genggaman
tangannya ke belikat Raudhah sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
Raudhah menangis mendayu-dayu. Sayu benar kedengaran tangisannya itu
seolah-olah “nenek” yang berada di dalam tubuh Raudhah itu sayang benar ingin
keluar dari situ. Dalam satu nafas, Ustaz Hadzim terus berteriak, “Bismillahi
AllahhuAkbarrr!!” sambil menepuk agak kuat bahagian belikat Raudhah. Raudhah
terjerit kuat dan akhirnya dia terjelepuk di situ tidak sedarkan diri.
Hariz terus memapah isterinya itu, membawanya ke ruang
tamu rumahnya. Manakala Ustaz Hadzim mengekori dari belakang sambil mulutnya
tidak henti-henti terkumat-kamit berzikir dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Di ruang tamu, Ustaz Hadzim terus mendapatkan Raudhah yang sedang terbaring di
pangkuan Hariz. Dia meraup perlahan wajah Raudhah sambil membaca sesuatu.
Sejurus kemudian, Raudhah tersedar. Dia memandang sekelilingnya dengan
pandangan keliru bercampur hairan.
“Nape saya ni Bang? Apa yang dah terjadi,” tanya Raudhah
bingung.
“Takpe sayang.. Nanti Abang ceritakan. Sayang rehatlah
dulu..!” jawab Hariz tenang seraya menarik nafas lega sambil memandang Ustaz
Hadzim.
*********************************
Hariz
usai mengimamkan solat Isyak bersama isterinya, Raudhah. Selesai mengaminkan
doanya yang panjang, Hariz mengadap isterinya. Raudhah segera membongkokkan
badan sedikit seraya mencium tangan suaminya. Hariz, mengusap perlahan kepala
isterinya yang masih bertelekung.
Hariz memandang wajah isterinya sambil tersenyum. Mereka
berbalas pandangan. Tiada kata-kata yang terluah di antara mereka namun pandangan
mata sudah mentafsirkan Bahasa hati. “Saya siapkan makan malam kita dulu, ye
Bang..!” kata Raudhah sambil terkial-kial untuk bangun. “Ye laa..,” jawab Hariz
sambil turut membantu Raudhah untuk bangun. Sempat lagi dia mengusap perut
Raudhah yang sedang memboyot. “Hati-hati Yang..,” pesan Hariz dan dibalas
dengan senyuman oleh Raudhah.
Saat Raudhah sudah berlalu pergi ke ruang dapur, Hariz
masih lagi duduk tenang di tikar sejadahnya. Jari-jemarinya masih sempat
membilang tasbih. Hatinya terasa begitu tenang. Terasa kesal di hati, mengapa
tidak dari dulu lagi hatinya terbuka untuk beribadah sebegini? Walhal, masjid
di taman perumahannya hanya berjarak 150 meter sahaja dari rumahnya. Malah
bumbung masjid pun boleh kelihatan dari rumahnya. Ustaz Hadzim pun, bila
bertembung dengannya pasti akan mengajaknya solat di masjid ataupun mendengar
ceramah di sana. Namun, baik dirinya mahupun isterinya, kesibukan kerjaya
masing-masing selalu menjadi alasan untuk mereka tidak menyertai Jemaah masjid.
Sehinggalah peristiwa gangguan yang berlaku kepada
isterinya hampir setahun yang lalu, akhirnya banyak memberi kesedaran kepada
Hariz. Betapa jahilnya dia tentang hal-hal agama ini. Semua perkara dianggap
mudah dan setiap yang berlaku perlu ada alasan logik untuk memastikan mengapa
ianya berlaku.
“Tubuh isteri Hariz ini sudah lama didiami saka.
Barangkali saka dari keluarga pihak isteri Hariz sendiri. Saka ni dah lama
hidup di kawasan peranakan isteri Hariz. Memang di situlah tempat kegemarannya.
Itu juga mungkin salah satu penyebab mengapa isteri Hariz sudah beberapa kali
keguguran,” teringat kata-kata Ustaz Hadzim sewaktu merawati Raudhah dahulu.
“Jadi.. yang macam Nenek tadi tu..saka lah tu?” tanya
Hariz seakan tidak percaya. “Iya, saka nenek tua. Dia memang degil nak keluar
dari tubuh isteri Hariz tadi. Mungkin sebab dia sudah lama dan ‘selesa’ tinggal
menumpang di dalam tubuh isteri Hariz. In shaa Allah, ini ikhtiar kita. Saya
sudah hapuskan saka itu dan selebihnya terpulang kepada Hariz dan isteri untuk
menghindarinya. Saka ni, kalau dibiarkan lama hidup dalam tubuh isteri Hariz
itu boleh mendatangkan bahaya pada dirinya,” panjang lebar Ustaz Hadzim
menerangkan.
“Bahaya macam mana Ustaz?” tanya Hariz ingin tahu. “Boleh
menyebabkan isteri Hariz mengidap kanser ataupun ketumbuhan pada rahimnya,”
jawab Ustaz Hadzim menyebabkan Hariz agak tersentak. “Tak apalah.. bersabarlah
dengan ujian Allah. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini. Kehidupan harus
diteruskan. Hidup berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya, in shaa Allah..hidup
kita akan dirahmati dan diberkati Allah selalu,” nasihat Ustaz Hadzim sambil
menepuk-nepuk perlahan bahu Hariz.
“Oh ya, untukmemelihara diri kita dan keluarga kita dari terkena
gangguan makhluk halus terutama Jin/IBlis dan syaitan, amalkan Surah As Saffat,
ayat 7. Baca setiap kali selepas solat atau bila terasa diri tidak beberapa
sehat terutama waktu maghrib. Senang dan pendek sahaja ayatnya. Senang nak
hafal,” kata Ustaz Hadzim lagi.
Mungkin itu merupakan nasihat ikhlas daripada Ustaz
Hadzim tetapi kata-kata itu benar-benar menikam pedih hati Hariz dan terasa
pipinya menerima satu tamparan yang berbisa. Hariz terkedu, akur dengan
kekhilafan diri. Dia tidak menyalahkan Raudhah. Sebagai suami, dialah yang
sepatutnya membimbing isterinya itu. Kehidupan mereka suami isteri memang
bahagia tetapi seakan tidak ada seri atau nur dalam perkahwinan mereka. Solat
dibuat jarang-jarang, bila ada masa terluang sahaja! Apatah lagi ingin
bercampur dan beramah mesra dengan jran tetangga dan menyertai sekali-sekala aktiviti
masjid. Masa yang terluang, mereka habiskan dengan berseronok di luar. Hidup
bagaikan tiada pedoman. MasyaAllahh…!
Rupanya..inilah hikmahnya. Inilah kemanisan yang
diterimanya apabila mereka kembali ke landasan yang sebenarnya. Mengikhlaskan
diri dalam menyayangi Allah dengan taat kembali akan segala perintahNYA. Hariz
dan Raudhah sedang merasai nikmat kasih sayang Allah.
Bahagia yang dicari sedang dikecapi. Kini Raudah sedang
hamil lima bulan. Tiada lagi gangguan dari nenek saka itu. Raudhah tidak lagi
mengalami gangguan mimpi-mimpi buruk. Begitu juga gangguan makhluk-makhluk
Allah yang lain. Hariz menarik nafas lega sambil mengucapkan ALHAMDULILLAH..
Bersyukur atas hidayah yang diterimanya..
*** TAMAT ***