“ZAIM, betul ni, kau tak nak keluar makan?” tanya Akmal.
Akmal sudah membuka pintu bilik
hotel di mana mereka berdua menginap untuk seminggu di situ. Rutin tugas
seorang juruaudit yang memerlukan kerja di luar daerah. Kali ini mereka berdua
ditugaskan untuk membuat kerja-kerja audit di cawangan Melaka pula.
Sudah tiga hari mereka berdua
menginap di Hotel Equatorial Melaka itu. Entah mengapa malam ini Zaim terasa
malas mahu keluar.
“Wei, kau nak keluar ke tak nak?”
Akmal bertanya lagi.
Zaim terkejut. Dia masih lagi
berbaring-baring di katil bujang bersebelahan katil bujang Akmal.
“Hmm... aku malaslah nak keluar. Kau
keluarlah!” jawab Zaim dalam nada yang malas.
“Hai, biasanya kau yang tak
sempat-sempat nak keluar. Apa hal pulak malam ni?” tegur Akmal.
“Hmm... tak ada apalah, malas aje,”
jawab Zaim.
“Okeylah, aku keluar dulu. Apa-apa
kau nak kirim nanti, kau rogerlah aku
ya,” kata Akmal.
“Orait!”
jawab Zaim ringkas.
Akmal terus keluar dan menutup
pintu. Hairan juga Akmal. Biasanya, Zaimlah orang yang selalu mengajak dia
keluar. Keluar makanlah, pergi clublah,
jalan-jalan pusing bandarlah dan macam-macam lagi.
Akmal tahu, Zaim ramai kawan. Ke
mana sahaja cawangan negeri di merata Malaysia ini dia pergi, pasti Zaim akan
menghubungi kawan-kawannya itu. Dan Akmal pula lebih suka memerap di dalam
bilik hotel. Layan Skype dengan anak-anak dan isterinya lagi bagus.
Namun, malam ini bila dia beria-ia
ingin ronda-ronda pusing Bandar Melaka, Zaim pula tidak mahu ikut. Entah angin
apa yang dok kat kepala otak dia agaknya! Rungut Akmal.
Oleh kerana dia telah berjanji
dengan Danial Tan, pengurus cawangan bank di Melaka itu, yang dia akan
menyertai makan malam bersama di gerai ikan bakar di Umbai, maka Akmal teruskan
seperti yang dirancang walau tanpa Zaim. Lagipun, memang dia sudah lama
teringin makan ikan bakar di Melaka.
Sementara itu, Zaim di dalam bilik
hotel sedang resah berbaring di katilnya. Mengiring salah. Menelentang tidak
selesa. Meniarap pun begitu. Sudahnya, dia bangun dan terus menyelak langsir di
tingkap. Dari tingkap balkoni hotel itu, Zaim memandang ke luar tingkap.
Menikmati suasana malam yang hening itu.
Lokasi hotel empat bintang itu yang
terletak di tengah-tengah Bandar Melaka serta berdekatan dengan tempat-tempat
lawatan bersejarah yang menarik di Melaka memang sangat sesuai untuk menarik
lebih ramai pengunjung untuk menginap di hotel itu. Apatah lagi, kebetulan
bilik yang Zaim menginap itu betul-betul menghadap laut lepas. Tenangnya
melihat keindahan laut lepas pada waktu malam. Dari jauh ternampak lampu-lampu
dari kapal-kapal yang sedang berlabuh. Sangat mengujakan!
Inilah peluangnya Zaim ingin
menenangkan hatinya dan berehat setelah seharian berhempas pulas bekerja. Siapa
kata kerja juruaudit ini mudah dan untung? Orang menganggap mudah kerana sering
melihat juruaudit meminta itu meminta ini daripada mereka-mereka yang terlibat.
Memberi komen dan kritikan jika didapati ada yang tidak memuaskan atau
barangkali ada yang tidak patuh kepada terma-terma yang telah ditetapkan oleh
sesebuah syarikat. Seterusnya memberi penilaian atas segala yang telah diaudit.
Mudah ke kerja begitu?
Untungnya pada pandangan orang lain
bila juruaudit akan keluar merata daerah dan negeri bagi tugasan audit. Mungkin
ya, banyak berjalan, luas pandangan! Selama lima tahun Zaim bekerja sebagai
juruaudit, memang banyak pengalaman yang dilalui dan dipelajarinya. Zaim
sendiri tidak tahu mengapa pekerja-pekerja amat tidak suka bila juruaudit
seperti dirinya dan rakan-rakan setugasnya datang ke tempat mereka. Barangkali
mereka tidak suka kerja mereka dinilai dan dipersoalkan.
Bagi Zaim, jika semua pekerja
memberi kerjasama kepada juruaudit, maka semua kerja mereka akan terus berjalan
lancar tanpa gangguan daripada juruaudit yang kadangkala banyak soal dan banyak
songeh.
Namun, Zaim tahu, tidak ramai yang
peka dan faham tugas-tugas sebenar juruaudit ini. Pernah juga seorang staf
bertanyakan Zaim tugas-tugas seorang juruaudit.
“Kenapa? You minat nak kerja sebagai
auditor ke?” tanya Zaim balik.
“Tak adalah. Macam adventure pulak I tengok you all ni. I’m sure this job is really interesting!” jawab Rashid, staf dari
cawangan Johor itu.
“Well,
it’s depends. Tapi, kalau you nak tahu, antara tugas-tugas seorang auditor ini ialah menyelaras
penemuan audit dan mengendalikan audit susulan jika diarahkan. Membuat analisa
dan laporan dan jugak membuat catatan audit sepanjang mengendalikan audit,”
jawab Zaim.
“Huh,
payah jugak tu!” kata Rashid.
“Ha, tu belum lagi peringkat keseluruhan.
Seperti menguruskan
audit bermula dari peringkat perancangan, perlaksanaan, pemantauan,
pembentangan mesyuarat penutup, analisa, pelaporan hingga pembentangan dalam board meeting,” sambung Zaim.
Rashid
sudah terdiam. Tidak menyangka tugas-tugas sebagai seorang juruaudit penuh
dengan penelitian yang bukan boleh diambil sambil lewa. Bagi Zaim, biar orang
mengatakan tugas sebagai seorang juruaudit sangat bosan, tidak adventure, tidak lasak dan lebih sesuai
kepada wanita, tetapi baginya tugas-tugas sebeginilah yang banyak memberinya
cabaran dan pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.
“Pengalaman
yang tidak boleh dibeli di mana-mana? Hmm...” Zaim mengeluh panjang.
Entah
apa yang difikirkan Zaim saat ini. Sejak tadi lagi asyik mengeluh. Fikirannya
sedang berserabut.
“Hmm...” Zaim mengeluh lagi.
Entah mengapa hatinya seperti tidak
tenteram. Terasa debaran jantungnya berdegup kencang. Sejak kebelakangan ini,
dia merasakan dirinya bagai ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang perlu
dihambat keluar pergi dan dibuang jauh-jauh.
Zaim tahu selama ini semua orang
memandang serong pada dirinya. Mungkin ketika ini ramai yang beranggapan
dirinya menjalani kehidupan songsang kerana rakan-rakannya kebanyakannya
terdiri daripada mereka yang sebegitu.
Ditambah pula dirinya yang
berpenampilan ala-ala Mat Jambu. Pastinya bukan sedikit orang mengata tentang
dirinya. Namun, Zaim tahu siapa dirinya. Sehingga ke hari ini, walaupun dia
lebih gemar bercampur dengan rakan-rakan nyah, dia masih lagi tahu membezakan
halal dan haram. Zaim masih kekal bertahan tidak terpengaruh dengan kehidupan
songsang mereka biarpun ada juga antara rakan-rakan daripada golongan itu cuba mempengaruhinya.
Namun, naluri lembut itu tetap ada
dalam dirinya. Sudah berpuluh tahun dia hidup dan membesar atas didikan tangan
seorang wanita. Zaim lebih banyak memahami perasaan wanita, namun dalam masa
yang sama perasaannya sebagai lelaki tetap wujud. Zaim sedar dia masih lagi ada
keinginan untuk bercinta dengan seorang yang bergelar perempuan, namun setakat
hari ini, hatinya bagaikan dipaku oleh sejarah silam yang mempatrikan terus
hatinya untuk bercinta dengan mana-mana perempuan.
Lukanya walau sudah berparut, tetapi
ngilunya tetap ada. Bagi Zaim, mungkin belum masanya lagi hatinya terbuka untuk
rasa dicintai dan mencintai. Zaim lebih senang jadi begini. Namun, dalam masa
yang sama, Zaim tidak tahu bagaimana mahu membuang tanggapan buruk dan serong masyarakat
terhadap dirinya.
Pernah dia terdengar suatu perbualan
rakan-rakan sepejabatnya tentang dirinya ketika di dalam tandas. Mungkin
rakan-rakan sepejabatnya tidak menyedari bahawa dia berada di dalam salah satu
bilik di dalam tandas pejabatnya tempoh hari.
“Eh, Man, kau rasa Zaim tu gayke?”
Terdengar Azuan bertanya kepada
Azman. Mereka sedang berborak di singki di dalam tandas.
“Kau rasa? Kau tengoklah penampilan
dia. Gaya dia yang macam Mat Jambu tu. Kawan-kawan dia yang kebanyakannya
semuanya nyah! Kalau dia straight
macam kita ni, dia takkan bercampur dengan orang-orang macam tu,” jawab Azman.
Zaim mematikan diri seketika di
dalam tandas itu. Cuba memfokuskan perbualan rakan sepejabatnya itu.
“Aku tengok dia kadang-kadang normal
aje. Cuma yalah, lelaki metroseksual macam Zaim tu susah orang nak agak dia tu
lelaki macam mana,” kata Azuan.
“Yang kau beria-ia ni kenapa? Ke kau
dah tangkap cintan dengan Mat Jambu tu?” tanya Azman selamba sambil ketawa geli
hati.
“Hisy, kau ni! Gila kau! I’m straight okay! Saja aje aku tanya
sebab kau yang lebih lama kenal Zaim tu daripada aku. Aku baru join bank ni dua tahun. Sedangkan kau
dah bertahun-tahun kenal dia dari department
sebelum ni,” balas Azuan agak marah.
“Alah, relakslah. Itu pun nak
sensitif! Memang aku kenal dia dah lama. Tapi aku ni, malas nak ambil tahu hal
dia tu. Lagipun, kitakan ada lifemasing-masing.
Aktiviti dia selepas habis waktu kerja, hanya dia aje yang tahu. Cuma, selalu
jugaklah aku terserempak dia join
grup nyah tu. Sejauh mana aktiviti dia selepas itu, aku tak tahu!” jawab Azman.
“Yalah, sendiri punya kubur, sendiri
jawablah kan!” kata Azuan penuh makna sebelum mereka melangkah keluar dari
tandas itu.
Zaim masih terdiam di situ.
Genggaman tangannya kejap, menahan rasa geram dan marah. Terasa ingin
dilayangkan sahaja penumbuk itu ke muka kedua-duanya. Begitu mudah orang terus
menghukum dirinya hanya kerana dia berpenampilan begitu. Entah berapa ramai
lagi orang-orang di sekelilingnya yang berfikiran seperti mereka berdua itu.
Zaim tersedar. Kali ini dia
memandang sekeliling. Dirinya masih berbaring di atas katil di dalam bilik
Hotel Equatarian Melaka. Dia menarik nafas panjang dan cuba melelapkan mata.
“Wei,
kau belum tidur lagi?”
Tiba-tiba
suara Akmal menerjah ke gegendang telinga Zaim.
Entah
bila pula Akmal membuka pintu bilik dan masuk ke dalam, Zaim tidak perasan.
Yang pastinya sergahan Akmal yang tiba-tiba itu membuatkan Zaim terkejut
sehingga dia terlompat dan jatuh dari katil.
Akmal
ketawa berdekah-dekah.
“Aku
terkejutkan kau ke? Masya-ALLAH, aku ingat kau sedar aku masuk tadi!” kata
Akmal dalam sisa tawanya.
“Aduh,
sakit pinggang aku, kau tahu tak? Lain kali bagilah salam dulu ke. Ini main
terjah macam hantu. Memang hantu betullah kau ni!” marah Zaim sambil
menggosok-gosok pinggangnya yang terasa sakit akibat jatuh tadi.
Akmal
masih lagi ketawa.
“Kau
tu yang melayang entah ke mana. Marahkan aku pulak! Ni, makan sate ni. Ini aje
yang aku dapat tapaukan untuk kau. Ajak makan tak nak! Makanlah. Ada teh tarik
sekali dalam tu,” kata Akmal sambil menghulurkan bungkusan sate dan teh tarik
kepada Zaim.
Zaim
tersengih. Untuk ini dia berterima kasih kepada Akmal kerana memahaminya kerana
pada saat ini perutnya benar-benar terasa lapar. Padan muka! Jual mahal sangat.
Kononnya tak laparlah, tak ada moodlah.
“Thanks, bro! Kau tahu aje aku tengah lapar, kan!” kata Zaim.
“Of courselah! Dari petang tadi aku
tengok kau tak minum petang. Malam pun kononnya kata dah kenyang. Ha, kalau aku
tak tapau untuk kau, confirm tengah
malam nanti roommate aku ni admit kat hospital. Tak pasal-pasal,
tidur aku terganggu. Sebelum terjadi apa-apa, baiklah aku buat apa yang patut!”
jawab Akmal dalam nada gurau.
Zaim
ketawa. Dalam ramai-ramai kawannya itu, hanya Akmal sahaja yang boleh sesuka
hati mengutuknya terang-terangan dan Zaim pula memang kalah setiap kali ditegur
atau dikutuk Akmal.
Bagi
Zaim, walaupun kata-kata Akmal memang pedas lagi menghiris, namun Zaim tahu
setiap apa yang dikatakan Akmal itu adalah benar. Dan Zaim amat menghormati
Akmal sebagai sahabatnya.