JAMsudah
menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sebentar tadi, Zahari baru sahaja pulang
kerana gilirannya bertugas telahpun berakhir. Kini, giliran Ahmad Hassan pula
masuk shift di pondok pengawal Taman Sri Kasih, sebuah taman perumahan elit
yang hanya mempunyai sepuluh buah banglo sahaja di situ.
Banglo-banglo di situ kebanyakannya
kepunyaan VVIP dan hanya menjadi rumah persinggahan mereka di hari minggu.
Sebuah kawasan yang sangat eksklusif dan agak terpencil daripada laluan jalan
besar. Sangat digemari oleh golongan sebegini kerana ianya terletak betul-betul
di kawasan pantai Port Dickson yang terkenal.
Ahmad Hassan memulakan rutin tugasan
hariannya dengan membuat rondaan di dalam kawasan Taman Sri Kasih itu. Rondaan
mengambil masa lebih kurang lima belas minit dan setelah memastikan di setiap
penjuru kawasan tiada sebarang tanda-tanda yang meragukan seperti pencerobohan,
kebakaran ataupun kecurian, Ahmad Hassan kembali semula ke pondok pengawal.
Tengah malam itu cuacanya terasa
berlainan benar sejuknya. Menderu-deru bunyi angin laut yang bertiup kencang.
Sesekali terdengar bunyi hempasan ombak yang menghempas pantai yang berdekatan.
Ahmad Hassan mendongak ke langit. Tiada sebutir bintang pun di langit.
“Macam nak hujan ni,” kata Ahmad
Hassan sendirian.
Sebaik sahaja Ahmad Hassan berkata
begitu, petir dan kilat saling sabung-menyabung. Bunyi guruh juga berdentam-dentum
di atas sana menandakan bila-bila masa sahaja hujan akan turun.
Ahmad Hassan menyarungkan jaketnya.
Terasa sejuk benar sehingga ke tulang sum-sumnya. Seketika kemudian, hujan
lebat turun mencurah-curah. Ahmad Hassan menutup tingkap pondok pengawal itu
kerana tempias hujan di luar.
Namun,
ketika dia menutup tingkap itu tiba-tiba sahaja terpacul seorang gadis yang
entah dari mana datangnya, menjengah mukanya di tepi tingkap. Dek terperanjat
melihat gadis itu, Ahmad Hassan terlompat lalu jatuh terduduk
“Allahhu
Akbar!” jerit Ahmad Hassan sambil mengurut dadanya.
“Encik..Encik..
boleh saya masuk?” suara gadis itu timbul tenggelam bersulam dengan bunyi hujan
lebat di luar.
Gadis
itu mengetuk-ngetuk tingkap. Tubuhnya menggigil kesejukan kerana basah kuyup.
Ahmad Hassan yang ragu-ragu pada mulanya terhadap gadis itu, berasa kasihan
pula melihat keadaan gadis itu. Akhirnya, dia membuka pintu bilik kecil itu.
“Terima
kasih Encik,” kata gadis itu sambil masuk ke dalam.
Tanpa
disuruh, gadis itu terus duduk di kerusi. Ahmad Hassan hanya memerhatikan
sahaja. Masih belum mampu untuk bersuara kerana pada ketika itu, dia terhidukan
sesuatu yang berbau busuk seperti bangkai. Ahmad Hassan berasa tidak sedap
hati.
“Cik
ni dari mana ni dalam hujan lebat macam ni?” tanya Ahmad Hassan.
Dia
masih berdiri di pintu sambil memerhatikan gadis itu. Dari pandangannya, gadis
itu mungkin sebaya anak sulungnya, Annisa Faiha.
“Saya..saya..dianiaya
Encik. Saya..saya dirogol..! Tolong saya Encik,” jawab gadis itu sambil
menangis. Dia memandang Ahmad Hassan dengan pandangan sayu dan meminta simpati.
“Dirogol?
Di mana? Kamu kenal ke orangnya? Macamana boleh jadi begitu? Nak saya tolong
kamu buat laporan polis ke?” tanya Ahmad Hassan tidak ubah seperti seorang
polis menyoal siasat pesalah.
Gadis
itu tidak menjawab tetapi terus menangis sayu.
“Haduhh..parah
macam ni!” kata Ahmad Hassan di dalam hati. Dia membiarkan sahaja gadis itu
menangis sepuas-puasnya.
“Encik..saya
dianiaya Encik. Teman lelaki saya dah janji nak bertunang dengan saya bulan
depan. Kami ke pantai haritu untuk berbincang tapi..tak sangka, dia tipu saya.
Dia..dia..rogol saya Encik. Tapi.. bukan dia seorang sahaja.. Dia bawak lima
orang lagi kawan-kawannya. Saya..saya dirogol bergilir-gilir!” cerita gadis itu
sambil menangis teresak-esak.
“Masya-Allah..!
Kamu siapa nama? Tinggal mana ni? Siapa teman lelaki kamu tu? Kamu kenal
kawan-kawan dia?” tanya Ahmad Hassan. Dia pula hilang sabar mendengar cerita
gadis itu.
“Saya..Mazni.
Dari..Kampung Tengah. Bapa saya dah meninggal dunia dua tahun lepas. Saya
tinggal dengan mak dan seorang adik. Saya..kerja kilang kat Nilai. Teman lelaki
saya, Hisham ialah penyelia saya di kilang yang sama,” jawab gadis yang bernama
Mazni itu.
“Lelaki-lelaki
yang merogol kamu bergilir-gilir tu, kamu kenal ke?” tanya Ahmad Hassan.
Mazni mengangguk.
“Siapa?” tanya Ahmad Hassan lagi.
“Kawan-kawan Hisham di kilang itu
juga,” jawab Mazni.
“Di mana tempat kejadian tu?” tanya
Ahmad Hassan.
“Di Pantai Batu 11. Tidak jauh dari
sini. Di situ, ada sebuah Villa kosong..,” kata Mazni dalam nada sebak.
“Tak boleh biarkan perkara ini. Kamu
kena buat report! Kamu teraniaya ni!” kata Ahmad Hassan.
“Tak boleh Encik! Tak boleh..!”
jawab Mazni sambil kembali menangis teresak-esak.
“Kenapa pula? Kamu nak biarkan
sahaja?” tanya Ahmad Hassan hairan.
Mazni hanya menggelengkan kepalanya
beberapa kali.
“Encik, saya sayangkan Mak saya.
Mesti hancur luluh hatinya bila dia tahu saya macam ni..,” jawab Mazni.
“Tapi, bukankah kamu telah dianiaya.?”
Balas Ahmad Hassan.
Tiba-tiba lampu suluh yang dipegang
Ahmad Hassan terjatuh. Betul-betul di hujung kaki Mazni. Ahmad Hassan
membongkokkan badannya untuk mengambil lampu suluh yang terjatuh itu.
Namun, bagai ingin gugur jantungnya
dek terkejut apabila terpandangkan air yang menitik di hujung kaki seluar Mazni
yang basah itu berwarna merah darah. Ahmad Hassan mendongak mukanya untuk
memandang Mazni namun sekali lagi dia terkejut bila melihat keadaan rupa Mazni
yang mengerikan.
Kelihatan wajah Mazni hitam seperti terbakar
dan berdarah-darah. Kedua-dua biji matanya seperti dicungkil. Yang keluar hanya
darah pekat di bahagian matanya yang berlubang. Kedua-dua belah pipinya
bagaikan ditoreh dengan sesuatu benda yang tajam.
Dada
Mazni juga penuh dengan darah. Serentak itu, bau hanyir dan busuk seperti
bangkai binatang memenuhi ruang bilik pengawal. Namun, di pendengaran Ahmad
Hassan terdengar lagi suara Mazni menangis teresak-esak.
“Tolong saya Encik! Tolong saya..!”
sayu suara Mazni memohon simpati.
“AllahhuAkbar! Astagfirullahhalazim!
Masya-Allah!”
Serentak itu, Ahmad Hassan
melaungkan azan dan kemudiannya membaca ayat-ayat Al-Quran. Di waktu itu juga,
tubuh Mazni hilang begitu sahaja di hadapan Ahmad Hassan. Tiada bau busuk yang
memenuhi ruang bilik pengawal itu. Begitu juga, tiada kesan darah yang
ditinggalkan oleh Mazni di lantai itu.
Ahmad Hassan tersandar di kerusi.
Dia beristigfar banyak kali. Dilihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan
pukul 3.30 pagi!
“Ya Allah..! Apa yang mahu Kau
tunjukkan padaku, ya Allah?” tanya Ahmad Hassan sendirian sambil meraup mukanya
perlahan.
Hujan lebat sudah lama berhenti.
Ahmad Hassan sendiri tidak sedar bilakah angin kencang, petir dan kilat serta
guruh tadi berhenti. Dia menarik nafas
panjang. Akhirnya, dia bangun dan terus menuju ke tandas kecil yang terletak di
belakang bilik pengawal.
Mengambil wudhuk lantas terus membentangkan
tikar sejadah di ruangan yang agak terhad bersebelahan meja di dalam bilik
pengawal itu. Ahmad Hassan terus menunaikan solat sunat Istikharah memohon
petunjuk daripada Allah atas apa yang berlaku tadi.
Ahmad Hassan percaya, Allah ingin
‘menyampaikan’ sesuatu melalui kejadian tadi. Dia memohon kepada Allah agar
mempermudahkan segala urusannya.
**********************************
Pagi itu, selepas membuat rondaan
yang terakhir sebelum mengakhiri giliran shiftnya, Ahmad Hassan menulis sesuatu
di buku laporan harian pengawal keselamatan sebagai salah satu antara rutin
tugasnya di situ.
“Assalammualaikum Pak Hassan!” suara
Sufian memberi salam.
“Waalaikummussalam..,” jawab Ahmad
Hassan.
“Ha..apahal muka macam tak cukup
tidur ni?” tegur Ahmad Hassan apabila dilihatnya wajah Sufian sembab semacam
bagaikan orang tidak cukup tidur. Sufian menguap beberapa kali.
“Haah Pak Hassan. Awal pagi tadi,
saya temankan kakak saya ke balai polis. Buat report,” jawab Sufian. Dia sudah
meletakkan helmet di bawah meja.
“Buat report? Kenapa?” tanya Ahmad
Hassan ingin tahu. Dia juga sudah bersiap-siap ingin pulang ke rumah.
Sufian duduk di kerusi. Matanya
merah kesan daripada kurang tidur.
“Kakak saya ngadu yang anak sulung
dia dah dua hari tak balik rumah. Dia dah call
kilang tempat kerja anak buah saya tu tapi mereka cakap anak buah saya bercuti.
Itu yang kakak saya pelik tu, kalau anak buah saya bercuti kenapa dia tak
diberitahu. Kawan-kawannya yang rapat pun cakap yang mereka dah lama tak nampak
anak buah saya tu..,” cerita Sufian.
“Err..siapa nama anak buah kau tu
Pian?” tanya Ahmad Hassan.
“Mazni namanya. Kenapa Pak Hassan?”
tanya Sufian, berasa pelik.
“Err.. dia..dia kerja kilang kat
Nilai kan? Dia tinggal kat Kampung Tengah kan, bersama emak dan adiknya. Betul
tak?” tanya Ahmad Hassan.
“Iya Pak Hassan. Macamana Pak Hassan
tahu ni? Pak Hassan kenal ke anak buah saya tu?” tanya Sufian hairan.
“Subahanallah!” ucap Ahmad Hassan
sambil meraup wajahnya. Dia sudah termenung di situ.
Sufian memandang hairan sambil
terpinga-pinga kebingungan.
“Kenapa pulak ni Pak Hassan? Apa
yang berlaku ni? Pak Hassan tahu kemana anak buah saya Mazni tu? Ceritalah Pak
Hassan..!” tanya Sufian.
Dia yang merasa letih dan mengantuk
yang amat sangat ketika sampai tadi, mula bersemangat. Pasti Pak Hassan tahu
kemana anak buahnya itu. Fikir Sufian. Sufian kasihan melihat kakaknya itu,
seorang ibu tunggal yang hanya bergantung harap kepada anak sulungnya itu.
Sufian juga turut merasa risau akan kehilangan Mazni.
Ahmad Hassan mengeluh. Dia kembali
duduk di kerusi berhadapan dengan Sufian. Bingung dan tidak tahu, di manakah
dia patut memulakan ceritanya. Dia memandang wajah Sufian yang sedang menunggu
jawapannya.
“Pian, kalau Pak Hassan ceritakan
sesuatu, kau nak percaya tak?” tanya Ahmad Hassan.
“Cerita apa Pak Hassan? Cerita
sajalah. Yang penting, saya nak tahu apa yang terjadi kat Mazni. Saya kesiankan
kakak saya tu Pak Hassan,” kata Sufian dengann nada keluhan.
Akhirnya dengan lafaz Bismillah,
Ahmad Hassan menceritakan segala-galanya apa yang berlaku malam semalam kepada
Sufian. Terbeliak mata Sufian mendengar cerita Ahmad Hassan.
Mulanya
Sufian agak sangsi dengan apa yang diceritakan oleh Ahmad Hassan. Namun,
apabila mengenangkan Ahmad Hassan memang terkenal dengan waraknya, tidak
mustahil dia mempunyai sesuatu kelebihan yang tidak ada pada orang lain.
Berdasarkan
cerita daripada Ahmad Hassan, Sufian nekad membuat laporan dengan bantuan Ahmad Hassan sendiri. Tidak kiralah polis
mahu menerima laporannya ataupun merasa ragu dengan kesahihan ceritanya, yang
penting Sufian mahu polis segera membuat siasatan ke Villa tinggal di tepi
pantai di Batu 11 itu.
Akhirnya
sepasukan polis telah diarahkan untuk membuat siasatan ke atas villa tinggal
itu. Memang benar seperti yang dilaporkan, pihak polis telah menemui rangka
manusia yang telah ditanam di belakang villa tinggal itu. Namun, tidak dapat
dipastikan siapakah pemilik rangka itu sehingga hasil bedah siasat daripada
pihak forensik dikeluarkan.
Setelah
tiga hari, pihak forensik telah mengesahkan bahawa rangka manusia itu adalah
kepunyaan Mazni. Berdasarkan maklumat yang diberi, akhirnya Hisham dan
rakan-rakan telah ditahan reman untuk membantu siasatan ke atas kes bunuh dan
rogol Mazni.
Malam
itu, seperti kebiasaannya, setelah Ahmad Hassan selesai membuat rondaan, dia
kembali duduk di bilik pengawal. Sambil duduk, dia membuka Al-Quran kecilnya
lantas menyambung pembacaannya.
Tiba-tiba,
Ahmad Hassan terhidukan bau yang wangi. Dia mencari-cari bau wangi itu di
sekeliling bilik pengawal itu. Ketika dia menoleh ke arah palang besi yang
menghalang laluan masuk ke Taman Sri Kasih itu, Ahmad Hassan terpandangkan
lembaga wanita yang memakai telekung putih sedang berdiri di situ.
Lembaga
wanita itu sedang memandang dan tersenyum kepada Ahmad Hassan. Ahmad Hassan
beristigfar banyak kali. Dia tahu, lembaga wanita itu tidak berniat jahat
kepadanya.
Bila
ditenung lama-lama kepada lembaga wanita itu, barulah Ahmad Hassan perasan
bahawa lembaga wanita itu adalah Mazni. Ahmad Hassan percaya itu adalah roh
Mazni.
“Terima
kasih Encik..” kata roh Mazni itu sebelum ianya terus hilang di pandangan mata
Ahmad Hassan.
“Alhamdulillah.
Innalillahiwainnailahirojiun..! Semoga rohmu dicucuri rahmat, nak!” ucap Ahmad
Hassan sambil menarik nafas lega.