AZROY memandang jam di dinding konti. Sudah
pukul 11.45 malam. Sekejap lagi, tepat pukul 12.00 tengah malam, dia akan ke
udara untuk segmen “APA-APA SAJA!” Segmen yang sudah ke udara baru tiga bulan
itu memang mendapat sambutan hangat daripada pendengar.
Segmen
yang berdurasi selama satu jam setiap malam jumaat itu, memberi peluang kepada
pendengar untuk berkongsi apa sahaja kepada pendengaran umum. Tidak kira
berkongsi kesedihan, kegembiraan, ketakutan, kebimbangan atau apa sahaja yang
ingin para pendengar luahkan di segmen itu. Rata-rata semua memberi respon agar
segmen itu dipanjangkan menjadi dua jam! Sambutannya adalah di luar dugaan bagi
segmen baru seperti ini.
Tidak
menang tangan Azroy dibuatnya. Dia yang sebelum ini mengendalikan segmen
“SANTAI PETANG” yang ke udara setiap hari pada pukul 5.00 hingga 7.00 petang
benar-benar terasa ‘sibuknya’ mengendalikan segmen APA-APA SAJA ini.
“Orait,
lagu pun dah siap susun. Yang lain pun okay. Setting okay. Settled!
Okay..Bismillahirahmanirrahim..,” kata Azroy mengira-ngira “checklist”nya sendiri sebelum memulakan
segmennya yang tinggal beberapa minit lagi.
“Bro,
aku harap malam ni tak ada ‘gangguan’ lagi!”
Baru
sahaja Azroy ingin menekan butang “ON AIR”,
Haikal selaku penerbit bersuara.
“Ala
lu ni bro..mulut longkang la! Mintak laa yang baik-baik! Aku dah nak on air dah ni beb. Potong mood aku lah kau ni bro!” sela Azroy.
“Okay..okay
sorry bro!” kata Haikal meminta maaf.
Kesal dengan mulut lancangnya tadi. Namun, Haikal tetap merasa tidak sedap
hati.
Azroy benar-benar geram
dengan kata-kata Haikal itu. “Masa tadi aku tengah setting, kau tak nak sebut pasal ni. Ini, aku dah dah nak on air, baru kau sibuk bukak cerita!”
gerutu hati kecil Azroy.
Azroy menarik nafas
dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Cuba mengosongkan mindanya
daripada memikirkan hal-hal yang menganggu tugasnya sebagai DJ radio, mencari
‘mood’ dan cuba mencari ketenangannya sendiri sebelum ke udara.
“Untuk
menjadi DJ yang baik, ialah setiap apa yang kita sampaikan, sentiasa difahami
oleh pendengar dan pastinya mutu suara memainkan peranan yang penting di samping
bakat, kreativiti dan disiplin. Sekarang ini ramai DJ yang suka menjerit-jerit
ketika ke udara, entah apa-apa macam syok sendiri saja! Sebenarnya untuk 10
minit pertama, kalau pendengar boleh stay,
haa.. lamalah kau jadi DJ kat radio ni. Tapi… kalau mula-mula pendengar dah
rasa bosan, haa..alamat, pendengar akan memilih siaran radio lain.
Assalammualaikum lah jawabnya!”
Terngiang-ngiang
pesanan mentornya yang merupakan DJ Radio yang terkenal di Malaysia ini. Azroy
banyak belajar daripada mentornya itu yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman
dalam bidang penyiaran radio.
“Okay
bro..standby..3, 2, 1..on air!” kata Haikal sambil memberi
isyarat kepada Azroy untuk memulakan segmen.
“Hai..Hai..Hai.!.Salam
sejahtera. Salam satu Malaysia. ‘APA-APA SAJA’ ke udara lagi. Anda apa
khabar?.. Saya, DJ Azroy nak tanya..’boleh saya temankan anda?’ hahahaha..,”
ucap Azroy dengan nada ceria memulakan segmennya dan seperti biasa tidak akan
lupa dengan ‘tag line’ nya; ‘boleh
saya temankan anda!” itu.
Baru
beberapa saat segmen ke udara, lampu sudah berkelip-kelip menandakan panggilan
pendengar sudah masuk di talian dan menunggu untuk dijawab. Seperti biasa,
Haikal selaku penerbit bertindak menjawab panggilan dan menyambungkannya kepada
DJ. Bukan mudah untuk mengendalikan ratusan panggilan pendengar yang ‘sangat
sesak’ menunggu di talian. Kadang-kadang, bila panggilan sudah berjaya masuk,
pemanggil sempat juga memaki hamun Haikal, meluahkan rasa bengang mereka kerana
susahnya mendapat masuk talian!
Perjalanan
segmen untuk setengah jam pertama berjalan dengan lancar. Seperti biasa,
kecekapan Azroy melayan sipemanggil dengan skilnya tersendiri memang tidak
dinafikan bagusnya. Tidak sia-sia baru-baru ini, segmen ‘APA-APA SAJA’ antara
segmen yang mendapat rating tertinggi di kalangan pendengar di RADIO KILAU FM
walaupun ianya baru sahaja diperkenalkan.
Ketika
lagu sedang berkumandang setelah melayan pemanggil yang kelima, tiba-tiba
kerusi kosong yang berada di hadapan Azroy berpusing-pusing dan bergerak-gerak
dengan sendirinya! Serentak itu terdengar bunyi gangguan isyarat radio seperti
kehilangan frekuensi. Lampu di konti yang sedia ada terang benderang tiba-tiba
berkelip-kelip menyebabkan Azroy dan Haikal terasa pening.
Bagai
berjanji, Azroy dan Haikal memandang jam di dinding. Ianya 12.35 malam! Azroy
dan Haikal saling berpandangan. “Takkan sekali lagi!” rungut Azroy. “I told you!” balas Haikal sambil
memandang Azroy tepat. Azroy mengeluh.
Sebenarnya,
kejadian pelik ini berlaku sudah masuk kali ketiga ketika segmen ‘ADA-ADA SAJA’
ke udara. Perkara yang sama berlaku tetapi mesti berlaku tepat pada pukul 12.35
tengah malam! Walau diatur dan disusun semula programmnya untuk mengelak
kejadian yang sama berlaku, namun ianya pasti berulang dan tepat pada pukul
12.35!
Kerusi di hadapan Azroy masih
berpusing-pusing. Tiba-tiba, lagu Sipencuri Hati, nyanyian Ayda Jebat yang
sedang diputarkan di radio bertukar kepada lagu lain. Tanpa ada sesiapapun yang
menyentuh butang-butang di ‘board’ tiba-tiba lagu “Bulan dan Angin” nyanyian
Allahyarham P.Ramlee dan Allahyarhamah Normadiah berkumandang ke udara.
Azroy
pula tiba-tiba sudah terdiam dan duduk tegak tidak bersuara. Beberapa kali Haikal
memanggil Azroy namun Azroy seolah-olah seperti di dalam dunia yang lain. Tiba-tiba,
telefon bimbit Azroy yang berada di atas meja berbunyi. Azroy tidak
mempedulikannya. Melihat Azroy begitu, Haikal terus menjawab panggilan itu.
“Hello
you..! Apahal you bukak lagu zaman 50an ni weh? You dah kenapa? Mengigau ke? Ni
bukan slot klasik, hokay! Agak-agaklah sikit! Nanti tak pasal-pasal pendengar
kutuk you!” belum pun sempat Haikal membuka mulut, Erwina, teman wanita Azroy sudah
menyerbunya dengan kata-kata bagaikan peluru berpandu.
“Err..err..
sorry, ada gangguan frekunsi kot! Thanks
for your concern,” jawab Haikal sambil terus mematikan talian. Malas dia
mahu melayan bebelan Erwina. Silap-silap, segmennya tergantung begitu sahaja
sebab melayan bebelan Erwina itu. Lepas ni, pandai-pandailah Azroy memujuknya!
Sementara
lagu klasik itu sedang ke udara dengan sendirinya dan Azroy masih dalam keadaan
seperti orang kerasukan itu, Haikal sempat membaca pesanan-pesanan yang beratus-ratus
diterimanya melalui applikasi ‘Twitter’, ‘Whats Up’ dan ‘Facebook’ yang
kesemuanya bertanyakan samada DJ RADIO KILAU FM sengaja menukar lagu atau hanya
kesilapan teknikal sahaja. Malas mahu memanjangkan cerita, Haikal hanya
membalas “Ianya hanyalah masalah teknikal – gangguan frekunsi. Maaf atas
ketidakselesaan!”
Tiba-tiba,
Azroy membetulkan kedudukan kerusi yang diduduknya itu. Tanpa menoleh ke arah
Haikal, dia berdehem seketika, seolah seperti bersedia untuk on air!
“Hello..
Hello..boleh saya temankan anda!” tiba-tiba Azroy bersuara tetapi suara yang
keluar bukanlah suara Azroy, sebaliknya suara lelaki yang bersuara garau
diikuti dengan suara gelaknya yang agak menyeramkan!
Haikal
terpempan di situ. “Kenapa suara Azroy macam tu? Suara siapa pulak ni?” tanya
Haikal di dalam hati dan cemas di situ.
“Hellooo..siapa
di sana?” tanya Azroy dengan suara garaunya itu.
Spontan bulu roma Haikal
sudah merinding tegak. Mana tidaknya, di konti itu sudah terbau seperti benda
hangit terbakar. Sesekali terbau pula kemenyan dibakar! Haikal teragak-agak
untuk mendekati Azroy. Dia sudah naik seram dengan kejadian yang sedang berlaku
itu.
Segera Haikal
teringatkan sesuatu. Sepantas itu juga, Haikal menekan butang “record” di board
yang berada di atas meja tanpa “Azroy” sedar.
“Iya..kembali
kita bersiaran. Sudah agak lama kita tidak bersiaran di sini. Apa khabar? Saya,
juruhebah yang bertugas malam ini, akan menemani anda sehingga ke pagi dalam
segmen “LUAHAN RASA HATIKU!”..,” ucap Azroy tiba-tiba dengan suara garaunya itu
bertindak sebagai DJ radio yang bertugas tetapi dalam versi ‘DJ lain”.
“Dengarkan
lagu ini ya..Rentak Seratus Enam, nyayian Ahmad C.B dan Momo..! Setia bersama
PURNAMA FM!” sambung Azroy sambil jarinya lincah menekan butang-butang di atas
board bagaikan sudah biasa sahaja melakukannya. Serta-merta lagu ‘Rentak Seratus
Enam” berkumandang di radio!
Terlopong
mulut Haikal apabila Azroy memperkenalkan ‘dirinya’ sebagai DJ radio PURNAMA
FM. Seingat Azroy, bukankah stesen radio itu tidak lagi beroperasi? PURNAMA FM
sudah lama berkubur. Yang peliknya, dari mana pula lagu itu muncul sedangkan
lagu-lagu untuk segmen APA-APA SAJA semuanya telah disusun dan merupakan
lagu-lagu hit terkini.
Selang
sepuluh minit, keadaan menjadi seperti biasa. Lampu yang berkelip-kelip di
konti menjadi terang menderang semula. Bau hangit terbakar dan bau kemenyan
sudah hilang juga. Lagu terkini yang telah disusun sebelum ini kembali
berkumandang semula mengikut seperti apa yang telah diprogramkan. Azroy pula tiba-tiba
seperti orang tersedar dari tidur.
“Apa
dah jadi tadi Haikal? Apa yang berlaku?” tanya Azroy berulang-ulang kali. Dia
sendiri pelik, selepas kejadian lampu di konti berkelip-kelip, tiba-tiba sahaja
dia sepertti tidak sedarkan diri.
Haikal hanya mampu memandang Azroy
dan kehilangan kata-kata untuk menerangkan apa yang telah berlaku sebentar
tadi. Sudahnya, Haikal memainkan semula rakaman suara “Azroy” tadi dan berharap
Azroy faham apa yang telah berlaku.
Akhirnya setelah
mendengar sendiri rakaman suara itu, fahamlah Azroy apa yang berlaku. Yang
pastinya, Azroy bertekad di dalam hati untuk mencari sendiri jawapan yang
berlgar-legar di kepalanya tentang siapakah lelaki yang bersuara garau itu dan
siapakah DJ yang bertugas di PURNAMA FM yang mengendalikan segmen “LUAHAN RASA
HATIKU” yang telah merasukinya sebentar tadi.
********************************************************
“Perghh!!
That was scary man! You mean, setiap
kali kejadian tu berlaku, ianya tepat pukul 12.35??” tanya Rudy, si pemilik
stesen radio KILAU FM setelah mendengar keterangan merangkap cerita penuh
daripada Azroy.
“Iya
Boss!” jawab Azroy.
Rudylah mentor kepada
Azroy. Baginya, Rudy adalah seorang penyampai radio yang berwibawa dan
mempunyai pengalaman yang luas dalam industri penyiaran radio. Selaku CEO KILAU
FM, Rudy memanggil Azroy dan Haikal kerana meminta mereka berdua memberi
keterangan dan sebab atas apa yang berlaku ketika segmen “APA-APA SAJA” sedang
bersiaran kerana rata-rata komplen yang diterima adalah sangat memalukan. Tidak
pasal-pasal, dia pula turut terlibat kerana diminta oleh pendengar menjawab
isu-isu yang dibincangkan itu.
“Well, korang ingat, pendengar nak percaya ke cerita-cerita macam
ni?” tanya Rudy.
“Itu yang kita orang
alami, Boss! Yang tak boleh blah tu, dia tiru tag line aku, Boss! Sekarang ni, takkan Boss tak nak bagi kami clue, siapa DJ tu? Boss tak ingat ke,
siapa-siapa yang pernah kerja dengan PURNAMA FM? “ tanya Azroy.
“Hmm.. let me think..! PURNAMA FM dah lama tak
beroperasi. Dah berpuluh tahun dah. Nanti I check
dengan kawan-kawan I yang lain,” jawab Rudy.
****************************************************
“Well, berdasarkan apa yang you all cerita
ni, I rasa.. dia tu..mungkin .. Rahim Jelaini atau terkenal dengan nama RJ! Dia
ni seorang DJ err..dulu orang panggil juruhebah. Memang DJ RJ pernah kerja kat
PURNAMA FM dulu. Dia ni seangkatan denganjuruhebah-juruhebah yang hebat seperti Abu
Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Siti Hawa Zain (Mak Iti), Dom Mahdzi, Aziz Abu
Hassan dan Zainal Alam. Selepas era mereka timbul pula juruhebah yang tidak
kurang hebatnya seperti Jamsari Mohamad, Siti Hawa Majid, Karim Mohamad, Nor
Azah Aziz dan Asiah Omar Idros,” cerita Syukri.
Syukri merupakan
pemilik RADIO KITA FM yang agak terkenal juga di Malaysia ini. Segemen-segmen
dari RADIO KITA FM juga banyak mendapat sambutan daripada pendengar dan
mempunyai kumpulan pendengar tersendiri. Kelebihan radio itu adalah mereka
mempunyai segemen klasik yang mengetengahkan pilihan lagu-lagu era tahun 50an
hingga 80an. Sudah pastinya, Syukri mengenali siapa DJ yang mereka sedang cari
infonya itu.
Bagi Azroy, setelah
diperkenalkan dan dipertemukan dengan Syukri oleh Rudy, Azroy mendapati Syukri
mempunyai pengalaman yang meluas juga dalam bidang penyiaran ini. Makanya,
pertemuannya dengan Syukri adalah tidak sia-sia.
“Tapi..,” Syukri
terhenti di situ.
“Tapi apa pulak? You
ni kadang-kadang dramatik juga lah! Bagi number phone brother RJ tu kat aku.
Aku nak contact dialah. Nak sangat aku belajar dengan dia..macamana nak
takutkan orang macam yang dia buat kat aku dan Haikal tempohari, ” kata Azroy.
“DJ RJ yang aku
maksudkan tu dah meninggal dunia. Lama dah..!” sambung Syukri. Azroy sudah
terlopong mendengar jawapan Sukri.
“Serius?? Meninggal sebab apa pulak?” tanya Azroy teruja ingin tahu.
“Menurut ceritanya..dia
mati terbakar kena short-circuit
semasa dia on air! Dengar khabarnya,
ada kebakaran kat salah sebuah studio rakaman yang berdekatan dengan konti
tempat DJ RJ on air tu. Kebakaran di
studio rakaman itu terus merebak ke beberapa buah bilik termasuklah konti di
mana DJ RJ bertugas ketika itu, ” jawab
Syukri dengan panjang lebar.
“Tapi.. apa
kena-mengena kejadian berulang pada tepat pukul 12.35? Mengapa tidak pada masa
yang lain? Pukul 1.00 pagi ke..pukul 1.30 pagi ke..,” tingkah Azroy.
“Aku rasalah kan..
mungkin masa 12.35 tengah malam tu adalah masa kejadian, the time that he was dead! Manalah tau kan..Sebab aku kurang pasti
waktu bila dia meninggal dunia.Yang aku tahu, dia meninggal dunia waktu tengah
malam dan sedang on air!” jawab
Syukri.
“Wahh.. ini
betul-betul tragedy beb! Err..kau ada
gambar dia tak?” tanya Azroy.
“Jap, jom check kat
Google. Manalah tahu, kot-kot ada gambar arkib ke..,” kata Syukri. Laju jarinya
menyentuh skrin di telefon bimbitnya.
“Haa..ni dia!!” Syukri
menghulurkan telefon bimbitnya lalu ditunjukkan gambar arwah DJ RJ kepada
Azroy.
“Oohhh..jadi, inilah
dia yea. Sayang.. muda-muda lagi dah meninggal dunia!” keluh Azroy.
“Yup.. dengar
ceritanya dia DJ yang sangat popular di zamannya dahulu. Suaranya, aku rasa kau
pun tahu macamana kan..Mungkin sedap!” balas Syukri.
“Yes, suara dia,
memang aku admit..sangat sedap. Garau tetapi ada tone tersendiri. Aku sebagai
DJ nipun, sampai terbuai dek mendengar suara dia, inikan pula pendengar.
Lagipun, dalam banyak-banyak komplen pendengar yang kami terima masa hari
kejadian tu, selain mengutuk kecuaian pihak kami, mereka ada juga mengatakan
bahawa suara yang mereka dengar itu sangat sedap!” cerita Azroy.
“Aku
rasa.. roh dia ni tak ada niat lain. Mungkin sekadar ‘menyinggah’ sahaja.
Kebetulan atau mungkin segmen yang kau kendalikan ini adalah sama dengan waktu
segmen yang dia kendalikan dulu. Well,
ini mungkin tak masuk akal tapi.. siapa dapat jangkakan perkara-perkara ini
bisa berlaku dalam dunia mistik? Betul tak?” kata Syukri.
“Iya betul tu! Yea laa.. thanks atas info ini bro! I appreciate
it! Bagi aku, setakat menyinggah dan ada ‘gurau-gurau manja’ sikit dari
mereka yang bergelar roh ni..tak jadi hal sangat. Mereka pun makhluk Allah
jugak. Lagipun, dia datang bukan kita yang panggil atau seru dia. Mungkin dia nak
lepas gian dia kot sebab dah lama tak bersiaran! He he he…!” kata Azroy sambil
sempat berseloroh.
Syukri hanya tersengih
mendengar kata-kata Azroy itu.
******************************************************************
“Hai..Hai..Hai…!
Kembali lagi segmen APA-APA SAJA ke udara. Nak tanya sikit.., Boleh Saya
Temankan Anda..?? hahaha… jangan lupa stay
tune di..KILAU FM!” kata Azroy memulakan segmennya.
Seperti biasa,
perjalanan setengah jam pertama untuk segmem APA-APA SAHAJA sangat
menghiburkan. Ketika waktu melewati jam 12.35 pagi, tiada apa-apa yang berlaku
di konti. Seminit..dua minit..dan akhirnya sepuluh minit berlalu.., tiada lagi
suara garau datang menganggu di talian.
Tiada lagi lampu di
konti yang berkelip-kelip dan kerusi yang disusun di hadapan Azroy juga tiada
yang berpusing-pusing dan bergerak-gerak. Suasana seperti biasa sahaja.
Semasa lagu hit masa
kini sedang berkumandang di radio, sempat Azroy berkata kepada Haikal.
“Dia dah pergi beb!
Dia hanya menyinggah sahaja.. Moga rohnya dicucuri Rahmat..Aamin!”
“Aamiin…,” balas
Haikal sambil menundukkan kepalanya.
Bagi kedua-dua lelaki
ini, entah mengapa.. mereka dapat merasakan kelainannya tanpa gangguan dari roh
DJ RJ! Suasana konti terasa hambar walau Azroy sendiri cuba menceriakan para
pendengarnya.
Yang pasti.. mereka
berdua “merindukan” suara garau itu yang gemar memutarkan lagu-lagu klasik di
zaman era 50an! Bagi Azroy pula, roh DJ RJ itu seperti ada auranya yang
tersendiri sehingga membuatkan Azroy tidak jemu mendengar suaranya lagi dan
seperti ingin mengenalinya dengan lebih dekat!
TAMAT
Nota: Idea asal oleh Bob Ringgo SuriaFM. Olahan
oleh Aida Adia.