Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Mr and Mrs Poyo
Mr and Mrs Poyo
Aida Adia
2/2/2014 22:11:11
9,751
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Suasana di perkarangan Dewan Politenik bising dan agak kecoh sedikit. Masing-masing sedang sibuk memasukkan beg-beg mereka ke dalam bonet bas. Dhiya Adeela sedang sibuk memerhatikan pelajar-pelajar masuk ke dalam bas. Kain rentang bertulis “Ekspedisi Endau-Rompin. Politeknik Port Dickson.” diikat menutup penuh bahagian badan bas.

“Cik Setiausaha! Dah siap semak senarai nama peserta ke?” Tanya Azam, Pengerusi Kelab Kembara. Dhiya Adeela masih lagi meneliti senarai nama.

“Hah.. ni apahal tergaru-garu kepala ni” Tanya Azam lagi.

“Err.. saya musykil ni.. ada ramai peserta tak sign-in lagi ni.. tapi, saya tengok.. peserta yang ada kat sini macam dah betul-betul muat satu bas! Siapa pulak mereka ni?” Tanya Dhiya Adeela menyatakan kemusykilan.

“Ohh.. awak tak tau lagi ke?” Tanya Azam selamba.

Dhiya Adeela memandang Azam dengan penuh tanda-tanya.

Actually, memang dah cukup pun. Mereka yang ada ni semuanya replaced nama-nama yang ada kat tangan awak tu” Jawab Azam sambil berlalu pergi.

Dhiya Adeela terpinga-pinga seketika. Apa sudah jadi ni? Dia memandang kelibat Azam yang telahpun menaiki tangga bas.

“Hello..! Apasal saya tak tahu ni? Azam!” Panggil Dhiya Adeela sambil mengekorinya dari belakang.

Azam menaiki bas tanpa mempedulikan panggilan Dhiya Adeela. “Ini sudah lebih ni! Kalau semuanya dia tahu, tak payahlah suruh aku jadi Setiausaha”. Gerutu hati kecil Dhiya Adeela. Ketika dia menaiki bas, semua peserta sudah bersiap sedia. Matanya liar mencari tempat kosong namun hampa.

Dalam dia tercari-cari tempat kosong, tiba-tiba Dhiya Adeela dilanggar oleh seseorang. Barangkali kerana fizikalnya yang kecil dan si perempuh itu berbadan besar, maka Dhiya Adeela terdorong ke belakang namun sempat juga dia berpaut pada tiang besi di tengah-tengah bas itu. Beberapa orang pelajar perempuan yang berada di dalam bas terjerit melihat kejadian itu.

“Hoi..! Buta ke apa? Dah tahu kat dalam ni sempit.. lagi nak jalan laju-laju! Tengoklah sikit!” Jerit Dhiya Adeela sambil cuba mengimbangi badannya dari betul-betul terbaring di atas lantai bas. Si perempuh itu tadi hanya menoleh sekilas ke arah Dhiya Adeela tanpa berkata apa-apa.

Dalam samar-samar lampu bas itu, pandangan Dhiya Adeela ke wajah si perempuh itu kurang jelas apatah lagi ketika itu lelaki itu memakai topi. Yang pasti, si perempuh itu adalah seorangg lelaki yang agak tinggi dan berbadan tegap. “Memang patut pun aku tumbang. Nasib baik tak tergolek!” Kata hati Dhiya Adeela.

“Dhiya..! Kau okey?” Jerit Fatin di kerusi bahagian tengah. Di sebelahnya Zul, buah hatinya. Dhiya Adeela menunjukkan ibu jari kepada Fatin tanda okay. Di dalam hati, sempat juga dia menyumpah lelaki yang melanggarnya tadi. “Sudahlah langgar orang dengan kasar, minta maaf pun tidak! Memang poyo betul mamat nihh!” Hati Dhiya Adeela tak henti-henti mengutuk lelaki yang melanggarnya tadi.

“Dhiya! Di sini!” Jerit Azam berdiri sambil jari telunjuknya menunjuk kerusi yang kosong di sebelahnya. Dhiya Adeela pura-pura tidak mendengar panggilannya. Ketika Dhiya Adeela melepasi kerusi yang diduduki oleh Fatin dan Zul itu, Fatin sempat menarik tubuh Dhiya Adeela agar merapatinya

. “Sorry Dhiya, tak sempat nak reserve tempat kau. Si Zul sibuk nak duduk dengan aku!” Bisik Fatin. Zul di sebelah tersengih-sengih. Nampaknya Dhiya Adeela tiada pilihan lain, maka dia terus menuju ke arah Azam yang sedang menunggunya dengan senyuman yang menyakitkan hati. “Lain kali, jangan sombong. Awak patut berterima kasih kat saya atas keikhlasan saya ni!” Kata Azam.

Dhiya Adeela duduk sambil menjeling ke arah Azam. Sempat juga dia menoleh ke belakang dan di waktu itu, dia terpandangkan lelaki poyo yang bertopi itu duduk di bahagian belakang sekali. Dhiya Adeela mendengus benci memandangnya.

En Najmie, En Reza, En Sham dan Ms Lee merupakan pensyarah yang menyertai kumpulan Kelab Kembara mereka. Dhiya Adeela memandang kerusi di bahagian hadapan. Rakan-rakannya, Fatin, Amy, Intan, Ija dan Siti masing-masing sedang asyik berborak dan duduk bersama pasangan masing-masing. Aku? Dhiya Adeela tersenyum sendiri bila mengingatkan ‘mamat’ di sebelahnya itu. Senyumannya mati serta-merta apabila matanya bertembung dengan mata Azam.

“Hello Cik Dhiya…! Awak nak bertahan sampai bila yang asyik dok tegak macam statue tu? Tak mengantuk ke? Atau.. awak takut tertidur di sebelah saya ni? He..he…” Azam menegur sambil ketawa gelihati.

“Eh, yang awak tak ada keje asyik nak memerhatikan saya ni, apahal? Tidur ajelah..! Lagipun, macamana saya nak tidur, kat belakang ni dah macam pesta dah.. bising sangat!” Rungut Dhiya Adeela.

Suasana bising masih lagi terdengar di bahagian kerusi belakang dengan gelak ketawa peserta-peserta lelaki. Mereka inilah kelompok peserta senior (tahun akhir) yang tiba-tiba nama mereka menggantikan nama peserta-peserta yang sedia ada.

“Hmm.. kalau awak tak nak tidur, berjagalah selama mana yang awak bertahan.. okey.. saya nak tidur!” Kata Azam sambil mengambil menutup mukanya dengan topi. Dhiya Adeela masih melayan fikirannya sendiri walaupun di belakangnya begitu gamatnya suasana.

“Dhiya.. jomlah join kitaorang! Daripada awak mengelamun sorang-sorang, jomlah bersembang kat sini!” Pelawa En Najmie. Dhiya Adeela segera menoleh ke belakang. “Tak apalah En Najmie. Just carry on.. Saya nak rehat” Dhiya Adeela.

Sepanjang perjalanan itu, Dhiya Adeela memang tidak boleh tidur walau sepincing pun! Mereka yang duduk berkumpul di belakangnya itu seolah-olah sudah cukup tidur dan kini mereka berjaga sepanjang malam! Dari soalan teka-teki yang mengarut-ngarut hinggalah membawa kepada pertandingan menyanyi di dalam bas itu. Bagai nak pecah bas itu di buatnya dengan ketawa dan sorakan mereka. Ada juga pelajar-pelajar yang berada di hadapan bas merungut dan menjerit meminta mereka diam. Namun, disorak beramai-ramai oleh kumpulan yang berada di belakang. Penyudahnya, dia hanya menjadi pemerhati dan pendengar dengan kerenah mereka.

Mereka tiba di Pekan Kluang, Johor tepat pada pukul 4.30 pagi. Seperti yang telah diatur dalam jadual mereka, mereka perlu singgah di masjid untuk berehat dan bersiap-siap sebelum menunaikan solat subuh. Setelah menunaikan solat subuh, mereka singgah di pekan untuk bersarapan. Oleh kerana peserta perempuan yang lain sibuk dengan pasangan masing-masing, Dhiya Adeela tentunya tiada pilihan lain selain terpaksa menyertai Azam dan rakan-rakannya. Begitu juga pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar senior yang lain.

Mereka meneruskan perjalanan menuju ke pekan Kahang tepat pukul 8.30 pagi. Dari situ, bas yang membawa mereka hanya dapat menghantar mereka ke persimpangan jalan menuju ke perkampungan orang asli iaitu di Kg.Peta. Di situ sudah ada dua buah lori yang sederhana besar menunggu untuk membawa rombongan mereka ke Kg Peta yang sejauh 56km. Suatu pengalaman yang mengujakan dan lucu apabila mereka beramai-ramai menaiki lori. Tidak ubah seperti pekerja kontrak Indon yang bekerja di ladang kelapa sawit!

Dalam ramai-ramai itu, Dhiya Adeela menyedari ada seorang pelajar lelaki senior yang selalu mencari peluang untuk duduk bersebelahan dengannya. Dia jugalah yang selalu menjadikan suasana gamat dengan usikan dan gurauannya. Ada-ada sahaja ideanya untuk membuatkan ahli kumpulan lori A itu ketawa.

Namun yang peliknya, dia tidak pernah pula ingin berborak dengan Dhiya Adeela. Dengan rakan-rakan perempuan yang lain pun masih ada juga gurau senda dan senyuman yang diberikannya kepada mereka. Jika ada peluang dapat berbual dengan Dhiya Adeela, dia tidak pernah bersuara lembut dan reaksinya seolah-olah seperti tidak menyukai Dhiya Adeela. Itulah Hariz Adzim, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Elektronik, mamat poyo yang melanggar Dhiya Adeela di dalam bas malam tadi!

Mereka telah dibahagikan kepada empat kumpulan. Ketika En Najmie mengumumkan ahli-ahli kumpulan, sekali lagi Dhiya Adeela terkejut kerana nama-nama ahli kumpulan yang telah disebut adalah tidak sama seperti apa yang dia bincangkan minggu lepas. Selaku Setiausaha Kelab Kembara, Dhiya Adeela merasa teramat hairan mengapa perkara ini boleh berlaku tidak seperti apa yang dirancangkannya. Dhiya Adeela memandang Azam meminta penjelasan.

Seperti yang dijangka, Azam hanya mengangkat tangan sambil menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Dhiya Adeela pasti, mesti ada komplot antara Azam dan pensyarah-pensyarah yang lain. Yang peliknya lagi, Dhiya Adeela dan Fatin telah diletakkan dalam kumpulan B di mana ahli-ahlinya terdiri daripada Azam, Hariz Adzim, En Najmiie, Encik Sham, Abang Zul dan Nazri. “Pelik sungguh, bagaimana nama-nama ini tidak pernah ada dalam perbincangan kami sebelum ini?” Dhiya Adeela tertanya-tanya sendiri.

Setelah mereka tiba di Kg Peta, maka bermulalah pengembaraan mereka dengan berjalan kaki ke Kuala Jasin yang memakan masa lebih kurang satu setengah jam. Setibanya mereka di Kuala Jasin, mereka berhenti rehat.

“Hah..kau! Jangan lupa masak untuk kumpulan kita! Orang perempuan sepatutnya tau tugas dia, tak payahlah nak disuruh dulu..baru nak buat!” Sergah mamat poyo itu ala-ala Samseng Kg.Dusun! “Kurang ajar!” Marah Dhiya Adeela di dalam hati. “Sudahlah letih berjalan kaki sambil bawak beg galas yang berat, suka hati dia nak arah kita buat macam-macam!” Rungut Dhiya Adeela masih tidak puas hati.

“Apasal pulak saya yang kena masak? Saya join expedisi ini bukan nak jadi tukang masak awak! Kalau nak makan, ha.. mari sama-sama masak!” Jawab Dhiya Adeela lantang. En Najmie yang berada di situ cuba mencelah.

“Ya lah Riz.. kau pun satu! Sian ler Dhiya tuhh kau buli macam tu.. Okey.. kita masak sama-sama. Kan kita satu kumpulan. Betul tak Dhiya?”

Hariz Adzim merenung Dhiya Adeela dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Dhiya Adeela pura-pura tidak perasan akan pandangannya. Dhiya Adeela dan Fatin sudahnya menjadi tukang masak apabila melihat lelaki-lelaki di dalam kumpulannya itu seperti tidak tahu apa perlu dibuat. Hmm.. alasan saja tu! Rungut Dhiya Adeela.

“Isshh.. siapa yang masak ni?” Tanya Hariz Adzim ketika mereka mengadap hidangan makan tengahari secara berkumpulan. Dhiya Adeela dan Fatin berpandangan. Lelaki sombong itu bangun untuk membuang pinggan kertas yang telah kosong ke dalam plastik sampah.

“Apasal? Tak sedap ke? Aku rasa okey jer..” Azam mencelah. “Hmm.. betul tu! Awak masak ye Dhiya? Sedaplah! Ni mesti rajin tolong Emak memasak ni kan..” Puji En Najmie.

Ahli kumpulan yang lain juga turut bersetuju. “Aku masak sambal sardin saja, pun dikatakan sedap? “ Dhiya Adeela bermonolog sendiri.

“Err.. saya dengan Fatin En Najmie. Kami sama-sama masak!” Dhiya Adeela menjawab walau hakikatnya, Fatin hanya menanak nasi sahaja. Fatin sekadar tersenyum.

“Sedap ke hapa.. tawar gila!” Hariz Adzim yang poyo itu bersuara lagi. “Eleh.. sedap dan tawar konon, aku tengok dia melantak sampai licin pinggan tu! Lagi mau kutuk orang!” Gerutu Dhiya Adeela di dalam hati. “Memang malanglah sape yang jadi awek dia ni..!”

********************************************************

Pagi itu, awal-awal lagi mereka telah memulakan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya. Kali ini perjalanan lebih mencabar. Mereka terpaksa mengharungi hutan tebal, meredah sungai yang berbatu licin dan mendaki bukit setinggi 1900 kaki!

Jatuh dan tersungkur, tergelincir entah berapa puluh kali. Namun ternyata semangat berpasukan sesama mereka mengeratkan lagi kemesraan persahabatan mereka walaupun sebelum ini ada di antara mereka tidak pernah saling mengenali. Mungkin bagi peserta perempuan yang ditemani oleh pasangan masing-masing agak beruntung kerana sentiasa diawasi dan dilindungi oleh teman di sisi. Cuma Dhiya Adeela sahaja yang sering keseorangan.

Namun itu semua tidak menjadi masalah baginya kerana dia lebih senang begitu. Setakat ini, Dhiya Adeela tidak menghadapi apa-apa masalah yang memerlukan keperihatinan dari ahli kumpulannya.

Akhirnya setelah pelbagai halangan yang mereka tempuhi, tiba juga mereka ke tempat yang diidam-idamkan, Air Terjun Buaya Sangkut! Keindahannya tidak tergambar oleh kata-kata. Masing-masing terpegun dengan keindahan air terjun itu. Sangat cantik! Apalagi, mereka mengambil peluang yang ada untuk merakamkan keindahan itu dengan bergambar sepuas-puasnya.

“Cantiknya air terjun ni! Tak pernah saya tengok air terjun seindah ini” Puji Azam. Dhiya Adeela tersenyum mengiayakan kata-katanya.

“Mari.. peluang begini tak selalu datang.. Jom.. kita bergambar!” Pelawa Azam.

Dhiya Adeela hanya menurutinya. Banyak juga mereka beraksi di hadapan kamera dan mengabadikan keindahan air terjun itu di dalam gambar. Dalam masa yang sama, sempat juga Dhiya Adeela memerhatikan gelagat mamat poyo itu! Namun, seperti biasa mamat poyo itu tidak pernah mempedulikan Dhiya Adeela. Sebaliknya dia lebih gemar menyendiri.

“Ehhh.. apasal lak aku sibuk nak fikirkan mamat poyo tu? Isshhh… tak kuasa!!” Rungut Dhiya Adeela di dalam hati.

Setelah puas, mereka akhirnya pulang ke kem perkhemahan. Mereka dinasihatkan oleh pemandu arah iaitu Abang Mat supaya berhati-hati kerana mereka akan merempuh malam di dalam hutan sepanjang perjalanan pulang ke kem nanti.

Sepanjang perjalanan itu, Dhiya Adeela tidak putus-putus membaca surah-surah lazim bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Mungkin kerana terlalu asyik menikmati keindahan kehijauan di dalam hutan itu, Dhiya Adeela tidak menyedari bahawa keadaan sekeliling sudah mula gelap dan apabila dia memandang sekeliling, baru dia sedar bahawa dia keseorangan di situ!

Dhiya Adeela mula panik. Kumpulannya telah semakin jauh. Dia cuba menjerit meminta tolong tetapi suasana di situ teramat sunyi dan menyeramkan. Di saat itu pula, lampu suluhnya tidak berfungsi. Di dalam hatinya berdoa semoga rakan-rakan lain sedar bahawa dirinya terpisah dari kumpulan mereka.

Dhiya Adeela mula berasa tidak sedap hati. Dia pasti yang dirinya sudah kehilangan arah dan tidak tahu ke mana arah hendak kutuju. Apatah lagi, di dalam keadaan yang gelap tanpa sebarang cahaya menipiskan peluangnya untuk bergerak walaupun setapak ke hadapan. Suasana yang menyeramkan yang hanya ditemani oleh bermacam-macam bunyi di dalam hutan itu benar-benar menakutkannya. Di dalam hati, entah ayat apa yang dia baca, dia tidak peduli! Yang pasti, ayatnya sudah tidak teratur dan tunggang terbalik. Perasaannya ketika itu tidak dapat hendak digambarkan. Ingin menangis namun kerana ingin memfokuskan pergerakannya dengan dibantu oleh cahaya bulan yang samar-samar itu, maka Dhiya Adeela terpaksa lupakan itu semua.

Langkahnya tidak ubah seperti orang buta yang sedang berjalan, teraba-raba sambil melangkah satu-satu. Ketika dia melangkah itulah, dia tercium bau yang sangat harum semerbak di sebelahnya. Di saat itulah, jantungnya terasa berdegup dengan kencangnya kerana kewarasan fikirannya menyatakan adalah tidak masuk akal langsung bagaimana tiba-tiba bau yang harum itu ada di dalam hutan dan di waktu malam begini.

Dhiya Adeela dapat merasakan bahawa dirinya “diperhatikan” dan “ianya” betul-betul berada di sebelahnya! Di waktu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana takutnya dia apatah lagi, telinganya dapat menangkap bunyi seorang perempuan yang sedang ketawa mengilai dan betul-betul di telinganya. Tanpa berlengah lagi dan tanpa peduli gelap atau tidak, Dhiya Adeela berlari tanpa haluan meninggalkan suara yang menyeramkan itu. Namun entah apa silapnya, Dhiya Adeela tergelincir lalu jatuh tersembam di tanah. Sebelah kakinya termasuk ke dalam satu lubang kecil tetapi agak dalam. Dia cuba menarik kaki kirinya keluar tetapi terasa tersekat sesuatu. Barangkali, lubangnya bukanlah yang lurus tetapi bengkok di dalamnya.

“Tolong! Tolong!” Dhiya Adeela menjerit sekuat hati.

Namun jeritannya hanya bergema di situ. Hanya suara-suara cengkerik dan suara ungka yang kedengaran. Dhiya Adeela sudah mula ingin menangis. Pelbagai sangkaan terlintas di fikirannya. Suaranya sudah smula serak dan hampir-hampir tidak ada suara kerana menjerit tadi. Di dalam hati, Dhiya Adeela tidak putus-putus berdoa agar adalah salah seorang rakan kumpulannya datang memberi bantuan. Tiba-tiba, terdengar bunyi derapan tapak kaki menghampiri. Dhiya Adeela cuba mengamati susuk tubuh yang menghampirinya.

“Hahh..! Kat sini rupanya kau..!” Tegur suara yang amat Dhiya Adeela kenal sekali.

Mengapalah, dalam ramai-ramai peserta Ekspedisi ini, mamat poyo yang dibenci ini juga yang datang menyelamat? Suatu kebetulankah atau memang sudah ditakdirkan yang dia tidak dapat “lari” dari mamat poyo lagi samseng ini? Oleh kerana tiada siapa yang dapat diharapkan di waktu begini, Dhiya Adeela tidak mempunyai pilihan lain selain meraih simpati dari lelaki itu..

“Awak.. tolong saya! Saya terjatuh ni..” Kata Dhiya Adeela dengan nada yang gementar. Kaki kirinya terasa sakit sekali. Dia tidak peduli apa lelaki poyo itu ingin katakan, yang penting sebelah kakinya ini dapat dikeluarkan.

“Awak.. tolonglah saya!” Rayu Dhiya Adeela apabila merasakan lelaki itu hanya berdiri tegak memandang dirinya. Tak berhati perut langsung! Rungut Dhiya Adeela di dalam hati.

“Dah lama ke kau macam ni? Macam mana kau boleh tersesat dan terkeluar dari kumpulan kita tadi? Atau kau ni.. terlampau khayal sangat!” Tanya Hariz Adzim. Tiada tanda-tanda yang dia ingin menolong Dhiya Adeela. Hanya sekadar bertanya itu ini!

“Daripada awak membebel dan bertanya macam polis pencen kat situ, baik tolong keluarkan kaki kiri saya yang tersangkut kat lubang ni..!” Kata Dhiya Adeela. Sakit hatinya bila dia pula dipersalahkan.

“Macamana nak tolong kau.. aku tak nampak apa-apa! Lampu suluh aku dah jatuh entah kat mana.” Jawab Hariz Adzim. “Habis tu… macamana ni? Takkan nak biarkan saya begini sepanjang malam?” Jerkah Dhiya Adeela dengan suara yang separuh menjerit.

Mungkin tertekan dengan keadaannya begitu, maka Dhiya Adeela cuba “lepaskan” kepada Hariz Adzim. “Habis.. kau nak aku buat apa dalam keadaan gelap gelita macam ni? Mahu atau tak.. kau terpaksa bertahan sampai esok.. atau sekurang-kurangnya bila ada sedikit cahaya untuk aku tolong keluarkan kaki kau tu!” Tegas sekali kata-katanya.

Dhiya Adeela sudah terdiam. Mengiyakan kebenaran kata-kata lelaki itu. Apa yang boleh dibuat di dalam keadaan gelap begini? Tapi.. takkanlah dia nak duduk begini sahaja? Mereka berdua senyap seketika. Hanya terdengar bunyi cengkerik yang masih lagi berlagu tanpa henti. Dhiya Adeela tidak dapat mengagak apa yang sedang dilakukan oleh Hariz Adzim di kala ini. Sedang dudukkah..sedang berdiri atau bagaimana.

“Awak…..!” Panggil Dhiya Adeela perlahan. Tiada jawapan. Sunyi sekali! Mana pulak perginya mamat ni? Hatinya mula cemas. Janganlah dia tinggalkan aku keseorangan di sini! Dhiya Adeela berdoa di dalam hati.

“Awak..!! Awak kat mana ni? Janganlah tinggalkan saya sorang-sorang kat sini! Awak…!!!” Jerit Dhiya Adeela. Dia mula ingin menangis.

“Nak apa??” Tiba-tiba suara itu menyergah pendengarannya.

Dhiya Adeela tersenyum. Walaupun kedengaran kasar dan seperti tiada perasaan langsung, namun untuk “special case” ini.. mendengar suaranya pun sudah membuatkan Dhiya Adeela merasa lega dan terselamat!

“Awak kat mana tadi? Tolong… jangan tinggalkan saya sorang-sorang kat sini.. please!” Rayu Dhiya Adeela. Dia tidak peduli apa yang ingin mamat poyo itu anggap dirinya. Yang penting, dia memerlukan mamat poyo itu sebagai pelindungnya!

“Aku ada kat sini..! Tidurlah dulu! Apa-apa hal, aku kat sini..” Katanya tegas.

Tiba-tiba Dhiya Adeela tergelak mendengar kata-katanya itu.

“Kau dah hilang akal ke ni? Gelak kuat-kuat kat tengah-tengah hutan rimba macam ni?” Jerkahnya. Bertambah galak Dhiya Adeela ketawa. Gelihatinya bagai tidak boleh ditahan-tahan lagi. “Gila!” Rungut Hariz Adzim di hujung sana.

Ketawa Dhiya Adeela reda. Dalam sikap kasar dan tiada perasaannya terhadap Dhiya Adeela, Hariz Adzim telah menunjukkan sikap keperihatinannya. Dia sanggup menunggu Dhiya Adeela di dalam keadaan begini sehingga waktu siang dan ayat yang tidak boleh Dhiya Adeela lupakan ialah apabila mamat poyo itu mengucapkan; “Tidurlah dulu! Apa-apa hal, aku kat sini..!”“Ah.. lelaki..! Ego tak bertempat..!” Fikir Dhiya Adeela sendirian sambil tersenyum.

Mungkin kerana letih dan berbagai-bagai pengalaman yang dilalui sepanjang hari itu, Dhiya Adeela tidak sedar bilakah waktunya dia terlelap dalam keadaan duduk begitu.

Sedar dari terjaga, Dhiya Adeela melihat Hariz Adzim sedang mengorek-ngorek tanah dengan menggunakan kayu yang mempunyai runcing tajam di hujungnya untuk membesarkan ruang lubang tempat kaki Dhiya Adeela terjelus. Bersamanya juga sebilah parang yang agak sederhana panjang.

Dhiya Adeela melihat sekeliling, barulah dia sedar yang cahaya merah matahari sedang menyelinap masuk ke kawasan berhampirannya itu. Suasana sekeliling sungguh sejuk. Keadaan semakin terang namun belum sepenuhnya. Dhiya Adeela memandang Hariz Adzim yang sedang tekun mengorek tanah.

“Awak..dah pukul berapa ni?” Tanya Dhiya Adeela apabila melihat Hariz Adzim memakai jam rupanya.Dia terhenti seketika sebelum berkata sambil meneruskan kerjanya.

“Pukul 7.00 pagi.! Hmm.. kau okey ke?” Tanya Hariz Adzim kasar namun terserlah sifat keperihatinannya itu. “Awak… tak tidur sepanjang malam ye? Kenapa awak biarkan saya tertidur? Sekurang-kurangnya…. Boleh temankan awak berbual” Kata Dhiya Adeela. Hariz Adzim diam dan terus menyambung kerjanya semula. “Awak.. Thanks yee..!”Kata Dhiya Adeela lagi.

Akhirnya, lubang kecil yang dikorek itu menjadi semakin besar lubangnya. Dhiya Adeela cuba menarik kaki kirinya keluar tetapi tidak berdaya. Kemungkinan kakinya terseliuh dan dia dapat merasakan kaki kirinya kejang.

“Awak.. kaki saya kejang ni.. tak boleh nak angkat!” Kata Dhiya Adeela. Sepantas itu juga, dia memegang kedua-dua belah tangan Dhiya Adeela dengan berhati-hati, lantas menarik separuh badan Dhiya Adeela ke atas. Akhirnya, sebelah kakinya itu dapat dikeluarkan. Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya kakinya itu.

“So, boleh jalan tak ni?” Tanya Hariz Adzim dengan nada yang tiada berperasaan. “Entahlah, rasa sakit sangat ni. Mungkin terseliuh” Jawab Dhiya Adeela. “Marilah.. aku dukung kau!” Katanya dengan tonasi suara yang mendatar. Masih tiada berperasaan! “Eh.. tak pe lah.. saya ok..” Kata Dhiya Adeela menolak pelawaannya.

“Orang macam ni nak dukung aku? Sudahlah tak romantik, sombong, kasar pulak tu! Hissh.. tolonglah!” Dhiya Adeela mengutuk di dalam hati. “Hmm.. oklah. Kalau kau boleh berjalan, teruskan. Aku pergi dulu!” Sebaik Hariz Adzim ingin berlalu pergi, Dhiya Adeela sudah terjerit menahannya. “Err.. awak boleh tolong papahkan saya je lah. Kaki kanan saya boleh jalan lagi..” “Betul?” Tanyanya meminta kepastian. Dhiya Adeela mengangguk.

Antara malu dan rasa sakit, Dhiya Adeela pejamkan mata membiarkan mamat poyo itu memegang pinggangnya dan mengandar tangan kanannya di atas bahu sasa lelaki itu. Terasa betapa mudahnya dia memapah Dhiya Adeela. Kadangkala Dhiya Adeela terasa seolah-olah dirinya terangkat sama dek kerana lajunya dia berjalan sambil memapahnya. “Awak.. boleh tak.. tolong perlahan sikit! Kaki saya betul-betul sakit ni.. Mana boleh jalan cepat-cepat..!” Marah Dhiya Adeela. Dia seperti tidak mempedulikan kata-kata Dhiya Adeela namun rungutan perlahannya masih sempat didengar oleh Dhiya Adeela..; “Manja betul!”

Dhiya Adeela menjeling. “Hai hati.. kuatkanlah hatiku ini dari menjadi gila melayan mamat poyo nihh!!” Dhiya Adeela hanya menahan hati sahaja di kala ini kerana memikirkan kalau tidak kerana Hariz Adzim yang menolong… entah-entah dia sudah dibaham oleh binatang buas ataupun telah dipatuk ular!

Akhirnya mereka tiba di kem perkhemahan dengan disambut oleh pertanyaan rakan-rakan yang begitu risau dengan kehilangan Dhiya Adeela. “Sejak bila plak mamat poyo tu ada perasaan?” Tanya Fatin. Dhiya Adeela hanya tersenyum sahaja.

*****************************************************************************

Semakin Dhiya Adeela cuba melupakan nama itu, semakin namanya sentiasa disebut-sebut di hadapannya. Di mana-mana jua di asrama puteri itu, sibuk membicarakan tentang Hariz Adzim seorang yang suka membantulah, sangat aktif dalam sukanlah, menjadi pujaan pelajar-pelajar junior lah dan macam-macam lagi yang baik-baik yang didengar tentangnya. “Mengapa sekarang namanya begitu “hot” sekali? Mengapa aku tidak tahu “kewujudan”nya selama ini?” Dhiya Adeela tertanya-tanya sendiri.

Pernah Dhiya Adeela menyuarakan perasaan bencinya kepada si empunya nama “Hariz Adzim” kepada Fatin. Namun disambut dengan usikan dan gelak-tawanya.

“Kau ni yang sebenarnya sakit hati kat dia sebab dia layan baik kat semua orang tapi tidak dengan kau. Betul tak?” “Apasal pulak aku nak sakit hati kat dia? Apa.. bagus sangat ke dia tu sampai aku nak terasa hati?” Fatin ketawa terkekeh-kekeh. Meluat pula Dhiya Adeela melihat gelagat Fatin.

“Cik Dhiya… kau jangan benci kat orang melampau sangat…. Mak aku pesan.. jangan benci orang terlebih-lebih, takut nanti.. orang yang kita benci tu lah orang yang paling kita sayang nanti.. Silap-silap, dia tu jadi laki kau agaknya!” Begitu galak sekali Fatin mentertawakan Dhiya Adeela. Dhiya Adeela mula “terbakar” dengan gurauan Fatin itu!

“Hello Minah! Tak ada maknanya dia tu jadi laki aku! Memang sah-sahlah aku ni bukan taste dia! That’s why asyik “hangin” je tengok muka aku ni!”

“Hmm… kita tengoklah nanti macam mana.. Kata orang tua.. selalunya betul tau! We’ll see okay!”

“Ya lah tu Minah Nujum..! Banyak sangat ramalannya!” Fatin hanya ketawa sahaja namun masih sempat mengusik lagi; “Dhiya.. manalah tahu.. suatu hari nanti.. aku terima kad undangan perkahwinan dari kau yang mana si pengantin lelakinya bernama “Hariz Adzim! hahahhaa….” “Hisshhh…. mulut cabullah kau ni! Tak mahu lah aku! Memang malang lah siapa yang jadi isteri dia tu nanti!” Balas Dhiya Adeela sambil mencubit geram peha Fatin.

******************************************************************

“Dhiya, salam dan cium tangan suami Dhiya tuhh..!” Nenek menyergah.

“MasyaAllah! Aku terkhayal rupanya!” Dhiya Adeela tersedar. Entah bila lelaki yang telah sah menjadi suaminya itu masuk ke bilik. Acara membatalkan air sembahyang pun bermula.

Dhiya Adeela memandang suaminya dan dia membalas pandang sambil tersenyum. Dhiya Adeela menyambut huluran salam suaminya itu lantas dicium tangan suaminya lama sambil berdoa di dalam hati moga perkahwinan mereka bahagia dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Suaminya pula dengan tenang namun agak menggigil mengucup dahi Dhiya Adeela. Tindakannya itu mengundang ketawa dan usik-mengusik dari saudara-mara yang hadir. Pengantin berdua itu hanya mampu tersenyum membiarkan keriuhan itu menceriakan majlis mereka. Dhiya Adeela memandang suaminya di sisi. Mereka berbalas pandangan dan senyuman. Di hati Dhiya Adeela berbunga riang dan di waktu yang sama tetap berdoa agar Tuhan merestui cinta mereka dan mengharapkan semoga cinta mereka ini berkekalan hingga ke Jannah.

Moga bahagia cinta kita ini milik kita selamanya, sayang…! Pandangan mata Hariz Adzim bagai membisikkan kalimah itu kepada isteri tercintanya, Dhiya Adeela.

Bagi Dhiya Adeela… segalanya tentang Hariz Adzim, dari permulaan perkenalan, terbitnya perasaan cinta dan kini sahnya dia bergelar isteri Hariz Adzim adalah detik-detik terindah yang terakam dalam hidupnya dan sesungguhnya nilainya amat mahal dan berharga. Siapa sangka, lelaki yang dibencinya itu suatu ketika dulu kini adalah suaminya yang bakal menjadi khalifah dalam perkahwinan mereka seterusnya bakal membimbingnya menuju ke pintu Jannah.

Detik yang merakamkan bagaimana kali pertama Hariz Adzim melafazkan kata cintanya kepada Dhiya Adeela memang tidak dapat dia nyatakan dengan kata-kata. Momen-momen indah itu hanya terlayar di ruang matanya dan ianya akan disimpan kejap di kotak ingatannya sampai bila-bila.

 

“I love you so much Mr Poyo!” Gurau Dhiya Adeela sambil mencubit sayang pipi suaminya itu…

 

“I love you too…Mrs Poyo!” Balas Hariz Adzim tersenyum sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.