Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,752
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22

"Bagaimana dengan pendapat awak, Mail? Agak awak... duit tu boleh tak saya dapat balik?"

Duduk menyilang kaki menghadap Datin di mejanya, Ismail tersenyum kecil mendengar pertanyaan Datin itu. Satu pertanyaan yang dia sendiri agak sukar hendak menjawabnya. Mengurut dagu, jauh dia berfikir.

"Datin pula, bagaimana? Agak-agak... boleh dapat balik?" Ismail kembalikan pertanyaan dengan pertanyaan juga. Dia sendiri sebenarnya sukar hendak memberikan Datin jawapan yang tepat.

"Entahlah ye, Mail. Saya pun susah nak cakap. Kita tengok saja nanti macam mana," balas Datin datar. Sendiri kurang pasti. Menyandar di kerusi, matanya merenung jauh. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Tapi... Datin tak rasa itu terlalu banyak untuk dijadikan ujian?" Membetulkan duduknya, Ismail memandang tepat ke wajah Datin. "Lima-belas-ribu ringgit Malaysia, pada saya terlalu banyak tu, Datin."

Datin tersenyum kecil. Matanya yang redup kelihatan bersinar. Bibirnya dijuir sedikit seperti mengejek. Ismail menunduk tersipu. Rona wajah sudah berubah. Duduknya sekali lagi diperbetulkan. Jadi salah tingkah Ismail melihat reaksi Datin.

"Tak apa... lagi besar jumlah yang diumpan, lagi bagus. Nanti boleh kita tahu betapa tinggi atau rendah nilai yang ada pada dirinya. Jika saya cuma letak sepuluh-ringgit, saya tak kan dapat apa saya inginkan. Duit tu pasti dipulangkan. Jika seratus atau seribu... mungkin iya mungkin tidak. Tapi lima-belas-ribu..."

Belum pun sempat Datin menghabiskan ayat dari bibirnya, pintu pejabat tiba-tiba terbuka luas. Kedua-duanya, mata pantas tertuju ke arah muka pintu. Terpana. Bergempa dada dan mata sejurus melihat sesuatu yang pada awalnya disangka tidak akan dapat dilihat lagi. Segala sangka-sangkaan, andai-andaian berguguran begitu sahaja. Tidak wujud lagi.

Melangkah masuk dengan wajah bersahaja, tenang Yazid mengatur langkah menuju ke meja Datin dengan memperagakan gaya jalan Clint Eastwood. Matanya berkilat-kilat. Di tangan, kelihatan bungkusan kekuningan yang dia begitu yakin sekali Datin adalah pemiliknya.

"Maaf ganggu, Datin. Saya percaya ini yang Datin sedang cari. Datin tertinggal di dalam kereta tadi," lirih Yazid tanpa teragak sebaik tiba di meja Datin.

Melopong Ismail. Atas-bawah beberapa kali dia memandang Yazid. Mata tidak berkedip. Kata-kata seakan menyepi dari mulutnya. Perlahan lalu melirik Datin yang sedang merenung Yazid dengan wajah kagum. Keduanya kemudian saling memandang. Bagaikan tidak percaya, Yazid sedikit pun tidak tergugat dengan wang yang jumlahnya begitu besar.

"Awak jumpa di mana ni, Zid?" Datin mengarang kepura-puraan saat menyambut bungkusan dihulurkan Yazid.

"Masa saya mengemas bahagian dalam kereta di tempat cuci... saya terjumpa di tempat tadi Datin duduk. Saya periksa dalamnya. Takut kalau-kalau isinya... mungkin bom. Rupa-rupanya duit. Saya yakin itu punya Datin, sebab setahu saya... memang tak ada pun tadi saya campak apa-apa bungkusan di tempat duduk belakang kereta tu."

Masih dalam keadaan terpana, Datin tidak tahu samada mahu senyum, ketawa atau pun apa. Hanya mampu mengangguk kecil. Begitu juga dengan Ismail, reaksi serupa Datin. Datin kemudian memberi isyarat tangan pada Ismail. Bingkas bangun, senyap Ismail beredar meninggalkan Yazid dan Datin.

"Yazid... saya hilang kata-kata sebenarnya..."

Pantas Yazid memajukan mukanya saat mendengar bicara Datin. Mata membuntang. Keningnya yang kelam bersatu melintang di dahi. Bagaikan bermimpi mendengar apa yang baru dikatakan Datin. Belum sempat Datin menghabiskan kata-kata, Yazid memotong.

"Hilang di mana, Datin?" Dah lama ke hilang?" Yazid menggeleng, "Apalah Datin ni... pelupa sangat orangnya. Tapi maaf, Datin... jujur cakap, duit Datin saja yang saya jumpa tadi. Kata-kata Datin langsung saya tak nampak. Saya cakap jujur. Tak bohong."

Terangkat Datin dari tempat duduknya. Bagaikan digeletek. Pertemuan mata, Datin mengelak. Tidak sanggup memandang wajah Yazid yang selamba dan bersahaja di saat itu. Datin mengurut dahi. Menggeleng-geleng menahan ketawa. Diangkat muka sebentar kemudian lalu memaksa dirinya memandang Yazid, "bukan hilang seperti itu yang saya maksudkan. Maksud saya... saya kagum dengan kejujuran awak, Zid. Itu maksud saya. Syukur sangat saya mendapat pekerja seperti awak. Saya juga cakap jujur ni. Tak bohong juga."

"Owwhh..." Yazid, bibir tebalnya memuncung tersipu. Baru mengerti akan maksud Datin. Membesar dan kembang hati.

Dia menunduk seperti memikir sesuatu, mengangkat muka sebentar kemudian, Yazid menjelaskan. Suaranya tenang dan lancar.

"Itu... Datin harus berterima kasih pada orang tua saya. Terutama emak saya yang tidak jemu-jemu berpesan dan menasihati saya. Jika saya tak ingat tadi pesanannya, mungkin saya dah ambik duit Datin tu. Jadi... sepatutnya... orang tua sayalah yang wajar diterima kasih. Bukan saya."

Datin yang belum reda rasa terperanjatnya, terlupa mempersilakan Yazid duduk. Namun Yazid tak berkecil hati, dan menyimpannya ke dalam hati. Perkara kecil itu semua bagi Yazid. Mudah baginya untuk diatasi. Sambil Yazid berbual, sambil dia bergerak. Perlahan. Dengan wajah tenang dan selamba, dia duduk di kerusi menghadap tanpa dijemput Datin.

Datin memandang Yazid tajam. Menembusi dirinya. Garis-garis yang ada di raut wajah Yazid diamati. Jika dipandang sekali imbas, jelas sikap jujur yang ada pada dirinya langsung tidak kelihatan. Namun Datin amat yakin dengan firasatnya. Sejak pertama kali bersua, firasatnya menyatakan anak muda ini ada sesuatu yang istimewa. Tersembunyi di sebalik apa yang dipamerkan, terselit permata.

"Tak dinafikan, Zid... anak yang diasuh dengan baik, pasti hasilnya juga baik. Seterusnya akan membawa manfaat kepada sekelilingnya," sambil Datin berkata, tangan sibuk menekan kunci kekata iPhone-nya. Mengirim pesanan ringkas. Datin menjeling jam di pergelangan tangannya sebentar kemudian.

Pukul 11.30 pagi.

"Awak sudah bersiap untuk menghantar saya keluar?" Mengangkat muka, Datin bertanya.

"Sentiasa siap untuk menjalankan tugas. Saya dibayar gaji untuk menghantar Datin ke mana-mana Datin mahu pergi," tegas Yazid, penuh wibawa. Datin senyum puas.

"Okey, mari kita gerak sekarang. Saya mahu ke Kotaraya."

Mak Peah berlari mendapatkan Cato Enzo yang bersendirian di kaunter, saat ternampak Yazid dan Datin berjalan sama menuju ke pintu utama bangunan. Matanya terbelalak bagaikan dihambat syaitan ketika itu.

"Datin jalan dengan siapa tu, Cato?"

Cato Enzo yang kebetulan juga sedang memerhatikan Yazid dan Datin berjalan pergi, terperanjat dengan sergahan Mak Peah. Kembang-kuncup hidungnya mencari nafas. Mengalihkan pandangan memandang Mak Peah, Cato Enzo mengurut dada.

"Jalan dengan siapa? Mak Peah tak tahu ke?" Cato Enzo, matanya dibesarkan.

"Tak tahu pulak Mak Peah. Tu sebab tanya kau," lembut kata Mak Peah yang tersurat, yang tersirat, 'memang betul sengallah kau ni. Kalau aku tahu nak buat apa aku tanya kau, bodoh!'

"Siapa lagi Mak Peah, kalau bukan si mamat sengal kaki bodek tu!" Panjang bibir Cato Enzo menjuir. Lebih panjang dari semalam.

"Owwwhhh..." Mak Peah men'duck-face'kan bibirnya. "Kacak juga orangnya ye, bila pakai macam tu. Teringat pulak Jefri Din waktu tengah meletup dulu."

Mak Peah mengetap bibirnya. Menelan air liur. Mata dikedip-kedipkan manja. Sebentar jambul Yazid yang dari jauh jelas kelihatan, mengusik kenangan lama. Menusuk ke sanubari. Terbayang sesaat idolanya semasa zaman remaja yang begitu digilainya di suatu ketika dahulu. Lagu 'Seruling Gembala' tiba-tiba terngiang di cuping telinga.

"Apa Mak Peah cakap? Jefri Din?" Menyembul mata Cato Enzo. Bagaikan melekat di wajah kendur Mak Peah, "Alahaiii! Mak Peah ni buta ke apa? Muka si sengal tu Mak Peah cakap macam Jefri Din? Pergghh... jangankan Jefri Din... Mamak Mydin pun tak ada langsunglah, Mak Peah! Lainlah kalau macam saya ni... cakap Raja Ema pun orang percaya. Betul tak?"

Mak Peah memerhatikan Cato Enzo yang sedang memperagakan dirinya seperti seorang artis. Rata-rata dari atas hingga ke bawah diamati. Mak Peah sengaja membiarkan Cato Enzo beraksi seperti Marilyn Monroe tidak sudah, dengan rasa meluat yang amat di dalam hati. Tetapi di luar, apa ditunjukkan bertentangan.

"Ye... betul tu kau cakap, Cato. MasyaAllah! Memang... kalau dari jauh orang tengok kau, betul orang ingat kau tu Raja Ema. Memang cun-melecun kau ni! Lelaki kalau tengok kau... jangankan meleleh air liur, hingus pun!" sokong Mak Peah. Tetapi di dalam hati menyumpah, "itu dari jauh! Tapi bila dah dekat, tak ubah pulak kau macam mak dia!"

"Mak Peah sendiri tengok, betul tak apa saya cakap. Kalau si mamat tu tak pandai bodek... tak kaki bodek... Mak Peah ingat Datin tu suka-suka ke nak rapat dan mesra dengan sebarang orang? Mak Peah cuba tengok sendiri... kita yang dah lama kerja dengan Datin... ada ke selama ni Datin mesra dengan kita, selain gitu-gitu saja? Betul tak apa saya cakap ni?"

"Iyalah, Cato. Betul sangatlah, kau cakap tu. Aku setuju sangat tau!"

"Entah-entah dia orang berdua ni ada skandal tak? Lebih-lebih lagi Datin tu pulak dah lama berjauhan dengan suami. Si mamat tu pun saya tengok, macam buaya jenis tak ′milih′ bangkai aja! Jenis buaya tak cerewet. Rasanya kalau Mak Peah geletek dia, saya yakin dengan Mak Peah sekali pun dia mesti balun punya!"

Ternganga Mak Peah mendengar ungkapan ′laser′ Cato Enzo. Terkesima dengan kelancangan mulutnya yang seperti sahaja minta diselipar. Kening terjungkit. Mata membesar menelan Cato Enzo bulat-bulat.

'Eh, eh si minah ni! Nanti mulut si mamat tu aku tak cili... mulut kau pulak yang aku cili nanti! Baru kau tahu langit ni tinggi ke rendah! Sedap aja mulut berbual. Langsung tak berwawasan! Hati Mak Peah menyumpah-nyumpah tetapi di bibir tergantung senyuman manis.

Bagaikan terasa Yazid, namanya disebut-sebut. Di sepanjang jalan tidak semena-mena dia tersedak tanpa henti sehingga ke tahap mengganggu dirinya dan Datin.

"Kenapa Zid... asyik tersedak? Kekasih sebut-sebut ke?"

"Saya tak ada kekasih, Datin. Masih belum berpunya lagi," Yazid melayangkan senyuman kecil.

"Owhh... belum ada kekasih lagi. Tak apa, Zid. Tak perlu buru-buru dalam soal cinta ni. Sebaiknya... kenali dulu apa makna cinta sebelum menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang penuh liku dan mengelirukan. Jangan sampai nafsu pula nanti dikira cinta. Susah kalau gitu. Kenali dulu apa tu cinta, Zid, agar anugerah Allah yang suci ini, tak dipersia-siakan di belakang hari."

Nasihat Datin membuatkan Yazid teringatkan Liza Wati. Diakui nasihat Datin itu baik dan benar namun jiwa mudanya lebih condong mengikut perasaan. Dia memberontak dalam diam. Jiwa mudanya bertegas mengatakan pegangannya itu yang paling benar. Diterima nasihat itu lewat telinga kanan, telinga kiri dilepaskan begitu sahaja.

"Itulah silapnya kebanyakan anak muda ni, Zid. Lebih menurut perasaan dari akal fikiran yang sebenarnya memandu kita ke arah kebaikan," nasihat Datin lagi yang sudah banyak makan garam.

'Errrkkk... Datin ni macam tahu aja apa yang aku rasa!'

Datin tersenyum melihat gerak-geri Yazid. Berdiam, pandangan jauh dilepaskan ke luar tingkap di sepanjang jalan. Kotaraya, bangunan yang menjulang tinggi mencium dada langit, tersergam menyambut mereka tidak lama kemudian.

"Zid... mari ikut saya," suara Datin sebaik Yazid memberhentikan kereta di tempat parkir.

"Ikut Datin pergi mana?" Tanya Yazid. Hati entah kenapa berdebar tiba-tiba.

"Ikut saja. Mari..."

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.