Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,091
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6
Kokok ayam berteriak kencang dengan gagah. Bersahut-sahutan menyambut kedatangan pagi hari, yang tenang dan mendamaikan. Matahari perlahan menanjak dengan megah duduk di singgahsanannya, pasti datang bersama sebuah harapan. Sebagaimana hidup tidak selalu indah, begitu jugalah dengan kesuraman, pasti juga tidak kekal lama diamnya.

Yazid membuka mata dengan senyuman sebaik sinar matahari yang membias dari sela-sela celah jendela, menjamah wajahnya. Hati berasa senang sejajar suasana, ketika menyambut kedatangan pagi hari itu.

Saat yang dinanti dan ditunggu-tunggu, semakin mendekati. Melirik ke arah jam yang tergantung di dada dinding usang kamarnya, bingkas bangun mencapai tuala, secepat kilat Yazid menyusun langkah menuju ke kamar mandi.

"Eh! Apa cerita kau hari ni, pagi-pagi buta dah nak mandi?" Tegur ibunya saat Yazid melintas, "selalu selagi ayam tak masuk reban, matahari belum terbenam, selagi tulah kau tak tahu nak mandi! Apa cerita? Cuba kau beritahu mak."

Ibunya yang sedang sibuk mencuci pinggan-mangkuk di dapur, hampir terjatuh pinggan yang sedang dipegang melihat kelakuan Yazid yang tak seperti biasa. Selalunya, semenjak Yazid diberhentikan kerja kerana sering memonteng, atau dia tidak keluar ke mana-mana, di petang-petang hari barulah akan mandi. Tetapi hari ini, lain sikit gayanya.

"Owhhh... hari ni ada hal penting, mak. Kena awal siap-siapkan diri," jelas Yazid tersenyum senget sambil lalu. Ibu jarinya diacung.

"Cuba kau ceritakan apa hal, aku nak tahu," kata ibunya lagi. Terhenti seketika apa yang sedang dicucinya.

"Nanti habis mandi orang ceritakan ye. Biar badan segar dulu baru sedap berbual," balas Yazid saat melangkah masuk kamar mandi.

Lagu 'sekuntum mawar merah' berkumandang di udara dari kamar mandi di saat itu juga. Lagu nyanyian Hattan yang mendayu menyentuh jiwa, mencengkam segenap rasa setiap pendengar, kedengaran begitu sumbang apabila Yazid yang mendendangkan.

Bergegar ruang kamar mandi dan dapur, menyinggah telinga ibunya dengan begitu sekali tidak sedap didengar. Namun itu semua hanya sementara.

"Mak oiii! Ini air paip ke air batu, mak? Nak kasi orang beku ke apa ni!"

Kedengaran tiba-tiba Yazid memekik dengan kuatnya. Pantas diselak sedikit pintu 'sliding' kamar mandi dan dijengahkan kepala. Wajah seperti sedang dikejar harimau.

"Mak!!! Apa kena dengan 'water heater' ni? Mak ni sengaja nak kasi orang jadi air batu ke apa?"

"Hah! Lupa pulak mak nak beritahu, 'water heater' tu rosaklah. Tadi ayah kau pakai pun sama. Rosak juga," sengih ibunya.

"Laaa... kenapa tak cakap awal-awal! Mak ni pun!" Yazid membentak manja sambil menutup kembali pintu kamar mandi.

'Mak oiiii sejuknya! Boleh beku gila macam ni! Hmmmm... mandi koboi-lah jawabnya!' Bisik hati Yazid sambil menyentuh air yang sememangnya dingin.

Ibu Yazid yang sedang mencuci pinggan-mangkuk, belum lagi usai, tidak lama kemudian Yazid sudah pun keluar dari kamar mandi. Terpana ibunya. Pantas memandang Yazid atas bawah.

"Aikkk... sekejapnya kau mandi? Mandi apa macam gini punya sekejap? Kerbau mandi pun lagi lama aku rasa! Hmmm... hairan aku!" Suara ibunya melengking, menggeleng sambil menjeling Yazid.

"Mak pernah tengok cerita koboi tak? Pernah?" Yazid menjungkitkan kening dengan senyum lebar sambil berlalu pergi.

Namun langkah tidak terus dituju ke kamarnya. Sebalknya, ke kamar Maiza. Yazid tersenyum saat daun pintu yang tidak berkunci dikuak. Di atas meja belajar Maiza, kelihatan iPad sedang menunggu. Yazid tidak berlengah.

Tetapi baharu sahaja dia mahu melangkah pergi, langkahnya terhenti saat terpandang ada sebuah buku di atas meja itu. Dicapainya. Selembar demi selembar diselak. Dibaca sebentar mana yang menarik perhatiannya.

'Sayap-sayap patah - Khalil Gibran'

"Hmmm... ayat-ayat bodoh si Haiza ni baca?" Tergelak kecil, meletak kembali buku itu, Yazid beredar.

Dengan tidak menyempat menyarung pakaian, tubuh masih dililit tuala, begitu juga dia melemparkan badan meniarap di katilnya. Tanpa lengah, iPad pantas dibuka. Facebook!

Seperti biasa dinding Facebook Liza Wati tempat yang paling utama harus dituju. Tempat yang harus dan mesti dilayari. Tempat yang mana cintanya telah bersemi. Dengan sabar matanya menatap dinding Facebook Liza Wati perlahan muncul di dada skrin iPad itu.

"Eh eh... si poyo ni lagi?" Dengan penuh menyampah Yazid menyumpah sebaik dinding Facebook Liza Wati terbentuk di depan matanya, "apa cerita si mamat ni nak lagi? Dia ni memang nak tackle buah hati aku ke apa? Hah? Cari pasal betullah si poyo ni dengan aku!"

Darah Yazid serta-merta menyirap. Meluap-luap! Di mata bagaikan ada api yang sedang menyala saat dia membaca kiriman Azman Husin di dinding Facebook Liza Wati. Tangan kanannya dikepal.

Azman Husin - Liza Wati

'Kau! Iya engkau! Jangan lupa nantikan aku di daerah hati engkau yang paling sepi, yang belum pernah lagi sesiapa kunjungi, yang belum pernah lagi sesiapa hampiri. Tunggulah aku... di situlah nanti tempat cintaku kan bersemadi.'

Darah Yazid benar-benar menyirap. Bagaikan sahaja darah itu mahu menyembur-nyembur keluar di lubang hidung dan telinga. Mata merah menyala seperti serigala sedang berhadapan dengan mangsa. Marah! Yazid benar-benar marah dengan Azman Husin!

'Memang kurang ajar betul si poyo ni! Dah melebih-lebih pulak ayat bodoh dia! Makin menjadi-jadi pulak aku tengok. Naik meluat aku! Macam nak muntah hijau baca!' Di hati menyumpah lagi.

Tetapi itu semua berubah rasa sesaat kemudian. Apa yang sedang mengguyur dirinya berpaling warna dan haluan. Perasaannya tiba-tiba bagaikan dicakar-cakar. Dirobek-robek! Disiat-siat! Hampa! Yazid benar-benar hampa saat membaca balasan Liza Wati.

Komen;

Liza Wati: Aku tak mengerti
Apa rasaku lagi
Kala sapa darimu menyepi

Aku rasa rindu itu
Diam dalam sendu
Kian merajai qalbu

Kau apakan hatiku
Hingga rinduku kian menggebu

Perlahan Yazid menutup iPad-nya. Tidak sanggup lagi untuk terus menatapnya. Tidak mampu lagi hendak diulang baca. Perasaannya di ketika itu, seperti istana pasir yang diterjang ombak, hancur roboh di tepian pantai.

Pilu! Hati benar-benar pilu. Sebak di dada tak terkira hebatnya. Bagaikan sahaja ditampar-tampar mukanya dengan apa yang ada tertera di dinding Facebook Liza Wati. Yazid benar-benar terpukul.

Dalam diam, hampa menyelinap menggelanggang rasa. Berderai harapan. Hancur berkecai begitu sahaja dirundung duka.

Menyandar di kepala katil Yazid memejamkan mata. Air mata mengalir bagaikan butiran mutiara deras tumpah membasahi pipinya. Yazid yang semakin jauh sendiri, hanyut di dunianya yang kian menyepi, tidak sedar sebenarnya diri sudah lama diperhati.

Mata membulat sebulat dulang saat melihat apa yang sedang berlaku di depan mata. Tidak tahu apa yang harus dikata. Perasaan bercampur irama. Kagum, terpegun, terhibur, sedih, dan tidak tahu lagi apa yang harus dinamakannya. Haiza yang baru pulang dari sekolah lebih awal dari biasa, pantas berlari mendapatkan ibunya.

"Mak! Mak!" tercungap Haiza memanggil ibunya yang sedang sibuk di dapur, dengan secara berbisik. Alis matanya yang mulus, turun-naik.

Ibunya yang sedang leka menggoreng ayam buat makan tengah hari, menoleh menyambut Haiza. Wajah tampak sedikit cemas.

"Ada apa? Dah kenapa dengan kau ni macam penting sangat aja aku tengok! Ada apa?"

"Kelakar betullah mak ni, Za tengok!"

"Eh eh kau ni! Apanya yang kelakar? Selama ni kau tengok muka aku ada macam Badul ke apa? Hah?" Ibunya menelan ludah.

"Bukan Za cakap muka mak macam Badul! Tapi semalam mak cakap apa? Kalau Abang Yazid jadi pelakon... semua Tv rosak?"

"Ha'ah, kenapa?" Jawab ibunya dengan wajah tampak pelik.

"Hmmm... sekarang ni dia tengah berlatih babak menangis tau, mak. Macam 'real' mak, dia punya lakonan. Hati Za sendiri tersentuh ternampak dia berlatih masa nak mintak iPad tadi. Turut sedih, Za." Haiza dengan muka-muka memberitahu.

"Astaghfirullahalazim! Kau ni biar betul?" Terbelalak mata ibunya.

"Ya Allah, mak ni... Za nak bohong mak buat apa? Untung apanya yang Za dapat?"

"Hmmm... dekat mana pulak si sengal ni kutip jiwa seni? Setahu mak, keluarga kita tak ada pulak yang berjiwa seni! Macam mana pulak dia boleh berjiwa seniman? Pelik pulak, mak!" Ibunya mengerut dahi.

"Mak sini. Kalau mak tak percaya mari kita tengok dia berlatih. Tapi diam-diam tau. Tengok aja jangan bising-bising."

Berjinjit perlahan ke kamar Yazid bagaikan pencuri yang sedang melakukan rompakan nekad, daun pintu yang sedikit terkuak, kedua beranak itu menyusupkan intipan. Mata menjalar mencari Yazid yang dikira sedang beraksi.

Terpana! Terbeliak mata! Ternganga luas mulut ibunya saat melihat. Bagaikan tidak mahu percaya dengan apa yang sedang disaksikannya. Seperti sahaja di waktu itu dia sedang menonton sebuah filem klasik!

'Ya Allah, Yazid! Tak sangka mak kau ni rupanya berbakat, nak! Kagum mak dengan kau, nak. Macam Kassim Selamat ditinggal bini betullah lakonan kau ni, sayang. Sebiji, nak!" Jerit hati ibunya. Bangga dapat melahirkan seorang seniman yang berbakat besar.

Tersentak kedua beranak itu seketika kemudian saat telefon bimbit Yazid berdering menjerit. Terlompat, berteraburan keduanya secara spontan berlari menuju ke dapur.

Menyeka air mata,Yazid mencapai telefon bimbitnya yang ada di sisi. Saat yang dinanti-nanti akhirnya tiba. Di hujung talian, kedengaran suara membawa khabar gembira. Yazid bagaikan bangkit dari keruntuhan ketika mendengarnya. Yazid kembali tersenyum.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.