Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,093
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13
Haiza kelihatan bersendirian di meja makan. Tangan perlahan menyuap hidangan yang terhidang, tetapi mata tidak terlepas terarah ke dada skrin iPad. Dalam keceriaan leka dengan dunianya, Haiza tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan Yazid, lewat pintu kamar yang dikuaknya sedikit.

Yazid gelisah. Tidak senang duduk diam di kamarnya. Sekejap duduk. Sekejap bangun. Sekejap baring. Sekejap duduk, bangun dan baring lagi. Sesekali menjengahkan kepala menghendap adiknya. Dia benar-benar gelisah. Seperti sahaja ada sesuatu yang tidak kena pada diri. Akhirnya dia mengambil keputusan.

Sempat menjeling Haiza saat berjalan keluar dari kamarnya, Yazid menghela nafas dalam. Mempersiapkan diri menghadapi saat yang bakal tiba nanti untuknya bertindak. Sesampai di dapur, Yazid menggaru-garu kepala. Tidak tahu apa tujuan sebenar dia ke situ.

'Apa cerita aku boleh sampai dekat dapur pulak? Nak buat apa aku kat sini?' Bisik hati Yazid. Kalut!

Dicapainya sebotol air dingin di peti ais, sambil melirik Haiza, perlahan ditonggangnya air itu. Dia tidak boleh lengah lagi. Kegelisahannya sudah semakin menjadi-jadi. Dia harus bertindak secepat mungkin! Bertindak dengan segera!

"Za... mak pergi mana ye? Tak nampak pun, seharian." Menghampiri Haiza, dia memulakan bunga bicara.

"Macam mana nak nampak, kalau seharian abang asyik membuta?"

"Erkkk..." terkesima Yazid mendengar. Terjungkit kening dengan sendirinya.

"Masa abang tidur, petang tadi mak keluar dengan ayah. Kata... nak pergi pasar malam sekali," jelas Haiza. Mata tidak berganjak dari skrin iPad.

"Owhhhh..." Yazid, bibir tebalnya dimuncungkan.

Berdiam sebentar menggaru-garu tepi keningnya, menjengahkan kepala melihat apa yang Haiza sedang lakukan, Yazid bersuara.

"Za! Abang dah dapat kerja tau. Esok abang mula," berdiri di belakang Haiza, Yazid memberitahu sambil gelak-gelak kecil. Dibuat-buat. Dipaksa-paksa. Memberitahu juga dengan muka-muka. Jelas, Haiza tidak dapat melihat dan tidak mahu melihatnya.

"Ye ke? Tak tanya pun," jawab Haiza jujur dan ikhlas, "tapi baguslah tu! Daripada duduk diam dekat rumah tak buat apa-apa cuma perabihkan beras, baiklah abang kerja. Kan? Ada jugak mendatangkan hasil! Taklah nanti abang tu jadi muka yang tak mendatangkan hasil! Betul tak?"

'Eh! Kurang ajar punya budak! Dia cakap aku perabihkan beras? Muka tak mendatangkan hasil? Sedapnya mulut bercakap. Dah melebih ni! Ini dah kira bab menyentuh hal peribadi. Hmmmm... tenang, Zid. Tak boleh marah. Nanti rancangan kita gagal!' Yazid memujuk dirinya sendiri.

"Za, tahu tak... bila dah dapat tahu abang diterima bekerja kan... tetiba aja abang teringat nak belikan Za hadiah tau," kata Yazid dengan ketawa kecil. Sama seperti tadi, dibuat-buat juga. Cuma kali ini lebih kuat sedikit, "tak tahulah entah kenapa hati tiba-tiba tergerak macam tu. Mungkin... Za ni satu-satunya adik abang-lah agaknya."

"Hadiah apa tu, abang nak belikan Za?" Sambil mengunyah apa yang disuap, Haiza bertanya.

"Entahlah, Za. Tak kiralah hadiah apa-apa asal tak mahal dan hati adik abang boleh gembira gitu, kan?"

Mengurut-urut dagunya, Yazid berdiam. Mahu melihat apa reaksi Haiza dengan apa yang baru diucapkan. Mata melirik.

Haiza mengangguk-angguk mendengar. Diangkat pandangannya dari skrin iPad itu, lalu memandang Yazid yang menyambutnya dengan mempamerkan wajah dan aura keabangan.

"Bang... Za cakap sikit boleh tak?"

"Eh, Za... jangankan nak cakap sikit. Nak memekakkan telinga abang sekali pun silakan, Za. Abang tak kisah pun. Betul abang cakap ni," bicara mulutnya. Di hati lain pula lagunya, 'tak nak cakap terus pun lagi bagus. Lagi senang! Banyak songeh pulak budak ni!'

"Bang..." suara Haiza setelah berdiam seketika, "kalau abang nak guna iPad, abang cakap aja-lah terus terang! Abang tak payahlah nak mengayat-ayat Za, faham? Abang tu... sebenarnya tak pandai mengayat. Ayat abang tu langsung tak 'power', tahu tak!"

Suram wajah Yazid, saat kata-kata Haiza menyinggahi telinganya. Ngilu hati tiba-tiba. Bagai dihiris-hiris perasaan saat kebolehannya diperkecilkan. Sama sekali tidak menyangka, Haiza akan mengguris hatinya dengan kata-kata sinis seperti itu.

Ditundukkan wajahnya sebentar. Mengenangkan nasib sedang menimpa diri. Menyusun langkah, perlahan Yazid beredar meninggalkan Haiza yang sedang memerhatikannya. Redha dengan ketentuan nasib.

"Bang..." Yazid perlahan menoleh dengan pandangan sepi, saat Haiza memanggil, "merajuk ke? Janganlah merajuk. Macam comel aja!"

Berbinar sinar mata tiba-tiba. Senyuman lebar sampai ke telinga. Akhirnya, berhasil juga segala yang telah dirancang. Hati begitu senang, melonjak-lonjak menyambut kejayaan. Berbaloi setiap langkah disusun, begitu juga setiap yang dilakonkan.

Pantas Yazid kembali menghampiri Haiza yang sedang menghulurkan iPad-nya. Dengan kedua belah tangan Yazid menyambut. Senyuman tergantung di wajah, tidak dapat dikawal mengembangnya.

"Aiiikkk... tadi Za tengok muka abang nampak sedih! Sekarang gembira sakan pulak."

"Itu tadi. Mana sama dengan sekarang. Tadi, tadi. Sekarang adalah sekarang. Mana boleh sama, kan? Betul tak abang cakap?"

Begitu Haiza hilang kata-kata. Terpana mendengar. Hilang suara serta-merta. Dia hanya mampu menatap dengan penuh kekaguman, kening Yazid yang dijungkit-jungkitkan saat berkata. Seperti terpukau, mulut terkunci memerhatikan Yazid beredar pergi meninggalkannya sendirian menuju ke kamar.

Suasana ruang kamar Yazid tenang, setenang hatinya. Mata bersinar-sinar menatap dada skrin iPad, gambaran sebenar perasaannya. Hati terasa begitu sejuk, dingin, saat membaca komen Liza Wati pada kirimannya sebaik iPad dibuka. Matanya tidak berganjak. Terus merenung dinding Mukabuku milik empunya diri dengan senyuman yang luar biasa ukirannya.

'Indahnya kata-katamu Liza Wati, seindah wajahmu yang manis dan ayu. Aku benar-benar kagum dengan ayatmu. Benar sayang.' Hati Yazid memuja-muja. Diulangnya membaca ayat yang tertera di skrin.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan

'Likes': 75

Komen;

Liza Wati: Sepi adalah warna. Keindahannya pasti menyerlah bagi siapa yang tahu menghargainya. Dinding ini tidak pernah akan kosong andai setiap kali, setiap saat kau datang merenung.

'Hmmm... macam mana aku nak balas ye? Betul juga apa Haiza cakap, aku ni bukannya pandai mengayat. Memang tak 'power' langsung ayat-ayat aku!' Berkeluh-kesah hati Yazid mengakui kekurangannya. Perasaannya kembali murung.

Meletak iPad itu di pangkuan, di kepala katil Yazid menyandar. Memejam mata menghela nafas, dia melayari alam kata-kata. Berusaha dan cuba mencari ayat yang sesuai untuk dibalas. Namun gagal. Mencari dan membentuk ayat-ayat indah dan sesuai untuk pujaan hatinya, itu semua di luar kemampuan.

Tak lama kemudian bibir tebalnya menguak lebar. Yazid mendapat akal. Pantas melompat dari katil, Yazid kembali mendapatkan Haiza yang masih lagi berada di meja makan.

"Za... buku Za yang tu abang pinjam ye," kata Yazid sebaik menghampiri adiknya.

"Buku? Buku yang mana satu tu abang cakap?"

"Buku itulah, apa namanya tu. Hmmm... 'Tangan patah'? 'Hati patah'? Entahlah... 'Tengkuk patah' ke apa. Lupa pulak abang tajuknya.

"Sayap-sayap patah, ke?"

"Hah, betul! Siapa penulisnya tu... Khalid Berani?"

"Khalil Gibran! Khalid Berani pulak. Asal boleh aja cakap. Ada kat meja bilik Za tu. Kenapa?"

"Hah, betul tu nama dia. Abang pinjam ye."

Belum pun sempat Haiza memberi persetujuan, Yazid ghairah meluru ke kamar adiknya yang terletak bersebelahan dengan kamarnya. Mencapai buku yang diinginkan, Yazid kembali menyandar di kepala katil. Satu-persatu ayat-ayat cinta yang ada di setiap mukasurat itu dibelek dibaca.

'Hmmm... tahap tinggilah ayat-ayat ni semua. Macam tak kena pulak kalau aku pinjam. Macam mana ye?'

Meletak ke tepi buku itu dengan hampa, skrin iPad kembali dipandang. Renungannya tajam. Senyuman tiba-tiba terukir. Kian saat berdetik, kian melebar. Jelas kelihatan yang dapat membantu, sedang 'online'. Mendekatkan iPad, pantas jari menekan butang kotak pesanan. Kunci kekata, satu-persatu jari mematuk. Selesai apa yang hendak disampaikan, sebelum membuat keputusan mengirimnya, terlebih dahulu mesej itu dibaca.

Kotak pesanan;

′Yazid Atan - AD Rahman: Salam AD Rahman, mintak tolong buatkan ayat. ′Special′ punya dan secepat mungkin ye.′

Berpuas hati dengan ayat yang telah berjaya dibentuk, jari tanpa lengah menekan butang kiriman. Di wajah tergantung senyuman. Senyuman penuh pengharapan!

Dengan sekelip mata mesejnya dibalas. Terkesima seketika.

′AD Rahman - Yazid Atan : Salam Yazid Atan. Kau ingat apa, kau tu tengah order Romly burger ke apa? Nak ′special′ dan cepat!′

Direnung mesej itu. Terbakar benar hati saat membaca. Tersentap dengan serta-merta.

'Alamak! Loyar buruk pulak si mamat ni. Berlagak tahap gaban! Memang raja poyo betullah kau ni mamat!' Hati Yazid mengecam dan mengutuk dengan jujur. Tanpa lengah, dengan pantas dan hati panas mesej dibalas.

′Yazid Atan - AD Rahman: sebaranglah, janji ayat! Tapi yang indah-indah ye.′
Kotak pesanan kembali direnung. Dengan sabar menanti dan mengharapkan balasan. Agak lama. Masa terus bergerak, namun yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Masa terus berlalu. Kesabaran menipis.

Tiba-tiba matanya membesar. Sukar hendak dipercayai! Tetapi lagi sukar hendak diterima apa yang baru muncul di dada skrin iPad itu sendiri.
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.