Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,739
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10
(Haraf maaf ye, ada beberapa nama telah ditukar di dalam buku)

Hati tidak putus memanjatkan syukur pada Allah. Berasa senang mendapat kerja, hanya Allah sahaja yang tahu betapa nikmatnya. Setelah beberapa bulan menganggur, tiba-tiba diterima bekerja oleh majikan yang baik hati, diri benar-benar berasa lega. Di sepanjang perjalanan pulang, sampai ke telinga tidak putus-putus Yazid tersenyum.

Tetapi itu semua tidak kekal lama. Kegembiraan yang sedang dirasai berubah dengan sekelip mata, di salah satu simpang lampu trafik jalanraya. Di saat Yazid sedang memberhentikan Vespa-nya, sementara menanti lampu isyarat bertukar warna hijau, mata terpandang seorang penumpang kereta yang berhenti di sisinya sedang khusyuk membaca sebuah buku.

Dikerutkan dahi mengamati betul-betul buku yang sedang dibaca. Sepertinya, pernah sahaja dia ternampak buku itu. Lama diamati. Untuk mendapatkan pandangan lebih jelas dan untuk memuaskan hati, Biru dirapatkan sedikit ke kereta itu.

Jelas! Perkiraannya itu benar. 'Sayap-sayap patah' karya Khalil Gibran. Tajuk buku sedang dibaca penumpang itu, sama dengan yang Haiza ada. Begitu ingatannya menyinggah ke iPad. Begitu juga Yazid teringatkan Liza Wati. Rasa sebak kembali menyinggahi dirinya saat teringatkan kata-kata di dinding Mukabuku Liza Wati tempoh hari.

'Aku harus melakukan sesuatu! Aku harus melakukan sesuatu! Tak kan dengan mudah aku nak mengaku kalah dengan si poyo tu! Hanya manusia lemah saja yang akan mengaku kalah dalam perjuangan. Tenang Azman Husin, aku akan turun padang bertarung sampai ke titisan darah terakhir!' Dengan penuh semangat hati Yazid menggaung.

Tiba-tiba Yazid tersenyum. Ilham menyinggah di dahan akalnya. Dia teringatkan sesuatu. Mengetap bibir, tanpa lengah Yazid terus memecut ke rumah saat lampu trafik bertukar warna. Menderu dengan penuh hati-hati meredah jalanraya.

Seperti biasa, seperti yang sudah-sudah, ayam-ayam jirannya dengan mata terbeliak lari bertempiaran sebaik Yazid sampai di perkarangan rumahnya tidak lama kemudian. Ibunya yang sedang membersihkan halaman rumah, menggeleng melihatkan sikap Yazid. Suka terburu-buru tidak tentu pasal.

"Macam mana Zid... dapat kerja?" Ibunya menyambut sebaik Yazid berjalan menuju ke pintu rumah.

"Alhamdulillah, dapat mak. Esok orang dah mula kerja. Haiza mana mak?"

"Syukurlah tu. Adik kau ke madrasah dengan kawan dia tadi. Ada apa kau cari dia?" Ibunya agak hairan. Jarang benar Yazid bertanyakan adiknya jika tidak ada hal-hal penting.

"Tak ada apa. Saja tanya. Dia bawak iPad ke mak?"

"Dah agak dah tu! Tadi mak tengok ada kat atas meja biliknya. Tak tahulah pulak kalau dia bawak tadi. Dah gaji nanti... belilah sendiri aja untuk kau, Zid."

Yazid tidak menjawab cadangan ibunya. Tanpa lengah, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Meletak topi keledarnya di tempat biasa, pantas dia meluru ke kamar Haiza. Senyuman luas mencecah telinga saat daun pintu kamar itu dibuka.

Kelihatan di atas meja, di samping susunan buku-buku, iPad Haiza bagaikan melambai-lambainya. Yazid menjungkit-jungkitkan kening sambil tersenyum.

"Hello sayang. Rindu abang ye? Lama ke tunggu? Ini abang datang nak belai-belai sayang-lah ni." Suara Yazid sambil mengusap-usap iPad yang sudah pun berada di tangannya. Pantas Yazid meluru ke kamarnya sendiri.

Meniarap di katil, dengan perasaan berkobar-kobar, iPad dibuka. Dinding Mukabuku Liza Wati menjadi keutamaan sebaik skrin iPad menyala. Tidak lengah-lengah!

Matanya perlahan merayap, membaca setiap yang tertera di dinding itu. Semuanya 'posting' lama-lama, yang sudah dibaca. 'Posting' terbaru sama sekali tidak ada. Yazid mengurut-urut dagunya.

'Si poyo tu tak kirim apa-apa ke? Senyap je! Apa hal? Macam dah tahu aja aku nak bertarung lidah dengan dia! Lelaki apa, belum apa-apa lagi dah lari. Tak pe...terimalah nanti ayat berbisa dari aku kejap lagi!'

Di bahagian 'Write post' jari Yazid menekan. Sebentar dada skrin iPad yang masih kosong menanti untuk diukir kata, direnung. Masa bergerak. Dada dinding tetap kosong. Tidak ada satu patah kata pun yang diturunkan.

Yazid mengeluh. Galau! Kacau! Gusar! Perasaannya jadi tidak menentu. Jadi gelisah! Diraup wajahnya. Direnung kembali sesaat kemudian dada dinding yang kosong itu. Tidak tahu sama sekali ayat apa dan yang sepertimana harus dilafazkannya. Yazid menggeleng kepala.

Butang 'News feed' ditekan. Dalam kehampaan yang menyelinap, dia melayari setiap kiriman rakan-rakannya. Satu-persatu, perlahan diselak, dibaca. Terus melayar. Tiba-tiba di dada Yazid terasa ada mawar tumbuh mekar. Berbinar mata. Hati entah kenapa melonjak tiba-tiba, saat membaca satu kiriman. Diulang-ulang membaca ayat itu. Diulang-ulang lagi. Yazid tersenyum.

Tanpa lengah dia ke profil empunya kiriman. Tidak berminat untuk melihat apa yang ada di dindingnya. Butang mesej ditekan. Berdiam sebentar memikirkan, lalu jari-jemari mengetuk kunci kekata.

Di kotak pesanan;

'Salam AD Rahman. Maaf mengganggu. Saya nak pinjam ayat awak yang dikirim tadi di 'Newsfeed'. Boleh tak?'

Berdiam, mata melekat merenung dada skrin menantikan balasan dengan sabar. Masa perlahan bergerak. Namun balasan diharapkan tidak juga kunjung tiba. Yazid kembali gelisah. Kesabaran sedikit demi sedikit mulai pudar. Dia tahu AD Rahman sedang 'online', tetapi kenapa mesejnya tidak dibalas?

'Ini lagi satu si poyo! Sekepala aja dengan Azman Hussin. Kalau dengan perempuan, hidup! Kalau dengan lelaki, sampai dunia kiamat pun mesej tak kan balas! Apa punya manusia pun aku tak tahu! Argghhh... pergi jahanamlah! Engkau tak nak balas kan, mesej aku? Okey, biar aku kebas saja ayat kau. Lagi senang cerita. Mintak dengan baik, kau tak nak layan kan? Hah... sekarang rasakan kau, poyo!'

Dengan sekelip mata dinding Mukabuku Liza Wati kembali disinggah. Dengan penuh keghairahan ayat AD Rahman yang dikebas, di dinding Mukabuku Liza Wati, Yazid sudah bersiap hendak menampalnya. Namun belum sempat dia melakukannya, 'Notification' timbul memberitahu ada mesej daripada AD Rahman. Pantas dia kembali ke kotak pesanan.

Di kotak pesanan;

'AD Rahman: hello sengal! Kalau kau nak kebas tu kebas ajalah! Janganlah suka berburuk sangka jadi manusia. Jadilah orang yang bersikap positif! Jika jadi negatif, nanti perkara positif pun akan jadi negatif! Jika jadi positif, perkara negatif pun pasti akan jadi positif! Faham?'

Terkedu Yazid saat membaca mesej AD Rahman. Dahinya mengerut. Hairan!

'Eh, si poyo ni! Macam mana dia boleh tahu aku mengata dia? Hmmm... ajaib bin pelik betullah mamat ni!' Bisik hati Yazid. Pantas jari menekan kunci kekata membalas mesej itu.

Di kotak pesanan;

'Yazid Atan: hmmm... ok, maaf AD Rahman. Tak kan mengata awak lagi. Saya kebas aja ye?'

Ringkas mesej yang dibalas Yazid. Menderu dengan buru kembali menyinggah dinding Mukabuku Liza Wati. Tenang dengan senyuman lebar, ayat AD Rahman yang dikebas ditampalnya ke dinding Liza Wati.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan.

Lega! Yazid benar-benar lega. Benar-benar puas hati! Dibaca lagi ayat yang ditampalnya. Berkali-kali! Senyuman dibibirnya terukir, lebar mencecah telinga. Jauh sesaat kemudian Yazid tenggelam dalam lamunan dengan senyuman tetap tergantung di wajah.

Namun lamunan indah itu tidak berlangsung lama, saat bunyian 'Notification' memberitahu ada mesej terbaru daripada AD Rahman. Dia yang lagi di awangan, tersentak.

'Alamak... potong stim betullah si mamat ni! Betul punya poyo-lah! Bukan poyo biasa lagi ni. Ini dah kira tahap raja poyo! Melebih-lebih pulak dari Azman Hussin. Menyampah! Memang kenalah kau orang berdua ni. Satu raja poyo, satu pulak biasa-biasa punya poyo!'

Gerutu hati Yazid yang terasa diri diganggu. Dengan rasa berat hati, Yazid kembali ke kotak pesanan.

Di kotak pesanan;

'AD Rahman: Jika saya terkasar bahasa tadi, saya mohon maaf zahir dan batin.'

Terpana Yazid membacanya. Membulat mata. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang tertera di kotak pesanannya itu. Serta-merta Yazid tergelak. Bergegar jambul nusantara-nya.

'Alamak! Betul punya mamat-lah kau ni AD Rahman! Lucu betullah. Ini belum Hari Raya lagi, kau sibuk sangat nak mintak maaf zahir batin dah kenapa? Kalau aku cakap kau ni raja poyo, nanti kau marah pulak! Isshhh! Betul punya mamat-lah kau ni, brader!'

Menggeleng, Yazid dengan marah mengutuk. Hati berasa panas lamunannya diganggu. Dengan rasa gusar, dinding Mukabuku Liza Wati ingin kembali disinggah. Namun belum sempat dia beredar dari kotak pesanan, datang lagi satu mesej daripada AD Rahman.

'AD Rahman: Minta maaf zahir batin, tak semestinya hanya pada Hari Raya, tapi dari hati yang ikhlas dan pada bila-bila masa saja. Orang yang berani dan kuat, bukan yang dapat menjatuhkan seratus orang dengan sekali jalan. Tetapi adalah orang yang sanggup merendahkan diri untuk memohon maaf atas salah-silapnya.'

'Erkkkk...' Membulat mata Yazid semakin membesar saat membaca mesej itu. 'Macam mana pulak dia boleh tahu aku kutuk dia? Ishhh... pelik betullah si mamat satu ni! Dia ni manusia ke jin pun aku tak tahu nak cakap? Tapi... betul juga ye, apa yang dia kata. Hmmm!'

Yazid menggaru-garu tepi keningnya dalam kehairanan. Tiba-tiba hati begitu tergerak hendak menerjah profil AD Rahman. Teruja tiba-tiba. Ingin mengetahui siapa Ad Rahman sebenarnya. Jarinya menjalar hendak menekan nama AD Rahman yang ada di skrin. Tetapi terhenti di ketika itu juga saat telefon bimbitnya menjerit berdering.

"Hello, Leman... apa khabar kau?" Merasa diri terhutang budi, dengan ramah disambut panggilan itu.

"Baik, Alhamdulillah," jawab Leman di hujung talian. "Macam mana kerja tu, dapat?"

"Itulah, aku tadi nak beritahu kau, aku dapat kerja tu... tapi kredit habis pulak nak call kau!" Bohong Yazid. Sebenarnya nama Leman memang tidak terlintas langsung di kepala.

Di hujung talian kedengaran Leman gelak kecil. Nadanya berbunyi seperti sahaja dia tahu Yazid sebenarnya berbohong.

"Kau ada dekat mana sekarang?" Tanya Yazid kemudian dengan santai.

"Aku di rumah nenek aku-lah, dekat Kampung Imam Lapar. Esok baru balik."

"Kampung Imam Lapar?" Terbelalak mata Yazid. "Dekat mana tu?"

"Dekat dengan Jalan Makmum Kebulur. Kenapa? Kau ada 'member' dekat sini ke?"

"Jalan Makmum Kebulur? Mak oiii! Tak ada nama lain yang lebih glamer lagi dekat dunia ni ke?"

Semakin membesar mata Yazid mendengar. Lumpuh sebentar tubuh badan. Seperti sahaja ketika itu, Leman sedang menyinggahkan penumbuk kiri dan kanan ke mukanya dengan hati yang gembira.

"Tak ada, tak ada... aku tak ada 'member' duduk dekat sana! Dia orang pun aku yakin tak kan rela nak dok kampung yang namanya langsung boleh jatuhkan imej diri dan keluarga!" Jelas Yazid.

Di penghujung kata Yazid, tiba-tiba talian terputus. Terkedu Yazid. Hairan!

"Aikkk! Kenapa? Tak kan merajuk kot. Dah tua-tua gini pun nak merajuk? Ishh... tolong janganlah nak merajuk-merajuk. Tak comel langsung! Kalau Liza Wati yang merajuk, tak apalah jugak... ada jugak makna. Ini muka sebijik macam George Foreman zaman remaja, nak merajuk? Alahaiii! Tak kasi kau satu penumbuk dekat muka dah kira bagus!"

Namun Yazid tetap cuba menghubungi Leman. Tidak sampai hati pula tidak memujuk. Ternyata dia kehabisan kredit. Lega benar hati rasanya. Tidak perlulah hendak buang masa dan tenaga memujuk George Foreman.

Kembali ke katil, menyandar sambil memejamkan mata. Niat hendak menerjah profil AD Rahman langsung terlupa, sebaliknya bayangan wajah Liza Wati berlegar di kepala. Terbayang reaksi Liza Wati saat nanti membaca kirimannya. Luas Yazid tersenyum.
Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.