Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,776
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 20

Hati berlonjak riang. Berasa senang dan bersyukur dengan keberuntungan nasib yang telah Allah tentukan. Setelah menelefon Leman dan berjanji akan bertemu di gerai makan 'Mak Cik Sombong', Yazid mengisi minyak buat Biru dan membeli dua bungkus rokok Marlboro, dengan sisa duit peruntukan yang tadi Ismail serahkan padanya.

Cuaca agak mendung saat Yazid meredah jalanraya yang agak sibuk itu. Awan yang hitam sarat dan berat kelihatan menggantung di atas kepala. Hujan kelihatan agak menjanjikan akan turun mencurah pada bila-bila masa. Dengan penuh hati-hati Yazid menyelusuri.

Sesampainya ke tempat yang dituju, Biru diparkir di bawah pohon berhampiran. Yazid mengitari ruang gerai itu sebaik dia melangkah masuk. Gerai ′Mak Cik Sombong′ itu kelihatan sepi. Hanya kelihatan beberapa pelanggan yang sedang berborak dan bergelak ketawa. Kelibat Leman masih tidak kelihatan. Dengan penuh gaya, Yazid menyelesakan diri di satu sudut.

"Abang nak minum apa?" Tanya pelayan yang sama kelmarin melayannya. Yazid mengangkat muka dan melontarkan senyuman ikhlas. Tidak mendapat balasan, dari wajah miskin sedekah itu. Wajah yang ditunjukkan pelayan itu sejajar nama gerai. Sombong!

"Hmmm... kasi abang teh tarik satu, dik."

"Nak teh tarik apa?" Tanya pelayan itu tanpa memandang Yazid.

Yazid perlahan menjeling pelayan itu. Kening bersatu. Wajah sekeras kayu.

"Aikkk! Dah berapa lama ni jadi pelayan? Tak kan teh tarik pun tak tahu?"

Yazid jadi marah. Suaranya membentak. Hairan dengan seorang pelayan yang tidak tahu apa itu teh tarik. Pandangan mulai menghunus pisau.

"Saya tahulah!" Bentak pelayan itu juga, "Tapi nak teh tarik yang macam mana? Nak teh 'tarik-menarik', 'teh tarik muka', atau teh 'tarik bibir sampai ke telinga'? Ada macam-macam teh tarik kat sini. Tahu tak!" jawab pelayan itu sambil tersenyum. Seperti kelmarin, senyuman manis itu tetap bukan untuk Yazid. Mata terarah ke arah rakan sekerja lelaki yang sedang membalas senyumannya di belakang kaunter, lagi menggeliat-geliat seperti cacing dibakar.

"Hah? Teh tarik pun ada macam-macam nama?" Kata Yazid sambil meraba bibirnya. Seperti terasa bab tarik bibir sampai ke telinga, "Ingatkan air kosong aja ada macam-macam nama!"

"Bang... bisnis, bang! Bisnis! Berapa kali saya nak cakap, bisnis ni harus ada gimik? Berapa kali, bang?"

"Iyalah, iyalah! Kau betullah!" Rungut Yazid sambil mendengus kasar seperti kerbau lapar, "hmmm... kasi abang teh 'tarik muka' satu." Minta Yazid sambil menarik muka.

"Makan? Abang nak makan apa?"

"Makan nanti dulu. Tunggu kawan abang datang."

Yazid mengeluarkan sebatang rokok sebaik pelayan itu beredar. Belum pun sempat dia menyalakan pengorek apinya, lewat dari belakang, pengorek api siap menyala dijulurkan. Pantas Yazid menoleh.

"Dah lama ke apa tunggu?" Leman menyapa dengan senyuman lebar. Wajah bersinar bagaikan matahari yang muncul setelah mendung berlalu.

"Eh, Leman! Aku ingat api petir tadi. Buat terperanjat saja. Duduk, duduk. Engkau punya pasal, aku tunggu sampai gerai tutup pun tak apa. Tak ada masalah punya brader," dengan penuh ramah dan mesra Yazid berdiri menyambut Leman. Mereka bersalaman. Terjinjit sedikit Yazid saat tangan Leman yang kekar seperti peninju menggenggam erat.

"Adeh! Adeh! Lepaskan tangan aku, brader! Ini bukan salam... ini nak kasi aku punya tangan patah!" Yazid menjeling ala-ala manja sambil mengurut tangannya yang sudah dilepaskan.

"Errr..." Leman agak terasa berat mahu bersuara saat melihatkan rokok Yazid di atas meja. Leman tergoda sampai ke hulu hati. Yazid sedar itu semua.

"Errr... apa? Nak tolong habiskan rokok aku? Tak payah, brader!" Leman tersentak. Wajah riangnya berubah. Hampa! Namun hampanya hanya seketika.

"Hari ini kau tak perlu tolong habiskan rokok aku," kata Yazid lagi sambil menyeluk saku bajunya, "nah... sekotak ni untuk kau habiskan sendiri. Sendiri, brader! Sendiri untuk kau nak bunuh diri!"

Leman beku! Sinar matanya menjilat wajah Yazid. Rata-rata. Tidak di sangka Yazid hari ini sungguh sekali bermurah hati walaupun bersikap sinis. Leman merasakan di saat itu, dia seperti sedang bermimpi.

"Ini... untuk siapa? Untuk aku?" Mata Yazid ditenung. Leman masih belum lagi dapat mengatasi rasa tidak percaya yang wujud di hatinya. Yazid mengangguk tanpa suara. Sinar matanya menjemput.

"Wahhh... baik hati kau hari ni!" Suara Leman lagi. Dengan rela dan senang hati, pantas menjulurkan tangan mencapai rokok yang diberi Yazid.

"Bukan baik hati, tapi ada rezeki lebih. Apa salahnya berbagi nikmat Allah, kan?"

"Bagus, Zid... orang yang selalu berbagi nikmat Allah dengan orang lain, orang itulah akan Allah pilih menjadi perantaraanNya. Orang itulah yang akan dilimpah-ruahkan rezekinya. Kerana Dia tahu, orang dipilihNya itu pasti akan berbagi lagi dengan apa yang diberikanNya," Leman dengan muka berceramah, wajah George Foreman di zaman remaja begitu menyerlah.

"Nak cakap macam mana lagi, brader. Rezeki kita sebenarnya cuma apa yang sempat masuk ke mulut kita saja. Nasi di dalam tangan pun belum tentu boleh jadi rezeki. Bila-bila saja boleh tumpah dari tangan jika bukan hak kita. Jadi... apa salahnya berbagi jika ada lebih, sebelum hilang dari tangan. Masa tu kesempatan, brader!" balas Yazid sambil menghembus asap rokok yang disedutnya. Menunduk sedikit merenung Leman ala-ala Brad Pitt.

Leman mengangguk keras. Bersetuju! Perbualan terhenti seketika saat pelayan itu datang menghantar pesanan Yazid tadi. Teh yang dihidang, tampak begitu sekali menyelerakan di mata Leman.

"Kau nak minum apa? Mintak aja, aku belanja," Yazid menawar sambil mencapai teh yang dipesannya tadi.

"Eh, brader... kau biar betul ni cakap? Serius ke apa?" Leman menjungkitkan kening tebalnya sambil membetulkan duduk. Ghairah mendengar tawaran Yazid.

"Dik, ambik lagi satu untuk abang ni," tanpa banyak bicara, Yazid memesan minuman sama buat Leman.

"Makan?" Pantas pelayan itu bertanya.

"Kau nak makan apa?" Tanya Yazid lagi.

"Errr... errr..." Leman serba-salah dan terang-terang rasa serba-salah itu diserlahkannya di mata Yazid yang tidak mahu melihatnya.

"Mintak ajalah, nak makan apa. Jangan nak errr... errr sini dengan aku! Aku belanja ni! Kasi kau makan aku punya penampar baru tahu." Yazid mengerti Leman masih menganggur, dia ikhlas menawar dengan penuh gaya.

"Okey dik, kasi abang nasi goreng kampung satu," pesan Leman bersahaja dan selamba. Berlapang dada menerima rezeki yang datang bergolek.

"Nak nasi goreng kampung yang macam mana? Nasi goreng kampung 'halaman yang dirindui', nasi goreng 'kampung yang dah lama ditinggalkan pergi’, atau nasi goreng 'kampung Melayu Majidee'?"

"Eh, eh! Apa cerita ni? Menjadi-jadi pulak budak ni! Dah tak ada kerja lain ke apa ni, bubuh macam-macam nama hah?" Membulat mata Yazid tiba-tiba. Berasap telinga. Tangan seperti sahaja mahu menghentak meja itu meluahkan rasa marahnya.

"Eh, bang! Berapa kali saya nak cakap ni? Hah? Nak saya tulis pulak biar abang faham pasal bisnis ke apa?" Melengking suara pelayan itu. Agak tersinggung dengan komen Yazid. Jelingnya tajam. Menikam.

"Iyalah! Iyalah! kau ajalah yang betul," Leman hanya berdiam memerhatikan Yazid membuang muka dan menjeling juga. Diperhatikan Leman betul-betul, dahinya mengerut. Wajah Raja Ema di zaman remaja, ada di situ tersembul di wajah Yazid.

"Kasi abang... nasi goreng 'kampung yang dah lama ditinggalkan pergi' ajalah, dik," pesan Leman.

"Habis abang pulak nak makan apa?" Tanya pelayan itu lagi.

Mengangkat muka sesaat memandang pelayan itu, lalu sekali lagi menjeling sambil berkata, "tak mahu! Kenyang dah tiba-tiba!"

"Huh! Dah tua pun nak merajuk! Menyampah!" Rungut pelayan itu lalu beredar. Yazid membuat muka mengejek tanpa dilihat pelayan itu. Leman senyum. Senyum puas. Puas hati dapat makan dan minum percuma.

Petir mulai sabung-menyabung di dada langit. Guruh bagaikan merusuh marah, memperingatkan seisi alam akan segala dosa yang pernah dilakukan. Hari yang sememangnya mendung, hujan yang turun lebat sudah pun dijangka. Kedinginan dibawa hembusan angin mulai terasa menggigit kulit, tetapi Yazid merasa sedikit lega saat bibir tebalnya menjamah teh panas yang terhidang.

"Zid... kau belanja aku ni semua, hati tak rasa berat ke?" Leman kembali memulakan perbualan. Ada sedikit persoalan sedang berlegar di kepala.

Terkuak lebar bibir Yazid apabila mendengar pertanyaan Leman. Teh panas itu sekali lagi dijamah. Perlahan meletak kembali gelas teh di atas meja, lalu bersuara.

"Tak berat? Maksud kau... tak rasa berat belanja kau? Gitu?" Sengaja mengulang pertanyaan Leman, buat kepastian. Leman mengangguk.

"Brader..." suara Yazid terhenti seketika saat petir memanah di udara bagaikan membelah dada langit. Berdesing telinga. Diteruskannya apabila reda, "sesuatu yang kita suka, contohnya duit, mana boleh tak rasa berat bila dipisahkan dengan kita demi kepentingan orang lain. Betul tak?"

"Betul! Jadi... kau belanja aku ni, kau rasa beratlah ye?" Mata Leman meminta penjelasan tepat.

Sekali lagi Yazid tersenyum lebar dan sekali lagi, teh panas itu dijamah. Sebentar memejam mata menghayati kenikmatan rasa teh 'tarik muka' itu. Yazid kembali membuka matanya.

"Brader..." Yazid mulai mempamerkan aura Clint Eastwood, "hati yang fitrahnya sememang bersih, kalau dapat kita kekalkan kebersihannya di sepanjang hidup, di situlah ikhlas akan bersemadi. Pasti kita tak kan terasa berat... "

"Jadi..." Leman yang memotong, pantas Yazid kembali memotong.

"Dengar dulu! Jangan suka menyampuk bila orang tua lagi berbual! Tak bagus, faham tak?" Yazid menekan, "Dengar sini... yang buat kita rasa berat... sebenarnya tak lain cuma bisikan iblis. Musuh nyata manusia. Iblis jelas tak suka tengok kita buat kebaikan. Tak suka tengok kita buat kebajikan. Jadi... diberat-beratkanlah hati kita agar kita tak buat tu semua. Tapi..."

Sabung-menyabung petir di langit semakin menjadi-jadi. Yazid serta-merta memberhentikan bicara. Leman terus sahaja memandang Yazid. Ingin mengetahui butir bicara selanjutnya.

"Tapi... jika kita cepat menepis dengan perisai dibekalkan Allah," sambung Yazid lagi sebentar kemudian, "iaitu akal... bisikan iblis bulat-bulat kita boleh tolak. Sebab akal sedar janji Allah. Akal sedar apa yang kita beri... pasti akan Allah beri lagi. Malah berlipat, brader!"

"Wahhh... hebat betullah kau ni, Zid. Lebih-lebih lagi bila ni semua kau yang belanja... pergghh... bertambah-tambah hebat kau kat mata aku, tahu tak!" Puji Leman mencecah bumbung langit.

Terputus senyuman Yazid tatkala petir bedentum di langit diiringi kilat sabung menyabung. Bagaikan saling berkejaran. Menghela nafas, Yazid menjelaskan.

"Aku bukan hebat, brader. Aku cuma gunakan akal, sebab akal pasti akan memeluk sesuatu yang benar! Dan akan tolak yang tidak. Jadi... aku sama sekali tak rasa berat belanja kau. Ikhlas ni semua, brader! Aku tak harapkan balasan."

Menggaru hidungnya, Yazid menekan, "aku berkongsi nikmat Allah bukan kerana aku berpunya... tapi aku tahu apa rasanya bila tak berpunya."

Kagum! Leman benar-benar kagum. Hilang kata-kata sebentar. Bukan kata-kata Yazid dikagumkan sebenarnya tetapi makanan yang dihantar pelayan tadi, kehebatan dan keenakannya tidak dapat dinafikan. Begitu terasa luar-biasa saat nasi goreng 'kampung yang dah lama ditinggalkan pergi', buat pertama kali dalam hidupnya dijamah. Keenakannya terasa di lidah membuat mata Leman tertutup. Nikmat!

Di dada langit, guruh dan petir terus sahaja berdentam-dentum penuh ancaman. Bagaikan sahaja ada sesuatu yang penting hendak disampaikan kepada isi alam dan seluruh umat manusia. Hujan terus tumpah, mencurah lebat dan keras. Tiba-tiba bumbung gerai makan 'Mak cik Sombong' bergegar. Petir bagaikan sahaja menyinggah tepi telinga.

"Zid! Vespa kau! Tengok tu...?

Yazid menoleh. Pantas dia bangun. Melangkah ke depan. Bagaikan sedang bermimpi. Mata-mata di situ yang menjadi saksi, semuanya memandang dengan rasa tak percaya. Terpaku... bisu dan tergamam.

Yazid kuyup. Bukan sahaja kuyup seluruh tubuh dek hujan saat dia melangkah keluar, tetapi hatinya. Jauh lebih kuyup, disimbah duka. Bibir Yazid terketar. Mulut terpalang dari sebarang kata-kata saat melihat Biru dalam keadaan begitu. Langit yang seolah-olah runtuh di saat itu, runtuh sebagaimana hati Yazid. Air matanya bersatu bersama hujan yang mencurah-curah membasahi bumi. Mendekatkan diri, Yazid melutut menghadap Biru.

'Ya Allah... bermimpikah aku?' Apa erti ini semua, Ya Allah?

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.