Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,987
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

Sungguh mengkagumkan! Lutut menggeletar ketika sedang berdiri berhadapan. Segala sendi dengan serta-merta lemah, saat pintu pejabat berkayu jati itu yang halus ukirannya, begitu mencolok matanya. Tangan Yazid tiba-tiba terasa berat hendak diangkat memicit butang loceng yang terletak di tepi pintu. Hati berdebar-debar.

Memejamkan mata menghela nafas berat dan panjang, Yazid cuba bertenang. Raut wajah setegang besi.

"Ya Allah... lindungilah aku. Berikanlah hambamu ini kekuatan. Dan permudahkanlah segala urusanku ya Allah, aamiin."

Yazid kembali membuka mata. Terasa berat kelopak mahu diangkat. Dipaksa. Perlahan, muncul pandangan.

Tersentak! Terpaku sebentar. Darah berderau. Terpacak di situ, Yazid kaku bagaikan pohon yang sudah mati.

Berdiri di hadapannya di muka pintu yang daunnya sudah pun luas terbuka, seorang lelaki yang umurnya tampak jauh lebih tua dari Yazid, menguakkan bibirnya. Kulit muka dipenuhi bekas-bekas jerawat. Kasar dan menggerutu permukaannya seperti buah salak di kebun buah-buahan.

Mata Yazid membulat sebulat dulang saat biji mata mereka berlaga. Terasa darah di wajahnya seperti menyurut. Dengan kedua belah tangan, pantas dia menggosok-gosok mata. Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Yazid kembali memandang wajah itu dengan lebih dekat. Lehernya dijulur kedepan. Mukanya maju. Matanya, seperti seorang pemburu yang sedang memilih mangsa. Melingas mengamati kulit wajah lelaki itu.

'Mak oiii! Ini muka ke kaca? Ingatkan kaca aja boleh retak. Muka pun boleh? Wow! Ini jelas bukan silap-mata! Tapi... benda benar terjadi ni. Inilah yang dinamakan... hmmm... persembahan ikhlas!'

Lelaki yang berdiri di hadapannya mengangkat kening sambil melebarkan senyuman. Yazid cuba membalasnya. Tetapi bibirnya yang tebal, beku seperti air batu. Kaku! Keras!. Tidak dapat digerakkannya sama sekali. Bagaikan sahaja bibir itu sudah tidak dapat lagi berfungsi.

'Isshhh! Mata aku ni... menghina ke? Apalah aku ni! Tak patut, tak patut! Mana boleh hina orang! Tak boleh! Salah sangat tu. Tu sama aja menghina ciptaan Allah! Tak baik hina orang! Setiap ciptaan Allah pasti ada sudut keindhannya!'

Yazid beristighfar panjang sambil menggeleng ringan.

"Saudara Yazid?" Lelaki yang lebih tinggi darinya dan berbadan tegap, membuka mulut. Suaranya halus. Sorot matanya tenang. Wajah penuh waspada.

Yazid hanya mampu mengangguk. Dia masih terpana dan terkesima. Untung dia tidak pengsan. Jika tidak, kerja yang dicari, katil hospital pula yang dijumpanya.

"Saya Ismail yang berbual dengan awak di telefon siang tadi." Suara lelaki itu lagi sambil menghulur tangan berjabat. Digenggam tangan Yazid erat-erat saat Yazid menyambut tangannya, "Sila masuk. Mari... jangan segan-segan."

Yazid begitu kagum dengan sikapnya yang ramah, lembut dan sopan. Sama sekali berbeza dengan raut wajahnya yang tak ubah seperti samseng Chow Kit. Lelaki yang berpakaian kemas dengan kemeja lengan panjang berwarna kelabu, berseluar panjang hitam, dipandang Yazid atas bawah. Sepatu kulitnya yang berwarna hitam, mengkilat. Kilauannya mencucuk mata Yazid. Hati-hati Yazid lalu melangkah masuk.

Bertambah kagum saat Yazid berada di dalam pejabat itu. Tidak ada orang lain, selain lelaki itu. Mata Yazid tajam memanah ke setiap penjuru ruang yang begitu sekali luas. Setiap perabot yang menghiasi, memukau matanya. Tampak jauh lebih hebat dan gah daripada apa yang dilihatnya di tingkat bawah tadi. Sebuah meja kerja yang tampak hebat, tersergam megah di satu sudut. Pejabat itu, jelas kelihatan sesuai sangat buat orang yang ternama dan yang berkedudukan tinggi.

"Sila duduk dulu, Yazid," lelaki yang bernama Ismail itu menjemput. Kumisnya yang tebal melintang tampak mengancam. Tapi suaranya yang halus, mencucuk-cucuk lubang telinga Yazid.

Yazid yang masih mengitari ruang pejabat itu dengan kekaguman, mengangguk lembut. Punggung kurusnya lalu dilabuhkan di sofa kehitaman yang tersedia ada di ruang pejabat itu.

"Oppocottt! Apa benda ni!" Pantas dia kembali bangun dan menoleh memandang sofa itu. Direnung sofa itu dengan mata besar, "Ya Allah! Ini kerusi ke air!"

Terperanjat Yazid saat dia melabuhkan punggung. Tenggelam seperti disedut ke bawah ketika punggungnya dihempaskan ke sofa itu. Kusyennya begitu sekali lembut. Tak terasa permukaannya saat punggung menyentuh. Di dalam hidupnya, sama sekali tak pernah dia merasakan sofa yang selembut seperti itu. Menggeleng kekaguman Yazid.

'Hmmm... ini kalau buat tidur, seminggu-dua pun belum tentu aku boleh bangun. Dahsyat betullah kerusi orang-orang kaya ni! Membazir duit aja.' Gumam hati Yazid.

Ismail tergelak kecil melihatkan aksi itu. Menghampiri Yazid, sekali lagi Ismail menjemput dia duduk. Yazid akur dan perlahan kembali melabuhkan punggungnya. Menggulung mata saat terasa sofa itu bagaikan menyedut punggung kurusnya lagi.

"Ini semua buat pengetahuan awak, adalah milik Datin Nurharyati Ishak. Setiap sesuatu yang ada di bangunan ini, termasuk bangunannya sekali, adalah milik peribadinya. Seorang usahawan yang berjaya, beliau bukan saja seorang yang mempunyai cita rasa yang tinggi, malah beliau adalah seorang yang sangat baik hati."

Yazid yang sedang menyelesakan diri di sofa itu mengangguk-angguk kagum. Bola mata ke kiri-kanan memerhatikan Ismail yang tidak senang diam berlegar di hadapannya, seperti seorang askar yang dibebankan orang tawanan.

"Andai awak diterima bekerja nanti," sambung Ismail, "jadilah seorang pekerja yang cekap dan amanah. Berdisplin dan bekerja keras. Andai awak dapat menjadi seorang pekerja yang saya sebutkan tadi, in sha Allah, Datin akan menjaga awak dengan baik. Jika tak, awak tak kan lama bertahan bekerja di sini."

Berhenti berlegar, memandang tepat ke wajah Yazid yang sedang khusyuk mendengar, Ismail memberitahu, "buat pengetahuan awak juga, Datin adalah seorang yang begitu komited dengan setiap apa saja yang dilakukannya. Begitu juga, dia mengharapkan setiap pekerjanya memberikan yang terbaik pada setiap tugas yang diberi. Ingat tu."

"Encik ni... abangnya? Atau... adiknya?" Tanya Yazid sambil mengacungkan ibu jari di udara.

Tergelak Ismail mendengar pertanyaan bodoh Yazid yang sememangnya bodoh di dalam hal ini semua. Menggeleng sambil berjalan menuju ke arah pantri yang kelihatan begitu sekali canggih terletak di satu sudut pejabat itu. Yazid memerhatikan langkahnya yang tersusun kemas di hamparan permaidani yang berwarna biru gelap itu.

"Awak mahu minum kopi atau teh?" Tanya Ismail sesaat kemudian. Suaranya seperti anak kucing yang kehausan susu ibunya.

"Kopi atau teh? Hmmm... berapa tu harga secawan?" Membetulkan duduknya lalu mengurut dagu, Yazid bersuara, "Kalau mahal sangat tak payahlah."

Melantun gelak Ismail. Menggeleng lagi mendengarkan. Mata melirik Yazid dari pantri. Pada pandangannya, Yazid benar-benar seorang yang lucu. Sikap Yazid yang bersahaja, begitu mencuit hatinya.

"Kopi luwak yang saya sedang buatkan untuk awak ni, adalah kopi yang sangat spesial. Harganya tiga puluh-lima ringgit secawan. Ini adalah kopi luwak yang paling tinggi mutunya di pasaran. Saya yakin awak pasti suka."

"Tiga puluh-lima ringgit secawan? Eh, tak payah! Tak payah buatkan! Saya dah minum jus oren tadi dekat rumah," dengan pantas Yazid memberitahu. Keningnya menjulang tinggi.

"Itu jus oren. Ini kopi. Kopi yang special untuk awak," kata Ismail sambil menghulurkan kopi itu, "nah, ambil."

"Eh! Tak mahu tak mahu," Yazid tampak menggelabah. Menolaknya dengan kedua belah tangan huluran itu, "saya cakap jujur. Tadi saya dah minum dekat rumah!"

"Jus oren dengan kopi luwak, jauh bezanya macam langit dengan bumi. Nah ambil, kopi special untuk awak secara percuma."

"Percuma?" Kata-kata Ismail bagai satu penampar yang menyedarkan. Aromanya yang menyengat mengajak Yazid menjengahkan kepala melihat isi cawan yang tampak kelas. Cawan yang berwarna putih itu, bibirnya dilingkari jalur keemasan. Begitu juga dengan piring pengalas.

"Betul ke ni awak cakap percuma?" Tanya Yazid lagi. Sinar mata menggeledah kepastian. Kedua belah tangan sudah bersiap hendak mencapai.

"Kami di sini semua mengamalkan kejujuran. Datin Nurharyati menggalakkan semua pekerjanya bersikap jujur. Beliau percaya, kejujuran bukan saja memanfaatkan semua. Malah akan membawa keberkatan di dalam kehidupan. Nah ambil. Saya jujur cakap, kopi special untuk awak ini adalah percuma," Ismail memberitahu dengan suara rendah.

Dengan masih rasa teragak-agak, memandang tepat wajah Ismail yang lagi tersenyum, Yazid menerimanya. Aromanya yang harum menyusup ke lubang hidung membuat Yazid berasa teruja untuk menjamahnya. Perlahan bibir tebalnya bersatu dengan bibir cawan itu. Terpejam mata dengan sendiri saat kopi itu membasahi lidahnya.

Nikmat! Diminumnya lagi. Mata terpejam khayal. Laksana diri sedang minum air sungai yang mengalir di syurga.

"Saya bukan abang atau adik kepada Datin Nurharyati. Tapi... saya adalah pembantu peribadinya. Tugas saya, termasuklah menyiapkan 'Welcome drink' untuk awak," beritahu Ismail sambil memandang dan duduk di samping Yazid. Tapi Yazid hanya membisu.

"Bagaimana rasanya? Sedap?" Tanya Ismail apabila melihat Yazid begitu leka menikmati kopi itu. Yazid mengangkat muka. Kening bersatu.

"Eh! Encik ni kan dah tahu rasanya? Kenapa nak tanya lagi?" Yazid menggeleng marah dengan pertanyaan yang dirasanya menggangu. Menikmati kopi special itu diteruskan.

'Menggangu aja pak cik ni!' Marah Yazid dalam hati.

"Memang saya tahu rasanya. Malah saya tahu lebih daripada itu. Cuma mungkin... awak saja yang belum tahu."

Yazid tidak mempedulikan apa yang dikata. Baginya di saat itu, menikmati kopi itu jauh lebih utama dan mulia. Yazid bagaikan harimau yang kehausan sedang menikmati air di kolam. Ismail tersenyum kecil, lalu memberitahu.

"Asal kopi luwak sebenarnya datang dari biji kopi biasa. Tetapi apa yang membuat ia menjadi luar biasa... apabila biji kopi yang dimakan musang masih utuh keluar bersama najisnya, diambil dicuci. Dan setelah menjalani semua proses, maka jadilah kopi yang awak sedang minum tu."

Ismail menyeringai. Misai tebalnya seperti sayap helang yang sedang mengepak di udara memerhatikan mangsa. Mata memercikan cahaya kepuasan.

Yazid yang sedang khusyuk menikmati kopi itu terberhenti. Urat halus yang melintang di tepi alis kanannya tampak tegang. Matanya membesar. Biji mata ke kiri-kanan menatap Ismail yang sedang cuba menahan gelak. Pandangan Yazid bergegar-gegar saat menyapu permukaan wajah Ismail. Seperti sebuah jeep yang sedang merentas laluan jalan yang berlopak-lopak.

"Keluar dengan najisnya?" Meletak cawan itu di pengalasnya, Yazid majukan sedikit wajahnya ke depan dengan mata terbelalak. Bibir yang berbekas kopi diseka. "Awak ni biar betul cakap?"

Terangkat kedua belah kaki Ismail. Badan dilontarkan ke sandaran sofa sambil kedua belah tangan memegang perut. Muka berkerut ketawa besar.

"Jadi... maksud encik... " suara Yazid putus-putus. Kepala Ismail sudah mengangguk keras, "saya boleh minum lagi secara percuma jika saya bekerja di sini?"

Tiba-tiba suasana jadi hening. Sekeliling kaku. Ismail berpaling dengan mata beku memandang Yazid. Ketawanya sudah hilang. Wajahnya sudah berubah seperti permukaan jalanraya.

"Boleh?" Yazid mencari kepastian, "Sedap kopinya. Saya suka. Kalau boleh nak suruh encik buat lagi secawan."

Ismail merenung wajah Yazid yang penuh harapan. Tepat dan dalam. Ketawa kecil menyusul sesaat kemudian. Mungkin kali ini, dia mentertawakan dirinya sendiri.

"Boleh ke tak boleh?" Yazid seperti memaksa inginkan jawapan, "macam tak boleh aja saya tengok ketawa encik tu."

Ismail jadi tegang mendengarkan Yazid mengulangi pertanyaan itu. Tepi keningnya digaru perlahan. Bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Dikalihkan pandangan dari wajah Yazid sesaat kemudian. Wajah ditujukan ke arah pintu pejabat.

"Boleh atau tak boleh... bukan saya yang yang memutuskan. Itu semua... tergantung pada orang tu. Tu... orang yang tengah jalan," kata Ismail sambil memuncungkan bibirnya ke arah satu susuk yang tampak begitu anggun.

Mata Yazid membulat. Membulat besar saat menoleh dan melepaskan pandangan ke arah pintu pejabat itu. Terpegun! Tergamam! Kagum!
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.