Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,082
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

"Mula aku ingat kau tak datang tadi. Tapi bila bunyi Vespa kau dari satu batu pun aku dah dengar, aku tahu kau dalam perjalanan."

Leman bersuara sebaik mereka berempat mata bersemeja. Yazid tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Hanya menjeling tajam memandang wajah yang iras-iras George Foreman itu. Dengan gaya menyedut rokok, asap lalu dihembus tepat ke muka Leman yang sedang duduk berhadapan dengannya. Hidung Leman bagaikan digeletek-geletek saat asap itu menyinggah. Geram-geram suka Leman!

"Bila kau sudah berjanji, itu sudah menjadi satu jadual. Bila sudah menjadi satu jadual, harus pula kau datangi ia tepat pada waktunya." Balas Yazid setenang air di kolam.

Melopong tercongok di kerusinya, mengangguk-angguk Leman mendengar. Kagum dengan kata-kata Yazid. Kagum dengan gayanya. Kagum dengan memek muka dan suaranya yang dibuat-buat seperti Clint Eastwood, hero koboi lagenda Hollywood itu. Idolanya Yazid sendiri.

"Betul apa yang kau cakap tu, Zid. Power betullah ayat kau ni. Macam ayat Perdana Menteri! Aku suka sangat." Leman bermain kata. Menanam tebu di tepi bibir. Mata jatuh ke kotak rokok Marlboro milik Yazid yang ada di atas meja.

Yazid senyum bangga dengan pujian yang dilontarkan. Bibir tebalnya dikuak lebar seperti gagak yang terbang di udara. Begitu sekali menyerlah di mata Leman akan ketebalannya hingga ke tahap menggangu pandangannya.

"Kau memang hebat, Zid. Bangga betul aku jadi kawan kau. Tak ada yang lebih membanggakan dari mendapat kawan yang macam kau." Semakin menjadi-jadi Leman dengan tebu yang ditanamnya di tepi bibir.

Kian membengkak bibir Yazid. Tangan kirinya dijulurkan menangkup rokoknya yang di atas meja itu. Menutupnya dari dipandang Leman terus.

"Dekat mana kau belajar susun ni ayat semua, Zid? Hairan betullah aku! Sedap tau dengar ayat kau ni. Aku macam terayat gitu." Leman sengaja mengangkat tinggi keningnya. Pura-pura kagum.

Mengurut dagu dengan tangan kanannya bagaikan seorang pemikir, Yazid melepaskan pandangannya jauh. Seperti sahaja dia sedang merenung sesuatu yang memusyilkan.

"Senang, brader! Baca sekeliling kita. Baca apa yang terhidang di depan mata. Pandang dengan akal fikiran, lalu sesuaikan bahasa dengan kenyataan. Kalau sesuatu yang menyentuh perasaan pula, sulamkan dengan sentuhan rasa," sambil tersenyum senget, tenang, Yazid berbicara dengan bangganya seperti seorang pujangga.

Ternganga mulut Leman. Menggaru kepala yang sememangnya tak gatal. Leman memuji. "Kau memang mengkagumkan, Zid. Nasib baik tau aku ni lelaki. Kalau aku ni perempuan, pasti sekarang jugak aku akan jatuh cinta dengan kau! Ayat power kau yang macam gini, pergghh... benang pakaian tertetas sendiri! Hebat kau, brader."

Tidak menjawab, Yazid membuang muka dengan sombong. Rasa macam meluat mendengar pun ada. Sekali lagi menyedut rokok, perlahan dihembusnya ke udara. Terpaku Leman melihat bara api rokok itu menyemarak, dan asapnya mengecil di udara.

"Hmmm... kau hisap rokok apa tu, Zid?" Tanya Leman sambil tersenyum nipis, memperlihatkan sedikit sebaris gigi putih.

Senyum Yazid mati serta-merta. Dikerutkan keningnya. Agak hairan dengan pertanyaan Leman yang kedengaran begitu luar biasa. Sama sekali di luar dugaannya. Matanya terus sahaja merayap mengamati wajah Leman. Terbayang sesaat wajah George Foreman sewaktu di zaman remaja sedang tersenyum.

"Hisap rokok apa? Marlboro. Kenapa?" Suara Yazid bergetar.

"Saja tanya. Sebab kalau sesuai... aku ingat nak tolong habiskan."

"Nak tolong habiskan rokok aku? Kau biar betul cakap!" Membesar mata Yazid mendengar bantuan yang ditawarkan Leman.

"Ye, Zid... " angguk Leman, "aku tak mahu tengok kau mati cepat. Aku nak berkawan lagi lama dengan kau. Tak sampai hati pulak aku tengokkan kau beriya-iya sangat nak bunuh diri sendirian. Rasa 'jiwa kawan' dalam diri aku... macam menjerit-jerit gitu suruh tolong kau supaya panjangkan nyawa lebih lama sikit."

Berhenti seketika menghela nafas, memandang Yazid yang sedang merenung dengan wajah merusuh, dengan jujur Leman meneruskan, "cuba kau bawak mari sebatang sebagai permulaan."

"Sebagai permulaan?"

Kian membesar mata Yazid mendengarkan. Leman mengangguk lembut dan ikhlas. Di wajahnya digantungkan rasa simpati terhadap Yazid. Sebentar biji mata mereka bersilat.

"Maksud kau... kau nak tolong habiskan sampai habis?"

"Ye, Zid. Kenapa tidak? Kata orang... alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, kan? Lagi pun... aku ikhlas nak tolong."

Mengkedepankan sedikit badannya, mendekatkan diri ke Leman, dengan mata yang berapi Yazid mencari kepastian, "hello, brader... kau serius ke apa ni?"

Seperti pesilat, aksi Leman pantas. Bagaikan sedang menepis menangkis, tangan cepat menyinggah ke hidungnya.

'Alamak, si mamat ni! Dah berapa lama tak cuci gigi ni? Bau mulut macam kopi basi weiii!' Jerit hati Leman ke tahap merintih.

"Jauh-jauh kau panggil aku datang cakap nak tolong... rupanya kau cuma nak tolong habiskan rokok aku? Gitu? Bukan main mulianya hati kau, brader!" Jerkah Yazid yang tiba-tiba marah. Bagaikan tidak percaya saat mengetahui itu yang dimaksudkan Leman sebenarnya.

"Rilek, brader... jangan salah faham. Jadi manusia jangan cepat melatah. Selidik dulu baru bersuara," ujar Leman tenang sambil menggaru hidungnya. Mata menjeling tangan Yazid yang sedang menangkup rokoknya, "aku sebenarnya bukan saja berniat nak tolong habiskan rokok kau. Tapi... "

Perbualan terhenti sebentar apabila pelayan tadi datang membawa apa yang dipesan mereka. Namun Yazid tidak mempedulikan. Dia sudah tidak sabar mahu mendengar penjelasan Leman yang seterusnya. Pandangan tetap tertuju ke arah Leman.

"Ini roti apa, dik?" Tanya Leman ketika pelayan itu sedang meletakkan apa yang dipesan di atas meja.

Yazid mendengus kasar melihat Leman lebih menumpukan perhatian pada makanan dari pertanyaannya sendiri. Pandangan yang dilontarkan setajam panah. Di matanya ketika itu, Leman tak ubah seperti kentang goreng. Seperti mahu diratah-ratah sahaja mukanya.

"Ini roti 'kosong sombong', bang." Jawab pelayan itu sopan dengan penuh gaya. Leman melontarkan senyuman manis. Bertambah menyampah Yazid melihatnya.

"Owhhhh... " suara Leman dengan memuncungkan bibirnya, "owhhhh... yang 'sombong semacam' punya ada, dik?"

"Yang 'sombong semacam' ada. Tapi tu roti canai telur bawang dicampur keju. Untuk roti kosong punya tak ada," jelas pelayan itu sambil melontarkan senyuman manis. Bukan ditujukan pada Leman juga sebenarnya. Seperti tadi, untuk rakan sekerjanya yang sedang berdiri di hujung sana seperti caciing kepanasan di tepi kaunter.

"Owhhhh... yang telur bawang dicampur keju aja ye," mata Leman membulat ala-ala Mat Sentul, bintang filem tersohor di zaman 60'an. Terkecur mendengarkan. "Tolong bawakkan abang sekeping, dik. Dan jangan lupa, tolong buatkan yang sedap-sedap punya ye."

"Sekeping aja, bang?" Pelayan itu mencari kepastian tanpa memandang Leman.

"Ye betul, dik. Cukuplah tu. Nanti pekena lebih-lebih, takut nanti abang jadi sombong pulak. Sudahlah Allah benci... kang nanti orang sekeliling tengok abang pun naik menyampah," jelas Leman sambil menjungkit kening melirik Yazid yang sememangnya sudah semakin menyampah dengan sikapnya. Leman yang tidak mengerti perasaan Yazid, tersenyum senget.

'Beli rokok pelokek nak mampus... tapi makan tak nak kalah, roti telur bawang keju! Apa punya manusia pun aku tak tahu!' Yazid mengutuk di dalam hati dengan ikhlas. Bibir yang dijuirnya, dari kaunter di hujung sana pun dapat dilihat dengan jelas. Begitu sangat menyerlah.

"Weiii! Cakaplah sebenarnya kau nak tolong aku apa lagi? Aku datang sini jauh-jauh bukan saja-saja nak suruh kau tolong habiskan rokok aku, tahu tak! Engkau ingat rokok ni apa... dapat percuma?" Bentak Yazid dengan membeliakkan mata sebaik pelayan itu beredar.

Terperanjat sakan Leman yang sedang begitu khayal menikmati lenggokan pelayan itu berjalan pergi. Namun dia sempat mengelak dari hawa mulut Yazid yang menerjah laju ke arahnya. Leman mengurut dada lega.

"Kau belum kerja lagi, kan?" Tanya Leman sesaat kemudian yang sememangnya sudah pun tahu duduk perkara yang sebenar.

Yazid mengangkat muka. Agak hairan mendengar pertanyaan itu yang sama sekali tidak disangkanya. Rasa teruja menyelinap. Raut wajah jelas menceritakan.

"Belum lagi. Sambil-sambil aku tengah cari jugaklah ni. Kenapa?"

"Kau ada lesen memandu, kan?"

"Ada. Iya memang ada. Kelas tiga, kelas empat, kelas lima, semua kelas aku ada. Kenapa?" Keterujaan Yazid kian mendalam. Namun roti canai yang terhidang itu, tumpuan yang diberi sama sekali tidak terjejas. Rentak suapannya berjalan lancar.

"Semua kelas kau ada?"

Terperanjat Leman. Terperanjat bukan dengan apa yang dikatakan Yazid, tapi roti canai yang dengan sekelip mata sudah separuh pinggan ditelan Yazid. Terkesima melihat kegelojohan yang dengan secara santai dipamerkan Yazid.

"Iya... semua kelas aku ada," kata Yazid sambil mengunyah.

"Mengkagumkan! Kau ni memang kelas-lah, Zid. Walaupun kau ni memang tak nampak kelas."

Mengangkat muka tanpa henti mengunyah, wajah Leman diamati Yazid. Dipandang wajah itu, dengan sinar mata marah. Seperti sahaja di saat itu mahu disinggahkan satu penampar biar Leman sedar akan keceluparannya. Baru Yazid mahu membuka mulut, Leman lebih pantas bersuara.

"Engkau... nak kerja tak jadi pemandu peribadi?"

Hilang tiba-tiba rasa marah. Serta-merta perasaan Yazid reda. Hanyut dipukul arus kata-kata yang baru diucapkan Leman. Yazid jadi teruja.

"Pemandu peribadi? Eh! Kau ni biar betul cakap, brader!" Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, nada suara Yazid memberitahu Leman yang dia sudah ghairah mendengar apa yang ditawar. Sebentar dia berhenti mengunyah roti canai itu.

"Ermmm... boleh tak aku tolong habiskan rokok kau dulu? Sambil cerita kalau sambil hisap kan sedap. Betul tak?"

"Eh, Leman... ambiklah! Kau ni pun... nak tanya-tanya pulak. Satu tampar aku kasi dekat muka kau baru tahu! Jangan segan-seganlah. Ambik aja buat macam sendiri punya. Ambik, ambik. Macam tak biasa pulak kau ni dengan aku."

Selamba menjulurkan tangan mencapai rokok Yazid yang ditayang di atas meja seperti milik sendiri, dinyalakan sebatang. Lalu dalam-dalam disedutnya. Lega Leman. Apa yang dari tadi dihajati, tercapai juga akhirnya.

"Kerjanya senang, Zid." Sambung Leman kemudian. Yazid menghulur telinga dengan tegar, "kau cuma bawak bos pergi mana-mana yang dia nak pergi aja. Kalau bos duduk dekat opis tak pergi mana-mana... kau rilek aja. Gaji dua ribu ringgit sebulan."

"Wahhhh... " mata Yazid membulat. Keghairahan kian meluap. "Besar gaji? Kerja dengan siapa ni?"

Leman tergelak kecil melihatkan aksi. Keterujaannya nampak lucu di matanya yang keayu-ayuan.

"Kerja dengan Datin, Zid. Orangnya baik aku dengar. Pemurah lagi."

"Kerja dengan Datin? Kau ni biar betul!" Tanya Yazid sambil menggaru kepala yang sememangnya gatal.

"Ye, Zid. Kerja dengan Datin Nurharyati Ishak!"

"Nurharyati Ishak?" Mata Yazid terbeliak.

"Ye, Datin Nurharyati Ishak. Kenapa? Terpikat?"

"Bukan terpikat, tapi terperanjat!"

"Aikkkk! Kenapa pulak kau terperanjat?" Leman memincingkan mata.

"Sebab nama dia macam Penulis je. Novelis Nurharyati Ishak tu."

"Zid... itu mungkin cuma kebetulan saja. Datin Nurharyati Ishak ni... seorang usahawan yang berjaya," beritahu Leman sambil menghembus asap yang disedut.

"Bisnis dia merangkumi kau tahu tak!" Jelas Leman lagi. "Dari hotel bajet sampai hotel lima bintang. Dari warung dekat kampung sampai restoran dekat luar Negeri. Rumah aja entah berapa biji dia ada. Kenderaan jangan cakap. Kereta aja tak terkira dengan jari. Motor lagi! Dari yang kapcai sampai Harley Davidson. Itu belum termasuk basikal! Dari harga yang beribu, sampai yang cabuk pun dia ada kau tahu tak!"

Mata Yazid bergegar mendengar. Kagum dengan kekayaan Datin Nurharyati Ishak. Sambil mengunyah, Yazid cuba membayangkan kekayaannya.

"Kalau kau rasa okey, setuju nak kerja... kau call orang ni. Tapi jangan lambat, takut orang lain yang dapat," kata Leman sambil meletak sekeping bisnis kad di atas meja depan mata Yazid.

Meletak tepi sudu-garfu, dengan pantas kad itu dicapai. Tekun Yazid membaca apa yang tertera. Dengan sendirinya senyuman tergantung di wajah.

"Lepas aku makan nanti... hmmm... boleh tak aku ambik sebatang lagi rokok kau?" Leman meminta izin secara jujur sambil mengurut-urut dagunya.

"Alamak, Leman... kau ni pun! Sejak bila kau tahu segan-segan dengan aku ni? Hah Jangankan sebatanglah, kawan... nanti kau nak balik aku bekalkan sikit ye. Buat kau habiskan dekat rumah."

Leman mengangguk. Dengan rela hati setuju dengan tawaran Yazid untuk menolong menghabiskan rokoknya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.