Menyandar di kerusi; menyilang kaki
menyelesakan diri, Liza Wati tersenyum. Diamati wajah rakannya itu. Mata
Nurhayyu masih melekat di dada skrin komputer riba miliknya. Semakin membesar
mata Nurhayyu menatap, semakin melebar pula senyuman dibibirnya.
"Liza... mamat ni biar betul? Macam tak caye aja, aku baca! Betul ke dia
yang tulis ni?" Dengan mata membulat, Nurhayyu bertanya saat mengangkat
muka.
"Habis... kalau bukan dia yang tulis... agak-agak kau siapa lagi? Tak kan
orang lain kot?" Jawab Liza Wati. Mata yang sedang memandang Nurhayyu,
bola mata mereka berlaga, bagaikan mengundang sahabatnya memberikan penjelasan.
Memutuskan pandangan, pantas Nurhayyu kembali menatap dada skrin komputer itu.
Mengamati isi kandungannya, bagaikan mengeja setiap perkataan, tangan leka
mengurut-urut dagunya. Agak lama direnungnya dengan wajah bagaikan tidak
percaya. Di hati yang dalam, sebenarnya ada rasa kurang keyakinan yang sukar
hendak dijelaskan.
"Hmmm... boleh tahan juga ayat. Pandai jugak mamat ni mengayat. Tapi..
macam kata-kata seorang pujangga aja bunyinya." Kata Nurhayyu dengan nada
yang belum berpuashati. Mencapai 'Ice blended Mocha'nya di atas meja; menyandar
di kerusi, Liza Wati langsung dipandang. Perlahan menyedut minuman
kegemarannya, pandangan dilontarkan bagai menjemput Liza Wati pula memberikan
penjelasan.
Perlahan dengan cermat, komputer riba itu didekatkan ke arahnya. Senyuman Liza
Wati melebar saat matanya diarahkan ke dada skrin itu. Sinaran matanya redup
penuh kekaguman, ketika mengulang baca apa yang ada di dinding Mukabuku-nya.
Paling menggembirakan apabila ia mendapat sambutan hangat dari rakan-rakan.
Dinding Mukabuku Liza Wati;
Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu
yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan.
73 'Likes'
"Macam tengah kagum aja aku tengok kau, minah? Hati ada taman bunga ke...
atau hutan belantara?"
Begitu Nurhayyu terkekeh dengan usikannya. Sampai terpejam matanya ketawa.
Untung di waktu itu, pengunjung di Starbucks agak sepi. Hanya beberapa
pelanggan sahaja yang sedang sibuk dengan dunia masing-masing memenuhi meja di
ruang terbuka itu.
"Apanya taman bunga, apanya hutan belantara? Ada-ada aja kau ni Hayyu, nak
usik orang." Balas Liza Wati dengan senyuman tersimpul di wajah.
"Habis, kau nak komen apa 'posting' dia?" Tanya Nurhayyu dengan
senyuman mengejek.
"Entahlah, Hayyu." Lirih Liza Wati setelah agak lama juga memikirkan.
"Tak tahu pulak apa aku nak komen."
"Ini kira apa kes? Lidah kelu ke jari kelu?"
Sekali lagi, berderai Nurhayyu ketawa. Begitu juga dengan Liza Wati, tidak
dapat menahan diri dengan usikan Nurhayyu yang kedengaran lucu. Manja lengan
Nurhayyu dicubit Liza Wati.
"Tak ada, gini..." ujar Nurhayyu setelah ketawanya reda. "Apa
kata kalau aku saja yang komenkan untuk kau. Macam mana, minah... okey?"
"Dah! Kau jangan nak macam-macam boleh tak?" Pantas Liza Wati menepis
cadangan itu.
"Alaaa... bolehlah." Nurhayyu merayu dengan muka-mukanya.
"Sudah! Sudah! Kau jangan nak macam-macam. Sini! Nanti merepek-repek pulak
yang kau komen!"
"Aikkk! Kau tak percaya dengan aku ke apa? Kau sendiri tengok tu hari,
macam mana aku komenkan untuk kau 'posting' Azman Hussin. Sampaikan kau punya
Salleh Kamil 'look-alike' pun senyap beberapa ketika."
Nurhayyu mendekatkan wajahnya ke Liza Wati yang pandangan tetap terpacak di
dada skrin komputer riba itu. Liza Wati berdiam tidak menjawab. Gerak bola
matanya bagaikan sahaja sedang menimbang duduk perkara.
"Bolehlah, minah..." Nurhayyu terus berusaha, tidak berputus asa.
"Kita tengok pulak nanti apa reaksi kau punya 'macho man'."
"'Macho man'? Siapa aku punya 'macho man?" Mengangkat muka memandang
Nurhayyu dengan kerutan di dahi, Liza Wati bertanya.
"Siapa lagi, kalau bukan Azman Hussin! Kalau Yazid Atan tu memanglah bukan
'macho man'! Dia tu, jenis hancur bukan main!"
Menunduk memegang dahi, Liza Wati menggeleng-geleng kepala. Tetapi Nurhayyu
dapat melihat dengan jelas, Liza Wati sedang berusaha menahan ketawa. Bagaikan
terhendap-hendap mencari wajah Liza Wati yang masih menunduk, senyuman Nurhayyu
lebar menantikan persetujuan.
"Hei... minah, boleh tak?" Rayuan Nurhayyu sudah ke tahap memaksa.
Jelas kelihatan air tergenang di kelopak mata saat Liza Wati mengangkat muka.
Pandangannya mengesahkah Nurhayyu, hati Liza Wati tadi berdekah ketawa.
"Okey..." akhirnya Liza Wati mengalah. "Kau janji dengan aku,
kau jangan komen yang bukan-bukan. Boleh?"
"Itu tak jadi masalah, minah. Perkara kecik! Bisa diatur, bos!" Dengan
penuh semangat, siap menjungkit-jungkitkan kening Nurhayyu memberi jaminan.
Didekatkan kembali komputer riba ke arahnya. Dada skrin ditatap dengan tajam
bagaikan sahaja dia sedang memikirkan sesuatu. Menongkat dagu dengan tangan
kanannya, jari telunjuk menyentuh bibir. Agak lama juga direnung kiriman Yazid.
Liza Wati yang duduk di samping, berdiam memerhatikan.
Perlahan jarinya menyinggah teratur di kunci kekata. Satu-persatu, Nurhayyu,
jejari mulusnya mengetuk abjad. Liza Wati dengan mata tidak berkedip, terus
memerhatikan. Pandangan memaut menurut setiap abjad yang terbentuk menjadi
perkataan, dan seterusnya menjadi ayat, dan seterusnya menjadi ayat lengkap.
Tiba-tiba dengan pantas dia menangkap tangan Nurhayyu dengan gelak.
"Eh minah... kenapa dengan kau ni?" Melengking suara Nurhayyu yang
turut tergelak sama.
"Hayyu! Kau jangan main-main okey! Kau dah janji dengan aku tadi kan, tak
kan komen bukan-bukan?" Kata Liza Wati dengan renungan tajam. Tidak
dilepaskan tangan Nurhayyu dari pegangannya. Berusaha menghalang ayat itu dari
dikirim untuk komen.
"Hello! Apanya bukan-bukan ni! Cuba kau cakap dengan aku!"
"Cuba aku cakap dengan kau? Cuba kau baca apa kau tulis!"
Dinding Mukabuku Liza Wati;
Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu
yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan
Komen;
Liza Wati: Dinding ini sepi kerana cinta. Luahkanlah semahumu andai apa yang
kudambakan selama ini, ada terbenam di lubuk hatimu yang paling dalam.
"Apanya yang tak okey? Cuba kau cakap. Okey apa ni!" Dengan gelak
Nurhayyu cuba meyakinkan. Melepaskan tangan Nurhayyu, lengannya pula manja Liza
Wati menampar-nampar.
"Tak mau! Tak mau! Aku tak mau ayat tu!" Tegas Liza Wati dengan bibir
dimuncungkan.
"Kenapa?" Nurhayyu mencari kepastian.
"Hayyu! Aku tak mau. Aku tak suka mempermainkan perasaan orang, macam mana
aku sendiri tak suka perasaan aku dipermain-mainkan. Jangan Hayyu! Kasihan
dia."
"Kasihan ke, kasih dan sayang? Ngaku ajalah, minah!" Tergelak sakan
Nurhayyu. Satu cubitan Liza Wati langsung menyinggahi paha Nurhayyu.
"Kau jangan nak macam-macam, okey! Kau nak cakap apa, kau cakap. Tapi tu
ayat baik kau padam sekarang, atau langsung kau tak payah komen apa-apa!"
Tersandar Nurhayyu mendengar apa yang ditegaskan Liza Wati. Mata tetap tertuju
ke arah skrin komputer riba itu. Sejenak jauh fikiran melayang memikirkan.
"Okey, minah tenang. Aku buat yang lain, okey."
Dikedepankan badannya mendekatkan diri ke komputer riba. Jari dengan pantas
menyinggah ke kunci kekata, cermat dan perlahan diketuknya. Menatapnya
sebentar, kemudian mengamati buat kepastian. Begitu senyuman puas tergantung di
wajah. Sinar matanya berbinar.
"Hah! Apa macam minah... okey gini? Sini tengok, okey tak?"
Pantas Liza Wati turut mengkedepankan badan. Ingin melihat dengan lebih jelas
ayat yang baru dibentuk Nurhayyu. Bola matanya dengan tekun merayap di skrin
komputer. Penuh ghairah.
Dinding Mukabuku Liza Wati;
Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu
yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan
Komen;
Liza Wati: Ingin aku bernafas dirimu pada setiap hela
Tetapi kau terlalu besar buat lubang hidungku yang tidak sebesar mana.
"Hayyuu!" Pekik Liza Wati yang tidak dapat lagi mengawal diri. Tangan
kiri memegang perut, tangan kanan menekap mulut, namun tetap tersembur dekahan
ketawa. Nurhayyu pula, menggeliat-geliat tergelak melihatkan reaksi spontan
Liza Wati.
"Kurang ajar betullah kau, Hayyu! Sudah! Sudah! Tak payah buat! Aku tak
mau, aku tak mau!" Kata Liza Wati dengan ketawa yang masih menyala.
"Okey...okey, minah aku buat betul-betul ni kali!" Jawab Nurhayyu
sambil ketawa.
"Sudah! Sudah! Tak payah... aku tak nak!"
"Aku janji. Ni kali betul-betul. Aku janji! Kalau kau tak setuju jugak,
okey aku tak buat lagi," pinta Nurhayyu.
Berdiam, sesaat menyeka air yang tergenang di tubir mata, akhirnya sekali lagi
Liza Wati mengalah. "Okey, aku kasi kau peluang terakhir. Kalau
bukan-bukan jugak... ini kali tak ada lagi rayuan-rayuan! Betul ni aku
cakap!"
"Okey...okey, aku janji!"
Menghela nafas panjang, Nurhayyu kembali merenung skrin komputer. Bola matanya
menurut setiap abjad yang lahir dan menjadi perkataan dan seterusnya terbentuk
ayat di dada skrin itu. Tekun dia melakukannya. Cermat dan berhati-hati
menyusun.
Begitu juga dengan Liza Wati. Kali ini dia memantau setiap pembentukan
perkataan. Mata tidak berkedip memerhati. Mengkalihkan pandangan memandang Liza
Wati, seketika kemudian senyuman dilontarkan Nurhayyu.
"Apa macam... okey tak gini? Ini paling terbaik tau! Naik kering otak aku
perah."
Menyandar di kerusi memandang Nurhayyu, senyuman dibalas. Berasa puas hati kali
ini dengan ayat yang terbentuk.
"Hei, minah... okey tak ni? Nurhayyu inginkan kepastian.
"Ye bagus, aku suka. Pandai kau. Puas hati!" Jelas Liza Wati.