Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,126
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

"Apa khabar?"

"Baik..."

"Mengganggu ke?"

"Tak..."

"Awak tengah buat apa tu?"

"Tengah ber facebook "

Yazid Atan wajahnya kurus; sekurus tubuhnya, bermata bulat dinaungi alis setebal bibirnya termenung sejenak. Entah apa yang sedang difikirkan. Melayang jauh mengembara entah ke mana. Namun mata tetap tidak berganjak. Melekat ke dada skrin iPad. Jari pula teragak-agak untuk terus menekan kunci kekata. Takut kalau-kalau dia tersilap bicara. Digaru-garu tepi kepalanya yang tidak gatal. Galau jadinya tiba-tiba.

Diulang baca apa yang baru diperbualkan tadi di kotak pesanan. Perasaannya jadi berdebar. Dingin tiba-tiba perut terasa. Entah kenapa, Yazid sendiri pun tidak tahu.

Liza Wati, hanya baru dua bulan dikenali di halaman Mukabuku. Entah mengapa, hati terpaut sejak pertama kali menyelak profilnya. Gadis bertudung litup yang dilihat pada setiap gambar di album, kelihatan begitu sopan dan menawan. Matanya bundar; indah, bagaikan matahari sedang terbenam di hujung lautan. Senyumannya bagaikan kupu-kupu, riang melebarkan sayap terbang di taman. Bibir nipis merah merekah bak delima.

"Awak pulak tengah buat apa tu?"

Berderau darah Yazid memecut bagaikan mahu memuntah ke lubang hidung dan telinga, apabila tiba-tiba ada pesanan baru dari Liza Wati muncul di dada skrin. Matanya membesar. Bersinar. Bagaikan tidak percaya dia melihat.

Diulang baca apa yang tertera. Berulang-ulang dibaca, bagaikan sahaja pesanan singkat itu di eja. Begitu dengan sendirinya jari menekan kunci kekata.

"Saya nak log-out..."

'Perghhh! Kenapa ini pulak yang aku balas? Kenapa? Kenapa buru-buru? Cisss... bodoh betullah aku ni!'

Menyandar di kepala katil, Yazid mengeluh panjang. Rasa kesal dengan apa yang baru dibalas. Yazid menggeleng. Mengutuk-ngutuk diri sendiri. Marah pada diri sendiri. Kenapalah itu yang dijawab! Jambul Nusantaranya kelihatan tidak terurus. Dijambak dengan kasar namun mata tetap tertuju ke dada skrin. Menantikan balasan. Mengharapkan balasan dengan penuh sabar. Begitu sangat berharap.

Masa bergerak. Mata tetap tertuju ke arah sama. Tidak berganjak ke mana-mana. Tidak bergerak. Agak lama juga dia menunggu. Tetapi tidak ada sepotong ayat pun muncul keluar di dada skrin. Rasa kesal yang menyelinap dalam diam kian memuncak.

Ditekan nama Liza Wati di skrin. Direnung foto yang ada sebaik profil-nya muncul. Dibesarkan foto tersebut. Terpampang jelas foto Liza Wati. Mata perlahan merayap. Menikmati wajah ayu yang dalam diam dipujanya itu.

"PM saya bila awak punya masa..."

Terperanjat beruk Yazid. Air mukanya berubah bersemu-semu merah. Dengan pantas Yazid kembali ke kotak pesanan sebaik sahaja menerima 'notification'. Melonjak sakan hatinya saat membaca. Begitu sukar hendak percaya. Bagaikan sahaja di saat itu dia mahu menjerit kesukaan.

Berkali-kali dibaca dengan senang hati tanpa jemu apa yang tertera di depan mata. Sepertinya, yang sedang dibaca itu adalah surat cinta. Menghela nafas dalam, seketika memejam mata lalu perlahan dihembus dengan perasaan lega.

Dibuka mata dan dibaca lagi. Timbul pula keinginan hendak dibalas mesej itu, tetapi hati masih teragak. Serba salah! Menutup iPad-nya; menyandar di kepala katil, Yazid kembali memejam mata. Perlahan bibir tebalnya mengukir senyuman. Wajah Liza Wati yang manis lagi ayu itu berlegar bermain di kepala. Di hati mulai terasa bunga tumbuh menjalar.

"Zid! Yazid!"

Terhenti lamunan! Yazid membuka mata saat mendengar ibunya memanggil.

'Hmmm... potong stim betullah!' keluh hati kecilnya dengan wajah cemberut. Bingkas bangun dari katil dia menuju ke pintu kamar.

"Ada apa, mak? Mak panggil orang ke?" Tanya Yazid sebaik daun pintu dibuka. Berdiri berdekatan ibunya, jelas dia tampak lebih tinggi. Namun lebih rendah jika dibandingkan dengan almari zaman batu di kamarnya.

"Kalau bukan panggil kau, panggil siapa lagi? Selama ni aku ada bela beruk dekat rumah nama Yazid ke apa? Ada?" Dengan wajah seperti singa betina sedang berhadapan dengan mangsanya; ibu Yazid, Siti Rozilah membalas.

Yazid berdiam tidak menjawab. Menggaru-garu kepala, dia hanya mempamerkan wajah selamba. Seolah-olah tidak ada apa-apa perkara yang salah. Siti Rozilah ibunya Yazid, seorang perempuan kecil molek, tetapi bermata tegar. Berselendang dan berbaju kurung setiap kali keluar rumah, adalah tabiat dan kegemarannya. Kata-kata dan suaranya kadangkala kedengaran keras. Namun ibu Yazid sangat penyayang dan baik hati. Suka bergurau-senda juga pada waktu-waktu tertentu.

"Mak nak pergi pasar. Engkau tu jangan pergi mana-mana dulu, sebab mak tak bawak kunci," pesan ibunya sambil berdiri di muka pintu kamar. Sudah bersiap hendak keluar rumah.

"Lama tak, mak pergi?"

"Eh! Engkau ingat apa... pasar tu depan mata? Bergolek aja dah sampai? Hah?" Jerkah ibunya. Yazid tidak menjawab. Seperti tadi, wajah selamba yang dipamerkan.

"Mak..." mendayu Yazid memanggil ketika Siti Rozilah baru sahaja mahu melangkah pergi.

"Hah! Ada apa?" Tanya ibunya dengan wajah menyampah. Rasa terganggu dengan kemanjaan Yazid yang dikira tidak bertempat.

"Pinjam dua-puluh ringgit..."

"Eh,eh... kau ni! Kau ingat apa? Muka aku ni cap duit ke apa? Hah? Pakai petik duit macam petik daun?" Siti Rozilah membeliakkan mata. Yazid terasa mata itu seperti begitu dekat dengan kulitnya.

"Minggu lepas kau pinjam sepuluh-ringgit, kau belum bayar lagi. Ni dah nak pinjam lagi! Apa punya manusia kau ni!" Bebel ibunya. Bibir dimuncungkan bak seludang.

"Nanti dah dapat kerja orang bayar baliklah," balas Yazid dengan tenang.

"Nak buat apa pinjam sampai dua-puluh ringgit? Nak pergi disko?" Siti Rozilah mencekak pinggang.

"Ishhh... pagi-pagi buta pergi disko pulak mak ni. Jangan tinggi sangatlah berkhayal. Orang nak isi minyak motor, nak beli rokok. Dua-puluh ringgit, mana cukup nak pergi disko. Mak ni pun! Ikut sedap mulut aja cakap."

Menarik muka memuncungkan sedepa lagi bibir; Siti Rozilah membuka dompet mengeluarkan dua lembar wang sepuluh ringgit; dilepuk dengan kasar ke telapak tangan Yazid yang terbuka luas, seluas padang bola.

"Thank you, mummy. Jalan baik-baik tau. Kalau jatuh, seru nama orang aja ye." Yazid tergelak kecil saat melihat ibunya menjeling dan pergi. Dengan lincah Yazid kembali melompat ke katil. iPad dicapai. Mukabuku lagi! Jari pantas menekan butang kotak pesanan. Mata merayap. Terasa sedikit hampa melihat mesej baru dari Liza Wati tidak ada. Ulang baca lagi mesej yang lepas, jari lalu menekan nama Liza Wati.

Profil muncul.

Begitu mata membulat saat melihat apa yang tertera di dinding Mukabuku Liza Wati. Entah kenapa hati tiba-tiba marah seperti sahaja seorang suami mendapat tahu isterinya telah bermain kayu tiga. Darah menggelegak. Menyirap! Marah!

Tertera di dinding Mukabuku Liza Wati;

Azman Hussin - Liza Wati

Saat cinta membara, hutan belantara menjadi taman bunga.

Komen;

Liza Wati: indahnya kata-kata.

Azman Hussin: Kata-kata yang indah, wajar untuk awak yang seperti mawar merah sedang mekar di taman bunga.

Liza Wati: Pandai awak bermadah...

Azman Hussin: Saat tiba masanya nanti, akan kusunting engkau buat jambangan hati.

Liza Wati: Senyum

Azman Hussin: Senyum

Mata kian membesar. Tersentap! Benar-benar menyentap! Terbakar hati ke tahap rentung saat Yazid membacanya. Berasap telinga kepanasan. Boleh cair tahi telinga menjadi lahar gunung berapi.

'Alamak, si Azman Husin ni macam comel aja! Mamat poyo! Nak ‘tackle’ aku punya pujaan hati ke apa, hah brader? Rileklah, beb! Ada hati konon!'

Yazid menyumpah di dalam hati. Pantas dia menekan nama Azman Hussin yang tertera di dinding Mukabuku Liza Wati. Profil Azman Hussin muncul. Profil yang hanya separuh terbuka, diredah perlahan mana yang kelihatan. Foto Azman Hussin satu persatu diselak.

"Mak oii! Banyaknya kereta mamat ni! Kereta dia ke kereta orang ni? Macam tak caya aja aku!" Kata Yazid dengan muka-muka.

"Hmmm... pandai aja si poyo ni berlagak. Kerja tempat jual kereta terpakai, cakaplah mamat oii. Janganlah nak menipu sakan dengan orang! Pandai aja kau buat lawak bodoh!"

Yazid meluah marah. Hati bagai gunung berapi sedang meletus. Bibir dicebik panjang. Diselak lagi foto yang ada. Satu persatu. Tiba-tiba Yazid tergelak. Ketawa paksa!

"Alahai sengal betul si poyo ni! Berlagak pulak dekat depan orang punya rumah besar!"

Terkekeh Yazid ketawa dengan paksa. Perutnya diurut-urut. Geli hati konon.

"Konon-konon kau anak orang kayalah tu! Alahai poyo bin sengal betullah si mamat ni. Hei brader, rumah bos kau cakap aja sudahlah. Siapa nak marah." Yazid meluahkan apa yang dirasa.

Diselak lagi album-album Azman Husin yang ada. Foto-foto, kesemuanya mempamerkan diri seorang yang berpunya. Bergaya di depan rumah besar yang punya kolam renang; kereta mewah pelbagai jenis, dan motosikal yang harganya tidak terjangkau oleh orang-orang biasa seperti dirinya sendiri. Yazid benar-benar marah. Benar-benar menyampah dengan Azman Hussin.

"Weii mamat... nak menipu pun agak-agaklah! Janganlah melampau sangat! Kau ingat apa, orang ni semua bodoh ke apa!"

Dengan rasa tidak puas hati dan menyampah, Yazid keluar dari profil Azman Hussin. Kotak mesej Liza Wati dituju. Sebentar diulang baca lagi. Spontan laju jarinya mengetuk kunci kekata.

"Azman Hussin tu siapa? Cuba beritahu!"

Matanya merenung dada skrin. Lama. Menunggu jawapan dengan sabar. Mata tajam tetap di iPad, tidak berganjak. Masa bergerak. Perlahan merangkak. Sebentar kemudian Yazid tiba-tiba menyumpah lagi. Kesabaran lebur. Skrin serta-merta menggelap. Padam kesemuanya. Hilang begitu sahaja apa yang ada. Bateri buat perangai! Menghembuskan nafas terakhir di saat-saat yang paling genting.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.