Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,049
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 18
Yazid tersenyum memanjang, sepanjang jalanraya yang sedang diredah itu. Hatinya riang berlonjak sakan. Berasa begitu senang pertama kali di dalam hidup, dapat merasakan bagaimana memandu kereta mewah. Kereta dipandu meluncur dengan aman. Dia juga berasa selesa menurut arahan diberi tanpa sebarang masalah. Kadangkala terbawa-bawa pula, merasakan kereta itu dia yang punya.

Yazid diberi kepercayaan oleh Datin untuk memikul tanggungjawab ini. Kebolehannya sejauh ini diakui dan dikagumi Ismail yang duduk di sisi, memantau dan memerhati. Ketangkasan dan kebolehan Yazid memandu, tidak dinafikan memang semula jadi.

"Awak pernah pandu kereta mewah macam ni ke, Yazid?" Ismail yang teruja dengan kemampuan Yazid, bertanya.

"Saya?" Sahut Yazid dengan gaya seperti mana bergayanya dia memandu kereta Jaguar berwarna hitam pekat itu.

"Tak pernah. Seingat saya... ini baru pertama kali dalam hidup. Sejauh ni... hmmm... cuma pernah pandu lori pasir aja. Paling cikai pun van roti." Beritahu Yazid yang pernah bekerja sebagai pengirim roti dan pelbagai lagi tetapi semuanya separuh jalan.

Ismail berdiam. Hanya mengangguk mendengar penjelasan Yazid. Dalam diam juga rasa percaya terhadap Yazid kian meningkat. Dapat dia merasakan Yazid adalah seorang yang jujur dan ikhlas. Namun Ismail bersikap bijak. Tidak mahu menerima apa yang dirasainya itu bulat-bulat. Lebih-lebih lagi Yazid baru dikenalinya. Ismail memberi dirinya ruang untuk mengenali diri Yazid jauh lebih dalam lagi.

Yazid, mata tidak berganjak. Melekat terus terarah ke jalan raya. Kelajuan mantap. Tidak terlalu laju, tidak juga perlahan. Tampak begitu selesa mengendalikan 'Mean machine' itu tanpa menimbulkan sebarang masalah. Sesuai seperti diinginkan Ismail, untuk memastikan Datin akan dibawa ke mana-mana dengan selamat.

"Apa kenderaan aja, melainkan helikopter, kapal terbang dan kapal selam, semua saya boleh bawak. Tak ada masalah," tekan Yazid lagi sesaat kemudian dengan senyum bangga.

"Wahhh... hebat betullah awak ni, Yazid. Tak sangka saya." Terciut Ismail dengan kata-kata Yazid yang bersahaja. Senyuman Yazid ditumpangnya.

"Nak buat macam mana lagi, Encik Mail... dah namanya Yazid. Tak boleh buat apa-apa lagi dah. Semua kenderaan termasuk kereta mewah ni, memang dah dicipta untuk yang bernama Yazid tu!" Yazid melirik Ismail dengan senyuman nipis namun tetap nampak tebal kerana bibirnya.

"Ye ke?" Ismail membalas dengan senyum lebar, "tak apa... nanti kita tengok Bentley pulak ye. Itu pun satu kenderaan dan kereta mewah juga. Tapi awak ingat ye, Zid... jika terjadi apa-apa dengan kereta tu... senang cerita, awak cuma kerja untuk Datin secara percuma sajalah! Awak faham maksud saya?"

Bergegar bumbung kereta itu dengan gelak Ismail. Yazid menjeling tajam. Mata marahnya merayap secara terperinci ke permukaan wajah Ismail. Pandangannya bergegar-gegar. Bagaikan sahaja dia sedang menyelusuri jalan yang berlopak.

'Eh, orang tua ni macam cabar aku pulak. Kau tak tahu ke apa, aku dah tak sabar nak bawak Bentley tu? Hah? Macam nak mintak muka ditampar aja berbual,' sekali lagi Yazid mengamati wajah Ismail, 'Tapi... kalau aku tampar, cari nahas jugak aku ni! Tengok muka dia... tangan rasanya boleh luka kalau aku tampar!'

Yazid terus sahaja memandu menurut petunjuk Ismail tanpa banyak bertanya. Menyelusuri jalan dan tempat-tempat yang sebelum ini belum pernah dikunjunginya. Diperlahankan pemanduan saat tiba di satu kawasan perumahan mewah. Rumah-rumah banglo tersergam megah dengan perkarangan peribadi yang luas. Dihiasi pula dengan pohon-pohon menghijau yang tumbuh segar. Matanya melompat dari satu rumah ke satu rumah dengan penuh kekaguman. Persekitarannya kelihatan bersih. Suasananya sangat tenang dan aman. Yazid tiba-tiba tersenyum lebar. Satu idea baik tiba-tiba menyinggahi kepala.

Seketika kemudian kereta dipandu Yazid berhenti di pinggir jalan menuruti arahan Ismail. Dia melepaskan pandangan mengikut telunjuk jari Ismail. Pandangan menyelidik dilepaskannya.

"Kalau awak nak tahu, Zid... itulah rumah Datin. Rumah Datin sebenarnya banyak. Jangan cakap di seluruh Malaysia, di luar negara pun ada juga. Tapi... rumah ini yang Datin nginap. Jadi tugas awak tiap hari... akan ke sini. Ambil Datin pergi kerja dan hantar pulang selepas habis kerja," jelas Ismail.

Yazid memandang dengan mata terpaku. Dia kagum melihat banglo mewah milik Datin Maznah Ismail itu. Berkali-kali ditelan ludahnya. Jelas dari apa yang dilihat, Datin memang seorang yang kaya-raya.

"Berapa banyak 'driver' Datin ada, atau saya aja?" Tanya Yazid. Matanya tetap tidak berganjak. Mengitari dan mengagumi banglo tiga tingkat yang mempunyai perkarangan yang sangat luas itu.

"Datin ada lagi satu pemandu peribadi tetapi tugasnya hanya untuk hal-hal rumah. Seperti membawa anak perempuannya ke sekolah atau ke mana-mana. Manakala tugas awak hanya untuk urusan kerja saja."

"Urusan kerja? Boleh Encik Mail beritahu, tugas saya sebenarnya apa dan macam mana?"

"Tugas awak senang saja. Jam lapan setengah pagi awak harus ke sini, ambil Datin untuk ke pejabat. Sampai saja di pejabat, awak boleh rehat. Jika seharian Datin tak ke mana-mana, awak pun tak ke mana-mana. Hanya berehat saja di kawasan tempat kerja. Petang jam lima, kira masa kerja awak habis. Tapi... jika Datin belum pulang dan awak harus tunggu, kira tu kerja ′lembur′. Faham?"

Teringat sebentar apa yang dijelaskan Leman kelmarin. Benar sekali apa yang dikatakannya. Berguling-guling hati kesukaan dalam diam. Lebar senyuman mengingatkan betapa senang kerjanya, Yazid memandang Ismail dengan mata penuh kesyukuran. Mata kembali diarahkan ke banglo indah tersergam itu. Kekaguman dengan apa yang dilihat masih belum reda.

"Hmmm... Encik Mail," suara Yazid lagi kemudian.

"Ye, apa dia, Zid? Ada apa-apa masalah?"

"Saya dari itu hari nak tanya, asyik lupa aja. Jadi sebelum saya lupa lagi... saya nak tanya ni. Gaji saya sebulan berapa ye?"

Tergelak Ismail mendengar. Cara Yazid bertanya kedengaran bukan sahaja begitu lucu, malah begitu bersahaja tanpa ada rasa bersalah. Seketika wajah Yazid diamati. Kembali tergelak saat matanya jatuh ke bibir Yazid. Melihatkan itu, Yazid meraba-raba bibirnya dengan rasa hairan.

"Awak betul nak tahu? Betul?" Suara Ismail di hujung ketawanya.

"Eh, betullah! Kalau tak betul, buat apa saya buang nafas bertanya, kan? Baik nafas tu saya simpan buat panjangkan umur, betul tak?"

Pecah lagi ketawa Ismail. Yazid baginya, benar-benar seorang yang begitu bersahaja. Sikap selambanya begitu menyenangkan hati. Memandang Yazid tajam, sebentar kemudian Ismail memberitahu.

"Datin beri awak dua ribu ringgit sebulan. Itu tak termasuk gaji ′lembur′ sebanyak sepuluh ringgit per jam."

"Dua ribu sebulan? Dua ribu?"

Terbelalak Yazid. Bagaikan tidak percaya mendengar perkataan dua ribu yang disebut Ismail. Jambulnya di saat itu, seperti menerpa ke depan membelai muka Ismail yang menggerutu. Di saat itu juga dia merasakan Ismail adalah jejaka terkacak pernah dilihat seumur hidupnya. Senyuman Ismail pula adalah yang termanis dan paling menawan pernah disaksikannya. Yazid hilang kata-kata mengingatkan keberuntungan nasibnya. Wajah Leman iras-iras George Foreman di zaman remaja, terbayang di ruang mata. Dia benar-benar terhutang budi dengan kawannya itu.

"Kan tadi saya awal-awal dah cakap, awak harus bersyukur dan berterima kasih pada emak awak? Inilah maksud saya yang sebenar. Ye, bintang awak ni memang terang."

Yazid hanya dapat mengangguk-angguk. Tidak tahu apa yang harus diucapkan lagi. Wajah ayah-ibunya terbayang di mata. Hati tiba-tiba dipenuhi rasa sebak.

"Okey Yazid... sekarang awak dah tahu gaji awak, tugas dan jalan ke rumah Datin kan?" Yazid mengangguk, "okey, sekarang jom kita ke Kotaraya."

"Kotaraya? Ada apa ke sana, Encik Mail?" Tanya Yazid dengan kerutan di dahi.

"Ada apa? Awak tengok penampilan awak... rasa sesuai tak berpakaian begini jadi pemandu peribadi Datin? Sesuai?"

Terkedu, Yazid memandang dirinya sendiri atas bawah. Dagunya diurut-urut.

'Hmmm... memalukan ke, pakaian macam ni?' Mengangkat muka dia memandang Ismail, 'aku kena pakai macam dia ke? Wahhh... okey juga ye,' sebentar wajah Liza Wati berlegar di ruang mata. Hatinya berlonjak-lonjak. Teruja!

"Ye, betul kata Encik Mail, tak sesuai sangat. Jadi saya kena tukar penampilan? Cara berpakaian?"

"Iya betul. Harus sesuai dengan imej dan kehendak Datin."

"Tapi... mana saya ada duit? Mana mampu nak beli dan pakai pakaian berjenama macam Encik Mail?"

Menepuk-nepuk bahu Yazid, Ismail menjelaskan, "tadi kan saya dah cakap... bintang awak tu terang. Soal pembayaran awak tak perlu risau. Ada peruntukan sebanyak dua-ribu ringgit dari Datin untuk merubah penampilan awak."

"Dua-ribu ringgit lagi? Untuk ubah penampilan? Banyak tuu! Tapi... semua ni nanti kena potong gaji ke? Kalau ye, tak mahulah saya!"

"Jalan saja. Awak tak perlu risaukan tu semua. Dua-ribu ringgit bagi Datin cuma wang kecil. Tak kan ditagihnya balik. Awak jalan saja. Jom." Ismail memberi keyakinan.

Yazid tidak berlengah lagi. Jaguar dipacu.

Bersiul riang hati Yazid di sepanjang perjalanan. Sesekali menjeling Ismail di sampingnya, mengamati pakaian yang dipakai Ismail. Pantas ingatan tertuju lagi pada Liza Wati, barulah tak rasa malu bila berjumpa Liza Wati nanti. Hati Yazid berbunga lagi, sangat padan dan sesuai dengan apa yang telah dia gambarkan siapa dirinya pada Liza Wati. Terimbas kembali idea yang tadi menyinggah, bibir tebalnya terkuak lebar.

Tidak lama kemudian, kekaguman Ismail terhadap Yazid menjulang tinggi saat mereka tiba di tempat yang dituju. Terpana melihat kebolehan Yazid memakir kereta di tempat meletak kereta yang agak sempit di hadapan bangunan Kotaraya. Kelihatan begitu sekali mudah dia melakukannya dengan cekap dan tangkas.

"Wahhh, Yazid... awak ni betul-betul hebat ye!" Ismail tidak dapat membendung rasa kekagumannya.

"Kan tadi saya dah cakap... apa kenderaan pun. Selain helikopter, kapal terbang dan kapal selam, semuanya diciptakan untuk saya. Encik Ismail tak percaya ke apa saya cakap tadi?" Ismail hanya mengangguk-angguk setuju. Hilang kata-kata. Tidak dapat dia menidakkan kemampuan Yazid.

"Nanti kita tengok Bentley pulak ye. Tengok macam mana nanti saya menjinakkannya," tergelak besar Yazid di hujung bicara. Ismail seperti tadi, hanya mengangguk. Mulutnya rapat, sudah terkunci.

"Mail!"

Terkedu Ismail mendengar Yazid memanggilnya dengan cara yang agak berlainan sebaik mereka keluar dari perut kereta. Perlahan Ismail menoleh.

"Pukul berapa nak jumpa Datin? Sempat ke?"

Mengerutkan dahi, Yazid dipandang Ismail tajam. Hairan dengan sikapnya yang tiba-tiba berubah. Diamati wajah Yazid. Semakin hairan melihatkan anak matanya bergerak-gerak bagaikan memberi isyarat dan arahan. Ismail menuruti arah tuju anak mata Yazid.

Berhampiran mereka di sebalik sinar matahari yang agak menyilaukan, berdiri di tepi sebuah kereta BMW berwarna putih, kelihatan dua orang wanita muda sedang berbisik antara sesama. Memandang Yazid atas bawah dengan pandangan bagaikan mengejek. Ismail kembali memandang Yazid.

"Maaf, tuan... saya lupa nak beritahu. Tadi Datin ada tinggalkan pesan, memberitahu beliau akan ke pejabat tuan jam empat petang nanti. Sebab dia ada urusan tergempak. Tak boleh dielakkan."

Menunduk, Yazid mengurut-urut dagu. Dahi mengerut bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Diangkat mukanya, lalu bersuara dengan nada agak tegas, "awak dah uruskan meja untuk makan malam saya dengan Datin?"

"Sudah, tuan... " balas Ismail pantas sambil menunjukkan rasa hormat, "di Restoran '1885' sebagaimana yang tuan arah."

"Okey, bagus. Pastikan pening awak tak berlanjutan ye. Saya bayar awak gaji untuk jadi pemandu saya. Bukan saya yang jadi pemandu awak. Faham?"

"Faham tuan. Saya rasa dah okey ni pun. Maaf sebab tuan terpaksa memandu tadi," kata Ismail lagi sambil berdiri tegak penuh hormat.

"Tak apa. Tapi jangan amalkan. Jangan sampai saya terpaksa berhentikan awak kerja."

Langsung sahaja terberhenti bisik-bisikan dua wanita itu saat terdengar perbualan Yazid dan Ismail. Dipandang Yazid lagi seperti tadi atas-bawah, tetapi kali ini dengan raut wajah berbeza. Kagum! Tidak sangka mereka, rupanya Yazid seorang yang berkedudukan tinggi walaupun penampilannya tidak nampak pantas. Namun Jaguar hitam pekat berkilau itu, sungguh sekali meyakinkan!

Memaut bahu Ismail, seolah-olah mereka adalah kawan lama saat melangkah masuk pintu gerbang bangunan Kotaraya, wajah Ismail ditatap Yazid dengan mata berkaca. Terharu! Kagum! Dan entah apa-apa lagi perasaan yang baik-baik dipandang penyelianya itu. Terasa seperti tersumbat kerongkong saat Yazid mahu bersuara. Berdehem-dehem sebelum memulakan bicara.

"Encik Mail... terima kasih. Saya terhutang budu dengan Encik Mail. Errr... maksud saya terhutang budi."

Terlihat segaris senyuman terukir di bibir Ismail. Hendak tergelak rasanya mendengar. Tetapi ditahan sedayanya. Rasa tidak manis pula, mencemar saat hiba dengan gelak ketawa.

Memaut Yazid juga, Ismail lalu menjawab, "orang yang suka memandang rendah pada yang lain, wajar diajar. Biar mereka sedar, kedudukan dan kekayaan ini tidak lain cuma reka-rekaan hidup semata. Tidak lain cuma tipu-helah sebuah kehidupan."

Yazid mengangguk setuju. Kagum dengan penjelasan Ismail.
Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.