Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,795
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 23

Bibir nipisnya terukir manis dan lebar dengan senyuman. Gambaran perasaan yang terlukis dari hati paling dalam. Terbuai dan hanyut dibelai oleh kata-kata indah yang tertera sebaik komputer ribanya dihalakan ke halaman Mukabuku.

Berbinar mata ketika membacanya. Di saat itu, ′lahan′ hati seperti sahaja sedang disemai dengan bibit-bibit bunga yang indah-indah. Dirinya terasa dikelilingi kenyamanan.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Azman Hussin - Liza Wati: Di antara sela-sela sunyi, yang kedengaran hanya suara engkau berbisik dari hati.

Menyandar di sofa ruang tamu dengan senyuman tetap menghiasi wajah, Liza Wati memejamkan mata. Menikmati keindahan luahan rasa yang dilahirkan oleh jiwa yang berseni. Kembali membuka mata seketika kemudian, jari-jemari langsung menyinggah ke kunci kekata. Ingin membalas kiriman itu, tetapi Liza Wati terhenti di situ. Keinginan untuk membalas tiba-tiba terkandas. Di saat itu, bagaikan ada sesuatu yang menyinggah perasaan. Sesuatu yang memberatkan rasa sehingga menghalang dirinya meneruskan niat. Senyuman yang sedang terukir dibibir mulusnya, mati dengan begitu sahaja.

'Kenapa harus aku rasa bersalah? Wajarkah aku rasa bersalah untuk membalas kiriman tu? Bukankah aku dan dia cuma kawan saja? Tak lebih... tak kurang. Tak pula ada apa-apa hubungan. Jadi... kenapa harus aku rasa bersalah?' Hati Liza Wati berbisik gundah.

Menghela nafas panjang, Liza Wati kembali menyandar di sofa. Fikiran dibiarkan melayang, mengembara. Segaris senyuman tiba-tiba kembali terukir di bibir.

'Iya... tak patut pun aku nak rasa bersalah. Aku dengan dia cuma kawan Facebook. Tak lebih dari itu. Jumpa pun belum pernah. Jadi... kenapa aku harus ada rasa bersalah? Harus tenang, Liza. Buat apa yang wajar,' bisik hatinya lagi.

Jari yang kembali menyinggah ke kunci kekata, belum pun sempat mematuk untuk membalas kiriman Azman Hussin, terkandas lagi niat Liza Wati saat iPhone-nya berdering. Tergelak kecil saat mengetahui siapa di hujung talian.

"Assalamualaikum... hello, minah. Aku tak perlu tanya kau tengah buat apa. Dan kau pun tak perlu beritahu aku, kau tengah buat apa. Aku dah tahu pun. Kau tengah ber-Facebook kan?"

Suara Nurhayyu seperti biasa menggema dengan gelak ketawa di hujung talian, sebaik panggilannya dijawab. Riang sentiasa membayangi dirinya.

"Macam mana kau tahu? Aku tak cakap apa-apa pun dengan kau?" balas Liza Wati dengan senyum memanjang.

"Macam mana aku tahu? 'Wall' Facebook kaulah yang beritahu. 'Wall' penuh dengan ayat yang bila baca bukan saja gigi boleh tanggal... bulu hidung pun boleh gugur tau tak! Satu-persatu gugur tanpa rela!" Suara Nurhayyu tergelak di hujung talian menggema di telinga Liza Wati.

"Ada-ada aja kau ni, Hayyu. Bab usik orang... nombor satu," balas Liza Wati yang sudah tersipu malu.

"Habis... kenapa kau tak balas? Lama sangat aku tunggu, tu sebab aku call kau. Nak tahu jugak aku, apa yang kau akan balas."

Terpancing ketawa Liza Wati saat mendengar ungkapan Nurhayyu. Sahabatnya, juga penghibur hati di hujung talian itu. Seperti biasa, tahu sahaja Nurhayyu bagaimana mahu mencuit hatinya.

"Aku dah nak balas tadi... " beritahu Liza Wati.

"Dah tu... kenapa tak balas? Apa hal?" Pantas Nurhayyu memotong.

"Aku mula dah nak balas tadi... tiba-tiba teringatkan Yazid, jadi serba-salah pulak. Lepas tu..."

"Hei, minah..." seperti tadi, pantas Nurhayyu memotong lagi. Nurhayyu bagaikan mengerti apa yang sedang melanda diri Liza Wati, "perasaan, ada masa-masa dan bila kena pada tempatnya, tak salah kita turutkan. Tapi akal, tak kira masa dan tempat, harus sentiasa dipegang buat dijadikan panduan. Faham tak, minah?"

"Maksud kau? Aku kurang fahamlah."

"Maksud aku... walaupun sekali perasaan itu kena pada tempatnya untuk diturutkan, akal harus tetap ada bersama sebagai panduan. Kalau tak, bila perasaan tak dipandu akal... perasaan yang kena pada tempatnya pun, boleh jadi tak terkendali. Faham tak?"

"Okey... aku faham sekarang. Terima kasih sudi mencerahkan," suara Liza Wati setelah merenung kata-kata itu.

"Lagi pun... Yazid tu siapa dengan kau? Mungkin kau rasa senang dengan dia, tapi kau harus ingat, kau dengan dia tu tak ada apa-apa hubungan pun! Betul tak?"

"Itulah yang aku fikirkan tadi."

"Kau jangan nak samakan Azman Hussin dengan Yazid," kata Nurhayyu lagi tegas, "aku bukan nak menghasut... tapi ini kenyataan. Azman Hussin tu kau dah kenal lama. Jumpa pun dah pernah. Malah keluarga kau dengan keluarga dia pun saling mengenal. Jadi... kenapa Yazid yang baru kau kenal, boleh buat kau rasa berat? Kenapa? Sebab aura Salleh Kamil dia ke apa, minah?"

Dalam Liza Wati tergelak mendengar apa yang dikatakan Nurhayyu, renungannya jauh menjalar. Melayang jauh teringatkan Yazid dan Azman Hussin. Entah kenapa Yazid yang baru dikenali, sepertimana Azman Hussin, terasa begitu dekat di hati. Pelik jadinya dia. Kembali menyemak kiriman Yazid yang lalu di dinding Mukabuku, Liza Wati membacanya.

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan

'Likes': 75

Komen:

Liza Wati: Sepi adalah warna. Keindahannya pasti menyerlah bagi siapa yang tahu menghargainya. Dinding ini tidak pernah akan kosong, andai setiap kali, setiap saat kau datang merenung.

Yazid Atan: Saat cinta membara, tak kan kubiarkan diri ini terus memasung rasa. Tak kan kubiarkan kasih-sayangmu berlalu dengan begitu saja. Cintamu... dan cintaku, akanku pastikan mati-hidup bersama hingga ke penghujung masa.

Liza Wati: Saya suka ayatnya. Sungguh indah dan enak dibaca. Pandai awak bermadah.

Yazid Atan - Liza Wati: Terima kasih. Demi awak, saya akan usaha memerah otak atau apa saja.

Liza Wati - Yazid Atan: Awak sudah makan ke belum?

Yazid Atan - Liza Wati: dah berak pun.

Tergelak lagi Liza Wati ketika membacanya. Tidak dapat menahan rasa geli di hati. Entah kenapa dalam dia ketawa, rasa simpati terhadap Yazid menerjah dirinya. Rasa kasihan pada Yazid terasa meluap-luap.

"Hei minah... apa yang kau gelakkan? Apanya yang lucu sangat?"

"Tak ada apa. Saja gelak teringat apa yang kau cakap," Liza Wati menyembunyikan perkara sebenar.

"Habis... dah dekat dua tahun kau tak jumpa Azman Hussin, kau tak rindu dia? Atau dah hilang rindu sejak wujudnya lagi satu jejaka terhangat Tanah Semenanjung Melayu, dalam hidup kau?"

Tergelak kecil Liza Wati. Malu-malu dengan usikan Nurhayyu yang bergelak besar di hujung talian.

"Itu... biarlah rahsia. Rindu atau tak rindu, pada siapa aku rindu... biarlah aku sendiri saja yang tahu," jawab Liza Wati kemudian.

"Ewah, ewah... berahsia-rahsia pulak pasal rindu, si minah ni! Boleh tahan jugak kawan aku ni ye. Hmmm... suka hati kau-lah minah. Hah Liza, kau okey tak kalau aku 'add friend' Yazid dalam Facebook aku? Boleh?"

"Eh, kau ni! Kenapa pulak tak boleh? Kau sendiri tahu aku dengan dia tak ada apa-apa kan? 'Add' ajalah."

"Okey minah, nanti aku 'add' dia jika otak mereng aku datang. Hmmm... ada masa nanti aku call kau lagi, okey. Ada kerja sikit ni. Nanti bila aku 'add' Yazid... kau jangan cemburu tau!"

Seperti selalu Nurhayyu menutup bicara dengan usikan. Menggeleng Liza Wati dengan sikap Nurhayyu. Menggeramkan tetapi menyenangkan.

Meletak tepi telefon bimbitnya, Liza Wati kembali menumpukan perhatian pada kiriman Azman Hussin. Jari-jemari sudah bersiap-sedia untuk mematuk kunci kekata. Terhenti lagi di situ, Liza Wati memikirkan apa yang harus dibalas. Agak lama juga difikirkan, lalu perlahan kunci kekata diketuk.

"Iza... mari sayang, makan. Mama dah siapkan ni," kedengaran suara ibu Liza Wati tiba-tiba memanggil.

"Nanti ma... sekejap lagi Iza datang," sahut Liza Wati, tanpa lengah menyelesaikan apa yang dihajati.

Puan Sharifah Umamah Al'Edrus, ibunya Liza Wati, adalah rakan lama juga rakan kongsi Datin Maznah Ismail dalam beberapa perniagaan. Walaupun kejayaannya tidak segemilang Datin Maznah Ismail, namun Puan Sharifah adalah seorang usahawan berjaya juga. Beliau lebih senang menguruskan operasi dari rumah sahaja. Sesekali, barulah akan ke pejabat memantau kakitangannya.

"Datin jemput kita ke rumahnya, hujung bulan ni," beritahu ibu Liza Wati, sebaik mereka bersemeja ber-empat mata.

"Jemput ke rumahnya? Hujung bulan ni? Ada apa, ma?" Teruja Liza Wati mendengar.

"Kata... anak sulungnya akan pulang dari Australia. Ada jamuan menyambut kepulangan. Minta Iza hadir sebagai tamu terhormat."

"Tamu terhormat?" Membesar biji mata Liza Wati, "Iza jadi tamu terhormat?"

"Iya sayang... tamu terhormat. Itu yang dipinta Datin," melekuk pipi Puan Sharifah dengan senyuman. Berbinar mata memandang anak tunggalnya, Liza Wati yang selama ini begitu dimanjakan dan disayanginya.

Berderau darah. Berdebar-debar hati Liza Wati tiba-tiba. Entah kenapa. Sebentar Liza Wati bermenung. Jauh. Jauh mengenangkan kembali kisah lama. Mengenang kisah-kisah zaman persekolahannya. Mengenangkan pertemuan terakhir sebelum masing-masing membawa haluan sendiri memburu cita-cita. Mengingatkan tarikh yang dimaksudkan ibunya, Liza Wati berkira-kira.

'Ah... lama lagi harinya,' bisik hati Liza Wati.

"Kenapa sayang?" Agak hairan melihatkan tingkah-laku buah hatinya, Puan Sharifah bertanya.

Tidak menjawab, Liza Wati hanya menggeleng-geleng.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.