Bab 14
Kotak pesanan;
'AD Rahman - Yazid Atan: Saat cinta membara, aku rela merentungkan diri dan
jiwa raga hingga menjadi arang.'
Terkebil-kebil sebentar Yazid memandang skrin iPad itu. Bagaikan tidak percaya
membacanya. Dahi mengerut. Jambul turut melurut sedikit. Hairan! Didekatkan,
diulang-ulang membaca mesej yang baru sahaja dikirim AD Rahman. Kepalanya
tiba-tiba jadi gatal. Digaru-garu. Tidak faham betul maksud ayat yang baru
diterimanya itu.
'Arang? Macam mana pulak boleh jadi arang? Biar betul si mangkuk hayun ni! Tak
kan arang pulak! Tak sedapnya! Ayat-ayat cinta ni, tak pernah pulak aku tengok
ada orang guna perkataan arang. Ingat apa... nak bakar sate?'
Yazid jadi pelik. Benar-benar pelik. Mengurut-urut dagu, Yazid cuba merungkai
makna yang mungkin sebenarnya ada tersembunyi. Dia tahu, selalunya ayat-ayat
cinta yang mempunyai erti yang dalam, mesejnya sering kali tersirat.
'Apa cerita mamat ni kasi aku ayat macam gini! Apa hal? Sengaja ke apa, nak
kasi Liza Wati benci kat aku! Tapi... mana dia kenal Liza Wati? Eh, tak boleh
cakap juga!' Bisik hati Yazid setelah gagal menggali maknanya. Diri mulai
berburuk sangka.
Pantas Yazid membalas mesej itu.
'Yazid Atan - AD Rahman: hello brader, macam mana ayat boleh ada arang pulak?
Itu paling terindah ke apa? Tak ada lain yang lebih indah? Biar betul, brader!'
Dengan pantas mesej Yazid dibalas AD Rahman.
'AD Rahman - Yazid Atan: Tadi sendiri yang kata ayat sebarang? Itu ayat
sebaranglah!'
Yazid menggeleng-geleng membaca. Tersentap lagi dengan balasan mesej baru
diterimanya. Panjang dia mengeluh. Tanpa lengah, dengan pantas jari kembali
menyinggah ke kunci kekata hendak membalas mesej itu. Namun belum sempat dia
melakukannya, AD Rahman jauh lebih pantas mengirim mesej baru.
Mata Yazid membesar. Terbeliak matanya saat membaca. Bagaikan tidak percaya
dengan apa yang tertera.
'AD Rahman - Yazid Atan: Saat cinta membara, tak kan kubiarkan diri ini terus
memasung rasa. Tak kan kubiarkan kasih-sayangmu berlalu begitu saja. Cintamu
dan cintaku, akanku pastikan mati-hidup bersama hingga ke penghujung masa.'
Lebar senyuman dengan sendiri terukir di wajah. Bersinar-sinar mata bagaikan
bintang kejora di subuh hari. Jari dengan sendiri juga pantas menyinggah ke
kunci kekata ingin mengucapkan berbanyak terima kasih. Namun seperti tadi,
belum sempat dia melakukannya, mesej baru dari AD Rahman diterimanya lagi.
'AD Rahman - Yazid Atan: Sama-sama'
'Aikkkk! Macam mana kau boleh tahu aku nak ucapkan terima kasih? Pelik betullah
kau ni mamat!'
Meninggalkan kotak pesanan, berbekalkan mesej baru diterima, Yazid meneruskan
agenda dihajati. Memandang dada skrin iPad, setelah semuanya selesai
dikerjakan, di kepala katil Yazid kembali menyandar. Memejamkan mata, dia
membayangkan reaksi Liza Wati saat membaca kirimannya. Bibir tebalnya
mengembang senyuman bagaikan kuntuman bunga yang sedang mekar di taman.
Hanya sinaran mata sahaja dapat melahirkan apa yang sedang dirasa. Kata-kata
seketika menyepi dari bibir bicara, menceritakan keadaan. Tidak tahu apa yang
harus diucapkan. Liza Wati dan Nurhayyu saling memandang setelah sama-sama
membaca komen yang baru dibalas Yazid. Terkesima! Terpana keduanya.
"Biar betul minah, ayat mamat ni! Ini dah kira ayat tahap pujangga!
Pergghhh... dahsyat betullah mamat ni. Tabik spring!" Nurhayyu tidak dapat
lagi membendung rasa kekagumannya. Begitu kata pujian menyembur dari mulut.
"Itulah... aku pun kagum juga. Tak sangka dia boleh karang ayat macam
ni," sahut Liza Wati dengan rasa kagum juga.
"Hei, minah... kita jangan suka ukur orang dari luaran saja tau. Kebolehan
seseorang tu mana kita boleh nampak. Itu semua tersembunyi hingga dia
mempamerkan apa yang dia ada. Betul tak? Penampilan pun tak semestinya betul
seperti selalu kita yakini betul."
"Itulah sebabnya aku tak pernah mahu mengukur apa-apa pada sesiapa dari
luaran saja. Takut tersalah," jujur Liza Wati menjelaskan. Mata tetap
ter-arah ke dada skrin komputer-nya.
"Tapi...tak boleh jugak gitu, minah weii! Nanti senang-senang diri ditipu.
Sebaiknya kita terjah lebih dalam dan selidik siapa dirinya yang sebenar."
Liza Wati hanya berdiam mendengar. Lengannya lalu dicubit Nurhayyu dengan
mesra. Seolah-olah cubitan itu bagaikan ingin mengejut dan memberinya kesedaran
akan kepelbagaian sikap manusia yang penuh dengan rentak irama dan warna.
Menangkap dengan manja tangan Nurhayyu, Liza Wati mengangguk dan tersenyum
setuju.
"Malang seribu kali malang, Liza. Mamat-mamat ni semua ingat, dia orang
boleh cairkan hati perempuan dengan ayat-ayat dan kata-kata indah. Betapa
silapnya! Andai saja mamat-mamat ni semua tahu apa yang kita mau, mereka tak
kan membazir tenaga dan buang masa nak memuntah hijaukan kaum kita. Tapi tak
tahulah dengan kau pulak. Kau cair ke minah, dengan ayat-ayat macam tu?"
Nurhayyu tergelak kecil di hujung bicara.
"Eh! Taklah..." pantas Liza Wati menangkis, "bagi aku,
tulisan-tulisan macam ni semua hanya setakat seni yang dihasilkan oleh
jiwa-jiwa yang kreatif. Aku suka baca tulisan-tulisan macam gini. Indah dan
punya nilai kesenian. Jika nak cakap pasal hati cair... sebenarnya tak perlu
sepatah ayat pun boleh cair jika hati dah suka."
"Hah, betul tu minah!" Nurhayyu menyokong sambil mengunyah brownies
yang bersisa, "itulah yang aku namakan, mengayat tanpa sepatah ayat."
"Maksud engkau?" Liza Wati mengerut dahi memandang Nurhayyu.
"Maksud aku... mereka mengayat dengan sikap dan karakter. Akhirnya kita
tertarik dan jatuh hati. Memikat kita tanpa menggunakan sepatah ayat pun!
Tingkah-laku mereka itulah yang menjadi ayat paling ampuh! Boleh membuat hati
kita jadi cair dan terbuai."
Bersorak mata mendengar penjelasan Nuhayyu. Tersenyum, Liza Wati mengangguk
setuju dengan sesuatu yang dia sendiri tidak dapat menafikan.
"Eh, minah... kau tak nak balas komen dia?" Tersentak Liza Wati
dengan pertanyaan Nurhayyu yang tiba-tiba. Seketika memejam mata mengurut dada.
"Kau ajalah balas. Kau kan mahir dalam ayat-mengayat ni semua," kata
Liza Wati kemudian sambil menyodorkan komputer riba ke arah Nurhayyu.
Mengangguk menghela nafas; merenung memikirkan sebentar, Nurhayyu melaksanakan
tugas yang diamanah. Lembut dan perlahan jejari mulusnya mematuk kunci kekata.
"Tengok ni, okey tak? Ringkas-ringkas aja," lirih Nurhayyu.
Membacanya seketika; mengkalihkan pandangan ke arah Nurhayyu, tersenyum Liza
Wati sambil mengangguk setuju.
Melonjak sakan hatinya. Seperti mahu sahaja dia menjerit meluahkan rasa
gembira. Biar sahaja seluruh dunia mengetahui apa yang sedang dirasainya.
Senyuman melebar sampai ke telinga saat melihat apa yang tertera di dada skrin
iPad itu.
Perlahan dibaca. Diulang-ulang baca kiriman dari Liza Wati. Rasa seronok
membacanya tidak terkata. Apa yang dibayangkan tadi saat memejamkan mata,
ternyata benar-benar terjadi. Di hati Yazid, akar-akar taman bunga kembali
menjalar.
Dinding Mukabuku Liza Wati;
Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu
yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan
'Likes': 75
Komen:
Liza Wati: Sepi adalah warna. Keindahannya pasti menyerlah bagi siapa yang tahu
menghargainya. Dinding ini tidak pernah akan kosong, andai setiap kali, setiap
saat kau datang merenung.
Yazid Atan: Saat cinta membara, tak kan kubiarkan diri ini terus memasung rasa.
Tak kan kubiarkan kasih-sayangmu berlalu begitu saja. Cintamu dan cintaku,
akanku pastikan mati-hidup bersama hingga ke penghujung masa.′
Liza Wati: Saya suka ayatnya. Sungguh indah dan enak dibaca. Pandai awak
bermadah.
Kembang hidung Yazid memenuhi muka dengan pujian Liza Wati. Dengan pantas dan
penuh ghairah, tanpa lengah komen itu dibalas.
Yazid Atan - Liza Wati: Terima kasih. Demi awak, saya akan usaha memerah otak
atau apa saja.
Kegembiraan dan keghairahan meluap-luap ke tahap maksimal apabila dengan pantas
juga komennya dibalas.
Liza Wati - Yazid Atan: Awak sudah makan ke belum?
Bunga di taman hati semakin tumbuh subur dan mekar saat membaca apa yang
dibalas Liza Wati. Seperti tadi juga, dengan ghairah dan senyum lebar tertampal
di wajah, pantas Yazid membalas. Jari bersiul laju mematuk kunci kekata. Namun
keghairahan dirasakannya ketika itu, tidak berlangsung lama.
Mata besar membuntang melihat kirimannya sendiri. Tidak percaya sama sekali.
Terpana, dan terpanah dengan kelewaannya sendiri. Begitu Yazid jadi gelabah.
Jambul Nusantaranya yang dijambak keras bagaikan mahu tercabut dari kepala.
Buru-buru Yazid berusaha memadam kirimannya tadi. Sedaya dia yang tidak begitu
fasih menggunakan iPad, berusaha mencari jalan. Ditekan semua butang di iPad
itu, namun kesemuanya gagal. Yazid tidak mampu memadamnya.
"Haiza! Haiza!" Secepat kilat meluru keluar kamar, Yazid dengan wajah
pucat-lesi mencari adiknya.
"Haizaaaaaa!" Menggaung suaranya menggegar ruang rumah.
"Eh! Kenapa abang ni! Kenapa? Apa cerita? Abang ni apa hal?" Haiza
yang sedang bersantai di kerusi malas membaca buku di ruang tamu, menjadi cemas
melihatkan sikap Yazid. Menegakkan badan dengan wajah tegang menyambut abangnya
yang datang menghampiri.
"Za! Cepat tolong abang! Cepat, Za!" Wajah Yazid memucat. Dikelar pun
pasti tidak berdarah. Sorot matanya jelas memberitahu Haiza, dia di dalam
kecemasan berat.
"Tolong apa? Hah, tolong apa?" Melengking Haiza bertanya. Wajah
memucat juga.
"Tolong padamkan komen abang dekat facebook, Za. Abang cuba padam tadi
tapi tak boleh! Tolong Za, cepattt!"
Tanpa banyak soal jawab, Haiza menuruti langkah Yazid meluru ke kamarnya. Kedua
beradik itu seakan sahaja berlari. Sesampai di kamar, saat iPad dipegang dan
membaca apa yang Yazid ingin memadamnya, mata Haiza turut membulat besar.
Sendiri sukar hendak percaya apa yang baru dibacanya.
"Ini yang abang tulis? Ini?" Duduk di katil membacanya, dengan wajah
menggeli Haiza mendongak memandang Yazid yang berdiri di sisi memerhatikan.
"Abang tak sengaja," jawab Yazid. Nada suaranya sayu. Haiza kembali
membacanya lagi.
Dinding Mukabuku Liza Wati;
Liza Wati - Yazid Atan: Awak sudah makan ke belum?
Yazid Atan - Liza Wati: dah berak pun.
"Macam mana abang boleh komen gini?" Tanya Haiza lagi dengan kerutan
di dahi. "Tak pernah tau dekat facebook orang sebut perkataan macam ni!
Buat malu aja!"
"Abang kan dah cakap, tak sengaja. Abang sebenarnya bukan nak cakap dah
berak pun! Sebenarnya, abang nak cakap dah beres pun. Entah macam mana bila
abang kirim, jadi gitu pulak. Apa, iPad pun tahu naya-kan orang ke apa?
Ingatkan manusia aja tahu!"
"iPad ni... abang harus hati-hati, faham tak? Kadang tulis lain, dikirim
jadi lain!"
"Okey, tak pe. Itu nanti boleh cerita. Sekarang cepat padamkan dulu,
Za!"
Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata padah jadinya. Deraian ketawa yang
menggema ruang Starbucks menjadi perhatian pelanggan yang duduk berdekatan di
ruang terbuka itu. Bukan disengajakan, cuma Nurhayyu dan Liza Wati tidak dapat
lagi mengawal diri saat membaca balasan komen dari Yazid. Nurhayyu tergelak
sakan, bagaikan mahu melurut dari kerusi sedang didudukinya. Memegang perut
dengan kedua belah tangan seolah-olah isinya mahu terburai.
"Eh, minah! Ada komen baru dari dia! Sini, meh tengok," dengan gelak
yang masih bersemarak, Nurhayyu memberitahu.
Yazid Atan - Liza Wati: Maaf. Saya maksudkan, dah beres pun. Bukan yang tadi
tu. Ye, saya dah makan.
Komen baru dari Yazid, nadanya sunyi dan sepi. Tidak lain hanya menambahkan
lagi gelak Nurhayyu. Liza Wati menggeleng-geleng berusaha mengawal diri. Tidak
sampai hati berterusan mentertawakan Yazid.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.