Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,111
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 19





"Siapa budak tu? Tak pernah nampak pun sebelum ni."

Menghampiri Cato Enzo yang sedang memerhati Yazid dan Ismail berjalan ke lobi lif dari belakang kaunter, Mak Peah, pekerja pembersih pejabat bertanya dengan nada berbisik. Siap dimuncung-muncungkan bibirnya seperti itik serati sedang kelaparan. Perempuan yang sudah lebih dari setengah abad itu, wajah tuanya penuh keringat. Tepian kerudung lusuh dipakainya kelihatan basah di bahagian muka. Seperti Cato Enzo yang asyik memerhati dengan mata penuh benci, Mak Peah juga menyertai dengan mata terus sahaja mengekori Yazid dan Ismail.

"Budak tu? Si mamat sengal tu?" Sahut Cato Enzo berbisik juga dengan muka cemberut, "kata Mail, bakal orang kuat Datin. Entah betul, entah tidak si Mail tu! Asal boleh aja berbual. Ikut sedap mulut. Menyampah!"

"Orang kuat Datin? Humaangg! Muka tak sudah gitu boleh jadi orang kuat Datin?" Mak Peah, mata membeliak besar, "Aku ni salah dengar ke, Cato? Hmmm... tak agak-agak si Mail tu berbual!"

"Entahlah, Mak Peah... mata Datin tu buta kot! Tak tahu nak nilai mana satu permata, mana satu kaca. Ke, si Mail tu aja memandai-mandai buat cerita. Kalau sayalah jadi Datin... bangunan ni pun jangan mimpilah dia boleh jejak," herdik Cato Enzo dengan jelingan benci.

Menggeleng Mak Peah mendengar. Seperti tidak percaya lelaki yang tampak selekeh di matanya, bakal menjadi orang kuat Datin. Yazid dan Ismail yang sedang menunggu ketibaan lif, terus sahaja diperhatikan.

"Mak Peah tahu apa tak?" Kata Cato Enzo lagi.

"Tahu apanya? Engkau tak kasi tahu, mana aku tahu!"

"Ada ke dia kata, satu hari nanti saya akan jatuh cinta dengan dia! Patut ke, Mak Peah? Patut ke, muka macam saya yang cun ni dia cakap akan jatuh cinta dengan dia? Macam nak muntah hijau dengar!" Cato Enzo yang berambut panjang dan keperangan, tubuh agak berisi dan tingginya sederhana, terus sahaja membedil. Bibirnya yang dicalit gincu merah menyala, dari jauh kelihatan seperti ada kebakaran kecil di muka.

Seketika Mak Peah mengamati wajah Cato Enzo, 'alahai, perasan pulak si minah ni! Ini lagi satu si sengal!'

"Eh! Kau biar betul, dia cakap macam gitu? Tak sayang mulut ke apa dia tu? Hah! Nak aku cili?" Mak Peah menyalakan bara.

"Memang tak sayang mulutlah tu! Tengok aja bibir dia... akibat selalu kena tampar-tamparlah, tu sebab jadi gitu! Menyampah!"

"Alahaiii, Cato... tolong, aku pun dah nak muntah ni."

"Warna apa, Mak Peah? Warna apa?"

"Warna hijau tua..."

"Okeylah tu... sesuai sangat dengan umurnya."

Mendengarkan suara gelak ketawa yang tiba-tiba berderai, Yazid dan Ismail menujukan pandangan ke arah datangnya suara itu. Dengan pantas Cato Enzo dan Mak Peah mengalihkan pandangan. Berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Melirik secara sembunyi, sebaik melihatkan Yazid dan Ismail melangkah masuk ke dalam lif, Mak Peah bersuara lagi, "hei, Cato... banyak si mamat tu bawak beg ′shopping′? Baru balik ′shopping′ ke apa dia tu?"

"Hmmm... biasalah tu, Mak Peah! Ini mesti manusia pandai bodeklah tu. Kalau tak pandai bodek, tak kan si Mail nak cakap si sengal tu akan jadi orang kuat Datin! Betul tak?" Panjang Cato Enzo menjuirkan bibir.

"Iyalah tu! Silap hari bulan nanti... si Mail tu pulak yang kena tendang dengan si mamat tu! Orang kaki bodek ni tahu ajalah... diri sendiri aja dipentingkan. Kita tengok aja nanti." Tenang dan bersahaja Mak Peah melepaskan panah berapi.

Menuju ke pejabat Datin, di dalam lif saling berpandangan, Yazid yang tidak mengerti apa-apa, Ismail melontarkan senyuman. Yazid membalas dengan senyuman hairan.

"Bekerja di sini, Zid... awak harus bersikap bijak dan berhati-hati. Lebih-lebih lagi bila awak berdepan dengan orang yang punya sikap iri dan dengki... awak harus pandai menangani." Jelas Ismail sambil memaut bahu Yazid.

"Errr... apa maksud Encik Mail? Saya tak faham."

"Tak apa... nanti awak dah lama di sini, awak akan faham apa maksud saya. Tapi... nak faham benda-benda ni semua, jangan tengok dengan mata, Zid."

"Habis..." potong Yazid, "kalau bukan tengok dengan mata, tak kan nak tengok dengan hidung pulak!"

Ismail gelak kecil. Tetapi kian membesar gelaknya saat mata jatuh ke bibir Yazid. Sekali lagi seperti awal-awal tadi, melihatkan dengan kerutan di dahi, Yazid meraba-raba bibirnya. Bergoyang-goyang beg-beg 'shopping' yang dipegang.

'Kenapa ni, si Mail dari tadi asyik tengok bibir aku? Apa hal mamat ni?' Getus hati Yazid.

"Zid..." kata Ismail saat mereka melangkah keluar dari perut lif, "benda-benda yang tersembunyi dan yang disembunyikan, tak kan kita nampak dengan mata. Kita mesti lihat dengan hati, dan mendengar dengan mata. Barulah kita akan tahu apa yang terhidang di sebalik tabir."

Memandang Ismail dengan kening menyenget, pengetahuannya tentang perkara ini semua semakin menjauh. Makin di luar jangkauannya. Begitu pelik untuk difahami. Menghela nafas, Ismail berkata lagi.

"Tak apa. Apa yang sedang menunggu, suatu hari nanti awak pasti akan tahu. Bertenang! Paling penting sekali... dalam apa juga hal, awak harus bersikap bijak!"

Yazid hanya mengangguk-angguk walaupun sekali dia langsung tidak mengerti apa yang baru dikatakan Ismail tadi. Baginya, itu semua tidak penting.

Berbinar-binar mata. Senyuman lebar tergantung di wajah. Dengan penuh ramah, Datin menyambut Yazid sebaik dia melangkah masuk ke pejabat itu. Seperti sahaja kehadiran Yazid sudah lama ditunggu-tunggu.

"Wahhh... ′shopping′ sakan ye awak, Yazid," kata-kata Datin memperlihatkan rasa senang di hati. Bingkas bangun dari kerusinya, menghampiri Yazid dan Ismail lantas menjemput mereka duduk di sofa.

"Nak buat macam mana, Datin. Dah rezeki datang bergolek... nak tolak apa pulak, kan?" Jelas Yazid sambil menjungkit-jungkitkan kening tersenyum.

"Bersyukur aja, Zid. Rezeki Allah tu rahsia, sampai tiba saatnya," sampuk Ismail.

"Mail... do you agree with the saying; 'Fortune favor the fools'?" Yazid yang tidak mengerti sepatah haram pun bahasa Inggeris, mengerutkan dahi mendengar perbualan Datin dan Ismail. Mengerti akan maksud tersebut, Ismail tersenyum sambil mengangguk setuju.

"Datin cakap apa tu? Tak fahamlah saya," selamba Yazid bertanya.

"Saya cakap... rezeki awak tu murah."

"Maaf, Datin. Jika cakap dengan saya jangan guna bahasa orang putih. Saya langsung tak faham."

"Yazid..." balas Datin lembut dengan senyuman manis, ″tidak salah kita mengagung-agungkan bahasa kita sendiri, malah kita harus berbangga dan berusaha memelihara nilai-nilai murninya. Benar juga, jika kita tak sama-sama jaga, bahasa kita akan tercemar dan lama-kelamaan lenyap dari bangsa kita sendiri. Jika itu terjadi, tak ada lagilah imej keturunan kita nanti"

Sebentar memandang Ismail yang turut akur mendengar, Datin meneruskan, "sebenarnya... tidak salah pun Zid, kalau kita dapat menguasai bahasa asing. Lagi banyak kita kuasai, lagi bagus. Bahasa asing tu jendela dunia."

"Jendela dunia? Apa maksud jendela dunia tu, Datin?" Yazid kening bersatu melintang di muka.

"Maksud saya... penggunaan bahasa asing adalah satu kaedah untuk kita berinteraksi dengan orang luar. Mereka tidak mungkin akan berbahasa Melayu bila bercakap dengan kita, kan? Paling tak pun, mereka akan berbahasa Inggeris. Jadi... sekiranya kita dapat menguasai bahasa Inggeris, itu sudah cukup baik untuk kita berhubung dengan orang luar. Iaitu orang asing. Penting ni, Zid. Dari sekarang awak harus belajar perlahan-lahan."

Yazid mengurut dagu, memikirkan apa yang baru menyinggahi telinga. Tidak begitu faham sebenarnya.

Datin mencapai beg-beg 'shopping' Yazid yang terletak berhampirannya. Dibelek-belek. Sebentar kemudian dia mengangkat muka. Wajah tidak putus tersenyum sambil memandang Yazid yang sedang memerhatikan.

"Yazid... apa yang awak sedang pakai ni, awak boleh terus pakai. Tapi di luar waktu pejabat. Mulai esok, inilah pakaian-pakaian yang harus awak kenakan semasa bertugas. Faham?" kata Datin sambil menunjukkan pakaian yang baru tadi dibeli Yazid bersama Ismail.

Yazid hanya mengangguk mendengar penjelasan Datin. Tiba-tiba kedengaran isyarat dari telefon bimbitnya menerima pesanan ringkas. Dikeluarkan telefon bimbit itu dari poket jeans lusuhnya lalu dibaca. Yazid tersenyum.

Tertera di skrin telefon bimbitnya pesanan ringkas dari Leman: Hello kawan, sombonglah dah kerja dengan Datin!

Pantas Yazid membalas mesej itu.

"Dari buah hati ke, Yazid?" Usik Datin.

"Eh! Bukanlah, Datin. Dari kawan ni." Jelas Yazid dengan senyuman memanjang.

"Okey Yazid, dengar sini. Saya yakin Ismail dah beritahu awak, semua apa yang patut awak buat mulai esok, kan?" Yazid mengangguk menandakan dia faham apa yang diperkatakan Datin, "Okey, sekarang ni saya beri awak pelepasan. Awak boleh balik dan rehat. Persiapkan minda dan segala, buat hadapi cabaran yang bakal mendatang. Saya harap, awak mampu beri yang terbaik untuk saya. Dan esok jangan lupa, tepat pada waktu."

"Boleh balik? Maksud Datin... saya boleh balik sekarang? Betul ke ni?" Yazid terbayangkan wajah Leman yang tadinya dia merancang mahu bertemu seusai waktu kerja.

Datin meyakinkan lewat anggukan lembut dan senyuman. Tanpa lengah, dia mengambil semua beg berisi pakaian yang dibeli tadi lantas meminta diri. Dia beredar sambil diperhatikan Datin dan Ismail. Langkahnya tiba-tiba terhenti sebaik tiba di muka pintu pejabat itu sambil menoleh.

"Maaf... lupa. Terima kasih banyak Datin dan Encik Mail. Moga hendaknya Allah membalas budi baik yang diberi pada saya. Temu esok, ye."

Bertambah lebar senyuman Datin dan Ismail. Dijentik oleh sikap dan tingkah-laku Yazid yang sangat menyenangkan hati dan sangat sopan. Keduanya terus sahaja memerhatikan Yazid keluar dan hilang dari pandangan.

"Bagaimana Mail... kebolehan Yazid memandu? Bagus?" Tanya Datin sebaik sahaja kelibat Yazid tidak kelihatan lagi dimatanya.

"Hmmm... mengkagumkan. Saya berpuas hati dengan kebolehannya."

"Baik. Saya akan pantau dan perhatikan lebih jauh lagi. Saya harap, dia benar-benar seperti apa yang saya sangkakan."

Berlaga anak mata dengan Cato Enzo sebaik Yazid melangkah keluar dari pintu lif, bagaikan ada panahan api sebaik mereka bertentang pandangan. Pantas Cato Enzo membuang muka. Rasa benci terhadap Yazid semakin membara. Semakin meluap-luap.

"Cik adik manis...!" teriak Yazid tanpa ada rasa bersalah, "hati yang jernih dan bersih... akan mengukir muka menjadi manis dan sedap dipandang. Senyum... Cik adik. Senyum dari hati yang dalam, biar nanti sedap orang pandang muka tu. Senyum ikhlas itu sedekah, tapi bukan senyum sinis tau!"

Cato Enzo membuat muka secara sembunyi. Manakala Yazid yang berjalan menuju ke Vespa-nya, tergelak besar dengan apa yang baru tadi dikatakannya.
Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.