Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,787
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3
Di bibir Yazid yang tebal terukir senyuman kecil. Gambaran kepuasan di hati. Seperti sahaja ayam yang baru tadi dibeli ibunya di pasar; yang selesai sudah dipotong-potong, bagaikan sedang tersenyum dengannya. Di wajah memancar sinar walaupun peluh merintik membasahi. Tanpa lengah; ayam yang telah disiang, dengan begitu sahaja ditinggalkannya. Buru-buru Yazid ke kamar meninggalkan dapur. Pantas menyusun langkah seperti ada sesuatu yang penting sedang menunggu.

"oiiii... engkau nak pergi mana tu?" Jerkah ibunya yang sedang sibuk menyiapkan bahan-bahan buat masakan tengah hari. Tersentak Yazid. Langkah terhenti.

"Nak pergi mana? Ambik tuala; nak mandi," jawab Yazid selamba dan datar. Sinar mata yang terpancar, bagaikan meminta diri dimengerti.

"Nak pergi mandi? Habis... ni ayam kau nak biarkan gini? Kau tak tahu nak kasi mandikan dulu? Hah?" Kata ibunya dengan wajah menggertak. Mata dijegilkan.

"Kasi mandi ayam? Maksud mak... ni ayam nak cuci ke apa?" Wajah Yazid tampak pelik. Kepalanya yang tidak gatal digaru.

"Eh, iyalah! Engkau ingat aku ni apa? Musang? Makan ayam tak payah cuci? Hah?" Sergah ibunya sambil mencekak pinggang.

Perlahan tanpa menjawab, Yazid kembali mendapatkan ayam yang terdampar di sinki itu. Bibirnya yang tadi ada segaris senyuman kini berubah panjang memuncung. Sekali pandang, muncungnya tidak ubah seperti penyangkut baju yang tersangkut di dinding. Berdiam, ibunya memerhatikan. Diramas ayam itu dengan kuat saat mencucinya. Bagaikan mahu membalas dendam kerana niatnya ingin meneruskan ber-Mukabuku terhalang gara-gara ayam itu. Merusuh dan melepaskan marah dalam diam. Nampak sangat tidak ikhlas membantu ibunya. Untung sahaja ayam itu tidak lagi bernyawa. Jika tidak, ibu Yazid pasti dapat mendengar ayam itu menjerit-jerit sakan kerana kesakitan.

Berkat kesabaran yang ditanamnya dengan secara terpaksa ke dalam diri; tekun melakukan apa dikerjakan, akhirnya selesai juga kesemuanya. Yazid kembali mengukir senyuman puas hati dan lega. Dengan mata berbinar, dipandang ibunya yang lagi sibuk.

"Okey mak, dah bersih pun ayam ni kena mandi," kata Yazid tidak lama kemudian dengan menjungkit-jungkitkan kening. "Kalau mak boleh jumpa dia punya daki lagi walau secubit, mak panggil orang. Nanti orang boleh tunjukkan mak macam mana nak mandikan ayam dengan cara yang paling baik dan bijak. Cara paling relevan!"

"Kurang ajar punya anak!" Jerkah ibunya. Menjeling maut melihat anak lelaki tunggalnya beredar. Yazid gelak besar sambil melangkah. Berasa senang apa yang ibunya minta membantu, sudah pun dilaksanakannya.

Seperti tadi, buru dia melangkah. Mata meliar mencari iPad yang sedang dipenuhkan bateri sebaik daun pintu kamarnya dibuka. Melepaskan kabel yang terpasang di iPad itu, tanpa lengah dengan senang hati dia menjunamkan diri ke katil dengan iPad yang belum pun penuh lagi baterinya. Tetapi kegirangan di hati tidak berlangsung lama. Saat iPad dibuka, hati berasa hampa. Pertanyaannya melalui mesej langsung tidak dijawab Liza Wati. Tidak ada layanan sama sekali.

Tanpa disedari, air mata mulai menggelanggang di tubir mata. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa sayu. Bagaikan diguris. Dicarik-carik! Dicakar-cakar hingga tercalar-balar. Dengan remuk hati iPad ditutup kembali. Hati tergantung mendung. Begitu sekali sebak! Didakap iPad itu dengan erat. Wajah Liza Wati berlegar di ruang mata bagaikan sedang mengejeknya.

"Sampai hati kau, Liza Wati. Sampai hati kau tidak mempedulikan perasaanku ini," lembut luahan itu mengalir dari bibir tebalnya. Kelihatan tebalnya bertambah menyerlah ketika dia mencebik-cebikkannya. Melondeh seperti getah sekerap tidak cukup cuka. Tidak bermaya. Seketika memejamkan mata, lalu dilepaskan pandangan sepinya ke dada dinding di hadapan. Tajam menembusi! Tiba-tiba matanya membesar. Membulat! Bagaikan tidak percaya dengan apa yang menyinggahi biji mata. Terpegun Yazid melihatnya.

Kelihatan di situ, Liza Wati sedang tersenyum memandangnya. Berbaju kebaya dengan rambut ikal mayang melepasi bahu, dia kelihatan sungguh indah dan ayu. Sungguh mempesona, bagaikan bidadari dari syurga. Liza Wati melambai dengan lembut.

"Sedang apakah kau, Yazid?" Suara Liza Wati mendayu kedengaran di telinga.

"Aku sedang mengingatimu Liza Wati. Sedang dahaga," lirih Yazid, lembut dan sopan.

"Dahaga? Kenapa tak ke dapur sahaja minum air?"

"Aku bukan dahagakan air-lah!" Melengking suara Yazid mendengar balasan Liza Wati.

"Lalu?" Tanya Liza Wati sambil menunduk malu. Mata jatuh di hujung ibu jari kakinya yang tidak ber-alas apa-apa.

"Aku dahagakan cinta dan kasih sayangmu, Liza Wati. Aku sungguh mendambakan."

"Mampukah engkau menjaga cinta itu dengan sebaiknya? Apakah engkau tidak akan mensia-siakan cinta itu setelah apa yang kau hajati, sudah engkau nikmati?"

Terpana Yazid mendengar apa yang baru dibicarakan Liza Wati. Yazid hilang kata-kata. Tidak tahu bagaimana harus dijawabnya. Bibir tebalnya rapat, seperti digam.

"Selamat tinggal Yazid. Sampai kita ketemu lagi, ya hensem," begitu Liza Wati berpaling dan pergi meninggalkan Yazid.

"Liza! Tunggu Liza! Mahu ke mana? Tunggu Liza! Jangan tinggalkan daku!"

Meletak iPad itu ke tepi di atas katil, pantas Yazid bingkas. Meluru cuba mendapatkan Liza Wati yang sedang berjalan tanpa peduli pergi meninggalkannya.

"Adoiiiii! Ya Allah! Sakitnya..." Rintih Yazid sambil menekap dahinya.

"Macam mana boleh jadi gini pulak! Adoiii!" Membongkokkan badan, Yazid mengurut-urut dahinya yang terlanggar dinding. Untung bibir tebalnya itu bukan menjadi mangsa pelanggaran.

"Abang! Abang tengah latih drama ke?" Tegur Haiza adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah, apabila mendengar suara Yazid seakan sedang beraksi. Yazid yang di dalam kesakitan mendongak. Seketika bola mata mereka berlaga.

"Wahh! Macam betul-betul berlaku tau, cara abang berlakon tu. Berbakat betullah abang aku ni. Tak sangka, Za!"

Membulat mata Yazid seperti wang syiling dua puluh sen. Terpana mendengar apa yang dikata. Terkesima! Memandang Haiza dengan dahi mengerut. Kesakitan sedang ditanggung menghalang Yazid menjawab dengan serta-merta.

"Sejak bila ni, abang jadi artis? Tak beritahu orang pun!" Suara Haiza lagi sambil senyum bangga.

"Eh, kau diamlah! Kau jangan menyibuk dekat sini boleh tak!" Jerkah Yazid akhirnya yang sudah lama terasa bengang. Matanya dibeliakkan.

"Alaaa... orang tanya pun tak boleh ke apa? Belum lagi popular dah sombong! Kalau dah jadi macam Aron Aziz, tak tahulah macam mana pulak sombong dia!" Jawab Haiza dengan suara tinggi.

"Hei! Kau diam boleh tak?" Marah Yazid. Suaranya ditinggikan.

"Dah kenapa ni! Dah kenapa ni kau orang semua! Hah?" Ibu mereka datang dengan menyinga saat terdengar kekecohan di kamar Yazid.

"Inilah si abang ni. Dah jadi pelakon menyombong pulak! Menyampah tengokkan!" Jelas Haiza sambil menarik muka.

"Jadi pelakon? Siapa dah jadi pelakon? Siapa Haiza, yang dah jadi pelakon?" Tanya ibu mereka hairan.

"Itulah depan mata mak," kata Haiza lagi sambil memuncungkan bibirnya ke arah Yazid. Ibunya mengalihkan pandangan memandang Yazid dengan lurus.

"Ini pelakon? Ini?" Ibu mereka mencari kepastian. Wajah hairannya tadi berubah ke tahap mahu tergelak. Kening halusnya terjungkit tinggi. Haiza mengangguk tanpa memandang Yazid. Rasa menyampah masih membara.

"Hei... Haiza! Si dia ni jadi pelakon? Ini?" Tanya ibunya sambil telunjuk kanan mengarahkan ke Yazid, "MasyaAllah! Kalau muka macam ni-lah jadi pelakon... habis! Rosaklah semua television dekat Malaysia ni!"

Haiza dengan pantas menutup mulut dengan kedua belah tangan. Cuba menahan ketawa. Tetapi di hati berdekah sakan. Memandang ibunya dengan pandangan melonjak-lonjak. Ibunya lain pula, memegang perut bagaikan mahu terburai. Berdekah mentertawakan Yazid. Berdiri di situ, Yazid sekadar membeku melihat tingkah-laku ibu dan adiknya. Kehadiran ibunya yang tiba-tiba, bagaikan sahaja memaku langkah dan suaranya. Kuasa veto-nya terhadap Haiza, hilang ditelan ibunya. Wajah Yazid jadi sayu. Seperti minta dikasihani. Misai nipisnya bergetaran menggambarkan perasaan.

"Kau tengok muka dia," kata Siti Rozilah lagi. "Kau tengok betul-betul. Kau pandang betul-betul. Ada ke muka dia tu mirip Aron Aziz?" Haiza menggeleng pantas sambil mengiyakan apa yang diperkatakan ibunya. Haiza menanti apakah lagi bakal diperkatakan oleh ibunya. Apapun, Haiza sudah bersedia. Bersedia untuk mendengar.

"Memang tak ada langsung! Sikit pun langsung tak ada. Kau tengok Haiza... jangankan muka Aron Aziz, muka Aziz Sattar pun memang tak ada!" Sekali lagi Haiza menutup mulutnya. Rapat-rapat. Hanya di hati dan mata di saat itu mampu ketawa.

'Ya Allah... apalah dosa hambamu ini sampai diperlakukan sebegini? Kenapalah malang sungguh nasibku, ya Allah?' Tetap terpaku, suara hati kecil Yazid mendayu berkata. Sinar matanya dihinggap mendung, bermohon diri jangan diperlakukan sebegitu lagi. Hati kian remuk.

"Tapi, kalau Haron Aziz... pak cik kau yang dok kat Simpang Renggam tu," sambung ibu mereka lagi, "memang sah saling tak tumpah. Jambul dia aja dah serupa. Sekilo tertumpuk dekat atas kepala. Macam kembar gitu. Kau sendiri tengoklah! Betul tak mak cakap, Haiza?"

Tidak menjawab, Haiza terus sahaja berlari meninggalkan ibunya dan Yazid berdua. Tidak sanggup! Tidak sanggup melihat wajah abangnya yang sudah pun berubah, tidak ubah seperti Vespa buruknya. Satu-satunya harta kesayangan yang dimiliki Yazid.

Mendongakkan wajah, Yazid memerhatikan Haiza berlari pergi ke kamarnya. Berlari untuk melepaskan gelak yang sudah begitu sarat bersarang di dada. Pandangannya sepi. Hati yang tadi tercalar, bertambah garis-garisnya. Bagaikan dirobek-robek, disiat-siat oleh Haiza dan ibunya.
Previous: BAB 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.