Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,014
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 24

Suasana di restoran lima bintang itu agak sepi, walaupun ramai juga pelanggan memenuhi meja yang ada. Sehinggakan sudu-garfu berdenting saat berlaga dengan pinggan-mangkuk, dapat didengar dengan begitu jelas. Sesekali, kedengaran perbualan kecil antara sesama di dalam kumpulan di meja masing-masing. Jelas, etika orang kaya, orang-orang berada dan berpunya, dengan penuh gaya dipraktikkan dan dipelihara nama baiknya oleh pelanggan-pelanggan kelas atasan itu.

Kelihatan berdiri di tepi pintu masuk restoran itu, seorang wanita yang bertugas sebagai penyambut tamu, sejak dari tadi asyik memerhatikan Yazid. Entah apa yang begitu menarik perhatiannya. Mata tajam menyelidik. Dahi mengerut tegar.

"Asyik tengok mamat kurus tu aja. Ada apa-apa ke?"

Rakan sekerja pelayan wanita yang teruja dengan aksi penyambut tamu itu, bertanya secara berbisik sambil lalu. Mukanya keras. Mulut terkumat-kamit. Sanggup mengambil jalan jauh ketika mengirim pesanan pelanggan semata-mata hanya untuk memuaskan hati. Namun dia tidak sempat mendapatkan jawapan. Dengan penyelianya yang terus sahaja memantau keadaan, pelayan itu terpaksa menonong terus berjalan.

"Terpikat ke apa?" Tanya pelayan itu lagi dengan wajah semakin keras sewaktu berpatah balik.

"Bukanlah! Kau gila ke apa!" Jawab penyambut tamu itu dengan berbisik juga. Wajahnya tegang ketika menjawab. Bibir memuncung. Namun jawapan diinginkan dan yang tepat, belum kesampaian. Seperti tadi, pelayan itu terpaksa menonong berjalan terus.

Tidak memperolehi jawapan yang diinginkan, begitu kegelisahan menari-nari di hati. Melonjak-lonjak keresahan bagaikan mengejek diri sendiri. Berdiri di depan kaunter bersiap melayan tamu apabila diperlukan dengan beberapa pelayan lain, bertemu mata dengan penyambut tamu itu, pelayan itu menjungkit-jungkitkan kening sambil mengetap bibir. Masih berusaha untuk mendapatkan jawapan.

Pelayan itu tidak berjaya dan gagal memahami apa yang cuba diberitahu penyambut tamu itu. Jari telunjuk di hujung bibir dan ditiup-tiup. Apakah yang cuba diberitahu penyambut tamu itu? Apa makna isyarat itu? Kegelisahan kian meluap.

Kesempatan untuk bergerak terhidang sebentar kemudian, saat ada pelanggan mengangkat tangan memberi isyarat memerlukan pelayan. Dengan rela hati pelayan tadi menawarkan diri pergi melayani.

"Aku tak fahamlah apa kau beritahu tadi!" Melintas di depan penyambut tamu itu seperti tadi, sambil mengetap gigi pelayan itu bertanya lagi. Mengharapkan jawapan bila berpatah balik nanti.

Setelah melayani pelanggan yang memanggil, pelayan itu berpatah balik. Dari jauh lagi mata tajam sudah dipanah ke arah penyambut tamu itu. Pandangan bertemu. Anak mata berlaga. Langkah diperlahankan.

"Kenapa kau asyik tengok si kurus tu?" Pantas pelayan itu berbisik saat mendekati.

"Mamat tulah... aku tengok dia macam lilin 'birthday'!"

"Lilin 'birthday'? Macam mana boleh jadi lilin 'birthday' pulak?" Terjungkit kening pelayan itu, "mak cik tu tengah sambut hari jadi kot?"

"Mungkin. Kau cuba pergi tanya. Entah-entah mak cik tu perlukan mancis ke?"

Terhenti langkah, terlepas gelak tanpa disengaja. Pecah suasana ruang restoran yang agak sunyi itu. Keduanya pantas menekap mulut menahan ketawa saat semua mata pelanggan menuju ke arah mereka.

Ketawa kembali berderai. Tidak dapat dikawal saat terlihat Yazid yang turut teruja, menjengah-menjengahkan leher ingin tahu apa yang sedang berlaku. Apa yang kelihatan di mata kedua pekerja itu, Yazid tidak ubah seperti lilin hari jadi raksaksa.

"Kenapa Datin? Apa yang digelakkan tu?" Tanya Yazid yang tidak mengetahui apa-apa.

"Entahlah, Zid... mereka bergurau dengan sesama agaknya," jelas Datin.

Yazid kembali menyandar di kerusi yang berukiran itu. Dalam kekenyangan, tangan menongkat dagu. Mata jatuh dengan penuh gaya ke meja makan yang sudah pun selesai hidangannya. Sekali pandang, gayanya tidak ubah seperti Raja Belanda berwajah Jawa.

"Zid... awak tunggu di sini sekejap. Jangan ke mana-mana. Sekejap lagi saya datang balik," pesan Datin sebentar kemudian.

"Errr... baik Datin. Saya tunggu Datin di sini."

"Jangan pergi mana-mana, ye!" Tekan Datin. Yazid mengangguk.

Yazid memerhatikan Datin pergi. Mata mengekori langkah sehingga Datin hilang dari pandangan. Membetulkan duduknya, menyelesakan diri, Yazid mengitari ruang restoran itu.

Kagum. Yazid benar-benar kagum. Kagum dengan suasana, layanan dan juga dekorasi restoran sehingga kepada meja dan kerusi yang sedang didudukinya.

'Untung betul jadi orang kaya ni. Hidup selesa dan dilayani dengan baik. Segala apa yang nak semua boleh dapat dengan senang. Tapi malang hidup ni ada matinya...'

Yazid terus sahaja mengitari sekelilingnya. Sesaat, matanya jatuh ke arah pelayan-pelayan yang berderet berdiri di depan kaunter, sentiasa dan sudah bersiap melayani permintaan dan kerenah pelanggan-pelanggan yang jelas kaya-raya itu. Ditarik pandangan itu ke arah dirinya pula. Yazid tersenyum kecil tiba-tiba.

'Kalau tak ada orang bawahan macam aku dan dia orang tu semua... apalah erti-makna kaya? Pasti tak ada istilah miskin-kaya jika hidup ni tak ada orang bawahan! Siapa yang nak pergi melayan dia orang tu semua kalau semuanya setaraf dan sama rata? Hidup pun pasti susah walaupun dikira kaya-raya! Hmmm... mungkin di sinilah letaknya maksud, hidup cuma mainan belaka. Masing-masing ada watak dan peranan untuk menggerak dan menghidupkan permainan ni... Permainan yang cuma sementara sebab semua pasti akan mati. Dan mungkin... dalam ini semualah letaknya ujian. Mungkin!'

Yazid mengurut dagu, senyuman masih tergantung di wajah. Dia hanya tersedar dari lamunan yang panjang saat terpandang jam di pergelangan tangannya. Dia teringatkan Datin yang sudah berpergian agak lama juga. Matanya kembali merayap mengitari sekeliling lalu dijatuhkan pandangan itu ke arah pintu. Masih belum kelihatan jejak Datin!

Yazid menggelabah saat matanya dihalakan ke meja makan itu. Dia mulai berkira-kira harga hidangan yang sebentar tadi dia dan Datin makan, 'Wrapped-shrimp stuffed with basil and garlic', 'Italian soup', 'Cheddar Bar-b-q chicken breast', 'Tripple chocolate cake' dan teh Cina. Yazid begitu yakin, walaupun sekali pakaiannya ditanggalkan semua, termasuk sepatu, stokin dan seluar dalamnya, belum tentu dia dapat melangsaikan semua harga yang telah dimakan. Begitu darahnya berderau.

'Alamak! Mana pulak si Datin ni pergi? Dia nak kenakan aku ke apa ni! Siapa nak bayar bil ni semua?' Bisik hati Yazid penuh risau.

Satu-persatu Yazid menyaksikan pelanggan meninggalkan restoran. Restoran itu yang tadinya agak ramai dengan pelanggan, kini menyurut. Perlahan pelanggan yang datang kian menyusut. Yazid tidak senang duduk diam. Di saat itu, terasa masa bagaikan berlari mendekatkan dirinya dengan kenyataan. Mendekatkan dirinya dengan kecelakaan yang sedang menanti. Hati sarat sangka-menyangka.

'Datin ni biar betul! Tadi cakap nak belanja aku makan. Sekarang mana dia dah pergi pulak? Dia ni sebenarnya nak makan percuma dengan mengenakan aku ke apa?'

Yazid tidak berani lagi mengangkat muka. Pandangannya menekur. Pelanggan yang memenuhi meja hanya tinggal beberapa buah sahaja. Itu pun yang baru tiba. Rasa kesal dan marah menyelinap ke sanubarinya.

Walaupun matanya tidak dihalakan ke arah pekerja-pekerja restoran itu, namun dapat dia merasakan dirinya sedang diperhati. Menunduk, anak matanya diangkat sedikit memantau keadaan. Buat memastikan sangkaannya.

Jelas dapat dilihat dari tempat duduknya, para pelayan itu semua sedang mendengar arahan penyelianya. Telunjuk penyelia itu menuding-nuding ke arahnya beberapa kali disusuli anggukan semua pelayan. Semua mata seperti ada menghunus pisau memerhatikannya. Tajam!

'Alamak! Apa cerita ni? Apa hal dia datang ke sini pulak? Apa hal ni? Weii, aku bukan pekerja kaulah! Aku tak nak dengar apa-apa dari kau!'

Yazid cuak! Penyelia itu berjalan dengan pantas ke arahnya. Mendekat. Semakin dekat. Semakin berada di hadapannya. Di tangannya ada memegang sesuatu. Sesuatu seperti sekeping kad. Seperti...

Yazid mengengsut sedikit ke belakang kerusinya dengan darah bergemuruh. Jika boleh, di saat itu mahu sahaja dia bersembunyi di dalam kerusi didudukinya, namun itu suatu perkara mustahil. Mana mungkin dia bersembunyi di dalam kerusi!

Di bawah meja boleh bersembunyi! Tapi itu tak mungkin terjadi.

"Tuan..." suara penyelia itu bagaikan panahan api menembusi dada, "maaf, saya mengganggu."

Yazid tidak mengangkat muka. Tangan kanannya di dahi menutup sebahagian pandangannya. Tidak berani untuk menatap wajah penyelia itu. Hanya sepatu hitam yang menyilaukan mata milik penyelia itu sahaja mampu ditatap Yazid.

"Maaf, tuan. Ini... tuan punya."

Terasa roh bagaikan tercabut dari jasad saat kata-kata penyelia itu menyinggah telinga. Yazid beku. Keras! Tidak berganjak! Tidak boleh lagi bergerak. Terus menekur, jelas dapat dilihatnya sepatu-sepatu hitam yang kilauannya sama seperti milik penyelia itu, kian bertambah di sekelilingnya. Mengerumuni!

"Tuan... sila ambil."

Dunia terasa menggelap. Setiap deria terasa longgar, tidak bermaya. Yazid terasa akan pitam. Tubuh badannya bagaikan kehabisan darah. Seperti sahaja di saat itu sedang dikeronyok Drakula.

"Yazid... ambil. Awak punya tu. Jangan segan-segan."

Begitu Yazid seperti bangkit dari keruntuhan saat mendengar suara Datin menggaung di telinganya. Pantas dia mendongak. Di sekelilingnya, Datin dan semua pelayan, termasuk penyelia itu sedang tersenyum memandangnya.

"Selamat hari lahir, Yazid. Saya dan semua pekerja saya di sini... mengucapkan selamat hari lahir buat awak. Walau terlewat beberapa hari," ucap Datin dengan wajah ceria.

"Selamat hari lahir, Yazid. Moga dipanjangkan usia dan diberkati Allah, hidupnya," menggema ruang restoran itu dengan suara-suara riang dari para pekerja Datin mengucapkan selamat hari lahir buat Yazid.

"Padanlah mamat ni aku tengok macam lilin 'birthday'! Hari lahir dia rupanya!" Bisik penyambut tamu itu pada pelayan yang sibuk bertanya tadi.

"Ini... dari saya untuk awak. Harap awak suka."

Dengan senyuman ikhlas Datin menghulurkan sebuah bungkusan kepada Yazid. Kertas bunga-bunga yang berwarna biru muda menjadi pembalut, begitu sekali tampak mengundang. Terpana sekali lagi Yazid dengan perubahan warna nasibnya yang tiba-tiba.

"Buat saya ini semua?" Tanya Yazid dengan tangan sudah bersiap hendak mencapai bungkusan dihulurkan.

"Iya, Zid. Untuk awak. Setiap kebaikan yang awak lakukan, pasti ada ganjarannya. Itu janji Allah... bukan janji saya. Saya cuma ditakdir untuk menitipkan saja," jelas Datin dengan tulus.

Yazid hilang kata-kata. Hanya mampu mengangguk dengan rasa terharu.
Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.