Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,135
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 21

"Sebenarnya, saya kurang percaya dengan apa yang awak beritahu. Tapi tak apa, nanti saya sendiri akan siasat."

Datin Maznah Ismail menggeleng hampa. Wajahnya muram. Azrien, atau Rien Osaki panggilan manja anak gadis 'semata wayang' Datin yang sedang bersarapan sama, memerhatikan. Memandang ibunya dengan wajah pelik.

Berkulit putih seperti ibunya, Azrien rambutnya lurus panjang melepasi bahu, baru berusia dua-puluh-dua tahun. Bermata bulat, galak dan tegar. Alisnya halus, melengkung bulan sabit. Memiliki wajah manis dan comel persis remaja Jepun.

Berita yang baru sahaja diterima agak mengganggu Datin. Rasa kurang senang itu jelas menggaung di raut wajah. Tetapi sebagai seorang professional dan berwibawa, dia tidak terburu-buru bertindak menurut hawa nafsu.

"Kenapa, mama? Ada masalah?" Tanya Azrien dengan mata memujuk sambil mencapai cawan kopinya di atas meja. Berkeluh panjang Datin sebentar.

"Entahlah... si 'driver' baru mama tu. Entah betul entah tidak, Abang Mail kau cakap Vespa dia terbakar kena petir semalam."

Bagaikan perut ditusuk pisau, mata Azrien terbeliak mendengar apa yang dikhabarkan ibunya. Hampir tersembur kopi yang sedang diminum. Pantas dia meletakkan kembali cawan kopi itu di atas meja. Tangan kanan menekap mulut, sementara tangan kirinya memegang perut. Dia tergelak besar. Terasa begitu lucu saat membayangkan bagaimana keadaan motor Vespa yang terbakar disambar petir. Sesuatu yang tidak pernah didengarnya dari sesiapa atau terbaca di dalam majalah mahu pun suratkhabar.

"Biar betul Abang Mail tu cakap, Vespa terbakar kena sambar petir? Tak pernah pun Rien dengar dekat mana-mana. Terasa lucu pulak. Abang Mail ni, macam nak buat lawak aja pagi-pagi hari," kata Azrien dengan bibirnya yang manis merah bak delima, terukir lebar.

"Entahlah Rien, mama dengar pun macam pelik jugak, Vespa terbakar kena petir. Tak pernah pun mama dengar benda macam ni terjadi selama hidup mama. Kalau benar apa yang dikatakan Abang Mail kau tu, mama rasa inilah pertama kali pernah berlaku dalam sejarah hidup manusia."

Azrien tidak dapat lagi memalang ketawa dari menyembur keluar. Kata-kata ibunya yang bersahaja, bagaikan menggeleteknya. Kembali memegang perut, Azrien menggeliat-geliat ketawa. Kucing Parsi peliharaannya yang sedang bermalasan di atas kerusi sebelahnya, beredar pergi membawa diri. Terganggu mungkin dengan dekahannya.

"Mama tahu tak? Ini samada 'driver' baru mama tu manusia bertuah, atau pun dia terkena dengan petir jenis pendengki. Jenis petir yang senang tengok orang ditimpa masalah," ketawanya yang masih bersisa kembali pecah. Bergema ruang makan itu dengan gelak-ketawa Azrien.

Datin Maznah Ismail tersenyum melihat gelagat permata hatinya yang periang itu. Sambil mengunyah roti, matanya lembut menatap wajah Azrien. Gadis montok tingginya sederhana, yang sedang menjalani kursus 'Business Administration' itulah diletakkan harapan untuk mengambil alih segala yang diusahakannya selama ini. Harapan untuk meletakkan itu semua di bahu anak lelaki sulongnya, iaitu abangnya Azrien hancur berkecai. Apabila Datin mendapat tahu anak lelakinya itu lebih condong ke arah bidang seni dan sekarang ini sedang berada di Australia untuk mendalami bidang diminatinya itu.

"Ma... kenapa mama tengok Rein macam tu? Kenapa, ma?" Azrien agak teruja melihatkan mata Datin yang merayap di wajahnya dengan sebegitu rupa. Hilang ketawanya. Azrien memandang Datin dengan mata menyelidik.

"Eh! Kenapa tak boleh? Rein kan anak mama? Mama suka tengok Rein. Mama bangga jadi ibu Rein."

"Mama bohong tu... mesti ada apa-apa kan? Cakap cepat! Cepat... Rein nak dengar."

Azrien membuat muka. Menggoyangkan kepala ke kiri-kanan. Mengejek-ejek ibunya dengan senyuman manja melintang di wajah. Memang sikapnya begitu, dari kecil hingga dewasa gemar benar menyakat ibunya. Anak kesayangan, setiap tingkah-lakunya memancarkan cahaya di mata Datin.

"Tak ada apa-apa. Dah... mama nak pergi dulu. Nanti lambat, 'driver' baru ingat mama dah pergi pulak. Apa-apa call mama aja ye, sayang." Bingkas bangun mencium pipi Azrien, Datin beredar.

Sesuatu yang begitu disayangi, begitu sekali dekat di hati, pemergian secara tiba-tiba samada dalam diam atau terang pasti ditangisi. Begitulah adanya dengan diri Yazid. Sendirian berada di dalam perut kereta Jaguar hitam pekat itu, di perkarangan rumah Datin sementara menanti ketibaannya, tergenang air di jurang mata. Ingatannya kepada Biru tidak mahu padam malah makin mengundang rasa rindunya. Dia sebak!

"Selamat pagi, Zid. Dah lama tunggu?"

Dengan pantas Yazid mengemaskan duduknya apabila suara lembut itu menyapa telinga. Yazid yang sedang jauh melayan perasaan, sendirian menjilat duka, tidak menyedari Datin Maznah Ismail tiba-tiba menampakkan diri. Terperanjat! Pantas air mata yang membasahi pipi diseka secara sembunyi-sembunyi. Datin tanpa mengesyaki apa-apa, menyelesakan diri di tempat duduk penumpang di belah belakang.

"Errr... se... selamat pagi Datin. Baik-baik saja. Saya seperti biasa."

Mengangkat kening, mereng wajah Datin memandang Yazid. Rasa pelik mendengar jawapan Yazid. Lain ditanya, lain pula dijawabnya. Dalam diam, Datin mengamati Yazid lurus-lurus.

Segaris senyuman terukir di bibir Datin saat terpandang Yazid yang mengenakan kemeja lengan panjang kuning air, dan beseluar panjang berwarna hitam. Penampilannya tampak jauh sekali berbeza. Rambut yang agak berminyak disikat rapi. Jambul terletak kemas seperti mahkota Raja, bersemayam dengan megah di atas kepala. Dengan penampilan baru Yazid itu, Datin begitu berpuas hati. Dia bukan sahaja tampak bergaya malah kelihatan tampan dengan perubahan imej itu.

"Zid... saya dengar motor awak disambar petir? Betul ke?" Datin memulakan bicara sebaik kereta meninggalkan perkarangan rumah.

Hatinya yang masih sarat dengan kelukaan dan duka dengan kehilangan Biru, bagaikan dicarik-carik mendengar pertanyaan itu. Terasa lukanya bagaikan disapu dengan garam. Bertambah-tambah rasa pedihnya sehingga ke ulu hati. Rasanya bagaikan di saat itu juga, air mata mahu dicurahkan agar Datin mengerti apa yang sedang dirasainya. Menghela nafas dalam, Yazid berusaha mengawal perasaan. Mengambil sedikit masa sebelum bersuara.

"Betul, Datin..." suara Yazid dingin. Kedengaran bagaikan dipaksa-paksa untuk dia bersuara, "Semalam petang kena sambar."

Sesaat sepi menyapa seperti petir yang semalam datang menyambar Biru. Pantas dan sekelip mata. Seketika keduanya membisu. Yazid kembali melayan duka, manakala Datin seperti berat rasanya mahu terus bertanya. Menyapu pandangan ke jalanraya, kembali memandang wajah suram Yazid yang jelas dapat dilihat, menghela nafas dalam Datin bersuara.

"Habis... bagaimana dengan keadaan motor awak tu? Masih boleh digunakan?"

Yazid melirik ke sampingnya seolah-olah sedang melihat Biru di situ. Melihat bagaimana mereka setiap pagi sering bersama menghabiskan masa bercakap-cakap dan senyum ketawa. Biru yang selama ini adalah sebahagian daripada hidupnya, kini cuma wujud di dalam lipatan sejarah luka. Kenangan yang sangat menyakitkan. Biru tidak akan wujud lagi di dalam hidupnya. Yazid yakin.

Beberapa kali berdehem melapangkan kerongkongnya yang terasa sempit, Yazid memberitahu, "mungkin boleh Datin, tapi... kosnya besar. Saya tak mampu. Saya bukan orang senang, Datin. Saya tak ada duit."

"Habis, datang kerja naik apa tadi?"

"Naik teksi, Datin. Kalau naik bas... tak tentu pulak masa datangnya, takut nanti terlambat."

"Motornya ada di bengkel?"

"Iya, Datin. Biar dulu di situ. Kalau memang dah tak ada duit jugak nak perbaiki, mungkin besinya saya akan jual aja," bergetaran suara Yazid apabila mengingatkan Biru yang tidak akan lagi dapat disentuh, dibelai dan dilihat walau bayang-bayangnya sekali pun. Biru benar-benar di saat itu, akan berpisah dengannya sampai bila-bila. Dari pantai hati, dia hanya mampu melihat Biru perlahan menghilang, lenyap tenggelam di lautan ingatan.

Datin mengangguk mengerti. Mengerti apa yang dikatakan Yazid, juga warna yang sedang melukis hatinya.

"Beli baru aja Zid, bila dah ada duit nanti," cadangan Datin tidak dijawab. Yazid hanya menggeleng berat. Kerongkongnya terasa amat sempit sekali. Tidak berselera mahu membicarakan tentang perkara itu. Baginya, Biru tidak ada galang-ganti. Biru tidak ada duanya.

"Mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya, Zid. Kita tak tahu apa yang Allah rahsiakan dari pengetahuan kita. Kita tak tahu apa yang menanti kita di esok hari. Mungkin bencana yang ditimpakanNya hari ini, adalah untuk menggantikan sesuatu yang jauh lebih baik di kemudian hari. Kita tak tahu rancanganNya, Zid. Apa yang penting kita harus tabah dan redha dengan ketentuanNya. Anggaplah bencana ini sebagai satu ujian buat awak. Ingat Zid... dari ujianlah akan terbentuk jati diri seseorang."

Yazid menghela nafas dalam dan berat. Hujung matanya yang basah diseka. Apa yang baru dikatakan Datin, direnungnya dengan akal lalu disimpannya ke dalam hati. Walaupun dia tidak begitu faham sepatah bicara, namun dia yakin, kata-kata yang datang dari seorang yang baik hati dan berjaya seperti Datin, wajar diambil kira. Wajar direnung dan dipertimbangkan.

Di sepanjang perbualan mereka, pada masa yang sama di dalam diam Datin memantau. Setiap tutur bicara, sikap, dan tingkah-laku Yazid. Dari kebolehan dan kemampuan Yazid memandu, Datin setuju dengan apa yang diberitahu Ismail. Yazid memang seorang pemandu yang cekap. Benar-benar cekap!

"Yazid... lepas ni awak bawak kereta pergi cuci. Cuci bahagian luarnya saja. Dalam tak payah. Nanti awak kemaskan saja sendiri," pesan Datin sebelum turun di depan bangunan pejabat tidak lama kemudian. Yazid hanya mengangguk mendengar arahan Datin.

"Oh, ya lupa! Ini dua-puluh ringgit buat bayar cuci kereta nanti. Selebihnya awak simpan," Datin mengeluarkan dua lembar wang sepuluh dari dompet dan menghulurkannya pada Yazid.

"Terima kasih, Datin," jawab Yazid ringkas. Tanpa lengah dia meninggalkan bangunan itu.

Sendirian Yazid meredah dada jalanraya yang lengang, selengang hatinya pada saat itu. Air mata tidak putus menggelanggang di jurang mata. Yazid benar-benar terpukul. Terpukul dengan kehilangan Biru secara tiba-tiba.

Semalam pada awalnya hati melonjak-lonjak gembira akan keberuntungan nasib. Namun tidak disangka pula, sekelip mata segalanya berubah. Nasib malang mendatang bagaikan menampar muka. Tanpa notis! Yazid seperti tidak percaya. Di sepanjang jalan ke tempat yang hendak dituju, Yazid meratapi nasibnya. Airmata seakan tidak mahu berhenti dari mengalir.

Deretan kereta yang sedang menunggu giliran untuk dicuci menyambut Yazid sebaik dia tiba. Panjang keluhannya sepanjang kereta yang mengular. Dia menggeleng bosan melihatkan keadaan yang menyesakkan nafas itu.

Yazid melangkah keluar. Perlahan berjalan menuju ke sebuah pohon rendang yang berdekatan, Yazid mengunci pintu kereta menggunakan 'remote control' tanpa melihat. Seperti Clint Eastwood menembak musuh sambil menyalakan curutnya. Santai dan bergaya. Duduk di bangku yang tersedia, menyalakan sebatang rokok, Yazid mengitari sekeliling.

Tiba-tiba dia teringat akan pesanan Datin tadi, menyuruhnya mengemas bahagian dalam kereta. Bingkas bangun setelah usai merokok, Yazid berlenggang kembali ke kereta. Pintu belakang dibuka saat dia hampiri.

Matanya jatuh ke sebuah bungkusan berukuran sederhana berwarna kekuningan, sebaik Yazid masuk ke dalam kereta itu. Matanya membuntang. Diamatinya dari jauh dan kemudian dia masuk ke dalam perut kereta. Yazid duduk di sebelah bungkusan itu.

'Apa benda ni? Lain macam aja aku tengok. Hmmm... ini mesti Datin punya!'

Diambilnya kemudian dibelek-belek bungkusan yang agak menggelembung itu. Terasa agak berat juga. Teruja, Yazid buru-buru membuka dan melihat isi di dalamnya. Terbelalak biji matanya. Berderau darah berlumba-lumba menderu ke setiap sudut nadinya. Menggeletar tangan memegang bungkusan itu.

"Mak oiii! Apa ni? Biar betul! Ke... aku ni cuma bermimpi?"

Pantas Yazid menutup kembali bungkusan itu. Mengangkat muka, Yazid mengitari sekeliling dengan mata melingas. Tiba-tiba Yazid gelisah. Cuak. Mukanya pucat. Di saat itu dia benar-benar berada di persimpangan. Biru menjelma lagi bermain di mata. Peluang untuk kembali bersama, begitu luas terbuka.

Yazid serba-salah. Beberapa kali menghela nafas dalam, berusaha menenangkan diri. Pandangan sebentar jauh dilepaskan. Teringat akan pesanan ibunya.

"Yazid, jangan sesekali mengambil hak milik orang lain. Nanti hak kita pula akan Allah hilangkan tanpa kita sedar. Kembalikan kalau tahu siapa tuannya. Biar kita tak punya apa-apa. Itu tak penting. Yang penting, kita harus punya harga diri. Di situlah letaknya kekayaan yang sebenar, di mata Allah."

Yazid meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Sebentar kemudian, pandangannya kembali dilepaskan ke luar. Bukan sahaja pesanan ibunya menyinggah kepala, malah apa yang dikatakan Datin juga tadi.

"Ingat, Zid... dari ujianlah akan terbentuk jati diri seseorang."

Yazid mengangguk ringan dalam renungan yang panjang dan dalam itu.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.