Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,783
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

"Kau tak nak makan dulu ke Haron Aziz?"

Ibunya yang sedang makan tengah hari bersama Haiza di meja ruang makan, bersuara sambil menjungkit-jungkitkan kening. Bibir mengukir senyuman mengejek. Haiza tersengih sambil memandang Yazid. Sedar pertanyaan itu ditujukan kepadanya, Yazid tanpa bersuara menggeleng. Hatinya masih remuk. Masih calar-balar. Masih terasa perihnya. Rajuk masih erat memeluk perasaannya. Sudah bersiap hendak keluar, mencapai topi keledarnya yang berwarna biru tua dan ditampal stiker bunga-bunga di atas meja tamu; sambil lalu, Yazid menonong berjalan menuju ke arah pintu utama.

"Abang Haron... eh maaf. Abang Yazid... iPad jangan bawak, ye. Orang nak guna nanti." Haiza mencelah dengan senda mengingatkan. Menjeling ibunya yang hampir tersedak mendengar.

"Tahulah!" Yazid pada ketika itu sudah pun berdiri di muka pintu, menoleh dengan pandangan marah. Suaranya menggarang. "Aku tahulah itu kau punya harta! Engkau ingat aku heran sangat ke apa?"

Haiza menyepi. Memandang ibunya sambil tersenyum. Ibunya membalas. Mereka mengerti bahawa Yazid sedang marah. Berdiam, mereka memerhatikan Yazid keluar pergi. Pancaran sinar matahari menjamah lembut menggigit kulit. Angin sepoi membelai bagaikan memberi nafas baru kepada Yazid. Menghela nafas, pandangan dilepaskan ke perkarangan rumah yang tampak tenang. Yazid mengukir senyuman sebaik Vespa-nya yang sudah agak berusia; diberi nama 'Biru' sempena warnanya, menyambut pandangan seperti pengantin baru. Menyusun langkah, Yazid menghampiri motor yang diparkir di perkarangan rumahnya itu. Seketika Yazid merenung Biru dengan pandangan penuh kasih sayang.

"Biru... kau sajalah satu-satunya makhluk ciptaan manusia yang mengerti akan perasaanku. Kau sajalah satunya sahabatku di dunia dan... ye, di dunia saja. Kau pun sendiri tahu kenapa." Suara Yazid mendayu sambil menggeleng sayu. Mencangkung, perlahan membelai badan usang 'Biru' dengan kain pengelap.

Biru berdiam tidak menjawab. Biru nampak tenang membiarkan diri dibelai Yazid. Berasa puas hati sebentar kemudian setelah Biru tampak berkilau. Berdiri seketika; Yazid menyeluk saku, mengeluarkan wangnya dan menghitung.

'Dua-puluh-dua ringgit! Hmm...dua-puluh-dua ringgit. Rokok, sepuluh ringgit. Minyak untuk Biru, sepuluh ringgit. Hmm... ada lebih dua ringgit.'

Merenung jauh sebentar memikirkan, Yazid mengangguk kepala. Bibir tebalnya mengukir senyuman. Tanpa lengah jaket kulit hitamnya disarung. Yazid tampak gagah. Batang hidungnya dibebankan dengan kacamata hitam. Dia kelihatan seperti 'Terminator', tetapi versi kurus. Baru sahaja Yazid mahu menyarung topi keledar, telefon bimbit Nokia zaman purba-nya berdering. Mengeluh sebentar, melihat pemanggil yang tertera di muka skrin, tanpa lengah dijawabnya.

"Hello... apa hal?" Suaranya menggaung. Wajah terlihat ada garis-garis terganggu.

"Eh, Zid... kau ada dekat mana?" Tanya Leman, teman lamanya di hujung talian dengan pantas.

"Dekat rumah, baru nak keluar. Kenapa?"

"Nak keluar? Nak keluar pergi mana?"

Yazid mendengus kasar, seperti Sang Raja rimba sedang kelaparan kerana gagal memburu mangsa. Benar-benar terganggu dengan pertanyaan Leman yang datang bertubi.

"Eh, alamak! Kau ni macam polis pencen, kau tahu tak! Banyak tanya pulak! Tak tahulah aku nak pergi mana! Merayau ajalah mana-mana dengan Biru."

"Biru apa khabar? Baik?" Tanya Leman pantas mengambil berat. Yazid menggulung bola matanya. Mengeluh panjang di dalam hati. Rasa menyampah pula mendengarnya.

"Hello, brader! Itu semua tak pentinglah! Malaslah aku nak jawab pertanyaan-pertanyaan yang tak berfaedah! Sebenarnya apa cerita kau call aku? Ada penting sangat ke apa?"

Sepi sesaat menyinggah. Masa bagaikan membeku. Di hujung talian, seketika Leman terkedu. Dia teringat; satu ketika dulu, dia dan Yazid pernah bekerja bersama-sama di sebuah gudang minuman di bandar. Leman mempunyai sosok tubuh seorang Peninju; wajah iras-iras George Foreman; bekas juara dunia tinju kelas berat. Walaupun sosok tubuhnya kekar tetapi jiwanya halus dan lembut. Seekor semut pun tidak pernah dicederakan sepanjang hidupnya. Apa lagi mahu membunuhnya. Dia hanya gemar membunuh nyamuk yang banyak berkeliaran di rumahnya di waktu malam.

"Jumpa aku dekat gerai makan 'Mak cik Sombong' kejap lagi boleh?" Leman mengajak sebentar kemudian.

"Gerai 'Mak cik Sombong'? Dekat mana tu?" Dahi Yazid, permukaannya jadi melengkung ke dalam saat dikerutnya.

"Alaaa... dekat simpang depan rumah aku tulah!"

Sebentar berdiam, Yazid memikirkan arah ke tempatnya. Otak bergerak pantas seperti 'GPS'.

"Apa hal? Ada penting ke apa, kau nak jumpa aku sangat ni?"

"Ye, penting jugak. Aku ada terasa macam nak tolong kaulah." Leman menjelaskan niatnya.

Sekali lagi Yazid berdiam. Rasa agak pelik dengan apa yang baru didengar. Wajah George Foreman peninju dunia kelas berat; suatu ketika pernah ditumbangkan oleh Muhammad Ali peninju lagenda, terbayang di ruang mata.

'Nak tolong aku? Nak tolong aku apa si poyo ni? Macam yeye aja cakap! Diri sendiri tak ter-tolong, nak tolong aku!' Yazid mengutuk di dalam hati.

"Kau nak tolong aku apa?" Tanya Yazid sebentar kemudian. Agak teruja juga sebenarnya mendengar perkhabaran dibawa Leman.

"Turun ajalah, nanti boleh cerita." Suara garau Leman kedengaran seakan merayu.

"Okey... lepas aku isi minyak, aku terus pergi sana. Dalam setengah jam aku sampai kot."

Yazid akhirnya bersetuju setelah agak lama juga memikir dan menimbang duduk perkara. Mematikan telefon bimbitnya, tanpa lengah Yazid menyarung topi keledar. Biru, Vespa buruknya dengan secepat kilat ditunggang. Seperti Clint Eastwood, bintang idolanya menunggang kuda. Perasaannya, dia tampak gah dan canggih. Begitu ayam-ayam jirannya yang tadi sedang bersantai berhampiran menikmati rezeki yang bertaburan, bertempiaran tidak lama kemudian. Terkejut sakan saat Biru mengaum menggegarkan persekitaran. Yazid tergelak sambil bergerak meninggalkan perkarangan rumahnya. Terasa lucu melihat wajah ayam-ayam itu lari lintang-pukang dengan mata terbeliak bagaikan nyawa sedang di dalam bahaya.

'Nasib baik kau orang semua tak kena mandi dengan aku tadi. Kalau tak... dah jadi lauk pun kau orang sekarang!' Hati kecil Yazid mengejek sambil berlalu pergi.

Berbaris kenderaan di jalanraya, bagaikan semut-semut hitam sedang mencari rezeki. Biru menderum dengan penuh hati-hati. Menelusuri, mencelah di antara kenderaan di jalanraya itu menuju ke tempat tujuan. Tidak 'mencapatikan janji', setelah selesai mengisi minyak buat Biru, Yazid sampai ke tempat dituju. Gerai makan 'Mak cik Sombong' yang tersohor di Kampung Teluk Air Tawar, Penang tidak lama kemudian dengan sombongnya menyambut kedatangan Yazid, tetapi Yazid bersikap terbuka. Berlapang dada menerima setiap yang mendatang. Menghela nafas panjang; bertenang, Yazid melangkah masuk ke gerai makan yang agak lengang itu.

'Ini gerai makan 'Mak cik Sombong'? Apanya yang nak disombongkan? Biasa-biasa aja aku tengok!' bisik hati Yazid sambil mengitari sekeliling.

"Hendak makan apa?"

Tanya salah seorang pelayan perempuan sebaik sahaja Yazid duduk menyelesakan diri. Terperanjat Yazid dengan kemunculannya yang tiba-tiba. Perempuan muda itu agak tinggi dan montok, berkerudung warna hitam dan berseluar jeans ketat memperlihatkan bentuk tubuhnya yang menggiur, dipandang Yazid lurus-lurus.

'Ini, kira Islam separuh! Atas tutup, bawah tak senonoh.' Gumam Yazid di dalam hati.

"Roti canai kosong satu, dik." Pinta Yazid sambil membuang pandang. Mengitari sekeliling mencari Leman, kalau-kalau dia sudah tiba.

"Roti canai kosong tak ada! Roti canai 'kosong sombong' aja ada!" Jelas pelayan itu tanpa memandang Yazid. Membuang pandang juga.

"Roti canai 'kosong sombong'?" Terpana Yazid mendengar. Matanya membesar memandang pelayan itu. Bagaikan bermimpi rasanya. Yazid mengurut dagu. Cuba membayangkan bentuk roti canai itu.

"Roti canai pun ada yang sombong?" Tanya Yazid.

Pelayan itu hanya mengangguk dengan wajah malas mahu melayan. Sepertinya, menyampah memandang wajah Yazid yang kekacakannya tidak seberapa.

"Berapa sekeping?"

"Seringgit-setengah!"

Kian membesar mata Yazid. Otaknya terus sahaja ligat menghitung wang baki di dalam poket seluarnya. Takut jika tidak cukup untuk membayar. Pantas tangan kanannya menyeluk saku. Meraba-raba, memastikan wang berbaki tadi aman di sakunya.

Ada!

'Tadi, minyak sepuluh-ringgit. Rokok... sepuluh-ringgit. Tinggal dua ringgit. Hmmm...'

"Bawak datang sekeping," pinta Yazid kemudian. Wajahnya lega dan berpuas hati.

"Minum?" Tanya pelayan itu ringkas sambil tersenyum manis.

Yazid mengalihkan pandangan ke arah pelayan itu. Tersipu melihat senyuman manisnya. Bibir tebalnya dengan ikhlas hati hendak ditarik membalas senyuman. Tetapi terhenti di pertengahan niat. Wajah pelayan itu diamati, lalu menurut arah tuju anak matanya. Menghela nafas. Baru Yazid tersedar. Senyuman itu rupanya bukan ditujukan kepadanya, tetapi kepada rakan kerja lelaki. Dari jauh sedang bermain mata.

"Kasi air kosong aja." Pandangan kembali dilepaskan ke sekeliling.

"Nak air kosong apa?" Yazid mengangkat muka memandang pelayan itu. Terasa pelik pula dengan pertanyaan tersebut.

"Nak air kosong apa? Air kosonglah! Air kosong pun tak kan tak tahu!" Yazid mengerutkan dahi. Suaranya melengking.

"Tahu! Tapi nak air kosong apa? Yang 'sombong biasa-biasa'; 'sombong bodoh'; atau nak yang 'sombong bongkak'?"

"Opocottt!"

Hampir terangkat Yazid dari tempat duduknya. Terperanjat besar, sebesar-besarnya saat mendengar. Mata dan mulutnya melopong memandang pelayan itu.

"Bodoh sombong? Sombong bongkak? Sombong biasa-biasa? Mak oii... gerunnya dengar! Berapa tu, harga segelas?"

"Pasal belum ada 'GST' lagi, jadi... semua cuma lima-puluh sen aja satu."

Sedar akan kedudukan sakunya, Yazid lega mendengar. "Hmmm... okeylah, buatkan saya satu."

"Dik..." panggil Yazid saat pelayan itu baru mahu beredar.

"Abang nak tanya sikit boleh?" Tanya Yazid sebaik pelayan itu memberhentikan langkah dan menoleh.

"Boleh, silakan nak tanya apa."

"Abang hairan... kenapa dekat sini, makan-minumnya semua ada sombong-sombong belaka?"

"Abang nak hairan apa?" Jawab pelayan itu, "dah namanya 'Gerai Makan Mak cik Sombong'... jadi menunya harus sejajar kan? Nak bisnis mesti ada gimik bang. Baru pelanggan ingat dan tak lupa sampai bila-bila." Beritahu pelayan itu sebelum beredar. Yazid memincingkan mata memerhatikan.

"Dik! Bawak sekali abang punya satu air kosong! Yang 'sombong bodoh' punya ye." Pantas Yazid menoleh saat mendengar sampukan dari arah belakangnya. Suara yang kedengaran, seperti dia kenal.
Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.