Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,010
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2


Anak semata wayang; iaitu anak tunggal; Liza Wati adalah anak kesayangan Puan Sharifah Ummah El-Edrus, seorang ahli perniagaan berjaya. Ayahnya, senang dipanggil dengan panggilan Ayahanda Chik oleh setiap kenalan, adalah bekas Kapten tentera udara yang sudah pun bersara. Kini seorang ahli perniagaan juga menurut langkah ibu Liza Wati. Liza Wati yang sudah pun tamat pengajiannya di UITM, sedang menimbang duduk perkara. Samada mahu meneruskan pelajaran, atau pun bekerja sahaja. Buat masa ini, dia hanya menghabiskan masa duduk di rumah membaca novel dan melayan Mukabuku.

Bersantai di ruang tamu; Liza Wati yang berambut ikal mayang; panjang mengurai, dengan lembut jarinya yang halus-mulus perlahan memintal. Liza Wati tersenyum. Merekah manis bibirnya yang merah dan nipis. Lama skrin komputer riba 'Apple'nya direnung, cuba merungkai erti-makna mesej di kotak pesanan.

"Siapa Azman Hussin? Cuba beritahu!"

Liza Wati menggeleng. Terasa lucu bila diulang-ulang baca mesej itu. Hati rasanya bagaikan digeletek. Hendak berdekah sahaja ketawa. Tetapi dia bertenang menahan diri.

'Hmmmm... harus dijawab ke? Macam-macamlah awak ni Yazid.'

Liza Wati menyandar di sofa empuk di ruang tamu itu. Segelas susu hangat yang terletak di atas meja di hadapannya dicapai. Diteguk sedikit, lalu matanya kembali dituju ke arah skrin. Sekali lagi Liza Wati menggeleng. Secepat kilat jari menyinggah ke kunci kekata. Tetapi hanya setakat itu sahaja. Jarinya terhenti. Kaku tidak berganjak untuk terus menekan butang kunci kekata. Tidak tahu apa yang harus dibalas. Beku otak! Serba-salah jadinya. Dicapai iPhone-nya yang berada di sisi lalu Liza Wati membuat panggilan.

"Assalamualaikum, Hayyu..." suara Liza Wati sebaik deringan di hujung talian dijawab.

"Waalaikumsalam... hah Liza, apa khabar kau?" Salam dibalas dengan ramah oleh Nurhayyu, kawan lama Liza Wati sejak dari bangku sekolah rendah sehingga ke UITM bersama melangkah. Persahabatan yang terjalin sejak hari pertama mengenal sekolah, kekal kukuh hingga ke hari ini.

"Alhamdulillah, baik. Kau tengah buat apa?" Tanya Liza Wati memulakan bicara.

"Tak buat apa-apa. Tengah bersantai baca novel. Apa hal? Macam ada yang tak kena aja bunyinya."

"Yazid tu 'inbox' aku lagi." Liza Wati beritahu dengan wajah kalut.

"Dia cakap apa? Apa yang dia nak?"

"Dia tanya siapa Azman Hussin," dengan pantas Liza Wati menjawab.

Ketawa Nurhayyu di hujung talian menyinggah telinga Liza Wati. Dia hanya tersenyum. Nurhayyu dan Liza Wati, walaupun sikap dan sifat mereka berdua jauh berseberangan seperti langit dan bumi, namun keserasian wujud. Mereka sekepala dalam banyak segi dan hal. Saling mengenal diri, luar dan dalam.

"Sebenarnya dah berapa lama ni, kau kenal si Yazid tu dekat facebook?" Nurhayyu mencari kepastian sesaat kemudian.

"Hmmm... adalah dekat dua bulan."

"Baru dekat dua bulan? Kau biar betul? Kau dah cukup kenal dia ke?"

"Taklah begitu kenal. Okey-okey aja."

"Habis tu?" Sampuk Nurhayyu.

"Tapi apa yang aku tahu; masa baru kenal dulu dia ada cakap dengan aku, dia tu bercita-cita nak jadi pelakon," jelas Liza Wati. "Bapak dia pulak bangkang. Sebab nak dia lanjutkan pelajaran ke luar negara. Dia jadi serba-salah. Itu yang dia beritahu aku."

"Serba-salah kenapa pulak?" Tanya Nurhayyu hairan.

"Sebab bapak dia tu nak satu hari nanti, dia uruskan bisnis keluarga. Itulah yang dia cakap."

"Humangaii... kelas gitu! Macam hero dalam novel pulak aku dengar kisah dia." Kata Nurhayyu sambil ketawa. "Habis... dia tu nak jadi pelakon, hensem sangat ke muka dia?"

Liza Wati tergelak kecil. Pertanyaan Nurhayyu kedengaran lucu. Kekalutan yang tergantung di wajahnya hilang.

"Bolehlah tahan juga. Aku tengok foto dalam facebook dia, ada jugalah mirip-mirip arwah Salleh Kamil."

"Arwah Salleh Kamil? Mak datuk! Dahsyat! Terbayang sekejap di mata, betapa ganasnya muka dia saat tengah menggoda aku. Misai yang mampu menggoncang sukma, pasti menyerlah depan muka." Terkekeh Nurhayyu.

"Kau pulak macam mana, tak tergoncang ke?" Sambung Nurhayyu lagi. Gelak Nurhayyu spontan memekakkan telinga Liza Wati.

"Adalah sikit-sikit. Tapi taklah hebat mana," Liza Wati turut tergelak.

"Aku yakin, kau cuma tengok muka dia dari tepi aja. Itu sebab muka dia nampak macam arwah Salleh Kamil, kan? Tapi aku yakin, kalau kau tengok dari depan... aku pasti, muka dia mesti macam Salleh Yakob! Betul tak? Salleh Yakob pun ada misai kan?"

Berderai ketawa keduanya. Terkekeh Nurhayyu mengusik sahabatnya. Tahu benar Liza Wati seorang yang bukan cepat melatah. Tidak mudah ambil hati.

"Habis... sekarang ni apa masalah kau pulak?" Tanya Nurhayyu kemudian di hujung ketawa.

Liza Wati tiba-tiba terdiam. Wajahnya jadi keruh. Seketika sepi menyapa.

"Aku tak tahulah apa nak balas mesej dia. Entahlah, Hayyu."

"Hei Iza... dekat facebook ni, kau jangan percaya sangatlah dengan sesiapa. Banyak penipu engkau tau tak. Macam-macam perangai ada. Kaki menyamar ni, janganlah cakap. Berlambak weii! Inilah satu-satunya dunia yang mana dengan sekelip mata saja lelaki boleh jadi perempuan, perempuan pulak boleh jadi lelaki. Semua dengan 'seketik' jari aja. Hati-hati, kawan! Macam-macam ada di facebook ni!"

"Iya, tu aku tahu. Memang banyak juga dalam facebook ni tak ikhlas jadi manusia. Ada yang berlagak baik dan alim tapi sebenarnya zalim. Tak kurang juga yang tak punya apa-apa tapi berlagak kaya melangit. Romeo mengalahkan buaya pun jangan cakaplah... bersepah."

"Liza weii... entah-entah kau punya Salleh Kamil 'look alike' tu pun sama tak? Entah-entah dia ni pun buaya bertopengkan cicak." Gelak Nurhayyu mengusik. "Eh, dia tu kurus ke tak? Kalau kurus, memang sah dia tu kes buaya guna topeng cicak kubing!"

Liza Wati tumpang gelak. Rasa senang dan terhibur dengan gurau-senda Nurhayyu. Tidak pernah kering dengan idea hendak mengusik. Terbayang sebentar di benak Liza Wati wajah Yazid yang seperti arwah pelakon hebat veteran tanah air itu.

"Eh, taklah. Aku tak rasa dia macam gitu. Biasa-biasa aja dia tu aku tengok. Selama ni aku berbual dengan dia di 'inbox', tak ada pun dia kurang ajar atau nak macam-macam dengan aku. Sejauh ni aku tengok... dia cukup sopan dan hormati aku." Tangkis Liza Wati senget. Jari di komputer ribanya meraba-raba butang kunci kekata.

"Gini... kalau kau nak tahu dia bertopeng ke tidak; bila kau jumpa dia nanti, kau tengok muka dia betul-betul. Kalau muka dia tu nampak ketat semacam, sah dia bertopeng! Sebab kau sendiri tahu muka buaya besar mana, kan? Kalau pakai topeng muka cicak, mana boleh muat. Betul tak?"

Begitu juga ketawa Liza Wati berderai. Hati bagaikan sahaja digeletek-geletek dengan apa yang baru didengar. Sebagaimana Liza Wati, di hujung talian kedengaran berdekah Nurhayyu ketawa. Sendiri tidak dapat menahan rasa lucu dengan lawak bodohnya. Mengesat cairan jernih yang bergayut di hujung mata, Liza Wati bersuara dengan ketawa masih bersisa.

"Hayyu, engkau rasa apa aku harus balas mesej dia? Kau ada idea tak?"

"Nak balas apa? Cakap aja apa yang betullah! Susah apanya?"

Liza Wati tidak menjawab. Berdiam; jauh dia memikirkan, menimbang apa yang dicadangkan Nurhayyu. Wajah Yazid dan Azman Hussin seketika bergilir bermain di ruangan mata. Bersekutu di dalam dadanya.

'Siapa Azman Hussin? Cuba beritahu!' Mesej itu kembali matanya perlahan menuju.

"Okey Hayyu... nanti ada apa-apa aku call kau."

"Okey, jangan lupa melapor pada aku perkembangan seterusnya antara Yazid dan Azman Hussin. Dua jejaka Tanah Semenanjung Melayu yang sedang hangat dewasa ini!" Nurhayyu mengakhiri bicaranya dengan gelak ketawa. Liza Wati hanya tersenyum mendengarkan. Mata terlekat, tepat di skrin komputer ribanya. Kembali menyandar di sofa, Liza Wati menghela nafas panjang. Benar-benar berasa serba-salah. Galau jadinya. Liza Wati memejam mata. Berusaha menenangkan diri

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.