(Maaf, ada beberapa nama telah ditukar di dalam buku)
"Selamat tengah
hari." Balas Datin lembut dan bersahaja. Nada suara rendah. Senyuman,
tampak murah di wajah.
Pantas Ismail menurut langkah ceria Datin
Maznah Ismail, dari belakang seperti anak kucing mengekori ibunya menuju ke
meja pejabatnya yang tampak gah. Meja yang diperbuat dari kayu jati berukuran
hampir dua meter itu, walaupun sekali sepuluh orang ditugaskan mengangkatnya,
sudah pasti juga akan tercungap. Yazid yang tercongok duduk melekat di sofa
memerhatikan Datin melintas di depannya, sama sekali tidak diendahkan. Seperti
sahaja di saat itu, Yazid tidak wujud sama sekali.
Mengenakan baju Kurung Peplum ala Saloma
berwarna ungu, dan ditutup kepalanya dengan sehelai selendang yang warnanya
sama, Datin Maznah Ismail kelihatan begitu anggun dan menarik.
Paras rupanya sederhana. Tidak begitu tinggi,
tidak juga rendah. Namun walaupun orangnya sudah agak berusia, umur sekitar
awal 50an, kejelitaannya jelas masih unggul dan menyerlah. Keharuman minyak
wangi yang pastinya berjenama, menyelinap menguasai ruang pejabat itu.
'Wow! Ini Datin? Macam artis! Cantik dan
bergetahnya. Hmmm... harap-haraplah aku diterima kerja. Bahagialah aku hidup
hari-hari!'
Penuh harapan hati Yazid. Mata tidak
berganjak. Melekat terus dengan tajam memerhatikan Datin yang sedang sibuk
berbincang dengan Ismail di mejanya. Dari kejauhan dalam diam, wajah Datin yang
jelita, mata jantannya mengamati dan menikmatinya.
"Saudara Yazid... " tersentak Yazid
dari angan-angan sebaik Ismail memanggilnya. Hancur berkecai istana yang sedang
dibina di udara, "sini mari. Datin mahu jumpa."
Jantung Yazid kembali berkompang kencang.
Beralun keras. Segala sendi tiba-tiba lemah dan longgar. Muka memucat seperti
mayat. Seketika dia berasa dirinya lumpuh.
"Yazid, sini mari. Datin mahu
berjumpa."
Dipanggil Ismail sekali lagi dengan suara agak
tinggi saat melihat Yazid masih terpaku di sofa. Di saat itu juga Yazid dan Datin
Maznah Ismail bola mata mereka berlaga, apabila Datin menjengahkan kepala dari
Ismail yang sebentar menghadang pandangannya.
Percikan cahaya di mata Datin membuat Yazid
bagaikan dipukau. Begitu sahaja dengan dia bingkas bangun dan menuju ke arah
Datin. Matanya tak berkedip. Wajah Datin yang sepi dari senyuman, yang kian
saat kian mendekat, bagaikan sahaja mahu menelannya bulat-bulat.
'Ya Allah... lindungilah aku ya Allah.
Lindungilah hambamu ini dari segala macam bahaya manusia. Lindungi aku ya
Allah.'
Yazid berdoa dalam gementar. Seolah-olah di
saat itu dia benar-benar di dalam keadaan bahaya. Menjadi-jadi gementarnya saat
Datin memberi isyarat lewat mata menyuruh Ismail beredar meninggalkan mereka
berdua. Kepala lutut Yazid jatuh ke lantai.
"Se... lamat siang Datin," dengan
suara terketar Yazid memberi hormat yang sewajarnya.
"Sila duduk," ringkas Datin
menjemput sambil melirik Yazid.
Menunduk dengan langkah berat Yazid bergerak
ke kerusi yang empuk itu. Kerusi kusyen yang berwarna hitam, tidak kurang
gahnya, perlahan Yazid melabuhkan punggung. Yazid menghela nafas berat berusaha
menyelesakan diri. Buat kedua kalinya, bola mata mereka berlaga. Kali ini
berjarak dekat. Yazid tergamam.
"Sila beritahu nama awak, umur, status,
kebolehan, hobi, makanan kegemaran dan cita-cita awak," pinta Datin sebaik
berempat mata. Suaranya menggaung. Lembut tetapi tegas. Menyandar santai di
kerusinya yang diperbuat dari kulit berwarna hitam juga, wajah Yazid diamati
dengan sorotan mata yang tajam.
"Errmmmm... ermmmmm," Yazid menggaru
kepala seperti mencari akal. Mulut terasa berat hendak meluahkan suara. Yazid
berkali-kali menelan ludah.
"Apa... nama sendiri pun boleh lupa? Dah
kenapa dengan awak?" Sinis Datin. Memusing-musing pena 'Cross'nya yang
dipegang dengan kedua belah tangan, wajah Yazid terus sahaja ditikam dengan
matanya yang tajam.
"Bu... bukan lupa, Datin... "
terketar-ketar Yazid. Memaksa diri bersuara. Entah ke mana perginya menghilang
aura dan gaya, suara dan memek muka ala Clint Eastwood hero koboi legenda
Hollywood itu.
"Kalau bukan lupa... habis apa?"
Datin wajahnya mengancam.
Memutuskan pandangan, Yazid menunduk. Sekali
lagi menggaru-garu kepalanya. Dia benar-benar berusaha memburu ketenangan. Dia
tidak mahu ketidakpercayaan diri melenyapkan begitu sahaja peluang yang sangat
diinginkan itu.
Tetap menunduk, Yazid menghela nafas panjang.
Pantas serta-merta mengangkat muka di saat itu juga dan langsung menoleh,
apabila ada bau yang dia cukup kenal menusuk lubang hidungnya.
Kelihatan sedang berjalan menuju ke arah
mereka dengan santai dan memasang senyuman ramah, Ismail, dengan dulang perak
di tangan. Kelihatan ada sebiji cawan duduk di atasnya dengan aura yang
menggoda. Yazid menjengah-jengahkan leher untuk melihat dengan lebih jelas.
'Alamak! Secawan aja? Tak kan secawan pulak!
Issshhhh... sengal betullah si Mail ni. Bawaklah lebih. Macam tak faham pulak!'
Hati Yazid menjulang harapan melihat kopi
luwak yang dibawa Ismail. Aromanya yang mengganas di udara, terus sahaja tanpa
ada rasa belas kasihan membelasah lubang hidung Yazid.
Memerhatikan Ismail dengan mata tajam
melangkah bagaikan berbisik mendekati mereka, lalu diacung ibu jari kanan
menyeka hidungnya. Layaknya, seperti Bruce Lee pesilat lagenda Hong Kong
menyambut lawannya.
Hampa! Harapan Yazid hampa saat kopi yang
dibawa Ismail disodorkan kepada Datin tanpa mempedulikan perasaannya. Sorotan
mata berubah di saat itu juga bagaikan matahari tenggelam ke barat. Keningnya
turut terangkat perlahan saat cawan itu diangkat Datin. Ismail yang beredar
pergi pun tak diendahkannya.
Tetapi harapan yang runtuh bagai diterjang
angin kencang, tak berlangsung lama. Datin Maznah Ismail di saat itu, bagaikan
mengerti apa yang sedang berlegar di kepalanya. Terpana dan terkesima Yazid.
Bagaikan tidak percaya kopi luwak yang diletakkannya harapan, telah pun menjadi
minuman kegemaran, dengan kedua belah tangan penuh hormat Datin sodorkan pula
kepadanya.
"Untuk apa ni Datin?" Sudah gaharu
cendana pula, Yazid pura-pura tidak mengerti. Wajah terperanjat ditanyangkan
sarat dengan perasaan.
"Tak kan kopi yang sebaik ini untuk
dibuat perhiasan, kan? Kalau bukan untuk diminum," ujar Datin dengan
senyuman yang pertama kali diukir buat Yazid. Bibirnya yang terbentuk cantik,
ditambahkan lagi cantik dengan gincu merah jambu, merekah dengan cantik ke arah
Yazid.
'Alamak! Datin senyum dekat akulah. Hmmm...
manisnya senyuman.' Hati Yazid kembang seperti belon gas terbang ke udara
sambil menerima huluran Datin.
"Untuk awak minum. Biar awak tenang dan
kembali punya keyakinan diri. Minum... jangan segan-segan," lirih Datin
ramah.
Yazid mengangkat muka dari cawan itu dan
menatap lurus wajah Datin Maznah Ismail yang menawan. Kagum! Kagum bukan sahaja
apa yang dipamerkan di luar, malah keperibadiannya. Yazid yang hanya berseluar
jeans, T shirt dan bersepatu getah, sama sekali tidak dipandang rendah oleh
Datin. Dilayan Yazid seolah-olah kedudukan mereka sama rata.
Diakuinya apa yang dikatakan Ismail tadi
tentang keperibadian Datin adalah sesuatu yang benar. Iya, Datin adalah seorang
yang berhemah dan juga baik hati. Melihatkan, begitu pandangan Yazid berubah.
Rasa hormat terhadap Datin yang tertanam, kian mendalam dan bertambah. Rasa
selesa menjelma di dalam diri Yazid.
"Nama saya Yazid. Yazid bin Atan."
Kopi luwak yang yang diberikan Datin, jelas
bekerja seperti minyak pelincir. Mengalir suara lancar keluar dari mulut Yazid.
Kata-kata tidak tersangkak seperti tadi. Dengan senang hati senyuman menggaris
wajah, Datin mengangguk-angguk mendengar.
"Umur saya... dua puluh lima tahun, dan
saya masih bujang," teringat Datin akan anak lelaki tunggalnya yang sebaya
dengan Yazid sebaik dia memberitahu.
"Masih bujang? Kenapa tak kahwin
lagi?" Soal Datin.
"Macam mana nak kahwin, Datin? Sekarang
kahwin bukannya murah. Kebanyakan sekarang yang ada... kahwin dah macam jual
anak. Macam mana nak kahwin kalau tak ada duit? Inilah nak kerja, nak kumpul
duit dulu supaya tak jadi bujang terlajak."
Datin tidak dapat membendung ketawa. Yazid
yang sudah selesa mempamerkan belang, sikapnya yang selamba mencuit hati.
Dengan telunjuk kanan Datin menyeka kedua hujung matanya yang bergayut air
jernih.
"Bagus Yazid, punya pemikiran yang
seperti itu. Kerja itu adalah satu amanah dan tanggungjawab. Jadi manusia
jangan pemalas. Harus berusaha dan bekerja keras untuk mencapai apa yang
diimpikan. Sedangkan semut yang sekecil itu saja tak pernah kenal erti penat
dalam berusaha. Ini kan lagi kita manusia yang Allah kurniakan kudrat dan akal
fikiran?" Kata Datin sambil memerhatikan bibir tebal Yazid berterusan
bersebibir dengan cawan itu. Sambil menikmati kopi itu, Yazid mengangguk. Dalam
hati setuju dengan apa yang dikatakan Datin.
"Habis... sekarang ni masih 'single' ke,
atau dah 'double'?" Lebar senyuman Datin saat melontarkan pertanyaan itu
sebentar kemudian.
Meletak cawan kopi di atas meja, seketika
Yazid berdiam. Menyandar di kerusi, kepalanya mendongak. Matanya tertancap ke
dada siling bagaikan sedang menonton sebuah tayangan filem. Hati mengeluh
panjang saat terbayang wajah Liza Wati.
"Kenapa? Ada apa-apa masalah ke?"
"Entahlah, Datin. Susah saya nak
cakap."
"Cuba awak cerita sikit, saya nak
dengar."
Mungkin sudah tertulis di Azali, perkenalan
yang singkat itu terasa seperti sudah lama saling mengenal. Keakraban dan
kemesraan, terjalin dengan sendirinya dalam sekelip mata. Tanpa Yazid sedari,
dia dengan sikapnya yang selamba, begitu sekali Datin senangi.
"Saya sebenarnya ada kenal satu perempuan
ni dalam Facebook," Yazid mengisahkan setelah agak lama berdiam. Dengan
penuh minat, Datin mendengar, "saya mengaku yang saya suka dengan dia.
Tapi... saya tak tahu pulak dia suka dengan saya ke tidak. Dan apa yang saya
tahu... dia ni memang banyak yang minat."
Dalam Datin tersenyum mendengar apa yang
diceritakan Yazid, sinar matanya mengkilat terpantul simpati. Sepertinya, apa
yang dirasakan Yazid, dapat Datin merasakannya juga.
"Hmmm.... maaf Datin. Saya nak tanya
sikit, Datin jangan marah ye," Yazid yang keyakinan dirinya sudah lama
kembali, dengan selamba bersuara.
"Silakan. Saya akan mendengarnya dengan
akal fikiran. Saya janji akan ketepikan perasaan. Sila tanya."
"Betul ye Datin tak kan marah?"
Datin mengangguk memberi jaminan.
Sebentar hening menyapa bagaikan Malaikat
melintas lalu. Sebentar juga Yazid bagaikan teragak mahu menyuarakan apa yang
ingin disampaikan. Datin yang siap memasang telinga, Yazid menjatuhkan mata ke
arah wajah yang setenang danau itu. Menghela nafas dalam, Yazid mengumpul
keberanian.
"Maaf cakap... " lirih Yazid,
"Datin ni sebenarnya... 'interview' saya kerja atau 'interview' kisah
hidup saya? Hairan juga saya dengar pertanyaan-pertanyaan Datin."
Begitu Datin tergelak mendengarkan. Pada masa
yang sama kagum dengan keselambaan dan keberanian Yazid. Menyeka lagi air mata
di hujung ketawa, dengan senyum lebar Yazid ditatap.
"Yazid, buat pengetahuan awak... saat
tadi saya menawar awak kopi... itu memberi erti saya sudah pun menerima awak
menjadi pekerja saya, " jelas Datin tenang setenang wajahnya, "Saya
menerima awak dengan hormat, kerana saya percaya... jika saya mahu pekerja saya
menghormati saya, pertama, saya harus menghormati mereka dulu. Itulah pegangan
hidup saya, Zid. Orang yang tahu menghormati diri orang lain, adalah orang yang
tahu menghormati diri sendiri. Dan seterusnya akan dihormati orang lain."
"Jadi... maksud Datin... saya dapat kerja
ni?"
Diiring senyuman lembut Datin mengangguk.
Memandang Yazid yang wajahnya seperti sedang merenung maut.
Kagum, sebak, dan gembira, perasaan itu
berganding terbang menghinggap diri Yazid dalam pada waktu yang sama. Seketika
Yazid hilang kata-kata. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Sebentar memejam
mata, Yazid mengurung dirinya dalam kesyukuran pada Allah yang telah memudahkan
laluannya.
"Esok pagi jam lapan awak datang jumpa
Ismail. Dia akan beritahu apa tugas awak dan mana yang perlu. Tahniah Yazid.
Saya jumpa awak lagi esok."
Yazid yang sedang berjalan menuju ke pintu,
Datin terus memerhatikan. Yazid yang bersepatu getah, berT-shirt putih lengan
pendek dan jeans yang lusuh, atas bawah Datin mengamati. Dia mengalihkan
pandangan ke Ismail yang sudah berdiri berhampirannya sebaik Yazid melangkah
keluar.
"Pastikan pemandu peribadi saya
berpakaian kemas. Esok setelah awak selesaikan apa yang perlu dengannya, awak
tahu apa yang harus dibuat."
"Baik Datin. Esok saya akan penuhi semua
permintaan Datin. In sha Allah." Ismail orang kepercayaan Datin, memberi
jaminan.