Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
92,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

"Eh, minah... jomlah kita pekena kopi! Meh la... aku belanja!"

Liza Wati pada ketika itu sedang sibuk membelek telefon bimbitnya, terkejut dengan sergahan Nurhayyu yang agak kasar. Diangkat mukanya memandang Nurhayyu yang sedang tersengih. Tajam merenung, Liza Wati menggeleng.

"Aku ni kekadang heran tengok bahasa kau, Hayyu. Kasar benar. Sopanlah sikit berbahasa tu. Kita ni kan perempuan." Dengus Liza Wati sambil menjeling manja.

"Alaaa... bukannya ada orang dengar. Kita berdua aja kan?" Jawab Nurhayyu sambil mencubit lembut pipi gebu Liza Wati.

"Memanglah tak ada orang dengar. Tapi kalau diamalkan selalu, lama-kelamaan jadi kebiasaan pulak. Bila dah jadi kebiasaan, masa tu depan orang ramai pun dah rasa tak apa-apa lagi. Segan-silu pun hilang," sebentar Liza Wati berkeluh, "Kita ni kan orang Melayu, perempuan pulak tu. Kesopanan tu kan nilai harga diri kita!"

"Liza..." panggil Nurhayyu, "aku tak terperanjatlah kalau kau ni jadi perempuan Melayu terakhir. Jadi rebutan dua jejaka terhangat Tanah Semenanjung Melayu!"

Terkekeh Nurhayyu di hujung usikan. Hingga terdongak kepala sambil memegang perut.

Mengerutkan kening melirik Nurhayyu, Liza Wati menyoal, "dua jejaka terhangat Tanah Semenanjung Melayu? Siapa tu?"

"Alaa... pura-pura tak tahu pulak! Siapa lagi kalau bukan dua jejaka macho dan hancur, iaitu Azman Husin dan Yazid Atan!" Kata Nurhayyu dengan ketawa masih bersisa.

Begitu juga dengan pantas Liza Wati menekap mulut menahan gelak. Tercuit dengan usikan itu. Nurhayyu yang duduk disampingnya di buaian perkarangan rumah Liza Wati, kembali memegang perut tergelak sakan.

"Kau ni macam-macamlah Hayyu. Ada aja idea nak usik orang." Liza Wati mencubit lengan Nurhayyu sambil menahan ketawa.

"Liza..." Suara Nurhayyu setelah ketawanya reda, "aku tahu kau di facebook ni memang banyak peminat. Aku jugak tahu, dua mamat ni memang paling menonjol sekali dalam hidup kau. Aku heran... apa ada pada si Yazid tu? Sampai buat kau condong juga dengannya. Kalau si Azman tu... okeylah aku faham, kau dah kenal dia lama."

Memaut bahu Liza Wati dengan lembut, Nurhayyu mengusik. "Jika diberi pilihan... mana satu kau pilih? Yang macho ke atau yang hancur?"

Sekali lagi berderai ketawa Nurhayyu. Semakin menjadi-jadi pula gelaknya apabila melihat Liza Wati yang hanya mampu tersenyum. Nurhayyu memegang perut lagi seperti ditikam keris.

Namun Liza Wati tampak tenang. Renungannya jauh, seperti sahaja dia sedang memikirkan sesuatu.

"Weiii, minah! Kenapa diam? Nak suruh aku tolong pilihkan ke apa?" Sergah Nurhayyu lagi dengan ketawa masih lagi bersisa. Hati berasa senang sesekali berkesempatan dapat mengusik Liza Wati.

Liza Wati hanya menggeleng saat melihatkan Nurhayyu yang kembali ketawa. Dia cukup faham dengan sikap Nurhayyu. Senang bersenda dan bergelak.

"Mari, kita pergi minum," menyentuh lembut tangan Nurhayyu yang masih memaut bahunya, Liza Wati mengajak.

"Dekat mana?" Tanya Nurhayyu sambil menyeka kedua matanya yang basah.

"Jom kita pergi Starbucks, dekat bandar. Aku belanja."

"Aikkk! Tadi aku cakap nak belanja kau... sekarang kau pulak nak belanja aku? Hmmm... iyalah, rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari. Tapi kalau musuh yang mencari... kita tolak jauh-jauh, ye!"

Mengangguk setuju, senyuman Nurhayyu dibalas.

"Tak apa. Anggap saja hari ni hari aku. Lagi pun... aku ada sesuatu nak tunjukkan pada kau!"

"Nak tunjukkan sesuatu? Apa benda, minah? Tunjukkan apa?"

"Tenang. Dekat Starbucks nanti aku tunjukkan."

Meninggalkan Nurhayyu sendirian di buaian, Liza Wati masuk ke dalam rumah menyalin pakaian. Datang semula tidak lama kemudian dengan berbaju kurung moden berwarna biru muda dan dipadankan dengan 'shawl' yang warnanya hampir senada. Kejelitaannya terserlah. Benar-benar memancing setiap mata yang memandang.

"Wahhh... memang terbaiklah kau Liza! Mengkagumkan! Mengalahkan artis betullah kau ni!" Nurhayyu melahirkan rasa kekaguman yang ikhlas saat Liza Wati datang menghampirinya.

"Apalah kau ni! Ada-ada aja." Tersipu Liza Wati. "Apanya yang macam artis? Biasa-biasa ajalah!" Balas Liza Wati sambil membuat-buat muka.

"Kau tengok! Biasa-biasa aja dah macam gini... apa lagi kalau kau pakai yang luar biasa?" Puji Nurhayyu melangit sambil mata membelek pakaian dipakai Liza Wati. "Padanlah si mamat-mamat dekat facebook tu semua boleh cair dengan kau! Sampaikan dua jejaka terhangat tu pun boleh jadi angau!"

Gelak sakan Nurhayyu sambil mereka berjalan menuju ke garaj kereta Liza Wati. Tersenyum sambil menjeling manja, Liza Wati menjawab usikan Nurhayyu tadi dengan satu tamparan lembut di lengan rakannya itu.

Mini Cooper berwarna merah itu meluncur meninggalkan 'Villa Feringgi', yang letaknya di tepi jalan menghadap lautan Selat Melaka tidak lama kemudian. Jalan sempit berbengkang-bengkok menuju ke arah bandar, dengan penuh hati-hati Liza Wati meredah. Nurhayyu yang duduk di samping Liza Wati, melemparkan pandangan ke luar tingkap, menjamu keindahan lautan yang terbentang. Sebentar dia hanyut, tenggelam dalam lamunan.

"Hayyu... apa cerita? Jauh termenung? Ada masalah ke?"

Tidak seperti tadi wajah ceria ditunjukkan Nurhayyu, kini wajah itu suram sebaik matanya yang mengkilat berkaca dikalih memandang Liza Wati.

"Kau tak malu ke Liza, jalan dengan aku yang berpakaian macam gini? Sedangkan apa yang kau pakai... "

"Eh! Dah kenapa dengan kau ni, Hayyu?" Liza Wati pantas memotong dengan suara agak meninggi, "Kau jangan cakap macam gini boleh tak? Aku tak sukalah!"

Nurhayyu memutuskan pandangan. Membawa diri kembali melayan perasaan. Dilepaskannya lagi pandangan ke arah lautan yang tampak begitu tenang. Permukaannya terlihat keemasan. Disimbah pula dengan cahaya matahari menjelang senja, bagaikan sahaja sedang berdiam mendengar Nurhayyu meluahkan rasa. Kehidupannya serba susah, tidak berpunya sepertimana Liza Wati yang dilimpahi kemewahan.

Nurhayyu sedar, dia bukan anak orang berpunya seperti Liza Wati. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Ayahnya pergi menyambut seruan Ilahi ketika dia masih berumur hingusan. Ibunya pula, semenjak kehilangan suami tercinta, telah berusaha bertungkus-lumus demi untuk membesarkan dia dan kakaknya yang berusia dua tahun lebih tua darinya. Walaupun kesusahan menghimpit, ibunya berikrar tidak mahu berkahwin lagi kerana cinta yang mendalam terhadap suami. Apabila dewasa dan sekarang sedang menyambung pelajarannya di Universiti Teknologi Mara (UITM), dia memasang cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Untuk merealisasikan cita-cita itulah, dia membulatkan tekad. Memaksa diri bekerja sambil belajar untuk mencari pendapatan lebih demi menggapai impiannya. Dia masih berusaha mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran setelah menamatkan pengajiannya kelak.

Nurhayyu sering kali terasa kecil saat berada di samping Liza Wati. Dan sering kali juga perasaan itu ditekannya dalam-dalam. Dia yang di waktu itu hanya berblaus labuh dan berseluar jeans longgar, berkerudung biasa-biasa, bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan Liza Wati.

"Hayyu..." panggil Liza Wati. Nurhayyu tidak berganjak pandangan, "Aku tak pernah memandang orang rendah. Baik kawan-kawan aku, baik siapa-siapa saja. Apa lagi kau yang selama ini adalah sahabat karib aku. Tak mungkin aku akan pandang kau macam tu, Hayyu. Bagi aku... semua orang sama. Semua aku pandang sama rata. Tak ada tinggi, tak ada rendah. Tapi... kalau dia orang sendiri yang membezakan diri dia orang di mata aku, aku tak dapat buat apa-apa."

Liza Wati meletakkan tangan ke paha Nurhayyu. Sentuhan mesra yang hangat itu, mengajak Nurhayyu kembali memandang Liza Wati. Namun pandangan Nurhayyu seperti tidak punya jiwa. Tatapannya kosong. Kembali mengarahkan pandangan ke jalanraya, Liza Wati bersuara.

"Hayyu... kenapa harus aku memandang rendah kepada orang yang tak berpunya? Untung apa yang aku dapat? Bertambah tinggi ke kedudukan aku bila memandang orang lain rendah? Rasa megah? Apa sebenarnya yang ada dalam kemegahan? Bila mati nanti... liang lahad orang megah akan berdinding dan berlantaikan mar-mar ke? Cuba kau fikir. Berbeza ke kubur orang yang berada dan yang tak punya apa-apa? Tak ada beza sikit pun Hayyu. Kematianlah yang akan nanti membuktikan kita ini semua sama rata. Jadi... untuk apa bermegah? Itu tak akan membawa kita kemana-mana, Hayyu."

Menjamah Nurhayyu sebentar dengan pandangannya, Liza Wati meraih tangan sahabat lamanya itu. Nurhayyu membiarkan sahaja tangannya digenggam erat. Liza Wati meneruskan kata.

"Hayyu... kau jangan sedih-sedih. Kau harus ingat. Baik kemiskinan atau pun kekayaan... itu semua tidak lain cuma ujian dari Allah. Bukan sesuatu yang abadi. Bukan sesuatu yang akan kita miliki untuk selama-lamanya. Lainlah kalau hidup ni tak ada kematian. Bolehlah kita nak berbangga dengan apa yang kita ada, atau nak bersedih kerana tak punya apa-apa. Allah tu Maha Adil, Hayyu. Diciptanya kehidupan, dicipta juga kematian, untuk memperlihatkan pada kita keadilan-Nya."

"Baguslah kalau kau punya pendirian macam gitu, Liza. Sebab kalau kau pandang rendah orang tak berpunya, nanti pasti kau akan memandang tinggi orang yang lebih daripada kau. Akhirnya kau akan jadi hipokrit." Balas Nurhayyu sambil mengeratkan lagi tangan yang sedang bergenggaman.

"Hayyu... itu sebabnya aku pandang semua orang sama rata. Aku tak mahu jadi manusia hipokrit. Aku mahu bersikap adil. Selebihnya... terpulang pada mereka, mahu bersikap adil pada diri sendiri atau pun tidak."

Kedua pasang bibir itu mengukir senyuman di penghujung bicara Liza Wati. Sinar mata Nurhayyu yang tadi suram, kembali berbinar mendengarkan.

"Liza..." Sambung Nurhayyu, "sikap dan pegangan kau ni-lah, buat aku berasa sangat selesa dan senang berkawan rapat dengan kau. Tak pernah pun selama ni aku tengok, kau berlagak atau menunjuk-nunjuk akan kekayaan kau. Cara kau... bukan saja aku kagum, malah buat aku jadi sayang dekat kau."

Mata tidak berganjak, tetap terhala ke jalanraya, Liza Wati membalas.

"Sikap dan pendirian kau pun sama, Hayyu. Tak pernah ada rasa iri dan dengki dengan kelebihan orang lain. Aku, juga kawan-kawan kita yang lain, suka dan sayang sangat pada kau. Aku kagum dengan sikap kau, Hayyu..."

Sebentar saling berpandangan, hati erat berdakapan. Lembut Nurhayyu bersuara.

"Liza... untuk apa harus aku menentang ketetapan Allah? Bukankah dengan bersikap iri dan dengki itu sama saja seperti menentang kemahuan-Nya?" Berhenti seketika menghela nafas, Nurhayyu meneruskan, "sikap-sikap seperti itu jelas tidak akan menambahkan rezeki yang dah Allah tetapkan buat aku, malah Dia akan menyempitkannya kerana murka dengan sikap aku. Allah beri kita akal dan fikiran, bukankah itu buat menangkis segala bisikan syaitan yang terus menghentam dada? Iri dan dengki... itu tidak lain cuma satu kebodohan. Untung apa bersikap gitu?"

"Itu sebabnya, aku tak pernah berbangga dan bersikap riak dengan apa yang aku ada. Aku pun tahu itu tidak lain cuma satu kebodohan. Itu sifat dan sikap iblis," pantas Liza Wati mencelah.

Tergelak Nurhayyu, seperti biasa kembali memperlihatkan sikap semula jadinya. Tangan yang sedang bergenggaman erat, kian erat digenggam atas ikatan yang bersandarkan pada keikhlasan, kejujuran dan kebersihan hati dalam perhubungan.

"Jangan sedih-sedih ye, minah. Nanti aku pun jadi sedih." Usik Liza Wati sambil menjeling manja.

Berdekah pula Nurhayyu mendengar bicara Liza Wati. Namun jelas, air bening kelihatan menghiasi kelopak matanya. Kesedihan yang meraja dihati, ditekan dalam-dalam. Cuba mengusir, agar tidak terus-terusan bergayut di dasar jiwanya.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.