Rijal menghempas
punggung ke pelantar gazebo di taman hospital lalu badanya turut rebah terbaring,
dan mulalah akalnya menjelajah entah ke mana. Wajah Sufie muncul sejurus itu.
Wajah pucat yang telah membuatkan dia terpaku. Entah mengapa wajah pucat Sufie
sering menyerang ingatan sejak semalam. Mungkin kerana itu, dia bersungguh mahu
melawat Sufie.
“Muka
albino tu muncul tak kebah-kebah. Menyusahkan. Ke aku dah… Tak mungkin. Tak
mungkin.”Rijal merenung langit dari sisi gazebo. “Gila…Gila. Gadis tu.”Terjungkit kening dia. “Ah…Mengarutlah,”ketawa menyusul.
Ketawa Rijal mati sebaik
melihat semakin ramai pelawat berpusu di hadapan gate utama. Dia yang teruja
bangun menghayun langkah. Jam ditangan dikerling sepintas. “Lambat lagi.”
Pagi-pagi lagi Rijal
sudah terpacul berhampiran wad wanita. Bila jam menunjukkan angka dua belas tengah hari bajunya sudah sedikit berkeringat. Sungguhpun begitu laju dia berlari bilamana pintu dibuka dan pelawat
dibenarkan masuk, malah dipaksa dirinya berasak ke dalam lif lalu pantas ditekan punat ke tingkat tiga.
Hajatnya hanya satu, mahu mendengar suara Sufie atau lebih tepat ucapan terima
kasih daripada gadis itu.
Sebaik terpandang pintu
wad yang menepatkan Sufie, hatinya girang malah berbunga-bunga. Rambut yang
kemas tersisir, disisirkan lagi. Kolar baju dibetulkan sedikit ke tepi. Tidak
dilupa dihangatkan lagi senyuman. Semakin deras kakinya melangkah kerana mahu
melunasi kemahuan hati. Sebuah bangku panjang di luar pintu sedang diduduki
seorang gadis dengan uniform sebuah bank yang cukup dikenalinya. Gadis itu
memerhatikan geraknya. Anak matanya berbola api, seakan Rijal adalah musuh.
Namun Rijal tetap tenang, dan langkahnya masih laju. Dia mengeluh seketika bila
betul-betul dihadapan pintu yang tertera dengan tulisan timbul ‘WAD WANITA’ Ternyata
dia berdebar dan dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan itu wujud. Belum
sempat pintu dikuak dia sudah dilazerkan oleh gadis beruniform bank yang
memerhatinya sejak tadi.
“Kau
cari siapa? Kau nak ke mana pagi-pagi buta ni?”
Rijal berpaling.
Matanya terbutang. Tarafnya sebagai orang atasan di sebuah syarikat
internasional yang selalu dihormati tergugat dengan kata-kata biadap tersebut.
Gadis itu direnung tajam, setajam helang melayah menyambar mangsa. Seaat dua
rasionalnya memujuk, ‘Sabar sajalah.
Orang gila ada di mana-mana.”
Pandangan tajam Rijal
menyusut bertukar tenang. Lidahnya manja melantun kata. Lembut dan sopan
nadanya, persis kasanova.
“Oh…
Mungkin saya tak perasankan saudari. Pasti orang lain juga tak akan perasan. Melawat
kawan. Maaf saya pergi dulu.”
Makin memincing mata gadis
itu. Nada meluat terluah kasar. “Nama
kau Rijal kan? Anak Datin Abda? Kau ingat senang-senang aku nak lupa muka kau?”
“Saya
minta diri.”Darah Rijal meruap dengan nada gadis
itu. Dia tidak hairan jika gadis itu mengenalinya. Maklumlah usahawan berjaya,
pastilah dikenali. Sempat Rijal sengih bangga. Baginya gadis itu tidak ubah
seperti batuk di kaki tangga.
“Aku rasa baik kau balik. Kedatangan kau tak
dialu-alukan.”
“Kita
pernah berjumpa? Atau mungkin aku terlepas pandang? Kau siapa?”
Rijal menarik pintu
dengan sebal dan gadis itu mengekori dari arah belakang. Malah gadis itu jugalah yang telah menghalaunya kelmarin ketika dia cuba memasuki pintu wad wanita, malah suaranya juga melangit tinggi dan tak mustahil jika pesakit di sebalik pintu dapat mendengar suaranya.
Rijal menyedari, namun
tidak dipedulikan, niatnya mesti dilunasi. Bibirnya kembali melakar senyum. Debar
menendang lagi. Dia hairan mengapa dirinya begitu teruja untuk bertemu Sufie sedangkan
mereka baru pertama kali bersua. Itupun tidak dijangka.
“Rasa
berdebar. Bukan semacam dah ni. Tapi dah dua macam. Apa yang kau debarkan
Rijal, bukan nak melawat kekasih. Si Bedak sajalah.”
Langkah Rijal mati saat
lengan bajunya disentap kasar, sekaligus mematikan senyumnya. Awan mendung
meredupkan hati. Dia berpaling dan seperti dijangka gadis tadi sedang
mencerlang mata tanpa diketahui sebabnya.
Rijal berpusing dan
membalas pandangan menyakitkan itu. Bagi yang menyedari suasana itu bahangnya
terasa. Seorang pesakit menarik jubah putih seorang doktor lalu menunding jari
kepada Rijal dan Afiena.
“Doktor!
Laki bini tengah perang tu. Kalau biar boleh kena sakit jantung orang yang duk
tengok. Pergilah leraikan. Besarrr pahala.”
“Kita
tengok dulu. Salah nasihat, saya pulak yang lebam.”
Doktor muda kembali
meneliti data. Dia kelihatan tenang dengan cermin mata yang dipakai, malah makin
menampakkan karismanya. Sesekali dijeling juga Rijal dan Afiena. Dia harus
berjaga-jaga.
Dengus nafas Afiena
laju, sekaligus menyedarkan Rijal betapa bencinya gadis itu kepadanya. Dahinya
bergaris kerut cuba mengigati wajah di hadapan itu. Sungguhpun begitu hampa
yang menjelma. Berulang kali hatinya membisikkan yang gadis itu tersalah orang.
Atau mungkin gadis itu hanya mahu menjeratnya. Lebih tepat gadis itu perempuan
murahan.
“Balik…
Atau kau nak aku menjerit. Biar kita sama-sama malu. Rasanya lelaki macam kau
ni faham bahasa Melayu.”Afiena
membidas.
“Terpulang.
Aku tak pernah dan tak akan pernah menyerah pada perempuan.”Ditenung
Afiena dari atas ke bawah. Dia menjadi meluat. “Terutama perempuan murah macam kau…”
“Aku
murah. Kau hina. Baik kau berambus sekarang.”Afiena
menyinga lagi.
“Assalamualaikum
Afiena.”Sufie melambai dari hujung katilnya. Dia berada agak
jauh, namun jeritan gembiranya masih mampu didengar Afiena. Sufie terpaksa bergerak sedikit ke kiri kerana
wajah Afiena terlindung oleh badan seorang lelaki yang dia sendiri tidak
kenali.
“ Tolonglah balik. Aku rayu pada kau.”Afiena berwajah cemas. Wajah
menyinganya bertukar menikus.
Terangkat kening Rijal.
Dia tersentak sebenarnya, tidak disangka yang Afiena boleh berubah sebegitu
cepat, malah membayangkan wajah ketakutannya juga adalah mustahil. Akal
ligatnya menyatakan sesuatu telah berlaku.
“Kenapa
kau tiba-tiba takut. Tadi bukan main kau. Apa yang kau takutkan? Aku tahu kau
takut dengan perempuan dekat belakang aku, yang panggil kau tu. Aku pusing
sekarang, lepas tu aku beritahu yang kau
kurang ajar.”Rijal mengacah untuk berpaling dan
sepantas itu lengannya ditarik Afiena.
“Tolonglah!
Tolong balik. Aku merayu sangat-sangat.”
“Kenapa
dengan kau ni sudah macam tikus makan racun. Pucat semacam,”sengih Rijal menyubur.
Sufie agak hairan
kerana Afeina masih tidak menghiraukan walhal dari tadi dia asyik melambai-lambai.
“Dengan
siapalah Fiena tengah bersapa, ralit sampai tak sedar. Mungkin kawan lama.”
Sesekali mata Afiena
memaku Sufie yang masih melambai sebaik matanya menangkap kelibat dirinya.
Titis-titis halus peluh mula membenih di dahi.
“Apa
yang kau mahu sebenarnya Rijal? Tak puas lagi ke kau seksa kak long?”
“Apa
yang kau melalut ni? Siapa kak long? Apa yang sudah aku musnahkan? Aku rasa kau
dah tersalah orang.”
“Salah
orang! Aku masih waras, itu yang perlu kau tahu.”
“Kalau
kau waras, kau tak sebut benda karut marut ni. Kak long kau pun aku tak kenal.
Aku baru tiba dari US dan kau kata aku seksa kakak kau.”
“Betul
kau baru balik, tapi sebelum ni. Kau ingat aku tak tahu apa yang berlaku.”
“Apa
yang kau tahu pasal hidup aku.”
“Kau
lelaki tanpa perasaan. Lelaki yang tak mampu mencintai walau seorang perempuan
dengan tulus. Kau hanya mampu mencintai kemewahan.”
“Dussh” Jantung Rijal
tersentak, seolah tangkai hatinya dicantas. Dia keliru seketika, cuba mengigati
sejarah hidupnya dan dia pasti apa yang dikatakan Afiena tipu semata-mata. Kini
dia benar-benar pasti bahawa gadis di hadapannya itu mengalami kecelaruan emosi
dan halusinasi.
“Apa
yang kau tunggu lagi. Pergi sekarang.”
“Aku
tak akan pergi sebelum berjumpa dengan seseorang dan aku rasa itu bukan masalah
kau,”wajah Rijal merona merah namun pesona tenangnya
masih menyerlah melindungi amarah hati.
“Kau
nak jumpa kak long. Aku tak akan benarkan walau apa yang berlaku.”Afiena
mengancamdalam nada berbisik.
“Satu
penghormatan untuk melihat kebiadapan dari seorang perempuan.”Rijal
menunduk seolah-olah berbesar hati.
Mungkin Afiena terlepas
pandang agaknya, sedar-sedar Sufie sudah berada berhampiran. Seperti biasa
senyuman mulus mekar dari bibirnya.
“Assalamualaikum.
Menggangu ke?”aju Sufie sebelum wajah cerianya
bertukar terkejut sebaik Rijal berpaling. “SubhanAllah”
“Saya
Khairul Rijal,” wajah tenang Rijal senyum sambil
menghulur tangan.
Terbutang mata Sufie sebaik mendengarkan nama tersebut.
Dia terpana, kemudian matanya berkejip-kejip. Badannya sedikit menggigil
manakala nafasnya tersekat-sekat. Afiena yang berada berhampiran meluru memeluk
kakaknya sambil berbisik.
“
Kuburkan saja semua yang patut dikuburkan. Jangan seksa hidup sendiri.”
Afiena menepuk belakang
Sufie seketika. Ketat hatinya masih belum surut. Sungguh dia mahu menghalau
Rijal, namun berbuat begitu akan menjerat cerita malah menggungkap episode luka
lama. Sufie istigfar berkali-kali dan apabila ketenangan kembali dia berkata dengan cukup lunak sekaligus menjentik hati Rijal.
“Waalaikumsalam.
Saya Sufie. Khairunnisa Sufie. Maaf jika kedatangan saya menggangu perbualan Encik Rijal dan Afiena.”
Panahan mata Sufie
meralitkan Rijal. Dia kemudian melantun kata dengan berani.
“Melihat
mata kanak-kanak, seolah-olah melihat kedamaian dunia. Kerana kanak-kanak tidak
tahu apa itu permusuhan. Tapi hari ini kedamaian dunia terpancar dari balik
mata awak.”
Afiena mencebik bibir,
rasa marahnya makin meluap-luap. Tidak disangka Rijal boleh sebegitu tenang
malah dia hadir tanpa diundang. “Macam
mana dia tahu kak long masuk hospital. Dasar lintah.”
“Abang
long nak apa sebenarnya. Tak cukup lagi ke apa yang dah berlaku?”bebel
Afiena. Kalau diikutkan mahu sahaja dibahasakan kau kepada Rijal. Sungguhpun
begitu demi menghormati Sufie dia terpaksa beralah.
Sufie memandang Afiena
seketika sebelum dia senyum dan ketawa kecil. Lucu.
“Fiena
ini bukan abang longlah. Fiena dah tersalah orang. Bukankah Fiena dengan Mek
beritahu abang long dah meninggal. Siap buat kenduri tahlil pun.”
“Maaf
kak long, Afiena betul-betul lupalah. Muka mereka saling tak tumpah.”Afiena kenyitkan mata.
Kemudian dia memandang Rijal dengan penuh meluat dan dia berharap yang Rijal
tidak terkejut dan sesungguhnya lelaki itu tidak terkejut sehingga menerbitkan
rasa hairan Afiena.
‘Pandai
pulak Rijal ni berlakon seolah-olah dia sudah tahu aku dengan mek canang dia
dah meninggal dunia. Mulut aku pun satu, laju sangat.’Luah
hati Afiena.
“Kak
long tertarik dengan ayat yang Fiena baru sebut tadi.”
“Ayat
apanya kak long.”Afiena mula resah, pasti ada yang bakal
menjerat diri.
“Tak
cukup lagi ke apa yang dah berlaku? Ada sesuatu yang kak long patut tahu?”aju
Sufie sambil di pegang jemari Afiena.
Gugup Afiena makin
melular ke segenap saraf, dirasakan penipuannya sudah benar-benar menjerat diri. Terasa kelemasan umpama dibelit ular, walaupun begitu akalnya
ligat mencari jalan keluar. Rijal yang memerhati menjadi sangsi, saat itu dia terfikir benarkah dia di antara watak cerita yang pernah wujud dalam kehidupan dua beradik tersebut. Kalau ya. mengapa tiada satupun berkaitan mereka yang diingatinya. Dia garu kepala yang tidak gatal dengan jari kelingking sambil senyum sinis.
"Mungkin dua beradik ni gila. Siapa tahu."