Azra Aida masih lagi
setia menunggu di tiang masjid betul-betul berhadapan dengan pagar besar,
selari dan lurus menghala ke pintu masuk bahagian wanita Masjid Nabawi,
Madinah. Dalam rasa bimbang dan hati tidak keruan, sempat lagi dia terpana di
situ dek terpegun dengan keindahan Masjid Nabawi di waktu malam,
dipenuhi lampu-lampu, pemandangan langit yang cantik, ribuan manusia dari
pelbagai negara dengan pelbagai gaya dan ragam. “Ya Allah, besar dan cantiknyamasjid ni!. Macam tak percaya aku dah ada kat sini,” Azra
Aida memuji di dalam hati.
Teringat
Azra Aida akan sabda Rasulullah SAW;"Pahala sembahyang di masjidku ini adalah 1000
kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid selain
Masjidilharam"
“MasyaAllah..syukur
atas nikmatMu ini ya Allah.. Syukur kerana Kau memilihku sebagai tetamuMu!”
hati Azra Aida masih lagi berbicara. Tidak putus-putus melahirkan rasa
syukurnya. Dia memandang jam di tangan. Sudah hampir dua jam dia berdiri
menunggu di situ. Orang yang dinanti masih tidak Nampak lagi kelibatnya. Kalau
ikutkan perjanjian tadi, selepas solat Isyak, dia perlu menunggu di situ.
“Ya Allah..mana Ayah ni?. Takkan dia
balik hotel pulak kalau dah buat janji tadi. Kalau tahu menunggu lama macam ni,
baik aku iktikaf aje kat dalam masjid. Boleh sambung mengaji,” rungut Azra Aida
sendirian di situ. Matanya melilau mencari-cari ayahnya di sebalik beribu-ribu
tetamu Alah di situ.
“Tak mungkin Ayah balik sendiri..
Ayah tak cam jalan balik ke hotel. Dia mesti tunggu aku balik sama,” kata Azra
Aida sendirian di situ namun di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa
risaunya dia akan keselamatan ayahnya itu.
Ayah Azra Aida, Pak Aziz sudah
berumur 70 tahun lebih. Seorang pesara tentera yang bekerja sebagai pemandu
teksi. Walaupun Pak Aziz masih kelihatan tegap dan sihat namun Azra Aida masih
risau kalau-kalau ayahnya itu ditolak oleh Jemaah-jemaah umrah dari Negara lain
yang lebih besar fizikalnya dan kasar sikapnya daripada Jemaah Malaysia,
terutama Jemaah daripada India, Indonesia dan Bangladeh.
Masih lagi Azra Aida teringat
bagaimana sukarnya dia berasak-asak merempuh lautan Jemaah umrah wanita
daripada pelbagai Negara itu ketika menziarahi makam Rasulullah s.a.w dan
Raudhah. Entah bagaimana dalam berasak-asak itu, laluan Azra Aida begitu mudah
tanpa sedikitpun rasa ditolak atau dirempuh oleh Jemaah wanita yang lain.
Sedar-sedar, Azra Aida sudah berada di karpet hijau iaitu tapak Raudhah
betul-betul di hadapan sekali. Peluang keemasan itu tidak disia-siakan, Azra
Aida segera menunaikan solat sunat dua rakaat di ruang terbuka itu.
Bersyukurnya dia kerana diberi “peluang” yang terhad itu. Berjurai-jurai
airmatanya sewaktu berdoa dalam sujudnya itu.
Azra Aida memandang sekelilingnya. Perkarangan
Masjid Nabawi ini sentiasa dikunjungi tetamu. Malah, makin menginjak ke
dinihari semakin ramai pula yang bertitikaf di Masjid Rasulullah ini.
Azra Aida dapat merasakan ketenangan
dalam beribadah di sini. Dia sendiri tidak pasti mengapa di sini, segala urusan
ibadah menjadi mudah bagi dirinya. Solat fardhunya sering tepat pada waktunya.
Malah dia sempat lagi mengaji Al-Quran dan bersolat sunat sebanyak mungkin bagi
mengisi ruang waktunya.
“Aku bukanlah orang jahat. Aku jenis
manusia yang suka membantu orang lain. Akupun macam muslimah lain. Berpakaian
menutup aurat dan kurang sangat bersosial dengan lelaki yang bukan muhrim.
Tetapi, mengapa aku susah sangat nak ubah diri aku yang malas solat? Aku tahu
aku berdosa tapi senang je aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa
mendirikannya. Aku lebih mementingkan urusan kerjaku yang kadang-kala
berlarutan sehingga waktu malam daripada berhenti sebentar mendirikan solat
fardhu yang hanya lima ke sepuluh minit sahaja setiap kali mendirikannya!”
keluh hati kecil Azra Aida.
Azra Aida menggelengkan kepalanya
beberapa kali. Terasa malu pada dirinya sendiri. Benarkah itu aku? Azra Aida
tertanya-tanya sendiri. Tanpa sedar dia sudah mengalirkan air matanya.
“Assalammualaikum!” tegur satu suara
garau seorang lelaki dari arah kirinya.
Terperanjat Azra Aida dibuatnya
lantas segera dia menyeka airmatanya yang jatuh ke pipi. Membetulkan letak
tudung labuhnya itu.
“Waalaikumsalam..,” jawab Azra Aida
perlahan. Wajahnya ditundukkan ke bawah, cuba mengelak dari bertentang mata
dengan pemuda di hadapannya itu. Dari sekilas pandangannya itu, Azra Aida yakin
pemuda yang menegurnya itu adalah pemuda Malaysia.
“Err..maaf bertanya, saudari tunggu
siapa? Saya rasa, saudari dah agak lama berdiri di sini.. Ada apa-apa yang
perlu saya bantu?” tanya pemuda itu.
“Ehh..telo Indon pulak! Dia ni dari
Indonesia kot!” sempat lagi Azra Adia bermonolog.
“Err...maaf, saya Ahmad Ziyad
Andika, mutawif dari Rayyan Travel Agency, Malaysia. Saudari dari group mana,
ya?” tanya Ahmad Ziyad Andika dalam telo Bahasa Indonesianya.
“Saya dari..Raudhah Travel Agency.
Pun dari Malaysia. Saya tunggu ayah saya. Dah nak dekat 2 jam ni, ayah saya tak
muncul-muncul,” jawab Azra Aida sambal memandang wajah Ahmad Ziyad Andika.
Entah mengapa, berdegup jantungnya
seketika apabila memandang wajah Ahmad Ziyad Andika. Segera matanya beralih ke
arah lain, takut Ahmad Ziyad Andika menyedari perilakunya itu.
“Ohh.. sudah saya agak saudari tentu
ada masalah. Dua jam tu lama jugak tu! Sudahkah saudari cari di tempat-tempat
lain yang berdekatan? Mungkin ayah saudari tak berapa cam tempat yang saudari
nak tunggu?” tanya Ahmad Ziyad Andika perihatin.
“Sudah.. Dah beberapa kali jugak
saya keluar masuk masjid dan merayau sekitar perkarangan masjid ini sampai ke
penghujungnya tapi tak berjumpa. Nak balik hotel pun..kesian pulak kalau-kalau
ayah saya tiba-tiba muncul,” terang Azra Aida hampir berputus asa.
Ahmad Ziyad Andika kelihatan
berfikir sejenak. Wajahnya yang putih kemerahan itu tampak serius. Sejurus
kemudian, kelihatan dia mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil mulutnya
terkumat-kamit berdoa. Sekali lagi Azra Aida memandang lelaki di hadapannya itu
dengan pandangan terharu.
“Siapa pulak sebenarnya lelaki ni
ya? Dah berjam-jam aku jadi jaga kat sini, tak ada siapa pun yang pedulikan
aku. Tiba-tiba dia muncul. Ya Allah, jika Kau hadirkan dia untuk menolong aku
di sini, syukur Alhamdulillah.. Mohon Kau ‘pulangkan’ semula ayahku, ya Allah.
Tunjukkan ayahku jalan jika dia tersesat, ya Allah! Ampunkan dosa-dosa kami, ya
Allah..,” doa Azra Aida di dalam hati. Matanya berkaca menahan tangis. Jauh di
sudut hatinya, Azra Aida tahu ayahnya sedang “diuji” oleh Allah..
**********************************
Pak Aziz segera bangun dan
berkira-kira untuk meninggalkan masjid sebaik sahaja selesai mengerjakan solat
jenazah. Malam ini kesesakan Jemaah masjid agak luar biasa ramainya. Sewaktu
berasak-asak menuju ke pintu keluar masjid, beberapa kali Pak Aziz ditolak dan
dirempuh oleh Jemaah lelaki yang berfizikal berkali ganda besar dari tubuhnya
itu sehingga hampir-hampir Pak Aziz tersungkur di lantai.
Sebagai bekas tentera, semangat “ketenteraannya” masih lagi menebal
biarpun usianya sudah masuk dalam katagori warga emas. Kalau sudah
sewenang-wenangnya dia dijadikan “punching
bag” dek fizikalnya yang kecil itu, sudah pasti barannya tidak dapat
dibendung lagi! Tanpa memikirkan kudratnya yang tidak seberapa itu, Pak Aziz
turut juga membalas tolakan dan rempuhan itu. Namun yang terjadi, dia sendiri
yang terpelanting ke tepi. Mujur juga dia terjatuh di atas tubuh-tubuh sasa
lelaki berbangsa Arab!
Sebaik Pak Aziz dapat meloloskan diri keluar dari pintu Masjid Nabawi
itu, baru terasa lega di hatinya. Namun dalam masa yang sama dia tidak
habis-habis ‘menyumpah’ kumpulan Jemaah yang berbadan besar yang telah menolak
dan merempuhnya itu. Sudahlah ketika dia bersujud dalam solat tadi, kepalanya
telah dilangkah beberapa kali dan tangannya pula telah dipijak orang. Sakit
betul hatinya!
Pak Aziz menyarungkan selipar di kakinya. “Mesti Azra dah lama menunggu
aku. Pak Arab hampeh tu laa..!” rungut Pak Aziz dengan perasaan sebal sambil
mengorak langkah.
Kira-kira lima belas
minit berkeliling sekitar masjid, tiba-tiba Pak Aziz terhenti dan bingung
sendiri.
“Eh, mana pulak tiang
masjid yang si Azra kata nak tunggu ni? Bukan ke nak sampai ke pagar besar
masjid ni tak sampai lima minit je? Mana pulak laluan yang aku masuk mula-mula
tadi?” hati Pak Aziz mula tertanya-tanya. Pandangannya jadi keliru. Puas Pak
Aziz cuba mengingati laluannya sewaktu masuk ke perkarangan masjid tadi tetapi
gagal. Persekitarannya nampak janggal di matanya. Malah Pak Aziz tidak nampak
satu pagar pun di sekelilingnya, walhal dia memang sedia maklum bahawa Masjid
Nabawi ini mempunyai banyak pagar keluar masuk sekelilingnya.
Pak Aziz menggaru-garu
kepalanya, bingung dengan apa yang dilaluinya. Dia cuba bertanya orang ramai
yang lalu-lalang di situ tetapi mematikan hasratnya itu kerana tidak tahu untuk
bertanya dalam bahasa apa. Hendak menanyakan dengan Bahasa isyaratpun, dia
buntu bagaimanakah caranya. Sudahnya dia termenung di situ, terkebil-kebil
memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang.
“Ayah okay tak? Ingat
tak tiang ni? Kat sini je tau Ayah, betul-betul lurus dengan gate besar ni!” terngiang-ngiang pesanan
terakhir anaknya Azra Aida sebelum mereka berpisah di antara pintu masuk masjid
laluan perempuan dan lelaki.
“Ye laa.. Ayah taulah!
Ingat Ayah ni budak-budak! Kan kita dah dua hari di sini. Esok dah nak ke Mekah
pula,” bentak Pak Aziz namun dibalas dengan sengihan dan gelengan kepala dari
anaknya.
“Rasanya aku sudah
berulang-alik kawasan ni dah berpuluh kali. Mana pulak gate besar ni? Kaki aku pun dah naik lenguh ni!” Pak Aziz merungut
sendirian sambil duduk bersila di atas lantai kerana keletihan.
Namun sebaik sahaja
dia duduk bersila di situ, tiba-tiba ada seorang lelaki menghulurkannya
sesuatu. Secara spontan, Pak Aziz menyambutnya lantas membuka bungkusan itu.
Rupanya lelaki itu memberinya nasi bungkus. Terus darah Pak Aziz terasa
menyirap kerana pasti lelaki itu menyangka dirinya adalah peminta sedekah!
Hendak dimaki hamunnya lelaki itu namun apabila dia mendongak ke atas, lelaki itu
sudah hilang dari pandangan.
Pak Aziz terkedu di
situ. Memikirkan apa sebenarnya yang telah menimpa pada dirinya. Adakah dia
sedang diuji Allah ketika ini? Apakah kesalahan dan dosa yang dia telah lakukan
sehingga dia tidak nampak laluan pulang? Ini baru di Madinah, sudah berlaku
perkara ganjil kepada dirinya. Kalau di Mekah..bagaimana pula? Allah murkakah
pada dirinya? Atas dosa apakah itu? Persoalan demi persoalan menerjah ke kotak
fikirannya.
Tiba-tiba, satu suara
seakan suaranya sendiri bergema; “Aziz, bukankah kau datang ke sini bukan atas
kerelaan kau sendiri? Kau sekadar menemani anak perempuan kau selaku mahram
kepadanya? Kau tidak pernah sekalipun bersungguh-sungguh mahu mengerjakan
umrah!”
Terkedu seketika Pak
Aziz di situ. Tidak terkata malah tidak berkutik pun dari tempatnya. “Ubahlah
niat kau tu..! Bukan semua orang bernasib baik menjadi tetamu Allah. Mengapa
tidak kau manafaatkan peluang yang ada sebelum kau menyesal di kemudian hari?”
Soalan terakhir itulah yang membuatkan Pak Aziz terasa jantungnya bagai
disentap. Tiba-tiba dia meraung di situ..
“Ya Allah.. ampunkan
dosa-dosaku ya Allah! Aku hambaMU yang tidak pernah bersyukur. Aku hambaMU yang
selalu takbur. Hinanya aku di mataMU ya Allah. Bagaimana aku dipandang sebagai
peminta sedekah di sini, begitu jugalah pandanganku kepada kawan-kawan serta
saudara-maraku di Malaysia! Aku manusia sombong, riak dan bongkak, ya Allah. Benarlah
kata-kata arwah isteriku bahawa aku manusia yang pentingkan diri sendiri dan
tidak pernah menghormati perasaan orang lain. Ya Allah..ampunkan aku!!” raung
Pak Aziz bersujud di situ tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang di situ.
Sejurus kemudian,
terdengar suara Azra Aida memanggilnya; “Ayah! Ayah! Laa..Ayah kat sini
rupanya! Puas Azra tunggu. Ayah tak perasan ke Azra tunggu kat tiang ni? Ayah
merayau ke mana?” Soalan demi soalan dari Azra dibalas dengan pandangan bingung
oleh Pak Aziz. Dia memandang sekelilingnya. Di hadapannya tegak tiang masjid
tempat yang dikatakan oleh anaknya itu. Tidak jauh dari tiang itu, tersergam
pagar besar Masjid Nabawi. “MasyaAllah.. rupa-rupanya aku hanya ke hulu-ke
hilir di kawasan ini jugak!” keluh Pak Aziz sambal memadang anaknya, Azra.
Matanya bertembung pula dengan seorang pemuda kacak berjubah putih sedang
berdiri agak jauh di sebelah anaknya, Azra. Namun Pak Aziz tidak mampu untuk
berkata apa-apa..
*********************************************************
Pejam celik, pejam celik tempoh masa yang
ditetapkan oleh pakej telah pun tiba dan Azra Aida serta Jemaah kumpulannya harus
menerima hakikat untuk pulang ke tanah air, meneruskan kehidupan seperti biasa,
mencari bekalan untuk dunia yang sementara ini dan akhirat tempat yang abadi. Perasaan sedih dan hiba sewaktu tawaf
wida’ tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Airmata Azra Aida mengalir
tanpa disedari, semakin lama semakin laju. Dia merenung Kaabah sedalam-dalamnya
dan memandang Kaabah sepuas-puasnya.
“Ya Allah, ya Tuhanku, Janganlah
dijadikan tawaf dan ziarah hamba ini sebagai kali penghabisan di BaitullahMu.
Jika sekiranya ditakdirkan menjadi kali akhir maka hamba pohonkan syurga
sebagai gantinya dengan kemurahan Engkau ya Tuhan Yang Amat Pemurah lagi
Penyayang,” doa Azra Aida di hadapan Kaabah.
Sewaktu di dalam bas menuju ke
Lapangan Terbang Jeddah, masing-masing diam seribu bahasa. Barangkali masih
lagi terbawa-bawa rasa sedih semasa tawaf wida’ atau merenung diri, mampukah
perubahan diri kekal istiqomah setelah melalui fasa penyucian hati dan jiwa.
Begitu juga Azra Aida dan ayahnya yang duduk tenang di bangku belakang.
Bagi Pak Aziz, banyak perkara
yang membuatkan dia sedar sepanjang dua minggu sebagai tetamu Allah di situ.
Dia berdoa agar dia terus diberi kekuatan agar beristiqomah untuk perubahan
dirinya itu. Bagi Azra Aida pula, dia sedar dia terlalu “selesa” dengan nikmat
dunia. Hampir tidak sedar diri bahawa dia hanyalah hamba Allah yang tidak punya
apa-apa. Dia “lupa” tentang pesanan Rasulullah iaitu; “Ingat lima perkara sebelum lima perkara.” Azra Aida melepaskan
keluhan namun berdoa agar Allah tetapkan hati dan imannya.
*******************************************
Penerbangan pulang ke tanahair Azra Aida
bersama kumpulan umrahnya adalah dengan pesawat Saudi Air [komersial flight]
melalui Lapangan Terbang King Abd Aziz, Jeddah. Kelihatan beberapa rombongan
pakej umrah yang lain juga sedang berbaris panjang menunggu giliran untuk
“check-in”.
Kebiasaannya, diperuntukkan sekurang-kurangnya
kesemua Jemaah umrah perlu berada di lapangan terbang selama enam jam sebelum
pesawat berlepas. Di Terminal itu, Azra Aida mengambil tempat di satu sudut
yang agak berdekatan dengan kiosk Coffee Bean.
“Ayah, Azra pergi solat dulu lah yea. Ayah
rehat sini dulu yea,” kata Azra Aida memohon izin Ayahnya menunaikan solat
Jamak Takhir di situ sebelum menaiki kapal terbang. Pak Aziz yang kelihatan
keletihan hanya senyum dan mengangguk sahaja. Azra Aida tersenyum sambil
membawa telekungnya bersama. Azra Aida sedar Ayahnya sudah banyak berubah sejak
kejadian “hilang” di Madinah tempohari. Ayahnya tidak lagi bengis dan panas
baran. Malah, semenjak kejadian itu juga, Pak Aziz lebih banyak menghabiskan
masanya beritikaf di Masjidil Haram. Memahami situasi Pak Aziz, Azra Aida banyak
melakukan aktiviti ibadahnya berseorangan namun atas keizinan Ayahnya juga.
Sewaktu Azra Aida ingin memasuki ruang solat
wanita di Terminal itu, Azra Aida seakan terpandang kelibat Ustaz Ahmad Ziyad
Andika melintas kawasan itu. “Astagfirullah’hal Azim..!” Azra Aida
beristigtifar. Tidak mahu bayangan Ustaz itu muncul di ruang matanya.
Sememangnya dia merasa pelik mengapa di setiap
tempat kunjungannya di kota Mekah itu, dia sentiasa terserempak dengan Ustaz
yang berwajah putih bersih itu! Di Jabal Nur, Jabal Uhud, Masjid Quba’, Ladang
Kurma malah di Jabal Rahmah juga dia terserempak dengan Ustaz itu. Cuma, mereka
berlainan bas dan kumpulan sahaja. Mereka sekadar memandang dan tersenyum.
Kebetulankah itu? Azra Aida sendiri tidak berani mahu memikirkannya. Namun yang
pasti, setiap kali matanya bertembung dengan mata Ustaz itu, jantungnya terus
berdegup laju malah adakalanya nafasnya terasa agak sesak menahan debaran.
“Apalah aku ni..entah-entah Ustaz tu laki
orang! Aku ni pulak yang terperasan lebih! Memanglah Ustaz tu handsome. Kacukan
Arab-Indonesia-Malaysia. Handsome sangat pun, kalau milik orang lain..apa kes!
Tak pasal-pasal aku kena tuduh “desperate” plak.. Ya Allah..jauhkanlah aku dari
memikirkan yang bukan-bukan,” Azra Aida bermonolog sendiri. Terus dia
meloloskan dirinya memasuki ruang solat wanita itu.
Selesai solat, Azra Aida pergi mendapatkan
Ayahnya semula. Pak Aziz yang sedang menunggu anaknya itu tersenyum-senyum
memandang anaknya. “Ayah..tersenyum-senyum ni kenapa? Ayah dah solat ke?” tanya
Azra Aida kehairanan.
“Eh..belum. Kan Ayah tunggu kamu!” jawab Pak
Aziz.
“Habis, yang gembira semacam ni, kenapa Ayah?”
tanya Azra Aida.
“Errr.. tak ada apalah. Okay, Ayah pergi solat
pulak. Kamu tunggu sini yea..,” kata Pak Aziz sambil bangun dari tempat
duduknya itu. Azra Aida pula duduk di tempat ayahnya tadi.
“Apa kenalah Ayah tu..!” bebel Azra Aida
sambil tersenyum mengenangkan kelakuan Ayahnya tadi. Pasti ada perkara yang
melucukan Ayahnya tadi. Bagi Azra Aida, asalkan Ayahnya gembira, dia lega.
Selama ini Azra Aida tahu Ayahnya itu kesunyian semenjak kematian ibunya lima
tahun lepas akibat kanser payudara.
Azra Aida mengambil keputusan tinggal bersama
Ayahnya dan bekerja di daerah yang sama dengan tempat tinggalnya. Walaupun
niatnya untuk menjaga Ayahnya namun atas kesibukannya yang bekerja sebagai
seorang akauntan di sebuah Bank dan Ayahnya pula sebagai pemandu teksi, masa
yang benar-benar mereka berdua dapat bersama ialah pada hari Ahad. Itupun hanya
setengah hari sahaja kerana Pak Aziz akan meneruskan kerjanya sebagai pemandu
teksi sehingga ke tengah malam.
Begitu juga Azra Aida yang selalu kerja hingga
lewat malam. Kadangkala hari Sabtu dan Ahad pun bekerja juga. Azra Aida sangat
komited dengan kerjayanya sehingga mengabaikan segala perihal peribadinya
termasuk teman hidup. Bukan tidak pernah bercinta tetapi dek komitednya dengan
kerja, dia lupa hati orang yang menyayanginya terguris dan terasa terabai.
Azra Aida sendiri mengakui kesilapannya itu.
Justeru itu, sewaktu di Jabal Rahmah, dia berdoa jika ada jodohnya, dia mahu
Allah temukan dia dengan seorang lelaki yang boleh dia harapkan sebagai “imam
dan khalifah” dalam rumahtangganya. Azra Aida tahu, biarpun usianya sudah
memasuki 30an dan boleh juga dikatagorikan sebagai “anak dara tua”, Azra Aida
pasti Allah ada sebab-sebabnya mengapa jodohnya lambat.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Azra
Aida segera mengambil telefonnya yang masih menggunakan simkad Saudi Arabia
itu. “Siapa pulak ni?” tanya Azra Aida sendirian. Namun, deringan telefon
bimbitnya itu terhenti. Seketika kemudian, terdengar deringan pesanan masuk.
Azra Aida membacanya;
Penghantar Pesanan:
Assalammualaikum..
Azra Aida: Waalaikumsalam. Siapa
ni?
Penghantar Pesanan: Saya, Ustaz
Ahmad Ziyad Andika.
Azra
Aida terhenti seketika. Ditenungnya lama-lama telefon bimbitnya itu. “Biar
betul Ustaz yang hantar message ni!” Azra Aida seakan tidak percaya. Bagai tahu
apa yang sedang difikirkan, sekali lagi pesanan masuk:
Ustaz Ahmad Ziyad Andika: Maaf,
saya dapatkan nombor Azra daripada Ayah Azra tadi. Tadi, saya telah berjumpa
Ayah Azra dan telahpun berterus terang.
Azra Aida: Berterus-terang?
Pasal apa ye?
Ustaz Ahmad Ziyad Andika: Err..
jika ada kesudian di hati Azra, saya ingin menyunting Azra sebagai suri hidup
saya. Iya, memang kita tidak saling mengenali tapi saya percaya takdir Allah.
Mungkin ada sebab Allah “temukan” kita di setiap kebetulan di kota Madinah dan
Mekah. Saya percaya Azra sudah temui cinta Allah dan Rasulullah di sini.
Namun, saya percaya.. dalam masa
yang sama Allah anugerahkan kita “cinta insani” di bumi yang barakah ini. Saya
sudah temui bayangan “tulang rusuk” saya di dalam setiap solat istikharah saya
di Masjidil Haram. Pemiliknya adalah gadis bernama Azra Aida binti Abdul Aziz!
Wali sahnya telah saya beritahu,
hanya menunggu jawapan si pemiliknya. Saya akan menanti jawapan persetujuan
daripada sipemiliknya dengan sabar.
Andai jodoh sudah tertulis untuk
kita, izinkan saya menjadi imammu dalam setiap liku perjalanan menuju ke
Jannah. Moga ada kebahgiaan untuk kita..Aamiin…
Berderai airmata Azra Aida sehabis
membaca pesanan ringkas itu. Perasaannya bercampur baur di kala ini. Itukah
jawapannya mengapa degupan jantungnya berdegup laju saat dia terpandang ustaz
itu?
Memang
benar, dia sudah temi cinta Allah dan Rasulullah di sini. Saat dia merasakan
dirinya kosong dan tiada apa-apa, “cinta” itu hadir dalam dirinya. Dia
merasakan dirinya sarat dengan rasa cinta pada Allah dan Rasulnya. Nikmat dan
Zat yang diperolehi atas rasa cinta itu hanya dirinya sahaja yang tahu. Tiada
siapa dapat menggugat rasa kecintaannya itu.
Dan
kini… Allah kurniakan rasa cinta insani yang selama ini dia cuba lupakan kerana
sedar dia tidak sebagus insan lain memberi cinta dan menghargai cinta. Hatinya
kaldu dek ego yang meninggi. Namun, menara keegoannya runtuh dan mudah cair
pabila berhadapan dengan sang jejaka dari seberang itu.
“Anak
ayah… istikharah lah. Temui jawapan dalam permintaan solatmu itu. Ayah sokong
apa sahaja keputusan anak Ayah ni. Moga pertemuan yang penuh berkat ini akan
menemui satu jawapan yang menggembirakan. Bagi Ayah, walau tidak sepenuhnya
mengenali dia tetapi keperibadiannya sudah menyerlahkan siapa dirinya,” kata
Pak Aziz yang tiba-tiba muncul di sebelah Azra Aida sambil tersenyum penuh
makna.
“Ya Allah… Rahmati dan Berkatilah dalam setiap
perkara yang kulakukan. Iya… di bumiMU yang barakah ini telah kutemui CINTA!
Moga ada kebahagiaan menanti dalam setiap keputusan yang kuputuskan..Aamiin…!!”
Doa Azra Aida sepenuh hati.
*** TAMAT ***