ACARA
perbarisan tamat latihan untuk Kor Risik96
Rejimen Khas Perisikan Tempur atau dikenali sebagai kumpulan 96RKTP baru sahaja
selesai. Selama enam bulan mereka menjalani latihan ketenteraan secara intensif
ala komando di Kem Batu Gajah, Perak.
Sesungguhnya
selama enam bulan itu benar-benar memberi impak yang maksima di dalam diri
kesemua anggota Kor Risik 96RKTP. Pengalaman-pengalaman sewaktu menjalani ‘Latihan
Ikthiar Hidup’ selama satu bulan di dalam hutan dan paya-paya serta hidup
berdikari di dalam satu kumpulan yang terdiri daripada lima orang tanpa bantuan
atau kemudahan asas benar-benar mengajar mereka erti kehidupan sebenar.
Ryan
dan Vijay hampir-hampir menarik diri daripada meneruskan latihan intensif itu
dek kerana tidak tahan menjalani latihan-latihan keras dan mencabar sebegitu
rupa. Mujurlah Zayeed dan Afy memberi semangat walaupun hakikatnya, semangat
mereka berdua juga hampir goyah.
“Bro..come on!
Kita cuma ada satu bulan saja lagi nak habiskan latihan ni. Be strong. Kami semua ada. Kan kita
berempat dah janji nak tamatkan latihan ni bersama-sama walau apa pun terjadi?”
Afy cuba memberi semangat kepada Ryan.
Ryan sudah terdiam. Di saat itu dia sudah teringatkan ibu
bapanya di Kuala Lumpur. Memang dia rindukan ibu bapanya itu. Rindukan
keselesaan dan kemewahan hidup yang dikecapinya selama ini. Tapi, bolehkah dia
berpatah balik dan lupakan sahaja impiannya selama ini?
Melihat wajah Ryan yang mendung begitu, Vijay pula mula
berasa tertekan. Hatinya sudah berbolak-balik. Antara rasa menyesal dengan
keputusannya menyertai angkatan tentera dan rasa ingin meneruskan sahaja apa
yang telah dilaluinya serta berharap segalanya akan selesai dengan cepat.
“Guys., come on!
Sikit saja lagi ni. Kita dah lepas ujian Latihan Iktiar Hidup yang sangat
mencabar tu, takkan korang nak give-up
dengan ujian yang tinggal ni? Come on
guys, korang boleh! Kita semua boleh!” Zayeed pula memberi kata-kata
semangat.
“Lagipun, takkan korang nak tarik balik kata-kata korang
kat parents korang dulu? Dah nak surrender dah ke?” Tanya Zayeed lagi
sambil memandang kedua-dua sahabatnya itu penuh erti.
Vijay dan Ryan tertunduk sambil mengeluh. Mereka berdua
sudah tiada pilihan. Mereka sudah sejauh ini dan sememangnya mereka juga tiada
peluang untuk berpatah balik! Atas kata-kata semangat daripada Afy dan Zayeed,
akhirnya Ryan dan Vijay meneruskan latihan yang masih berbaki sebulan sahaja
lagi itu.
“Haloo..tak payah nak sentimental
sangatlah kat sini!” tiba-tiba Zayeed menyergah Vijay sambil menepuk bahu Vijay yang termenung di
bawah pokok seketika sambil memandang jauh padang kawad setelah selesai segala
acara perbarisan tamat latihan.
“You did
it Bro! You did it! You should be proud to yourself,” kata Zayeed sambil
memeluk mesra bahu sahabatnya itu.
Viyay memandang Zayeed sambil tersenyum dan melepaskan
keluhan lega.
“Yes..I should proud
to myself!” jawab Vijay.
“Jangan sia-siakan apa yang kita perolehi ini. Jangan
sesekali beri peluang orang lain memandang rendah kepada kita. Kita mesti
teruskan dan pertahankan dengan apa yang kita mahu dalam hidup. Betul tak
Vijay?” kata Zayeed lagi.
Vijay memandang Zayeed sambil mengangguk. Vijay faham akan
maksud yang tersirat dalam kata-kata Zayeed itu. Zayeed sudah tentu ada
matlamat hidupnya dan begitu juga dengan dirinya. Vijay juga tidak akan menoleh
lagi dan membenarkan keluarganya memandang hina kepada kerjayanya ini.
***********************************************
LEFTENAN
JENERALSharul Basri memandang satu-persatu
wajah kelapan-lapan anggotanya yang sedang berdiri tegak penuh sedia di
hadapannya. Masing-masing penuh tekun dan bersedia mendengar apakah arahan yang
bakal dikeluarkan oleh Leftenan Jeneral Sharul Basri.
Sebagai seorang prebet yang baru sahaja enam bulan bertugas
di kem Kor Risik itu, Zayeed tertanya-tanya dan sedikit cemas memikirkan kenapa
dia bersama sahabat-sahabat baiknya, Afy, Ryan dan Vijay serta empat lagi
anggota yang terdiri daripada lain-lain pangkat dipanggil mengadap Leftenan
Jeneral Sharul Basri.
Bukan takut tetapi berhadapan secara langsung dengan ketua
Kor Risik yang sememangnya terkenal dengan sifat tegasnya itu, membuatkan
Zayeed berasa sedikit cemas. Jantungnya berdegup laju dan Zayeed juga pasti,
sahabat-sahabat baiknya yang lain juga turut berperasaan yang sama!
“Okay, kamu semua tahu kenapa saya panggil kamu semua kemari?”
Tanya Leftenan Jeneral Sharul Basri dalam nada yang tegas.
“Tuan, dengar khabarnya kumpulan 95RKTP telah tamat tempoh
operasi mereka dengan jayanya, Tuan!” balas Sarjan Sufi. Masih berkeadaan
berdiri tegak dan memandang ke hadapan.
“Iya Sarjan! Kumpulan mereka baru sahaja tamat operasi
semalam. Jadi, apa kena-mengena kamu semua di sini?”Tanya Leftenan Jeneral Sharul
Basri dengan nada suara yang mendatar.
Kelapan-lapan anggotanya terdiam. Mungkin ada di antara
mereka ingin menjawab namun masing-masing masih tegak berdiri tanpa seorangpun
yang bersuara. Melihat keadaan sebegitu, Leftenan Jeneral Sharul Basri bangun.
“Kami telah sebulat suara memilih kamu berlapan ini
menggantikan kumpulan 95RKTP berkuat-kuasa serta-merta. Jadi, minggu hadapan,
kami akan menguruskan transportuntuk
kamu berlapan ke sana,” kata Leftenan Jeneral Sharul Basri.
“Bagaimanapun, nanti bila kamu semua sampai di sana, Staff Sarjan
Zaifuzaman ada di situ untuk sehari dua bagi menerangkan secara terperinci apa
tugas-tugas kamu semua di sana,” sambung Leftenan Jeneral Sharul Basri dengan
tegas.
Leftenan Jeneral Sharul Basri masih lagi memandang
kelapan-lapan anggotanya terutama Zayeed, Afy, Ryan dan Vijay yang dengan jelas
terpancar dari wajah mereka ekspresi keraguan dan banyak persoalan.
“Kamu ada perkara nak ditanyakan ke?” Tanya Leftenan
Jeneral Sharul Basri berdiri rapat di sebelah Zayeed.
Zayeed terdiam seketika mencari ayat yang sesuai untuk
ditanya.
“Tuan, apa tujuan kami semua dihantar ke kem rahsia itu?”
Tanya Zayeed.
“Betul kamu tak tahu? Anggota yang lain tak ada yang sudi nak
beritahu kamu semua ke?” Tanya Leftenan Jeneral Sharul Basri ingin tahu.
Tiada jawapan daripada Zayeed.
“Staff Sarjan Naim, kamu sebagai anggota yang lebih senior
daripada mereka berempat ini, tolong jelaskan kepada semua, apa tujuan atau
objektif anggota kita dihantar ke Kem Rahsia secara berkumpulan dan ditugaskan
di sana selama enam bulan?” arah Leftenan Jeneral Sharul Basri dengan nada
suara yang tegas.
“Tuan, Kem Rahsia itu sebenarnya adalah satu kem khas untuk
tujuan latihan ketenteraan dan tugas-tugas rahsia untuk anggota Kor Risik
sahaja serta anggota tentera dari luar negara, Tuan!” jawab Staff Sarjan Naim
dengan lantang.
“Jadi? Kamu faham sekarang?” Tanya Leftenan Jeneral Sharul
Basri kepada Ryan pula.
“Faham Tuan!” jawab Ryan lantang.
“Bagus. Ada apa-apa lagi pertanyaan?” Tanya Leftenan
Jeneral Sharul Basri.
“Tiada Tuan!” jawab kesemua anggotanya serentak.
“Bagus. Kamu boleh bersurai sekarang,” balas Leftenan
Jeneral Sharul Basri dalam arahannya.
Kelapan-lapan anggota tentera itu secara serentak memberi
tabik hormat kepada Lefternan Jeneral Sharul Basri dan terus keluar daripada
bilik itu. Namun, sebaik keluar sahaja daripada bilik itu, masing-masing
berpandangan antara satu sama lain. Seolah-olah menerima berita bahawa mereka
bakal dijatuhkan hukuman gantung sampai mati!
“Kenapa kita pulak yang terpilih? Bukankah ramai lagi
anggota lain yang lebih senior?” Tanya Ryan meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Iyalah.. Kita baru sahaja enam bulan nak mula bertugas.
Baru nak rasa ‘feel’..dah kena arah
bertugas kat kem tu pulak!” sokong Vijay.
“Aku dengar dorang panggil kem tu, kem hantu! Betul ke?”
celah Afy.
“Apa?? Kem berhantu?
Betul ke?” Tanya Ryan pula dengan muka sedikit pucat.
“Dorang katalah. Aku menyampaikan saja. Mana pernah aku ke
sana. Lagipun, mereka yang baru tamat operasi di sana dan pulang ke sini, tidak
dibenarkan menceritakan apa-apa pun tentang Kem Rahsia tu. Kebanyakannya,
selepas pulang daripada operasi di sana, tidak sampai setahun, mereka akan
dinaikkan pangkat dan dibenarkan posting ke mana-mana Kem Kor Risik yang mereka
prefer,” cerita Kopral Eqbal lagi
sambil memandang rakan-rakannya yang lain yang turut terlopong sama mendengar
cerita Kopral Eiqbal.
“Ohhh.. gitu ke Kopral? Wahh..kalau macam tu, aku pun
teruja nak pergi ke sana!” kata Zayeed pula.
“Macam nilah skot-skot semua. Anggap sahaja kita yang
terpilih ini adalah beruntung. Bersangka baik sahajalah. Mana tau selepas ini,
pengalaman kita di sana boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk masa depan
kerjaya kita di masa akan datang,” kata Sarjan Sufi pula.
Sebagai anggota tentera yang lebih senior, Sarjan Sufi cuba
mengajak kawan-kawannya itu bersikap lebih tenang dan positif.
“Pastinya ianya adalah satu pengalaman yang berhargakan, “
sampuk Lans Kopral Saleh yang sedari tadi hanya diam membisu.
“Iya.. I hope so!”
balas Ryan perlahan namun masih boleh didengari oleh rakan-rakannya yang lain.
Separuh hatinya
merasa teruja bila terpilih bertugas di Kem Rahsia itu. Pastinya ianya memberi
pengalaman yang mahal dan berharga. Apatah lagi, di saat dia masih bersemangat
memikul tugas tentera ini dan mengejar seberapa banyak pengalaman ynag berharga
demi masa depannya.
Namun, bila terdengar yang Kem Rahsia itu berhantu, separuh
hatinya lagi mula terasa sedikit goyah. Benarkah begitu? Hati Ryan berdegup
laju memikirkan kebenaran tentang Kem Rahsia itu. Dia benar-benar lemah bila
mendengar kisah-kisah tentang hantu ini!
Ryan berdoa di dalam hati agar kumpulan mereka ini berjaya
menjalankan tugas dengan sebaiknya semasa di Kem Rahsia itu nanti.