Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,185
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9
(Maaf, ada beberapa nama telah ditukar di dalam buku)

"Selamat tengah hari." Balas Datin lembut dan bersahaja. Nada suara rendah. Senyuman, tampak murah di wajah.

Pantas Ismail menurut langkah ceria Datin Maznah Ismail, dari belakang seperti anak kucing mengekori ibunya menuju ke meja pejabatnya yang tampak gah. Meja yang diperbuat dari kayu jati berukuran hampir dua meter itu, walaupun sekali sepuluh orang ditugaskan mengangkatnya, sudah pasti juga akan tercungap. Yazid yang tercongok duduk melekat di sofa memerhatikan Datin melintas di depannya, sama sekali tidak diendahkan. Seperti sahaja di saat itu, Yazid tidak wujud sama sekali.

Mengenakan baju Kurung Peplum ala Saloma berwarna ungu, dan ditutup kepalanya dengan sehelai selendang yang warnanya sama, Datin Maznah Ismail kelihatan begitu anggun dan menarik.

Paras rupanya sederhana. Tidak begitu tinggi, tidak juga rendah. Namun walaupun orangnya sudah agak berusia, umur sekitar awal 50an, kejelitaannya jelas masih unggul dan menyerlah. Keharuman minyak wangi yang pastinya berjenama, menyelinap menguasai ruang pejabat itu.

'Wow! Ini Datin? Macam artis! Cantik dan bergetahnya. Hmmm... harap-haraplah aku diterima kerja. Bahagialah aku hidup hari-hari!'

Penuh harapan hati Yazid. Mata tidak berganjak. Melekat terus dengan tajam memerhatikan Datin yang sedang sibuk berbincang dengan Ismail di mejanya. Dari kejauhan dalam diam, wajah Datin yang jelita, mata jantannya mengamati dan menikmatinya.

"Saudara Yazid... " tersentak Yazid dari angan-angan sebaik Ismail memanggilnya. Hancur berkecai istana yang sedang dibina di udara, "sini mari. Datin mahu jumpa."

Jantung Yazid kembali berkompang kencang. Beralun keras. Segala sendi tiba-tiba lemah dan longgar. Muka memucat seperti mayat. Seketika dia berasa dirinya lumpuh.

"Yazid, sini mari. Datin mahu berjumpa."

Dipanggil Ismail sekali lagi dengan suara agak tinggi saat melihat Yazid masih terpaku di sofa. Di saat itu juga Yazid dan Datin Maznah Ismail bola mata mereka berlaga, apabila Datin menjengahkan kepala dari Ismail yang sebentar menghadang pandangannya.

Percikan cahaya di mata Datin membuat Yazid bagaikan dipukau. Begitu sahaja dengan dia bingkas bangun dan menuju ke arah Datin. Matanya tak berkedip. Wajah Datin yang sepi dari senyuman, yang kian saat kian mendekat, bagaikan sahaja mahu menelannya bulat-bulat.

'Ya Allah... lindungilah aku ya Allah. Lindungilah hambamu ini dari segala macam bahaya manusia. Lindungi aku ya Allah.'

Yazid berdoa dalam gementar. Seolah-olah di saat itu dia benar-benar di dalam keadaan bahaya. Menjadi-jadi gementarnya saat Datin memberi isyarat lewat mata menyuruh Ismail beredar meninggalkan mereka berdua. Kepala lutut Yazid jatuh ke lantai.

"Se... lamat siang Datin," dengan suara terketar Yazid memberi hormat yang sewajarnya.

"Sila duduk," ringkas Datin menjemput sambil melirik Yazid.

Menunduk dengan langkah berat Yazid bergerak ke kerusi yang empuk itu. Kerusi kusyen yang berwarna hitam, tidak kurang gahnya, perlahan Yazid melabuhkan punggung. Yazid menghela nafas berat berusaha menyelesakan diri. Buat kedua kalinya, bola mata mereka berlaga. Kali ini berjarak dekat. Yazid tergamam.

"Sila beritahu nama awak, umur, status, kebolehan, hobi, makanan kegemaran dan cita-cita awak," pinta Datin sebaik berempat mata. Suaranya menggaung. Lembut tetapi tegas. Menyandar santai di kerusinya yang diperbuat dari kulit berwarna hitam juga, wajah Yazid diamati dengan sorotan mata yang tajam.

"Errmmmm... ermmmmm," Yazid menggaru kepala seperti mencari akal. Mulut terasa berat hendak meluahkan suara. Yazid berkali-kali menelan ludah.

"Apa... nama sendiri pun boleh lupa? Dah kenapa dengan awak?" Sinis Datin. Memusing-musing pena 'Cross'nya yang dipegang dengan kedua belah tangan, wajah Yazid terus sahaja ditikam dengan matanya yang tajam.

"Bu... bukan lupa, Datin... " terketar-ketar Yazid. Memaksa diri bersuara. Entah ke mana perginya menghilang aura dan gaya, suara dan memek muka ala Clint Eastwood hero koboi legenda Hollywood itu.

"Kalau bukan lupa... habis apa?" Datin wajahnya mengancam.

Memutuskan pandangan, Yazid menunduk. Sekali lagi menggaru-garu kepalanya. Dia benar-benar berusaha memburu ketenangan. Dia tidak mahu ketidakpercayaan diri melenyapkan begitu sahaja peluang yang sangat diinginkan itu.

Tetap menunduk, Yazid menghela nafas panjang. Pantas serta-merta mengangkat muka di saat itu juga dan langsung menoleh, apabila ada bau yang dia cukup kenal menusuk lubang hidungnya.

Kelihatan sedang berjalan menuju ke arah mereka dengan santai dan memasang senyuman ramah, Ismail, dengan dulang perak di tangan. Kelihatan ada sebiji cawan duduk di atasnya dengan aura yang menggoda. Yazid menjengah-jengahkan leher untuk melihat dengan lebih jelas.

'Alamak! Secawan aja? Tak kan secawan pulak! Issshhhh... sengal betullah si Mail ni. Bawaklah lebih. Macam tak faham pulak!'

Hati Yazid menjulang harapan melihat kopi luwak yang dibawa Ismail. Aromanya yang mengganas di udara, terus sahaja tanpa ada rasa belas kasihan membelasah lubang hidung Yazid.

Memerhatikan Ismail dengan mata tajam melangkah bagaikan berbisik mendekati mereka, lalu diacung ibu jari kanan menyeka hidungnya. Layaknya, seperti Bruce Lee pesilat lagenda Hong Kong menyambut lawannya.

Hampa! Harapan Yazid hampa saat kopi yang dibawa Ismail disodorkan kepada Datin tanpa mempedulikan perasaannya. Sorotan mata berubah di saat itu juga bagaikan matahari tenggelam ke barat. Keningnya turut terangkat perlahan saat cawan itu diangkat Datin. Ismail yang beredar pergi pun tak diendahkannya.

Tetapi harapan yang runtuh bagai diterjang angin kencang, tak berlangsung lama. Datin Maznah Ismail di saat itu, bagaikan mengerti apa yang sedang berlegar di kepalanya. Terpana dan terkesima Yazid. Bagaikan tidak percaya kopi luwak yang diletakkannya harapan, telah pun menjadi minuman kegemaran, dengan kedua belah tangan penuh hormat Datin sodorkan pula kepadanya.

"Untuk apa ni Datin?" Sudah gaharu cendana pula, Yazid pura-pura tidak mengerti. Wajah terperanjat ditanyangkan sarat dengan perasaan.

"Tak kan kopi yang sebaik ini untuk dibuat perhiasan, kan? Kalau bukan untuk diminum," ujar Datin dengan senyuman yang pertama kali diukir buat Yazid. Bibirnya yang terbentuk cantik, ditambahkan lagi cantik dengan gincu merah jambu, merekah dengan cantik ke arah Yazid.

'Alamak! Datin senyum dekat akulah. Hmmm... manisnya senyuman.' Hati Yazid kembang seperti belon gas terbang ke udara sambil menerima huluran Datin.

"Untuk awak minum. Biar awak tenang dan kembali punya keyakinan diri. Minum... jangan segan-segan," lirih Datin ramah.

Yazid mengangkat muka dari cawan itu dan menatap lurus wajah Datin Maznah Ismail yang menawan. Kagum! Kagum bukan sahaja apa yang dipamerkan di luar, malah keperibadiannya. Yazid yang hanya berseluar jeans, T shirt dan bersepatu getah, sama sekali tidak dipandang rendah oleh Datin. Dilayan Yazid seolah-olah kedudukan mereka sama rata.

Diakuinya apa yang dikatakan Ismail tadi tentang keperibadian Datin adalah sesuatu yang benar. Iya, Datin adalah seorang yang berhemah dan juga baik hati. Melihatkan, begitu pandangan Yazid berubah. Rasa hormat terhadap Datin yang tertanam, kian mendalam dan bertambah. Rasa selesa menjelma di dalam diri Yazid.

"Nama saya Yazid. Yazid bin Atan."

Kopi luwak yang yang diberikan Datin, jelas bekerja seperti minyak pelincir. Mengalir suara lancar keluar dari mulut Yazid. Kata-kata tidak tersangkak seperti tadi. Dengan senang hati senyuman menggaris wajah, Datin mengangguk-angguk mendengar.

"Umur saya... dua puluh lima tahun, dan saya masih bujang," teringat Datin akan anak lelaki tunggalnya yang sebaya dengan Yazid sebaik dia memberitahu.

"Masih bujang? Kenapa tak kahwin lagi?" Soal Datin.

"Macam mana nak kahwin, Datin? Sekarang kahwin bukannya murah. Kebanyakan sekarang yang ada... kahwin dah macam jual anak. Macam mana nak kahwin kalau tak ada duit? Inilah nak kerja, nak kumpul duit dulu supaya tak jadi bujang terlajak."

Datin tidak dapat membendung ketawa. Yazid yang sudah selesa mempamerkan belang, sikapnya yang selamba mencuit hati. Dengan telunjuk kanan Datin menyeka kedua hujung matanya yang bergayut air jernih.

"Bagus Yazid, punya pemikiran yang seperti itu. Kerja itu adalah satu amanah dan tanggungjawab. Jadi manusia jangan pemalas. Harus berusaha dan bekerja keras untuk mencapai apa yang diimpikan. Sedangkan semut yang sekecil itu saja tak pernah kenal erti penat dalam berusaha. Ini kan lagi kita manusia yang Allah kurniakan kudrat dan akal fikiran?" Kata Datin sambil memerhatikan bibir tebal Yazid berterusan bersebibir dengan cawan itu. Sambil menikmati kopi itu, Yazid mengangguk. Dalam hati setuju dengan apa yang dikatakan Datin.

"Habis... sekarang ni masih 'single' ke, atau dah 'double'?" Lebar senyuman Datin saat melontarkan pertanyaan itu sebentar kemudian.

Meletak cawan kopi di atas meja, seketika Yazid berdiam. Menyandar di kerusi, kepalanya mendongak. Matanya tertancap ke dada siling bagaikan sedang menonton sebuah tayangan filem. Hati mengeluh panjang saat terbayang wajah Liza Wati.

"Kenapa? Ada apa-apa masalah ke?"

"Entahlah, Datin. Susah saya nak cakap."

"Cuba awak cerita sikit, saya nak dengar."

Mungkin sudah tertulis di Azali, perkenalan yang singkat itu terasa seperti sudah lama saling mengenal. Keakraban dan kemesraan, terjalin dengan sendirinya dalam sekelip mata. Tanpa Yazid sedari, dia dengan sikapnya yang selamba, begitu sekali Datin senangi.

"Saya sebenarnya ada kenal satu perempuan ni dalam Facebook," Yazid mengisahkan setelah agak lama berdiam. Dengan penuh minat, Datin mendengar, "saya mengaku yang saya suka dengan dia. Tapi... saya tak tahu pulak dia suka dengan saya ke tidak. Dan apa yang saya tahu... dia ni memang banyak yang minat."

Dalam Datin tersenyum mendengar apa yang diceritakan Yazid, sinar matanya mengkilat terpantul simpati. Sepertinya, apa yang dirasakan Yazid, dapat Datin merasakannya juga.

"Hmmm.... maaf Datin. Saya nak tanya sikit, Datin jangan marah ye," Yazid yang keyakinan dirinya sudah lama kembali, dengan selamba bersuara.

"Silakan. Saya akan mendengarnya dengan akal fikiran. Saya janji akan ketepikan perasaan. Sila tanya."

"Betul ye Datin tak kan marah?" Datin mengangguk memberi jaminan.

Sebentar hening menyapa bagaikan Malaikat melintas lalu. Sebentar juga Yazid bagaikan teragak mahu menyuarakan apa yang ingin disampaikan. Datin yang siap memasang telinga, Yazid menjatuhkan mata ke arah wajah yang setenang danau itu. Menghela nafas dalam, Yazid mengumpul keberanian.

"Maaf cakap... " lirih Yazid, "Datin ni sebenarnya... 'interview' saya kerja atau 'interview' kisah hidup saya? Hairan juga saya dengar pertanyaan-pertanyaan Datin."

Begitu Datin tergelak mendengarkan. Pada masa yang sama kagum dengan keselambaan dan keberanian Yazid. Menyeka lagi air mata di hujung ketawa, dengan senyum lebar Yazid ditatap.

"Yazid, buat pengetahuan awak... saat tadi saya menawar awak kopi... itu memberi erti saya sudah pun menerima awak menjadi pekerja saya, " jelas Datin tenang setenang wajahnya, "Saya menerima awak dengan hormat, kerana saya percaya... jika saya mahu pekerja saya menghormati saya, pertama, saya harus menghormati mereka dulu. Itulah pegangan hidup saya, Zid. Orang yang tahu menghormati diri orang lain, adalah orang yang tahu menghormati diri sendiri. Dan seterusnya akan dihormati orang lain."

"Jadi... maksud Datin... saya dapat kerja ni?"

Diiring senyuman lembut Datin mengangguk. Memandang Yazid yang wajahnya seperti sedang merenung maut.

Kagum, sebak, dan gembira, perasaan itu berganding terbang menghinggap diri Yazid dalam pada waktu yang sama. Seketika Yazid hilang kata-kata. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Sebentar memejam mata, Yazid mengurung dirinya dalam kesyukuran pada Allah yang telah memudahkan laluannya.

"Esok pagi jam lapan awak datang jumpa Ismail. Dia akan beritahu apa tugas awak dan mana yang perlu. Tahniah Yazid. Saya jumpa awak lagi esok."

Yazid yang sedang berjalan menuju ke pintu, Datin terus memerhatikan. Yazid yang bersepatu getah, berT-shirt putih lengan pendek dan jeans yang lusuh, atas bawah Datin mengamati. Dia mengalihkan pandangan ke Ismail yang sudah berdiri berhampirannya sebaik Yazid melangkah keluar.

"Pastikan pemandu peribadi saya berpakaian kemas. Esok setelah awak selesaikan apa yang perlu dengannya, awak tahu apa yang harus dibuat."

"Baik Datin. Esok saya akan penuhi semua permintaan Datin. In sha Allah." Ismail orang kepercayaan Datin, memberi jaminan.
Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.