Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,340
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17

Seperti semalam, Datin melangkah masuk dengan penuh anggun sambil melayangkan senyuman buat Ismail sebaik mereka bertentang pandangan. Matanya lembut melirik ke arah Yazid yang tidak berkedip mata memandang. Berbaju kurung merah berbunga putih hitam, berselendang putih menutup kepala, Datin Maznah Ismail tampak begitu menarik dan menawan.

Yazid bagaikan sahaja dipukau, pandangan tidak terarah ke mana-mana selain ke arah Datin yang sedang berjalan menuju ke mejanya. Caranya berjalan, menggambarkan beliau seorang yang berhemah dan bersopan santun. Keanggunan Datin tampak sangat luar biasa di mata Yazid sehinggakan Datin Maznah Ismail dianggap jelmaan ratu cantik dunia.

Begitulah juga dengan Ismail, terpegun. Seperti sahaja inilah baru pertama kali melihat penampilan Datin Maznah Ismail yang sungguh anggun dan menawan. Penampilan Datin tampak segar dan menyenangkan mata. Membuatkan diri beliau tampak jauh lebih muda dari umur yang sebenar.

Keghairahan untuk mengisahkan secara terperinci mengenai kegemaran arwah datuk neneknya lenyap dari ingatan. Yazid ditinggalkan begitu sahaja. Tanpa sepatah kata. Yazid pula menarik nafas lega. Lega kerana tidak perlu menadah telinga dengan cerita capati di pagi hari. Seperti biasa Ismail menuruti langkah Datin tanpa sebarang kata atau ucapan yang selalu diucapkan sebagai pemula hari. Kekaguman seperti mengunci mulutnya. Yazid juga serta-merta terlupa tentang kopi luwak yang sangat diidamkan. Dari sofa tempat dia melabuhkan duduk, Yazid berterusan memerhatikan Datin dan Ismail yang mulai bersembang. Kelihatan, sesekali Ismail mengangguk-angguk seperti sedang menerima arahan.

"Yazid... datang sini, Datin mahu jumpa," Ismail menjemput tidak lama kemudian. Sorotan matanya girang dan mesra.

Yazid mengangguk memberi respon. Tanpa dilihat Datin dan Ismail, pantas dengan kedua belah tangan Yazid mengemaskan jambulnya sebelum menurut arahan tanpa lengah. Menghela nafas dalam, dengan penuh hormat Yazid membuka mulut saat tiba di meja Datin.

"Selamat pagi Datin."

Datin pada ketika itu sedang leka membaca, mengangkat muka dengan mata bersinar. Memandang Yazid dengan senyuman menyimpul. Senyuman manis menyimpul Datin seakan memadamkan kedinginan paras keyakinan Yazid. Dia membalas. Bibir tebalnya tertarik ke telinga dengan sendiri.

"Selamat pagi juga. Sila duduk," jemput Datin penuh ramah. Ismail yang sedang berdiri di sisi, diam memerhati.

"Bagaimana? Sudah bersiap untuk hadapi cabaran?" Menyandar di kerusinya, Datin memulakan bicara. Suaranya tenang tetapi tegar. Sebentar melirik ke arah Ismail yang sedang tegak berdiri dengan rasa hormat.

Mengamati wajah Datin yang menawan itu, Yazid tersengih. Tepi keningnya digaru-garu. Lirih Yazid, "kalau hanya dengan kata-kata sudah cukup untuk memberikan jaminan... saya sudah pasti akan memberi jaminan dengan kata-kata. Tapi... itu sama sekali tak mungkin. Jadi... biarlah apa yang saya lakukan nanti menjadi ukuran."

Lebar Datin mengukir senyuman, seperti kuntuman bunga sedang mekar di taman. Kagum dengan apa dikatakan Yazid yang keyakinan diri sudah pun bangkit. Berkata dengan tenang dan meyakinkan, seperti hero koboi lagenda idolanya, Clint Eastwood.

"Bagus... bagus, saya suka dengan jawapan seperti itu. Kedengaran jujur dan ikhlas. Saya suka. Bijak awak, Yazid." Puji Datin Maznah melangit.

Bagaikan ditarik dengan ke sepuluh jarinya, bibir Yazid tersenyum lebar memenuhi wajah. Lubang hidungnya kelihatan mengembang-ngempis, seperti sahaja ketika itu kedua-dua manusia di hadapannya itu boleh dihela dengan sekali nafas tanpa sebarang masalah. Yazid membetulkan duduknya. Dia semakin berasa selesa berada di situ. Dapat dia merasakan, Datin dan Ismail menerimanya dengan baik. Menerima dia seadanya.

"Okey... awak dengar sini, Yazid," ujar Datin lembut, "sebentar nanti awak ikut Ismail. Saya sudah terangkan padanya apa yang saya mahukan. Jadi... apa yang dia kata dan arahkan awak, semuanya datang dari saya. Ismail mewakili saya. Faham?"

"Baik Datin, saya faham. Saya akan dengar dan ikut arahan Encik Ismail nanti." Yazid memandang Ismail yang sedang tersenyum. Yazid membalas. Teringat seketika kisah sejarah keluarga Ismail tadi yang menyesakkan otaknya.

"Bagus. Baik, awak boleh ikut Ismail sekarang." Yazid akur dan bingkas bangun dengan semangat membara.

"Oh ye, Yazid..." suara Datin sebaik Yazid dan Ismail baru sahaja mahu beredar. Yazid menoleh, "jika ada apa-apa yang awak berasa kurang senang atau tak memuaskan hati, jangan segan-segan beritahu saya. Saya sedia mendengarnya."

Merebak senyuman di wajah Yazid bagaikan api disimbah minyak, saat mendengar tawaran Datin. Di mata menyala-nyala rasa syukur kepada Allah akan keberuntungan nasibnya.

"Alhamdulillah. Terima kasih banyak, Datin. Jika ada apa-apa saya akan beritahu nanti."

Menyeringai seperti anak singa, tanpa lengah Yazid menyusun langkah menuruti Ismail yang sudah pun bersiap hendak membentangkan kepadanya, mengikut arahan diberikan oleh Datin Maznah Ismail sebentar tadi.

Ketika berada di dalam lif, Yazid masih tidak mengetahui ke mana dia akan dibawa atau apa yang sedang menantinya namun melihat Ismail berdiam, dia turut sepi dari sebarang kata. Hanya bunyi pergerakan lif yang membawa mereka menuju ke lobi utama sahaja kedengaran. Bersendiri-sendirian ditelan sepi ruang lif itu sambil melayan perasaan masing-masing, mata keduanya melopong memandang dada dinding lif.

Biasan sinar matahari menyambut, sebaik pintu lif terbuka. Begitu juga senyuman teramat manis dari Cato Enzo menyapa, sebaik mereka melangkah keluar menuju ke pintu utama bangunan. Namun senyuman Cato Enzo yang ditabur dengan kelebihan gula itu bukanlah untuk Yazid tetapi ditujukan buat Ismail.

"Nak ke mana tu, Abang Mail? Sentiasa bergaya dan segak aja abang hensem yang satu ni."

Menggema ruang lobi dengan pujian Cato Enzo. Penuh bersulam makna. Ismail sebagai orang kuat Datin, hatinya harus dijaga pada perkiraan Cato Enzo. Harus diletakkan di tempat yang tinggi di mata, sesuai dengan kedudukannya. Senyuman bersalut gula terus sahaja dipanah-panah dengan penuh mesra.

Terjungkit sebanyak dua kali kening Yazid saat mendengar kata-kata manis Cato Enzo. Penuh hati-hati beroperasi secara rahsia, biji mata Yazid seperti biji guli berputar perlahan menyinggah wajah Ismail. Bergegar sebentar pandangannya saat mengamati permukaan wajah Ismail, mencari-cari di mana letaknya hensem yang dikatakan Cato Enzo tadi.

'Hmmm... kenapa ye, aku tak nampak apa minah skema tu nampak? Mungkin kalau tengok dari kaunter tu baru boleh nampak kot? Hmmm... mungkin!' Bisik hati Yazid.

"Abang Mail nak ajak bakal 'Orang kuat' Datin pergi buat 'tour of duty'. Hari ini kan hari pertama dia mula bekerja."

Senyuman Cato Enzo mati di saat itu juga. Bagaikan tidak percaya telinganya mendengar. Mata memanah benci memerhatikan Yazid dan Ismail melangkah ke luar. Bibirnya yang sarat dengan gincu merah menyala itu diketap dengan rasa tidak senang membuak-buak di hati.

"Awak harus bersyukur pada Allah Zid, dan berterima kasih pada emak yang mengandungkan awak."

Kedua-duanya sedang berjalan beriringan menuju ke tempat meletak kereta di tingkat bawah tanah bangunan tersebut. Yazid yang masih teruja dengan penyataan Ismail sebentar tadi, leka merenung wajah Ismail sambil mencari-cari erti-makna di sebalik ungkapan itu. Kerana keterujaan itu, nyaris sahaja mukanya mencium tiang di hadapan yang menghadang perjalanannya. Untung sahaja Ismail cepat menahan Yazid.

"Macam Superman aja Encik Mail ni," tergelak kecil keduanya. "Tapi... apa maksud Encik Mail ya... cakap macam tu? Saya tak faham. Cuba jelaskan sikit."

Meraih bahu Yazid sambil tersenyum nipis, Ismail memberitahu, "sebab bintang awak terang. Saya dah bekerja dengan Datin... lebih dari sepuluh tahun. Saya cukup masak dengan perangai dan sikapnya."

Berhenti seketika menghela nafas, menepuk-nepuk bahu Yazid, Ismail meneruskan, "Datin suka dengan awak. Maksud saya... berasa senang dengan awak. Beruntung awak Yazid. Itulah yang saya maksudkan bintang awak terang. Setahu saya... Datin bukanlah seorang yang senang-senang menyukai seseorang dengan begitu saja. Lebih-lebih lagi orang baru. Baru dikenalinya."

Yazid melemparkan pandangan ke hadapan bagaikan sedang merenung keberuntungan nasibnya. Wajah George Foreman perlahan merangkak di benak fikirannya. Rasa terhutang budi dengan Leman membanjiri perasaan.

"Betul ke, apa yang Encik Mail cakap tu?" Mendongak memandang Ismail yang lebih tinggi darinya, Yazid menggali kepastian, "tapi kenapa ye? Apa ada pada diri saya... buat Datin tiba-tiba suka pada saya? Errr... maksud saya, senang dengan diri saya?"

Ismail membalas pandangan Yazid, tepat dan lurus di wajahnya. Diamati. Dari jambul hingga ke bibir. Tiba-tiba ketawanya pecah. Menggema ruang tingkat bawah tanah dengan suara gelak Ismail.

Kening Yazid bersatu, melintang di dahi melihat aksi Ismail.

"Mungkin bibir awak kot. Nampak seksi gitu!"

Yazid terkedu. Pantas kedua tangan meraba-raba bibir. Dahinya mengerut.

'Eh! Kurang ajarnya orang tua ni. Bibir aku pulak dijadikan bahan gelak dia! Sekeh sekali kau punya kepala baru tahu,' hati Yazid menyumpah.

"Maaf, maaf saya gurau..." pinta Ismail serius di hujung ketawa.

"Sebenarnya..." sambung Ismail, "saya yakin Datin senang dengan awak sebab awak 'menjadi diri sendiri'. Awak nampak jujur dan ikhlas. Ye, saya pun nampak awak macam tu juga. Harap-harap betullah apa yang kita nampak. Kadangkala... apa yang kita nampak tak lain cuma mainan mata. Manusia ni pelbagai ragam. Ada yang jujur, ada yang tak. Ada juga yang pandai dan suka main silap mata."

Melempar senyuman sambil memaut erat bahu Yazid, Ismail menekan, "tapi Yazid... apa yang ada di tubuh kita ni pun, pembawa rezeki juga. Iya, rahsia Allah ini semua. Allah Maha Pencipta lebih tahu. Mungkin... bibir awak tu... memang pembawa rezeki."

Pantas Yazid sekali lagi memegang bibirnya dengan kedua belah tangan. Perlahan merabanya. Sorotan mata menyelidik.

"Apa bezanya... jika Datin suka saya atau tak?" Tanya Yazid kemudian. Tangan kanan masih meraba bibirnya.

"Apa bezanya? Itu nanti awak boleh tahu sendiri. Saya tak mahu cakap apa-apa," jelas Ismail membiarkan Yazid terus tertanya di dalam hati. Langkah keduanya terus maju ke tempat yang hendak dituju.

Saat dia leka menuruti langkah Ismail, tiba-tiba langkahnya terhenti. Helaan nafas turut terhenti. Hilang kata-kata. Kekagumannya di saat itu, seperti sahaja dia sedang berdiri di kaki pelangi menatap keindahannya. Sinar matahari pagi menanjak ke takhta. Berbinar! Yazid terasa seperti bermimpi.

"Ini cuma sebahagian," lirih Ismail sambil mengamati wajah Yazid yang sudah maju ke hadapan; menatap penuh kekaguman, "tak termasuk yang ada di rumahnya. Ini semua... hanya digunakan untuk urusan kerja saja dan adalah tugas utama awak nanti."

Perlahan kakinya melangkah sambil mengelilingi satu-persatu, tanpa berkata apa-apa, satu-persatu juga tangannya meraba. Rasa ghairah merebak. Jakun Yazid. Rasa ingin tahu membuak-buak. Dia ingin tahu apa dan bagaimana rasanya kereta mewah yang selama hidup tidak pernah disentuhnya. Kini, bukan sahaja dia dapat menyentuh malah memandu kereta-kereta itu semua adalah tugasnya.

"Saya akan pandu Bentley ni? Betul ke ni, Encik Mail?" Ismail tersenyum, mengangguk dengan pertanyaan itu. Ismail hanya membiarkan sambil memerhati Yazid memuaskan rasa keterujaannya. Dengan kedua belah tangan, dipuaskan meraba mengelilingi Bentley yang berwarna keperakan itu. Mata membesar. Sesekali Yazid terhendap-hendap di dalamnya.

"Bentley ni cuma akan digunakan pada masa-masa tertentu saja. Seperti... menjemput atau bertemu tetamu terhormat dan untuk menghadiri majlis-majlis tertentu. Bukan untuk kegunaan hari-hari. Kereta yang akan digunakan untuk hari-hari ialah antara dua kereta ni," telunjuk kanan Ismail mengarah ke arah dua buah kereta yang letaknya bersebelahan.
Yazid berlari anak kuda, ghairah menghampiri kereta-kereta itu. Senyuman tidak putus-putus di wajah. Kagum dengan diri sendiri dan merasa beruntung diberi kepercayaan memandu kereta-kereta mewah itu.

"Jaguar dan BMW ni akan saya pandu tiap hari? Betul ke ni, Encik Mail?"

"Awak ada nampak Kancil dekat sini?" Balas Ismail sinis.

"Tak nampak pun. Macam mana nak nampak... kita bukannya ada dekat hutan atau zoo," jawab Yazid sambil mata dan tangan tidak lepas meraba-raba kedua kereta itu.

"Awak tahu kereta 'Skyline'?"

"Tahu. Kenapa, Encik Mail?"

"Itulah kereta paling termurah yang Datin ada. Tapi kereta tu diguna anak lelakinya yang sedang belajar di Australia."

"Wahh... hebat. Untunglah mamat tu ye. Siapa namanya, Encik Mail?"

"Saya yakin awak tak kenal dia."

"Memanglah... tapi mana tahu dia ada kenal saya ke. Sebab saya pun kat kampung, terkenal juga."

"Tak apa, itu tak penting. Lagi pun saya tak dibenarkan Datin untuk memberitahu hal-hal peribadi beliau pada sesiapa," tegas Ismail mempertahankan amanah.

Yazid mengangguk mengerti. Diam dan tidak bertanya apa-apa lagi.

"Jom kita pergi ′test drive′. Kita tunggang Jaguar dulu," ajak Ismail. Hati Yazid melonjak kuat.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.