Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,182
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Menyandar di kerusi; menyilang kaki menyelesakan diri, Liza Wati tersenyum. Diamati wajah rakannya itu. Mata Nurhayyu masih melekat di dada skrin komputer riba miliknya. Semakin membesar mata Nurhayyu menatap, semakin melebar pula senyuman dibibirnya.

"Liza... mamat ni biar betul? Macam tak caye aja, aku baca! Betul ke dia yang tulis ni?" Dengan mata membulat, Nurhayyu bertanya saat mengangkat muka.

"Habis... kalau bukan dia yang tulis... agak-agak kau siapa lagi? Tak kan orang lain kot?" Jawab Liza Wati. Mata yang sedang memandang Nurhayyu, bola mata mereka berlaga, bagaikan mengundang sahabatnya memberikan penjelasan.

Memutuskan pandangan, pantas Nurhayyu kembali menatap dada skrin komputer itu. Mengamati isi kandungannya, bagaikan mengeja setiap perkataan, tangan leka mengurut-urut dagunya. Agak lama direnungnya dengan wajah bagaikan tidak percaya. Di hati yang dalam, sebenarnya ada rasa kurang keyakinan yang sukar hendak dijelaskan.

"Hmmm... boleh tahan juga ayat. Pandai jugak mamat ni mengayat. Tapi.. macam kata-kata seorang pujangga aja bunyinya." Kata Nurhayyu dengan nada yang belum berpuashati. Mencapai 'Ice blended Mocha'nya di atas meja; menyandar di kerusi, Liza Wati langsung dipandang. Perlahan menyedut minuman kegemarannya, pandangan dilontarkan bagai menjemput Liza Wati pula memberikan penjelasan.

Perlahan dengan cermat, komputer riba itu didekatkan ke arahnya. Senyuman Liza Wati melebar saat matanya diarahkan ke dada skrin itu. Sinaran matanya redup penuh kekaguman, ketika mengulang baca apa yang ada di dinding Mukabuku-nya. Paling menggembirakan apabila ia mendapat sambutan hangat dari rakan-rakan.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan.

73 'Likes'

"Macam tengah kagum aja aku tengok kau, minah? Hati ada taman bunga ke... atau hutan belantara?"

Begitu Nurhayyu terkekeh dengan usikannya. Sampai terpejam matanya ketawa. Untung di waktu itu, pengunjung di Starbucks agak sepi. Hanya beberapa pelanggan sahaja yang sedang sibuk dengan dunia masing-masing memenuhi meja di ruang terbuka itu.

"Apanya taman bunga, apanya hutan belantara? Ada-ada aja kau ni Hayyu, nak usik orang." Balas Liza Wati dengan senyuman tersimpul di wajah.

"Habis, kau nak komen apa 'posting' dia?" Tanya Nurhayyu dengan senyuman mengejek.

"Entahlah, Hayyu." Lirih Liza Wati setelah agak lama juga memikirkan. "Tak tahu pulak apa aku nak komen."

"Ini kira apa kes? Lidah kelu ke jari kelu?"

Sekali lagi, berderai Nurhayyu ketawa. Begitu juga dengan Liza Wati, tidak dapat menahan diri dengan usikan Nurhayyu yang kedengaran lucu. Manja lengan Nurhayyu dicubit Liza Wati.

"Tak ada, gini..." ujar Nurhayyu setelah ketawanya reda. "Apa kata kalau aku saja yang komenkan untuk kau. Macam mana, minah... okey?"

"Dah! Kau jangan nak macam-macam boleh tak?" Pantas Liza Wati menepis cadangan itu.

"Alaaa... bolehlah." Nurhayyu merayu dengan muka-mukanya.

"Sudah! Sudah! Kau jangan nak macam-macam. Sini! Nanti merepek-repek pulak yang kau komen!"

"Aikkk! Kau tak percaya dengan aku ke apa? Kau sendiri tengok tu hari, macam mana aku komenkan untuk kau 'posting' Azman Hussin. Sampaikan kau punya Salleh Kamil 'look-alike' pun senyap beberapa ketika."

Nurhayyu mendekatkan wajahnya ke Liza Wati yang pandangan tetap terpacak di dada skrin komputer riba itu. Liza Wati berdiam tidak menjawab. Gerak bola matanya bagaikan sahaja sedang menimbang duduk perkara.

"Bolehlah, minah..." Nurhayyu terus berusaha, tidak berputus asa. "Kita tengok pulak nanti apa reaksi kau punya 'macho man'."

"'Macho man'? Siapa aku punya 'macho man?" Mengangkat muka memandang Nurhayyu dengan kerutan di dahi, Liza Wati bertanya.

"Siapa lagi, kalau bukan Azman Hussin! Kalau Yazid Atan tu memanglah bukan 'macho man'! Dia tu, jenis hancur bukan main!"

Menunduk memegang dahi, Liza Wati menggeleng-geleng kepala. Tetapi Nurhayyu dapat melihat dengan jelas, Liza Wati sedang berusaha menahan ketawa. Bagaikan terhendap-hendap mencari wajah Liza Wati yang masih menunduk, senyuman Nurhayyu lebar menantikan persetujuan.

"Hei... minah, boleh tak?" Rayuan Nurhayyu sudah ke tahap memaksa.

Jelas kelihatan air tergenang di kelopak mata saat Liza Wati mengangkat muka. Pandangannya mengesahkah Nurhayyu, hati Liza Wati tadi berdekah ketawa.

"Okey..." akhirnya Liza Wati mengalah. "Kau janji dengan aku, kau jangan komen yang bukan-bukan. Boleh?"

"Itu tak jadi masalah, minah. Perkara kecik! Bisa diatur, bos!" Dengan penuh semangat, siap menjungkit-jungkitkan kening Nurhayyu memberi jaminan.

Didekatkan kembali komputer riba ke arahnya. Dada skrin ditatap dengan tajam bagaikan sahaja dia sedang memikirkan sesuatu. Menongkat dagu dengan tangan kanannya, jari telunjuk menyentuh bibir. Agak lama juga direnung kiriman Yazid. Liza Wati yang duduk di samping, berdiam memerhatikan.

Perlahan jarinya menyinggah teratur di kunci kekata. Satu-persatu, Nurhayyu, jejari mulusnya mengetuk abjad. Liza Wati dengan mata tidak berkedip, terus memerhatikan. Pandangan memaut menurut setiap abjad yang terbentuk menjadi perkataan, dan seterusnya menjadi ayat, dan seterusnya menjadi ayat lengkap. Tiba-tiba dengan pantas dia menangkap tangan Nurhayyu dengan gelak.

"Eh minah... kenapa dengan kau ni?" Melengking suara Nurhayyu yang turut tergelak sama.

"Hayyu! Kau jangan main-main okey! Kau dah janji dengan aku tadi kan, tak kan komen bukan-bukan?" Kata Liza Wati dengan renungan tajam. Tidak dilepaskan tangan Nurhayyu dari pegangannya. Berusaha menghalang ayat itu dari dikirim untuk komen.

"Hello! Apanya bukan-bukan ni! Cuba kau cakap dengan aku!"

"Cuba aku cakap dengan kau? Cuba kau baca apa kau tulis!"

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan

Komen;

Liza Wati: Dinding ini sepi kerana cinta. Luahkanlah semahumu andai apa yang kudambakan selama ini, ada terbenam di lubuk hatimu yang paling dalam.

"Apanya yang tak okey? Cuba kau cakap. Okey apa ni!" Dengan gelak Nurhayyu cuba meyakinkan. Melepaskan tangan Nurhayyu, lengannya pula manja Liza Wati menampar-nampar.

"Tak mau! Tak mau! Aku tak mau ayat tu!" Tegas Liza Wati dengan bibir dimuncungkan.

"Kenapa?" Nurhayyu mencari kepastian.

"Hayyu! Aku tak mau. Aku tak suka mempermainkan perasaan orang, macam mana aku sendiri tak suka perasaan aku dipermain-mainkan. Jangan Hayyu! Kasihan dia."

"Kasihan ke, kasih dan sayang? Ngaku ajalah, minah!" Tergelak sakan Nurhayyu. Satu cubitan Liza Wati langsung menyinggahi paha Nurhayyu.

"Kau jangan nak macam-macam, okey! Kau nak cakap apa, kau cakap. Tapi tu ayat baik kau padam sekarang, atau langsung kau tak payah komen apa-apa!"

Tersandar Nurhayyu mendengar apa yang ditegaskan Liza Wati. Mata tetap tertuju ke arah skrin komputer riba itu. Sejenak jauh fikiran melayang memikirkan.

"Okey, minah tenang. Aku buat yang lain, okey."

Dikedepankan badannya mendekatkan diri ke komputer riba. Jari dengan pantas menyinggah ke kunci kekata, cermat dan perlahan diketuknya. Menatapnya sebentar, kemudian mengamati buat kepastian. Begitu senyuman puas tergantung di wajah. Sinar matanya berbinar.

"Hah! Apa macam minah... okey gini? Sini tengok, okey tak?"

Pantas Liza Wati turut mengkedepankan badan. Ingin melihat dengan lebih jelas ayat yang baru dibentuk Nurhayyu. Bola matanya dengan tekun merayap di skrin komputer. Penuh ghairah.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan

Komen;

Liza Wati: Ingin aku bernafas dirimu pada setiap hela
Tetapi kau terlalu besar buat lubang hidungku yang tidak sebesar mana.

"Hayyuu!" Pekik Liza Wati yang tidak dapat lagi mengawal diri. Tangan kiri memegang perut, tangan kanan menekap mulut, namun tetap tersembur dekahan ketawa. Nurhayyu pula, menggeliat-geliat tergelak melihatkan reaksi spontan Liza Wati.

"Kurang ajar betullah kau, Hayyu! Sudah! Sudah! Tak payah buat! Aku tak mau, aku tak mau!" Kata Liza Wati dengan ketawa yang masih menyala.

"Okey...okey, minah aku buat betul-betul ni kali!" Jawab Nurhayyu sambil ketawa.

"Sudah! Sudah! Tak payah... aku tak nak!"

"Aku janji. Ni kali betul-betul. Aku janji! Kalau kau tak setuju jugak, okey aku tak buat lagi," pinta Nurhayyu.

Berdiam, sesaat menyeka air yang tergenang di tubir mata, akhirnya sekali lagi Liza Wati mengalah. "Okey, aku kasi kau peluang terakhir. Kalau bukan-bukan jugak... ini kali tak ada lagi rayuan-rayuan! Betul ni aku cakap!"

"Okey...okey, aku janji!"

Menghela nafas panjang, Nurhayyu kembali merenung skrin komputer. Bola matanya menurut setiap abjad yang lahir dan menjadi perkataan dan seterusnya terbentuk ayat di dada skrin itu. Tekun dia melakukannya. Cermat dan berhati-hati menyusun.

Begitu juga dengan Liza Wati. Kali ini dia memantau setiap pembentukan perkataan. Mata tidak berkedip memerhati. Mengkalihkan pandangan memandang Liza Wati, seketika kemudian senyuman dilontarkan Nurhayyu.

"Apa macam... okey tak gini? Ini paling terbaik tau! Naik kering otak aku perah."

Menyandar di kerusi memandang Nurhayyu, senyuman dibalas. Berasa puas hati kali ini dengan ayat yang terbentuk.

"Hei, minah... okey tak ni? Nurhayyu inginkan kepastian.

"Ye bagus, aku suka. Pandai kau. Puas hati!" Jelas Liza Wati.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.