Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,190
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14
Kotak pesanan;

'AD Rahman - Yazid Atan: Saat cinta membara, aku rela merentungkan diri dan jiwa raga hingga menjadi arang.'

Terkebil-kebil sebentar Yazid memandang skrin iPad itu. Bagaikan tidak percaya membacanya. Dahi mengerut. Jambul turut melurut sedikit. Hairan! Didekatkan, diulang-ulang membaca mesej yang baru sahaja dikirim AD Rahman. Kepalanya tiba-tiba jadi gatal. Digaru-garu. Tidak faham betul maksud ayat yang baru diterimanya itu.

'Arang? Macam mana pulak boleh jadi arang? Biar betul si mangkuk hayun ni! Tak kan arang pulak! Tak sedapnya! Ayat-ayat cinta ni, tak pernah pulak aku tengok ada orang guna perkataan arang. Ingat apa... nak bakar sate?'

Yazid jadi pelik. Benar-benar pelik. Mengurut-urut dagu, Yazid cuba merungkai makna yang mungkin sebenarnya ada tersembunyi. Dia tahu, selalunya ayat-ayat cinta yang mempunyai erti yang dalam, mesejnya sering kali tersirat.

'Apa cerita mamat ni kasi aku ayat macam gini! Apa hal? Sengaja ke apa, nak kasi Liza Wati benci kat aku! Tapi... mana dia kenal Liza Wati? Eh, tak boleh cakap juga!' Bisik hati Yazid setelah gagal menggali maknanya. Diri mulai berburuk sangka.

Pantas Yazid membalas mesej itu.

'Yazid Atan - AD Rahman: hello brader, macam mana ayat boleh ada arang pulak? Itu paling terindah ke apa? Tak ada lain yang lebih indah? Biar betul, brader!'

Dengan pantas mesej Yazid dibalas AD Rahman.

'AD Rahman - Yazid Atan: Tadi sendiri yang kata ayat sebarang? Itu ayat sebaranglah!'

Yazid menggeleng-geleng membaca. Tersentap lagi dengan balasan mesej baru diterimanya. Panjang dia mengeluh. Tanpa lengah, dengan pantas jari kembali menyinggah ke kunci kekata hendak membalas mesej itu. Namun belum sempat dia melakukannya, AD Rahman jauh lebih pantas mengirim mesej baru.

Mata Yazid membesar. Terbeliak matanya saat membaca. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang tertera.

'AD Rahman - Yazid Atan: Saat cinta membara, tak kan kubiarkan diri ini terus memasung rasa. Tak kan kubiarkan kasih-sayangmu berlalu begitu saja. Cintamu dan cintaku, akanku pastikan mati-hidup bersama hingga ke penghujung masa.'

Lebar senyuman dengan sendiri terukir di wajah. Bersinar-sinar mata bagaikan bintang kejora di subuh hari. Jari dengan sendiri juga pantas menyinggah ke kunci kekata ingin mengucapkan berbanyak terima kasih. Namun seperti tadi, belum sempat dia melakukannya, mesej baru dari AD Rahman diterimanya lagi.

'AD Rahman - Yazid Atan: Sama-sama'

'Aikkkk! Macam mana kau boleh tahu aku nak ucapkan terima kasih? Pelik betullah kau ni mamat!'

Meninggalkan kotak pesanan, berbekalkan mesej baru diterima, Yazid meneruskan agenda dihajati. Memandang dada skrin iPad, setelah semuanya selesai dikerjakan, di kepala katil Yazid kembali menyandar. Memejamkan mata, dia membayangkan reaksi Liza Wati saat membaca kirimannya. Bibir tebalnya mengembang senyuman bagaikan kuntuman bunga yang sedang mekar di taman.

Hanya sinaran mata sahaja dapat melahirkan apa yang sedang dirasa. Kata-kata seketika menyepi dari bibir bicara, menceritakan keadaan. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Liza Wati dan Nurhayyu saling memandang setelah sama-sama membaca komen yang baru dibalas Yazid. Terkesima! Terpana keduanya.

"Biar betul minah, ayat mamat ni! Ini dah kira ayat tahap pujangga! Pergghhh... dahsyat betullah mamat ni. Tabik spring!" Nurhayyu tidak dapat lagi membendung rasa kekagumannya. Begitu kata pujian menyembur dari mulut.

"Itulah... aku pun kagum juga. Tak sangka dia boleh karang ayat macam ni," sahut Liza Wati dengan rasa kagum juga.

"Hei, minah... kita jangan suka ukur orang dari luaran saja tau. Kebolehan seseorang tu mana kita boleh nampak. Itu semua tersembunyi hingga dia mempamerkan apa yang dia ada. Betul tak? Penampilan pun tak semestinya betul seperti selalu kita yakini betul."

"Itulah sebabnya aku tak pernah mahu mengukur apa-apa pada sesiapa dari luaran saja. Takut tersalah," jujur Liza Wati menjelaskan. Mata tetap ter-arah ke dada skrin komputer-nya.

"Tapi...tak boleh jugak gitu, minah weii! Nanti senang-senang diri ditipu. Sebaiknya kita terjah lebih dalam dan selidik siapa dirinya yang sebenar."

Liza Wati hanya berdiam mendengar. Lengannya lalu dicubit Nurhayyu dengan mesra. Seolah-olah cubitan itu bagaikan ingin mengejut dan memberinya kesedaran akan kepelbagaian sikap manusia yang penuh dengan rentak irama dan warna. Menangkap dengan manja tangan Nurhayyu, Liza Wati mengangguk dan tersenyum setuju.

"Malang seribu kali malang, Liza. Mamat-mamat ni semua ingat, dia orang boleh cairkan hati perempuan dengan ayat-ayat dan kata-kata indah. Betapa silapnya! Andai saja mamat-mamat ni semua tahu apa yang kita mau, mereka tak kan membazir tenaga dan buang masa nak memuntah hijaukan kaum kita. Tapi tak tahulah dengan kau pulak. Kau cair ke minah, dengan ayat-ayat macam tu?" Nurhayyu tergelak kecil di hujung bicara.

"Eh! Taklah..." pantas Liza Wati menangkis, "bagi aku, tulisan-tulisan macam ni semua hanya setakat seni yang dihasilkan oleh jiwa-jiwa yang kreatif. Aku suka baca tulisan-tulisan macam gini. Indah dan punya nilai kesenian. Jika nak cakap pasal hati cair... sebenarnya tak perlu sepatah ayat pun boleh cair jika hati dah suka."

"Hah, betul tu minah!" Nurhayyu menyokong sambil mengunyah brownies yang bersisa, "itulah yang aku namakan, mengayat tanpa sepatah ayat."

"Maksud engkau?" Liza Wati mengerut dahi memandang Nurhayyu.

"Maksud aku... mereka mengayat dengan sikap dan karakter. Akhirnya kita tertarik dan jatuh hati. Memikat kita tanpa menggunakan sepatah ayat pun! Tingkah-laku mereka itulah yang menjadi ayat paling ampuh! Boleh membuat hati kita jadi cair dan terbuai."

Bersorak mata mendengar penjelasan Nuhayyu. Tersenyum, Liza Wati mengangguk setuju dengan sesuatu yang dia sendiri tidak dapat menafikan.

"Eh, minah... kau tak nak balas komen dia?" Tersentak Liza Wati dengan pertanyaan Nurhayyu yang tiba-tiba. Seketika memejam mata mengurut dada.

"Kau ajalah balas. Kau kan mahir dalam ayat-mengayat ni semua," kata Liza Wati kemudian sambil menyodorkan komputer riba ke arah Nurhayyu.

Mengangguk menghela nafas; merenung memikirkan sebentar, Nurhayyu melaksanakan tugas yang diamanah. Lembut dan perlahan jejari mulusnya mematuk kunci kekata.

"Tengok ni, okey tak? Ringkas-ringkas aja," lirih Nurhayyu.

Membacanya seketika; mengkalihkan pandangan ke arah Nurhayyu, tersenyum Liza Wati sambil mengangguk setuju.

Melonjak sakan hatinya. Seperti mahu sahaja dia menjerit meluahkan rasa gembira. Biar sahaja seluruh dunia mengetahui apa yang sedang dirasainya. Senyuman melebar sampai ke telinga saat melihat apa yang tertera di dada skrin iPad itu.

Perlahan dibaca. Diulang-ulang baca kiriman dari Liza Wati. Rasa seronok membacanya tidak terkata. Apa yang dibayangkan tadi saat memejamkan mata, ternyata benar-benar terjadi. Di hati Yazid, akar-akar taman bunga kembali menjalar.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Yazid Atan - Liza Wati: Hanya renungan sepi mampu kuukirkan di dada dindingmu yang kosong itu. Tidak tahu apa harus kulafazkan

'Likes': 75

Komen:

Liza Wati: Sepi adalah warna. Keindahannya pasti menyerlah bagi siapa yang tahu menghargainya. Dinding ini tidak pernah akan kosong, andai setiap kali, setiap saat kau datang merenung.

Yazid Atan: Saat cinta membara, tak kan kubiarkan diri ini terus memasung rasa. Tak kan kubiarkan kasih-sayangmu berlalu begitu saja. Cintamu dan cintaku, akanku pastikan mati-hidup bersama hingga ke penghujung masa.′

Liza Wati: Saya suka ayatnya. Sungguh indah dan enak dibaca. Pandai awak bermadah.

Kembang hidung Yazid memenuhi muka dengan pujian Liza Wati. Dengan pantas dan penuh ghairah, tanpa lengah komen itu dibalas.

Yazid Atan - Liza Wati: Terima kasih. Demi awak, saya akan usaha memerah otak atau apa saja.

Kegembiraan dan keghairahan meluap-luap ke tahap maksimal apabila dengan pantas juga komennya dibalas.

Liza Wati - Yazid Atan: Awak sudah makan ke belum?

Bunga di taman hati semakin tumbuh subur dan mekar saat membaca apa yang dibalas Liza Wati. Seperti tadi juga, dengan ghairah dan senyum lebar tertampal di wajah, pantas Yazid membalas. Jari bersiul laju mematuk kunci kekata. Namun keghairahan dirasakannya ketika itu, tidak berlangsung lama.

Mata besar membuntang melihat kirimannya sendiri. Tidak percaya sama sekali. Terpana, dan terpanah dengan kelewaannya sendiri. Begitu Yazid jadi gelabah. Jambul Nusantaranya yang dijambak keras bagaikan mahu tercabut dari kepala.

Buru-buru Yazid berusaha memadam kirimannya tadi. Sedaya dia yang tidak begitu fasih menggunakan iPad, berusaha mencari jalan. Ditekan semua butang di iPad itu, namun kesemuanya gagal. Yazid tidak mampu memadamnya.

"Haiza! Haiza!" Secepat kilat meluru keluar kamar, Yazid dengan wajah pucat-lesi mencari adiknya.

"Haizaaaaaa!" Menggaung suaranya menggegar ruang rumah.

"Eh! Kenapa abang ni! Kenapa? Apa cerita? Abang ni apa hal?" Haiza yang sedang bersantai di kerusi malas membaca buku di ruang tamu, menjadi cemas melihatkan sikap Yazid. Menegakkan badan dengan wajah tegang menyambut abangnya yang datang menghampiri.

"Za! Cepat tolong abang! Cepat, Za!" Wajah Yazid memucat. Dikelar pun pasti tidak berdarah. Sorot matanya jelas memberitahu Haiza, dia di dalam kecemasan berat.

"Tolong apa? Hah, tolong apa?" Melengking Haiza bertanya. Wajah memucat juga.

"Tolong padamkan komen abang dekat facebook, Za. Abang cuba padam tadi tapi tak boleh! Tolong Za, cepattt!"

Tanpa banyak soal jawab, Haiza menuruti langkah Yazid meluru ke kamarnya. Kedua beradik itu seakan sahaja berlari. Sesampai di kamar, saat iPad dipegang dan membaca apa yang Yazid ingin memadamnya, mata Haiza turut membulat besar. Sendiri sukar hendak percaya apa yang baru dibacanya.

"Ini yang abang tulis? Ini?" Duduk di katil membacanya, dengan wajah menggeli Haiza mendongak memandang Yazid yang berdiri di sisi memerhatikan.

"Abang tak sengaja," jawab Yazid. Nada suaranya sayu. Haiza kembali membacanya lagi.

Dinding Mukabuku Liza Wati;

Liza Wati - Yazid Atan: Awak sudah makan ke belum?

Yazid Atan - Liza Wati: dah berak pun.

"Macam mana abang boleh komen gini?" Tanya Haiza lagi dengan kerutan di dahi. "Tak pernah tau dekat facebook orang sebut perkataan macam ni! Buat malu aja!"

"Abang kan dah cakap, tak sengaja. Abang sebenarnya bukan nak cakap dah berak pun! Sebenarnya, abang nak cakap dah beres pun. Entah macam mana bila abang kirim, jadi gitu pulak. Apa, iPad pun tahu naya-kan orang ke apa? Ingatkan manusia aja tahu!"

"iPad ni... abang harus hati-hati, faham tak? Kadang tulis lain, dikirim jadi lain!"

"Okey, tak pe. Itu nanti boleh cerita. Sekarang cepat padamkan dulu, Za!"

Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata padah jadinya. Deraian ketawa yang menggema ruang Starbucks menjadi perhatian pelanggan yang duduk berdekatan di ruang terbuka itu. Bukan disengajakan, cuma Nurhayyu dan Liza Wati tidak dapat lagi mengawal diri saat membaca balasan komen dari Yazid. Nurhayyu tergelak sakan, bagaikan mahu melurut dari kerusi sedang didudukinya. Memegang perut dengan kedua belah tangan seolah-olah isinya mahu terburai.

"Eh, minah! Ada komen baru dari dia! Sini, meh tengok," dengan gelak yang masih bersemarak, Nurhayyu memberitahu.

Yazid Atan - Liza Wati: Maaf. Saya maksudkan, dah beres pun. Bukan yang tadi tu. Ye, saya dah makan.

Komen baru dari Yazid, nadanya sunyi dan sepi. Tidak lain hanya menambahkan lagi gelak Nurhayyu. Liza Wati menggeleng-geleng berusaha mengawal diri. Tidak sampai hati berterusan mentertawakan Yazid.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.